9 anggota polis ditahan peras ugut ahli perniagaan
SEMBILAN anggota polis ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pemerasan seorang ahli perniagaan, dipercayai berkaitan dadah di Gombak baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi berkata semua anggota yang berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu ditahan kira-kira jam 11 pagi di ibu pejabat polis daerah Gombak.
Beliau berkata, penahanan itu susulan laporan yang diterima daripada ahli perniagaan berusia 32 tahun itu pada 26 Julai lalu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (kesalahan peras ugut) selain siasatan tatatertib yang akan dilakukan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Beliau berkata, tindakan susulan terhadap semua anggota berkenaan juga akan dilakukan Bukit Aman.
Katanya, semakan awal juga mendapati pengadu memiliki rekod lampau berhubung kes dadah. – Bernama, 30 Julai, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan