TEROMPAH
DAN
DATUK UNDANG
Tahun 1968 sistem pembelajaran Malaysia masih terikat dengan sistem pembelajaran United Kingdom. Peperiksaan akhir untuk tingkatan lima aliran Inggeris menghasilkan dua sijil kelulusan. Satu sijil MCE – Malaysian Certificate of Education dan satu lagi sijil SC : Senior Cambrigde. Untuk lulus sijil MCE wajib lulus Bahasa Melayu dengan mata pelajaran yang sama.
Kertas soalan dan pemeriksaan jawapan dalam Bahasa Inggeris semuanya didatangkan dari United Kingdom. Kerana itu pembayaran untuk peperiksaan agak mahal - melintasi 90 ringgit. Ini belanja untuk menerbangkan kertas jawapan dan upah tukang periksa jawapan di United Kingdom.
Justeru tidak pernah dan mustahil ada kedengaran berita : soalan bocor.
Tingkatan lima aliran Melayu hanya ada SPM : Sijil Pelajaran Malaysia yang dikendalikan semuanya dalam negara. Justeru pada ketika itu nilai SPM dilihat lebih rendah dari nilai SC/MCE.
Lama juga aku menunggu ‘ result ‘. Menjadi lawak : Perjalanan kapal terbang agak lambat dari London ke Kuala Lumpur. Kemudian sampai ke Pejabat Khir Johari Menteri Pelajaran ketika itu. Dari pejabat Khir Johari dihantar dengan pos ke Pejabat Francis Xavier Guru Besar Sekolah Menengah Undang Jelebu.
Kemudian Bala – budak pejabat Guru Besar SMUJ – akan menampalkan keputusan MCE/SC di ruang papan maklumat di hadapan bilik guru besar.
Petang ‘result’ keluar aku di rumah Lee Keong. Aku dan Lee menunggu Ah Siong adik Lee yang telah diarahkan untuk pergi melihat apakah telah ada keputusan keluar di pejabat Guru Besar.
Ah Siong berbasikal pergi dan berbasikal pulang dengan berita gembira. Aku dan Lee Keong lulus dengan cemerlang.
Aku dan Lee mendapat grade dua dengan beberapa kepujian.
Aku berbasikal pulang ke Kampung Chenor. Berita ini aku sampaikan kepada Emak dan Kakak. Mereka sama gembira macam aku.
Aku sebenarnya tidak tahu nak buat apa. Aku betul-betul menjadi budak kampung. Awalnya aku dan Lee Keong hitch hiking ke Perlis. Lepas itu aku duduk menebeng di kampung tidak buat apa-apa. Aku tidak ada tujuan yang jelas .
Aku tidak melamar apa apa pekerjaan. Tidak melamar untuk masuk maktab perguruan. Tidak melamar nak masuk ITM – Institute Technology Mara. Aku membebal di Kampung Chenor.
Sesekali berbasikal menuntun wayang di Ruby Theatre. Sesekali pergi mandi air terjun di Kampung Kuala Pah. Aku menunggu tapi tidak tahu apa yang aku tunggu.
Ketika ini aku sedang cuba nasib dengan seorang anak gadis Tingkatan Empat. Nama dia Sarah. Rumah Sarah di tepi sungai dua batu jauh nya dari kampung aku - arah ke Peradung.
Si Sarah ini kadang-kandang berbasikal ke sekolah. Dia akan melintas di hadapan rumah aku. Apa yang menarik ialah Sarah ini tahu aku meminati dia.
Dengan kawan-kawan aku panggil Sarah ini Yoko. Ini untuk merahsiakan identiti gadis ini. Ini cinta budak kampung. Nama Yoko ini aku ambil dari nama kekasih John Lennon – Yoko Ono.
Dari desas desus yang aku dengar si Yoko ini adalah anak angkat yang diambil dari satu keluarga Cina di Jelebu.
Aku menggunakan nama Yoko kerana pengaruh Beatles dan Pop Yeah Yeah. Ombak Pop Yeah Yeah cukup hebat dan menggoncang Malaysia. Kugiran disana kugiran disini.
Malah ketika ini nama aku Herman Sham. Nama aku ambil dari kugiran The Herman Hermits dengan lagu Bus Stop yang berjaya memerangkap hati muda aku.
Herman ini jika ada girl friend pun nak pakai nama macam nama girl friend John Lennon.
Anak muda tahun 1968 ‘ heboh ‘ dengan nama Jeffry Din atau John Lennon atau The Swallows atau A. Ramlee atau Bob Dylan. Jika ada anak muda yang tidak heboh ertinya anak muda ini bebal kerana tidak tahu bagaimana hendak merayakan kemudaan.
Muda datang sekali. Tua bertahun-tahun hingga kotai.
Tahun 1968 berlalu. Masuk tahun 1969.
Satu hari Yusuf Wok kini pelajar Tingkatan Lima SMUJ datang mencari aku. Dia berbasikal dari hotel SMUJ. Aku merasa hairan kenapa dia datang.
‘ Ada apa ..’ Aku bertanya.
‘ Aku pesan dari Guru Besar Mister Xavier... minggu depan petang Sabtu kau wajib datang ke sekolah....’ Yusuf menjelaskan.
‘ Pasal apa... ‘ Bertanya cepat. Aku jadi cuak juga dipanggil ke sekolah sekali lagi. Keputusan sudah keluar aku telah lulus. Mustahil ada kesilapan.
‘ Hari Ibu Bapa... hari beri hadiah tahunan.... kau dapat hadiah....pelajar terbaik...’ Yusuf menjelaskan.
‘ Pelajaran apa .. Sastera Melayu aku dapat A1... ini ke..’ Aku menyangka aku dapat hadiah pelajar terbaik dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.
Sabtu yang dijanjikan sampai. Aku berbasikal ke Kuala Klawang. Bila aku sampai ke Dewan SMUJ aku lihat ramai ibu bapa dan guru yang masuk ke dalam Dewan.
Dewan SMUJ ini adalah empat bilik darjah yang disatukan. Dan satu bilik darjah khusus dibuat tinggi untuk dijadikan pentas. Ketika ada acara sahaja Dewan ini diwujudkan. Hari sekolah biasa dewan ini adalah bilik darjah.
Aku masuk ke dalam Dewan. Program petang belum bermula. Aku ambil kerusi di belakang sekali. Aku beberapa orang murid dari tahun aku. Dari jurusan Sains - pasti mereka juga menerima hadiah.
Dewan telah hampir penuh.. Aku tidak nampak Mister Tay, Mister Bala atau Mister Gamma Khan. Mungkin kerana program hari Sabtu mereka tidak menghadirkan diri.
Guru yang aku nampak hanyalah Guru Besar dan Mister Jai Singh guru paling lama berkhidmat di SMUJ. Aku rasa ada kurang lebih 200 tamu termasuk guru dan murid.
Tertiba semua tamu dalam Dewan bangun. Aku pun bangun sama. Penghormatan kesampaian Datuk Undang Luak Jelebu. Untuk warga Jelebu Datuk Undang ini bukan hanya kepala Adat Perpatih tetapi dianggap Raja Jelebu.
Guru Besar berucap memberi laporan tahun 1968. Tentang kejayaan sekolah dan masa depan sekolah.
Kemudian Pengerusi Ibu Bapa SMUJ berucap. Aku Hanya menunggu masa bila agaknya aku akan naik ke pentas mengambil hadiah.
Setiap mata pelajar yang ada dalam peperiksaan SC/MCE ada hadiah. Pelajar yang mendapat kelulusan terbaik akan menerima hadiah.
Di mulai dengan jurusan Sains : Bioloji, Kimia, Ilmu Hisab. Ramai juga nama dipanggil tapi tidak hadir.
Kemudian jurusan Sastera: Sejarah dan Ilmu Alam. Mata pelajaran Sastera Melayu yang aku mendapat A1 tidak diumumkan. Ini kerana mata pelajaran ini tidak di ajar di SMUJ. Aku belajar sendiri tanpa guru.
Nama aku dipanggil. Bayangkan apa terjadi.
Aku berambut panjang. Aku memakai seluar pendek hitam. Aku memakai baju kemeja lengan pendek berbunga. Aku tidak memakai kasut. Aku memakai terompah kayu. Yang hampir rahai. Mungkin dari kayu pokok getah..
Tahun 1969 Hishamuddin Rais telah menjadi hippie. Seorang hippie dari Jelebu telah naik ke pentas menerima hadiah buku dari Datuk Undang Luak Jelebu. Hishamuddin Rais menerima hadiah pelajar Ilmu Alam terbaik MCE/SC SMUJ 1968..
Tahun 1969 pengaruh hippie sedang mengampuh dunia. Aku di Jelebu pun terpengaruh dengan style dan fesyen hippie. Inilah zaman rock n roll – zaman Pop Yeah Yeah - zaman anak muda lelaki berambut panjang.
Aku tidak memahami falsafah hippie tapi apa yang aku faham ialah hippie anti-yang lama. Hippie anti yang karut dan membawa fesyen melawan arus.
Untuk bukti tidak suka yang lama – hippie tidak memakai kasut. Kasut dilihat simbol yang lama. Kaki ayam atau selipar dilihat sebagai tanda hippie. Begitu juga pakaian. Bukan kemeja lengan panjang, pantelon dan tali leher atau baju batik tetapi baju T cap Pagoda dan seluar lusuh.
Semangat hippie ini selari dengan perasaan dan jiwa aku.
Pemberontakan sedang berlaku dalam jiwa aku. Sesudah mendapat keputusan SC/MCE aku merasa aku wajib mara ke hadapan.
Ketika aku naik ke pentas menerima hadiah dari Tok Undang aku berpendapat : Sebelum orang lain melakukan lebih baik aku melakukan. Satu ketika nanti apa yang sedang aku lakukan ini akan berlaku. Lebih baik aku sendiri melakukannya terlebih dahulu.
Esoknya apa yang aku lakukan di atas pentas menjadi buah mulut. Kawan-kawan mula bertanya tentang apa yang terjadi.
‘ Sam.. kao pakai terompah... dopan Undang...’ Pertanyaan dari mereka yang kurang yakin terhadap keupayaan dan keberanian aku di hadapan Datuk Undang.
Hari berjalan masa berganti. Sesekali kegembiraan sampai apabila Sarah berbasikal melintas di hadapan rumah aku. Saban hari aku hanya duduk tidak membuat apa-apa.
Politik negara menjadi hangat kembali. Dulu tahun 1963 heboh dengan penubuhan Malaysia yang ditentang oleh Bung Karno. Kini bukan isu luaran tapi isu dalaman. Agenda pilihan raya.
Keluarga kami memang mengikuti politik. Ini kerana Pak Ngah Aminuddin Manaf bapak saudara aku adalah Adun untuk kawasan Pertang. Justeru keluarga kami tidak dapat tidak akan mengambil tahu hal ehwal politik.
Dilaporkan Pilihan Raya akan diadakan. Aku mula melihat Pak Ngah aku bertambah sibuk. Dia semakin kerap singgah ke kampung kami. Aku difahamkan Pak Ngah sedang mengatur jentera untuk bertanding sekali lagi. Pak Ngah aku bertanding untuk kali kedua.
Poster dan banting parti United Malays National Organisation mula di pasang disana sini. Sepupu dan saudara mara kami mula sibuk membantu Pak Ngah. Ayah aku juga sibuk sama.
Emak aku – Cik Gu Zaleha – patuh aturan . Guru tidak dibenarkan aktif berpolitik.
Aku yang tidak membuat apa apa kita jadi tukang ikut. Satu hari sebuah kereta Volvo sampai dari Seremban. Aku difahamkan kereta ini untuk diguna pakai ketika berkempen. Aku pun ikut naik Volvo ini ke hulu ke hilir memasang banting dan bendera.
Satu hari Menteri Besar Negeri Sembilan datang secara resmi melawat Jelebu dan berkempen. Aku naik kereta Volvo dan ikut rombongan MB melawat Petasih dan Gaylang.
Dalam kereta Volvo ada alat pembesar suara – mike - untuk melaung menjemput orang ramai datang ke program MB.
Abang sepupu aku Pak Cik Nasir menggunakan alat pembesar suara. Awalnya aku hanya mendengar dan memerhati . Akhirnya apabila Pak Cik Nasir letih aku telah memberanikan diri mengambil mike dan mula bersuara menjemput orang ramai keluar beramai-ramai.
Inilah kali pertama aku menggunakan mike untuk tujuan politik.
Bila orang telah ramai berkampung maka MB berucap. Aku perhatian MB Datuk Mansor Osman bercakap meminta orang Kampung Petasih dan Geylang menyokong kerajaan Tunku - kerajaan kapal layar.
MB bercerita tentang kejayaan satu Hamba Allah membuka kedai roti di Kuala Pilah. Bekas Pengarah ITM ini mahu orang Melayu terlibat dalam perniagaan. Ini rumusan yang aku dapat satelah mendengar ucapan MB Datuk Mansor yang berucap dengan lorat Pilah.
Di Geylang – ada jamuan teh . Aku teringat hingga hari ini kuih koci inti kelapa gula kabung yang menjadi sambutan kepada MB.
Tiga minggu kemudian Jelebu menjadi heboh sekali lagi. Tunku – Perdana Menteri akan datang ke Jelebu. Aku difahamkan Pak Ngah aku menyusun satu pasukan Pemuda UMNO bermotosikal menyambut Tungku di Bukit Tangga. Dari Bukit Tangga Tunku di bawa ke Padang Pekan Kuala Klawang. Sebuah pentas telah didirikan di tengah padang.
Aku masih ingat lagi pada petang itu pekan Kuala Klawang telah penuh dengan orang ramai. Kuala Klawang dibanjiri oleh Mak Cik dan Pak Cik dari Amar Penghulu, dari Kemin, dari Gagu, dari Seperi, dari Petasih, dari Geylang, dari Gagu, dari Ulu Jelebu, dari Sarin dan dari wilayah paling ulu dari Kenaboi. Semua datang untuk melihat muka Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
Habis ucapan Tunku bergerak untuk menaiki kereta pulang ke Seremban. Aku dengan sepupu aku Joyo telah cuba merapati Tungku. Aku ingin mendapat tanda tangan Tunku untuk buku autograf aku.
Dalam buku autograf aku telah ada tanda tangan S. Jibeng, A. Ramlee, S. Mariam, Eddie Ahmad, Jeffery Din. Semua aku dapat ketika penyanyi Pop Yeah Yeah ini a mengadakan persembahan dalam pesta fun fair dalam pekan Kuala Klawang.
Kali ini aku mahu tanda tangan Tunku dalam buku autograf aku.
Kami di halang polis. Tetapi apabila Pak Ngah aku melihat muka aku dengan cepat YB Aminuddin Manaf telah meminta polis beri peluang kepada aku dan anaknya Joyo.
Petang itu aku dapat tanda tangan Tunku.
Esoknya heboh di Jelebu dengan cerita dua budak datang minta tanda tangan Tunku untuk minta kerja.
Beberapa hari kemudian Yusof Wok datang sekali lagi ke rumah aku. Seperti dahulu dia membawa pesan Guru Besar SMUJ Mister Francis Xavier hendak berjumpa dengan aku.
Aku menjadi gelabah apakah kes aku pakai terompah depan Undang Jelebu muncul kembali.
‘ Aku pun tak tau pasal apa ....’ Yusuf Wok menerangkan.
‘ Pasal apa...’ Aku merasa cuak..
‘ Entah...mungkin dia nak tanya kau nak sambung belajar lagi ke.... ‘ Yusuf menerangkan sambil menghulur nota kecil kepada aku. Bertulis : Please come to my office.
‘ Sambung belajar di mana ..’ aku bertanya.
‘ Entah...pergilaa jumpa headmaster.... aku hanya sampai pesan....’ Kata akhir Yusuf sebelum kami berpisah.
Petang besoknya aku mengayuh basikal menuju ke Pejabat Guru Besar SMUJ. Aku kenal baik akan pejabat ini. Aku ketuk pintu dan masuk.
‘ Congratgulation.... I have a mesage from Seremban... you could continue your Six Form at Malay College Kuala Kangsar....’ Guru Besar bersuara.
Aku tidak tahu apa nak jawab. Aku tidak tahu apa itu Malay College. Aku belum pernah sampai ke Kuala Kangsar.
Kemudian Mister Xavier mengambil satu kertas A4 dan menghulurkan kepada aku
‘ This is for you,.. from Seremban..Education Department... from the school..’
Mata aku merayau melihat kembali pejabat Guru Besar SMUJ untuk kali terakhir. Dalam bilik ini lencana Prefect aku pernah diambil kembali oleh Mister Francis Xavier kerana aku mencuri buku library.
Kali ini dalam bilik yang sama aku menerima tawaran untuk ke Malay College.
Di luar pejabat aku baca isi kertas A4:
1 – Dua helai baju putih
2 – Dua helai seluar putih panjang
3 - Satu seluar pendek hitam & baju t
4 – Towel mandi
5 – Sepasang baju Melayu Putih & songkok
6 – Sepatu kulit hitam
7 - Payung
Tujuh perkara yang wajib aku bawa ke Malay College Kuala Kangsar. Aku hairan kenapa aku wajib membawa payung. Apa jenis sekolah perlukan murid ada payung. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/07/13/terompah-dan-datuk-undang
Komin, Kenaboi, Pah, Lonek, Klawang, Geylang, Potaseh, Poghotang, Gagu ..orang ingat ni musti tompek kek Kenya/Uganda.
BalasPadamPado maso 70an sapo ado MCE kok kojo askar terus dapek satu paku ..yang ado SPM mulo dongan prebet capok, walau pun dapek lapan A ..sekarang satu paku kono ado degree.
Den suko nongha "Bus Stop" versi The Hollies ..
Ooo nama glemer TT jaman sekolah Herman yo ..maso tu Herman Tino bolom rakam lagu lagi ..kahkahkah
Aduhai... kalau lah TT buat botul2 dah tentu TT boleh duduk di Putarjaya, boleh makan rasuah hebat dari Najib, woodstock, ketum, pakalolo semua dah tontu legalised ternow... hi hi alumini MCKK tu... geng budak jambu ke ? jangan marah tanya saja...
BalasPadam