Pemimpin Umno didakwa 'serang' badan kehakiman
Seorang peguam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa beberapa pemimpin kanan Umno memulakan propaganda tertentu berhubung cara Mahkamah Persekutuan mengendalikan rayuan Najib Razak.
Kata Muhammad Rafique Rashid Ali berkata tindakan yang dilihat terancang oleh pemimpin Umno itu sebenarnya boleh dianggap mempersoal keputusan hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan semalam
Mengingatkan bahawa panel lima hakim yang mendengar permohonan Najib dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC) sekarang bukanlah calang-calang orang, Rafique juga mempersoalkan sama ada ketiga-tiga pemimpin tertinggi Umno itu faham skop mahkamah terbabit.
“Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru pada Selasa lepas, tiada sebarang komen diberikan oleh Umno.
“Malah ada juga desas-desus menyatakan Umno terpaku kerana ‘raja media sosial/FB’ mereka gagal dalam langkah terakhirnya.
“Namun, semalam propaganda Umno telah bermula. Kepimpinan tertinggi Umno melalui presiden, timbalan presiden dan ketua pemuda membuat kenyataan-kenyataan yang boleh dianggap mempersoal keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya hari ini.
Tiga pemimpin yang dirujuk Rafique ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Mohamad Hasan; dan Ketua Pemuda Umno Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki.
Dakwa Rafique ketiga-tiga mereka mengeluarkan kenyataan bahawa permohonan Najib itu ditolak hakim atas sebab teknikal.
Semalam, Mahkamah Persekutuan memberikan "tamparan berganda" ke atas Najib apabila dua permohonan bekas perdana menteri yang dibicarakan berhubung pertuduhan membabitkan dana SRC ditolak.
Permohonan pertama Najib ialah untuk mengemukakan bukti baru dan ia mendakwa dapat menunjukkan hakim yang mendengar kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ada konflik kepentingan.
Menurut Rafique, Umno tidak perlu mempersoalkan integriti badan kehakiman yang menjadi tunjang kepercayaan rakyat di negara ini.
“Umno dan pimpinannya harus sedar bahawa mahkamah dan badan kehakiman - dalam menjalankan tugas keperlembagaannya - tidak berkiblatkan mana-mana parti atau personaliti politik, sebaliknya hanya kepada undang-undang. Ianya tidak partisan.
“Dalam menjamin kedaulatan undang-undang, mahkamah hanya membuat keputusan berdasarkan kepada fakta, keterangan dan peruntukan undang-undang yang ditampilkan di hadapannya,” katanya.
Tambah Rafique, pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
"Itulah rasional yang digunakan oleh Mahkamah Persekutuan untuk menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru," katanya.
Sementara itu Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad memberitahu pemberita Umno melaksanakan "serangan terancang" ke atas mahkamah dan badan kehakiman.
“(Mereka berbuat demikian) kononnya kerana Najib dinafikan keadilan apabila tidak dibenarkan memperkenalkan bukti baru.
"Apa yang kamu mahu lakukan? Adakah kamu mahu merosakkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman? Adakah anda mahu huru-hara? Anarki?
"Adakah anda menentang keputusan mahkamah kerana mereka tidak mengikut arahan Najib?
“Ini semua taktik untuk mendapatkan penangguhan, termasuk pertukaran (saat akhir) peguam bela,” kata Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan