Zaid Ibrahim nafi firma guamannya akan tarik diri wakili Najib
PEGUAM Zaid Ibrahim menafikan firma guamannya akan menarik diri daripada mewakili Najib Razak dalam rayuan bekas perdana menteri terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, yang akan didengar di Mahkamah Persekutuan, Isnin ini.
Zaid berkata firmanya Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners tidak akan mengabaikan anak guam mereka dalam rayuan itu, tidak seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
“Saya terkejut bagaimana satu kenyataan yang dibuat dalam kamar kepada penolong pendaftar (mahkamah) sampai kepada media hampir serta-merta selepas pendengaran pengurusan kes.
“Saya tidak pasti siapa sumber laporan media itu. Dalam apa juga keadaan, laporan itu tidak betul dan tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Zaid, firma guamannya tidak membuat sebarang kenyataan semasa sidang pengurusan kes dalam kamar bahawa mereka akan menarik diri.
“Kami tidak mengabaikan anak guam,” tambahnya.
Menurut Zaid, pihaknya kesal dengan laporan itu yang disifatkan berniat jahat.
Zaid berkata firma guamannya setuju mewakili Najib kerana bekas perdana menteri mempunyai rasa tidak puas hati yang sah terhadap sabitannya, terutama yang bersangkutan soal kedaulatan undang-undang, berat sebelah, dan konflik kepentingan.
“Menjadi tanggungjawab suci mana-mana peguam untuk mewakili seorang tertuduh yang ada sungutan begitu. Dengan berbuat demikian, saya tidak menghakimi kes ini terlebih dahulu, seperti yang boleh diperakui oleh mana-mana peguam terhormat.
“Menghakimi adalah tanggungjawab mahkamah. Sebagai peguam, tugas kami mewakili kes anak guam setakat yang termampu,” katanya.
Tegas Zaid, Najib berharap akan mendapat pengadilan yang penuh dan saksama di Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga menafikan tuduhan pihaknya mengambil kes itu atas motif wang atau taktik untuk melengah-lengahkan perbicaraan rayuan akhir.
“Dalam apa juga keadaan, ini kali pertama Najib menukar peguam dalam perkara ini,” katanya.
Pada 26 Julai, Najib menamatkan khidmat peguam Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman atas tujuh pertuduhan menyeleweng melibatkan dana RM42 juta milik SRC International.
Shafee dan firmanya mewakili Najib sejak beliau dituduh di mahkamah pada 4 Julai 2018.
Najib kemudian melantik firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam baharunya, dengan Hisyam Teh Poh Teik dari Tetuan Teh Poh Teik & Co sebagai peguam utama. Beliau dibantu dua peguam ZIST iaitu Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari untuk mendengar rayuan akhir Najib bermula Isnin ini hingga 26 Ogos.
Rayuan ini didengar selepas Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang diumum pada 28 Julai 2020.
Selepas perbicaraan antara 3 April dan 27 Ogos 2019 dan selepas mendengar keterangan 57 saksi, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga kes pengubahan wang haram, dan satu kes salah guna kuasa.
Beliau dihukum penjara 10 tahun bagi setiap satu pertuduhan jenayah pecah amanah dan 10 tahun juga bagi setiap satu kes pengubahan wang haram. Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Beliau juga berdepan hukuman penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda.
Semua hukuman penjara berjalan serentak.
Zaid yakin pihaknya membawa perspektif baharu kepada kes Najib.
“Atas nasihat kami, Najib membatalkan beberapa perkara yang dikemukakan sebelum ini.
“Kami akan fokus sepenuhnya atas prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang, keadilan asasi serta beberapa isu perundangan dan fakta dalam memohon untuk kes dibicara semula dan rayuan penuh.
“Kami sedia meneruskan usul untuk bicara semula apabila kes didengar Isnin ini,” katanya.
Kelmarin, Najib menarik balik dakwaan rasuah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan pertuduhan dan menjatuhkan hukuman ke atasnya. – 12 Ogos, 2022.
Tapi siapa yang laksana taktik ini? Semua sama fuckall...pasai duit sangup gadai teloq
BalasPadam