LOCENG DAN ORIENTASI
Malam pertama untuk sesiapa yang belum pernah tinggal dalam asrama pasti terasa janggal dan tidak selesa. Bermukim di satu wilayah asing bersama orang-orang yang tidak dikenali. Bayangkan - tidur bukan di rumah sendiri. Bukan bersama sanak saudara. Di sebelah katil ada sosok asing yang tidak diketahui hujung pangkalnya.
Tapi kehidupan di asrama ini bukan satu yang baru untuk aku. Aku telah belajar meninggalkan rumah dan menginap di asrama SMUJ semenjak tahun 1967. Tapi malam pertama di Dorm Twenty West Wing MCKK agak mencabar.
Aku dicabar oleh bunyi deringan loceng.
Di MCKK semua jadual mengikut bunyi loceng. Loceng pertama jam 7 untuk bangun dan bersedia untuk hari baru. Loceng berbunyi jam 7.30 untuk sarapan dan loceng berbunyi jam 8 tanda kelas bermula. Jam 10.30 loceng untuk 30 minit waktu rehat. Jam 1.00 loceng berbunyi kelas selesai. Dari bilik darjah menapak menuju ke dewan makan.
Jam 5 petang loceng berbunyi untuk aktiviti sukan. Loceng jam 7 petang semua bersiap untuk makan malam. Masuk dewan makan bersama sama. Jam 8.45 ‘loceng prep’- semua kembali ke bilik darjah masing-masing untuk buat kerja sendiri. Bilik tidur dikosongkan.
Jam 10 malam ‘loceng prep’ selesai untuk pelajar tingkatan lima ke bawah. Mereka menapak pulang ke dorm. Jam 10.30 malam loceng tamat untuk pelajar tingkatan enam. Semua pulang ke dormitori masing-masing.
Jam 11.00 malam loceng berbunyi. Lampu padam. Tamat sehari di MCKK.
Senin pertama di MCKK bermula. Program dua minggu orientasi untuk pelajar tingkatan enam rendah yang baru sampai. Jumlah pelajar – pendatang baru tidak ramai. Tidak sampai 30 orang . Untuk aliran sastera tak sampai lima belas orang. Pendatang baru Tingkatan Enam yang ramai dari aliran sains.
Hari pertama kami ke pejabat sekolah untuk membeli kain sampin, tali leher dan lencana sekolah.
Di MCKK hanya ada tiga jenis pakaian. Uniform sekolah, baju melayu putih dan seluar pendek hitam dan baju t putih untuk bersukan. Kasut kulit hitam untuk ke kelas dan kasut getah putih untuk bersukan. Selipar dan capal hanya boleh digunakan dalam bilik tidur dan ketika prep malam.
Ketika prep di sebelah malam boleh pakai baju Melayu dengan kain sarung atau baju dan seluar Melayu tanpa kain sampin. Selipar dan capal dibenarkan. Prep hujung minggu di waktu siang kami wajib memakai pakaian seragam sekolah.
Prep ini dari perkataan Inggeris. Membawa makna persediaan. Kami mengulang baca, menyiapkan kerja sekolah, membuat kerja sendiri dalam kelas. Kalau di sekolah yang bukan di asrama prep ini menyelesaikan ‘homework’ kerja di rumah.
Aku ingat lagi petang hari ke dua di MCKK pada jam 4 kami dipanggil ke gelanggang badminton. Letaknya di sebelah gelanggang tenis di hadapan Dorm Twenty.
Kami dipanggil oleh pelajar ‘senior ‘ dari Tingkatan Enam Atas. Mustahil aku akan lupakan ‘ senior’ yang mengorientasi aku pada petang itu.
Aku ingat lagi yang datang ke gelanggang badminton petang itu ialah Kassim Ahmad, Mustakim, Nazri, Rahman Adnan dan Salim.
Para pelajar Tingkatan Enam Atas tidak tinggal bersama kami. Dorm mereka di Pavilion – bangunan baru yang tersendiri paling hampir dengan bilik kuliah.
Pada hemat aku ketua orientasi menyambut pelajar baru tahun 1969 ialah Kassim Ahmad. Di petang itu Si Kassim ini yang banyak bercakap dan memberi arahan.
Petang itu freshie diajar Haka MCKK. Haka ini budaya Maori – laungan semangat identiti dan jati diri.
Pasukan ragbi All Black New Zealand akan melaungkan Haka sebelum perlawanan dimulakan. Untuk membakar semangat dana setia kawan.
Kassim pada petang itu telah melaungkan Haka MCKK :
Bungwak bung wek wek
Bungkak bung kek kek
Who are we?
The Malay College
Can’t you see?
Yeah!!
Kassim melaungkan sekali lagi dan kami ikut ramai-ramai. Aku tidak faham apa yang tersirat dalam tradisi sorakan ini.
Kemudian Kassim meminta kami ulangi. Pendatang baru yang berdiri atas simen gelanggang badminton senyap. Kassim mengulangi Haka itu sekali lagi.
Aku memberanikan diri dan bersuara melaungkan Haka MCKK ini. Haka ini amat mudah dihafal.
‘ Woit... good... you lead...’ Kassim minta aku ke datang hadapan dan mengulangi Haka ini untuk semua pendatang baru.
Kami mengulangi beberapa kali Haka ini. Pada petang itu aku rasa semua ‘freshie’ hafal Bungwak satelah berkali-kali kami ulangi.
Ritual Haka ini mewajibkan kami menumbuk tapak tangan kiri dengan penumbuk tangan kanan. Bila sampai kepada ‘yeah’ kami akan mengambur tinggi. Inilah Haka Bungwak MCKK.
Setiap petang di minggu orientasi kami bersukan. Aku bukan kaki bangku dalam masa yang sama aku tidak pernah menjadikan bola sepak, hoki atau takraw sebagai sebahagian dari gaya hidup aku.
Ketika di SMUJ aku hanya berupaya menjadi pelari jarak jauh. Tapi pada minggu orientasi ini aku terpaksa bermain bola. Bukan tak boleh, bukan tak larat tetapi aku membuat sesuatu yang tidak aku minati. Aku merasa tidak selesa.
Di minggu orientasi – suai kenal kami melalui bermain sukan – bola dan ragbi . Ragbi ini satu yang amat baru untuk aku. Di SMUJ tidak ada pasukan ragbi. Aku pernah melihat ragbi dimainkan oleh soldadu Gurkha di padang pekan Kual Klawang.
Ketika bermain bola kita tersepak dan terlanggar. Kita tersenyum dan kita ketawa. Tersakit dan terpedih - semuanya bertujuan untuk kenal suai sesama sendiri. Bersukan pada hemat aku cara pantas untuk mengikat tali persaudaraan.
Aku merasakan pada petang itu di padang di MCKK ini kami ditanamkan rasa jati diri dan diterima sebagai warga Kolej Melayu Kuala Kangsar satelah melaungkan Bungwak.
Padang MCKK cukup lumayan. Padang utama – padang besar untuk bola dan ragbi dan untuk kriket. Di sebelah dewan makan ada empat gelanggang tenis dam satu gelanggang badminton.
Pada tahun 1969 kolam renang di belakang Dorm Twenty tidak berair. Aku di fahamkan kolam renang ini telah pecah.
Aku ingat lagi ketika minggu orientasi pendatang baru diwajibkan memakai tali leher selama dua minggu ketika masuk kelas.
Tali leher ini amat penting dalam budaya MCKK.
Kolej Melayu menggunakan sistem Prefect – Pengawas. Di setiap dorm ada bilik khusus untuk Sang Pengawas. Untuk tanda pengenalan Prefect memakai tali leher yang berbeza dari pelajar biasa.
Mereka juga memakai blazer berwarna maroon. Prefect terdiri dari pelajar Tingkatan Enam. Sang Prefect ini memastikan perjalanan kelas, peraturan sekolah diikuti dan bilik tidur kemas bersih teratur.
Kami tidak membersihkan kawasan di luar bilik. Kami ada ‘house-boy’. Ketika kami di kelas house-boy akan membersihkan kawasan luar. Kami hanya memastikan katil, bantal dan tilam teratur dan bilik dorm kami bersih bersapu.
Prefect Dorm Twenty namanya Abu Hassan. Sosok ini pelajar Tingkatan Enam Atas aliran sastera berasal dari Perlis. Sosok pendiam. Tak banyak cerita menjadikan aku yang bertaraf freshie agak waswas juga.
Sebelah bilik Prefect katil Idrus dari Kuala Pilah yang juga pendatang baru. Depan bilik Prefect katil Zahrin pelajar lama aliran Sains. Depan katil aku Syed Alwi, Rashid Harun dan Ghani Osman – semua pendatang baru satu kelas dengan aku. Sebelah katil aku Mahmud dan Syukur Suhut pelajar lama aliran Sains.
Dalam Dorm Twenty ini majoriti pelajar lama antaranya Kamaruddin Jaafar, Wan Hashim dan Fadillah Kamsah.
Ketika aku sampai MCKK aku adalah pengamal Islam Budaya. Aku merayakan segala perayaan yang bersangkutan dengan agama. Aku tidak mengamalkan sembahyang. Aku berpuasa kerana aku ingin merayakan Hari Raya.
Untuk aku baju Melayu, songkok yang wajib dipakai di MCKK adalah sebahagian dari budaya Melayu. Aku tidak tahu budaya Arab dan aku tidak pernah tertarik dengannya
Ketika di asrama SMUJ pernah juga aku sembahyang. Malah kali pertama aku bersembahyang Jumaat pada tahun 1967 ketika aku dalam Tingkatan Empat. Ini kerana sebagai warga asrama kami diwajibkan pergi bersembahyang ke Masjid Kuala Klawang.
Di Jumaat pertama aku sembahyang Jumaat baru aku sedar akan ritual Pak Imam. Dia memegang tongkat membaca khutbah kemudian duduk bangun kembali sebelum sembahyang.
Kali ini di Dorm Twenty aku lihat ramai kaki sembahyang terutama pelajar dari Kelantan dan Pantai Timur.
Mereka bersembahyang berjemaah sebelum loceng masuk ke dewan makan berbunyi.
Awalnya aku perhatikan saja mereka bersembahyang. Mereka memerhatikan aku yang tidak bersembahyang.
Sesudah mandi petang aku memakai baju Melayu dan hanya menunggu bunyi loceng untuk masuk ke Dewan makan.
Selesai minggu orientasi kami telah mengenal lebih dekat sesama satu dorm. Kali ini bila maghrib sampai mereka mula mengajak aku sembahyang bersama. Aku merasa kurang selesa kerana ini bukan diri aku. Aku Melayu bukan Arab.
‘ Reformlaa... reformlaaa...’ Ini kata-kata yang selalu aku dengar dari mereka. Apa yang hendak di reform aku kurang pasti.
Aku rasa sebelum makan malam bermula ada masa hampir setengah jam di mana penghuni Dorm Twenty sempat berjemaah. Aku tidak mengikuti jemaah mereka.
Aku menunggu loceng ke dewan malan.
‘ Marilaa jemaah sama....’ Wan Hashim mengajak aku.
‘ Bukan kamu jadi Imam .. ikut saje...’ Mahmud yang duduk di katil sebelah aku mengajak sama.
Aku tunaikan permintaan mereka.
Petang itu kali pertama aku sembahyang maghrib di MCKK. Petang esoknya perkara yang sama berlaku. Aku merasa diri aku bukan diri aku lagi.
Aku merasa tidak selesa kerana aku merasakan aku melakukan sesuatu yang bukan aku. Aku merasa amat tidak serasi dengan jiwa aku.
Jumaat sampai. Sembahyang Jumaat tidak ada masalah. Kami berjalan ke luar sekolah pergi ke masjid. Ritual yang ini satu yang menarik untuk aku dan aku rayakan kerana ini sebahagian dari rutin bersekolah di MCKK.
Maghrib sampai lagi. Aku merasa gelisah. Aku menunggu bunyi loceng untuk ke dewan makan.
Aku merasa wajib melakukan sesuatu untuk menyelamatkan diri aku dari perasaan yang menjadikan jiwa aku tidak tenteram.
Apa yang perlu aku lakukan? (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/07/27/loceng-dan-orientasi
Hang kene pegi berubat TT,buang Saka Sakai dlm badan hang tu.pasei tu hang berat taknak sembahyang kahkahkah
BalasPadamFadhillah khamsah?? Pakar motivasi tu ke? Dia masuk mckk since form 1 or form 6?
BalasPadamForm 4
Padam