PM sudah beri komitmen PRU-15 tahun ini – Mohamad Hasan
KUANTAN – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU 15) akan diadakan sebelum Disember tahun ini.
Katanya, Sabri sudah memberi komitmen untuk melaksanakannya sebelum penghujung tahun 2022.
“Perdana Menteri sudah memberi komitmen. Cuma dia tak bagi tarikh. Dia kata, tak kan saya nak bawa hingga ke tahun depan,” katanya.
Namun, Mohamad yang menyifatkan PRU 15 sebagai pilihan raya antara hidup dan mati itu berkata, ia tidak mungkin dilaksanakan pada musim tengkujuh.
“Kalau pilihan raya tahun ini, tak kan nak buat bulan 12. Orang berenang pulak nak pergi mengundi. Di Pahang ni bukan calang-calang banjir. Banjirnya besar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Pertemuan Bersama Komponen BN di Dewan Besar Ismail, di sini hari ini.
“Buatlah gerak kerja. Mulai dari sekarang, kita cakap pasal minggu dah. Kita tak cakap pasal bulan dah, kita cakap pasal minggu dan hari. Tak banyak lagi minggu, tak banyak lagi hari,”seru Mohamad kepada lebih 2,000 ahli BN Pahang yang hadir.
Tambahnya, ia jelas memberi isyarat supaya jentera parti perlu bekerjasama, faham peranan masing-masing dan menyegerakan gerak kerja sehingga ke peringkat akar umbi untuk membantu parti.
“Pilihan Raya ke 15 ini adalah pilian raya hidup dan mati. Kerana kalau kita tak menang, memang susahlah kita nak naik balik,”jelasnya.
Sementara itu, Mohamad yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, BN telah memutuskan untuk tidak akan bergabung dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan