KES NAJIB
UNTUK
KAK BEDAH
DAN
LEBAI DERAMAN
Ingati kembali pada tahun 1999 bila mana kita semua - anak semua bangsa - yang tidak tahu berbahasa Inggeris telah mula berkenalan dengan perkataan ‘irrelevant’.
Makna perkataan ini ialah : tidak kena mengena, tidak bersabit dan tidak berkaitan.
Perkataan Inggeris ini kita dengar dari mulut Tuan Hakim Mahkamah Tinggi Augustine Paul ( 1944-2010) yang sedang mendengar perbicaraan kes Liwat 1 Anwar Ibrahim.
Perkataan ini jadi perbualan nasional. Malah menjadi popular antara sesama kita ketika kita berbual, berbincang atau digunakan menjadi jawapan bila kita bertengkar.
Ini adalah sumbangan Augustine Paul terhadap pembelajaran Bahasa Inggeris.
Bila kes Najib di bawa ke mahkamah ianya tidak sepopular kes liwat Anwar Ibrahim.
Tidak wujud satu perkataan atau satu ayat klise hingga menjadi perbualan nasional. Tak sampai ke tahap Augustine Paul yang dianggap mukanya seiras dengan Mamat pengiklan gula-gula Hacks.
Hakikatnya Tuan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes Najib juga tidak sepopular Augustine Paul. Tidak ramai yang kenal muka atau ingat namanya Mamat ini.
Saya sendiri tidak mengikuti perbicaraan Najib dalam kes Syarikat SRC Internasional secara teliti. Hanya baca sana dan baca sini.
Hanya touch and go – usik dan lalu.
Kes keluar masuk duit ke dalam bank terlalu teknikal untuk saya. Berbanding dengan sensasi kes liwat Anwar Ibrahim dengan Azizan. Malah kes Liwat Anwar menjadi kes erotik bila temu bual polis dengan Sukma muncul di YouTube.
Dari YouTube umum diberitahu kewujudan pelincir KY Jelly. Dari mahkamah kelihatan tilam lusuh diheret saban kali ke mahkamah sebagai bahan bukti. Kes SRC Internasional Najib ini tidak sensasi. Kah kah kah. Amin.
Tidak tahu apa sejarahnya tertiba saya terbaca Najib telah dinobatkan oleh Mat Rempit untuk dikenali sebagai Boss Ku.
Boss Ku didapati bersalah. Najib dikenakan hukuman 12 tahun penjara dan didenda 210 juta ringgit. Bila ini berlaku semuanya berubah.
Semua rakyat Malaysia membuka mata dan telinga dan mencari-cari siapa Tuan Hakim kes SRC Internasional ini.
Rupa-rupanya Hakim Nazlan Budak Koleq. Juga lulusan Oxford. Maknanya sosok bukan kecik anak. Khalas.
Kes Najib ini di bawa ke mahkamah rayuan. Kemudian semuanya senyap kembali. Di Mahkamah Rayuan tiga Yang Arif bersetuju dengan keputusan Hakim Nazlan.
Najib mengarahkan peguamnya Shafee Abdullah merayu lagi. Kali ini ke Mahkamah Persekutuan. Ini mahkamah paling akhir - paling tertinggi - dalam negara kita ini.
Tertiba ketika dalam proses menunggu kes bersidang di Putrajaya sekali lagi anak semua bangsa berkenalan dengan satu ayat Inggeris.
Kalau dengan Augustine Paul satu perkataan - irrelevant. Dalam kes Najib dua patah perkataan : conflict of interest. Sekali lagi warga Malaysia anak semua bangsa dapat belajar bahasa Inggeris. Hebat, kali ini dua patah perkataan.
Mengikut peguam Najib Tuan Hakim Nazlan ada conflict of interest ketika menghakimi Najib.
Cari punya cari saya temui dan fahami conflict of interest dalam Bahasa Melayu memberi makna percanggahan kepentingan atau konflik kepentingan atau kepentingan yang bertelagah.
Maka conflict of interest seperti irrelevant menjadi perbualan. Sayangnya tidak berapa jelas. Apa yang bertelagah dan dengan siapa Tuan Hakim berkonflik tidak difahami umum.
Kalakian agak susah juga untuk Kak Bedah dan Lebai Deraman hendak faham akan apa itu conflict of interest ini. Tidak semudah memahami irrelevant yang terhambur dari mulut Augustine Paul.
Dari labun yang saya dengar ketika jadi peguam Nazlan ini pernah bekerja di May Bank. Bank ini ada berurusan dengan SRC Internasional. Syarikat di mana Najib dituduh mencuri 42 juta ringgit.
Untuk Kak Bedah dan Lebai Deraman lebih faham biar saya buat contoh yang lebih mudah difahami.
Contohnya : Kurtam Singh anak lelaki Gurbak Singh bekerja jadi jaga di May Bank. Satu hari Mat Senggugut datang mencuri duit di Bank Ini.
Kurtam Singh dari seorang jaga dia belajar masuk universiti dan berjaya jadi hakim. Mankala Mat Senggugut belajar masuk universiti dan berjaya jadi Yang Berhormat.. Tapi Mat Senggugut masih suka menipu dan mencuri.
Mat Senggugut ditangkap kes curi duit May Bank .Nasib punya nasib bila bicara yang menjadi hakim ialah Kurtam Singh bekas jaga May Bank.
Mat Senggugut di lapor mendapat ‘surat rahsia’ – tanpa alamat tanpa tanda tangan. Surat rahsia ini dimasukan celah pintu pejabat Mat Senggugut.
Pelik lagi benar surat rahsia ini memberi tahu bahawa ketika Mat Senggugut mencuri dulu yang menjadi jaga bank ialah Kurtam Singh.
Maka Mat Senggugut terus berhujah : Kurtam Singh ada conflict of interest. Satu hal Kurtam jadi hakim dan satu hal lagi Kurtam pernah jadi jaga di May bank yang duit kena curi.
Mat Senggugut timbulkan persoalan : ketika jadi jaga kenapa Kurtam Singh tidak kawal bank betul-betul. Kenapa tak kunci tebal-tebal. Kerana jaga cuai maka Mat Senggugut boleh mencuri. Kah kah kah.
Awas ! Waspada. Fakta Kurtam Singh jadi jaga di May Bank ini ingin dijadikan bukti baharu oleh tim peguam Mat Senggugut.
Shafee Abdullah peguam Najib ingin membawa bukti baru : Hakim Nazlan pernah bekerja di May Bank. Bank ini berurusan dengan SRC Internasional. Jeng jeng jeng – hujah yang meyakinkan.
Projek awal bukti baru ini ialah membawa mari seorang peguam Mat Salleh. Peguam Baginda Queen ini akan dibawa ke Putrajaya untuk berhujah dan membuktikan bagaimana Kurtam Singh ...opps... maaf bagaimana Hakim Nazlan ada pertelingkahan kepentingan – jadi jaga dan jadi hakim.
Mahkamah menolak kedatangan Peguam Baginda Queen. Amin.
Nasib baik permohonan guna peguam Baginda Queen ditolak mahkamah. Jika tidak kelam kabut kita semua. Kita semua terpaksa membawa kamus Inggeris-Melayu untuk mengikuti perbicaraan ini.
Peguam Baginda Queen ini pasti soh seh soh sehnya lebih pekat dari Augustine Paul.
Drama Kurtam Singh ini opps... maaf silap drama rayuan Najib ini tidak habis dengan penolakan Peguam Baginda Queen.
Kali ini Najib melantik Zaid Ibrahim dan Hisyam Teh untuk menggantikan Shafee Abdullah.
Satu Malaysia terperanjat berok. Kah kah kah.
Hak melantik, menolak, membayar, menyuruh Peguam buat itu dan ini terpulang pada OKT – Orang Kena Tuduh. OKT yang melanggan peguam disini adalah Najib.
Kak Bedah dan Lebai Deraman tak perlu terperanjat. Semua ini adalah hak asasi Najib. OKT ada hak dalam perbicaraan untuk memastikan semua berjalan dengan adil.
Najib bayar peguam Najib boleh tendang keluar peguam. Amin.
Berita ganti peguam ini betul-betul terjadi hanya beberapa hari sebelum Mahkamah Persekutuan bersidang. Kak Bedah dan Lebai Deraman dan juga saya Hishamuddin Rais tidak faham apa tujuan penukaran peguam ini.
Sebelum ini kes Kurtam Singh ...opps.. kes Hakim Nazlan conflict of interest sebagai bahan bukti baharu telah juga ditolak. Mahkamah mentakrifkan berita ini berita kentut ...opps... silap sebagai khabar angin.
Justeru Kak Bedah dan Lebai Deraman terus n tertanya-tanya apa tujuan peguam Shafee Abdullah di berhentikan. Perkara ini hanya Guru Nanak sahaja yang mengetahui.
Hampir terlupa .. Si Kurtam Singh ini juga ada satu juta dalam bank... opps... Hakim Nazlan dikatakan ada memiliki duit satu juta dalam bank. Awalnya Najib saman Nazlan kerana hal duit ini. Tapi sebelum bicara mula Najib tarik balik kes saman ini.
Kalau jaga Kurtam Singh ada duit 20,000 ringgit semasa bekerja di May Bank adakah ini salah. Yang ini Guru Nanak pun akan hairan. Semua yang berlaku – hal duit dalam bank ini menghairankan.
Kak Bedah , Lebai Deraman dan Hishamuddin Rais hanya melopong tertanya-tanya. Tidak faham apa yang sedang berlaku. Amin.
Pada Senin lepas Mahkamah bersidang. Peguam baru Najib minta tangguh bicara. Kerana tim peguam Najib belum sempat buka fail lagi. Mengikut peguam baru Najib ada bergantang-gantang kertas yang wajib dibaca. Ada berjilid jilid kitab yang wajib dirujuk. Masa diperlukan.
Lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan geleng kepala. Tak boleh tangguh. Peguam Najib kata mereka ada bukti baru. Lima Yang Arif tak mahu dengar kesah Mat Salleh Baginda Queen yang sudah selesai.
Akhirnya pada petang Senin itu Najib buat sidang akhbar. Najib sedih. Najib kecewa. Tapi saya perhatikan Najib buat silap di sidang akhbar itu. Najib bercakap dalam bahasa Inggeris maka Kak Bedah dan Lebai Deraman tak faham. Amin.
Esoknya Selasa lagi memeranjatkan. Peguam baru Najib masih minta tangguh. Yang Arif masih beri jawapan yang sama.
Kemudian tup tup bila mahkamah bersidang Najib tendang keluar peguam baru yang bernama Zaid Ibrahim. Pasal apa? What is the because ?
Hisyam Teh juga tidak mahu berhujah lisan. Tak mahu merayu buka mulut. Najib Razak jadi Najib nazak tinggal seorang diri dalam mahkamah tanpa peguam bela. Peguam bela ada tapi tak nak bercakap untuk membela.
Kerana tak nak bersuara maka Yang Arif Tengku Maimon meminta pendakwa buka panggung. Ini peluang besar. Kes Najib mencuri duit sekali lagi dibuka untuk didengar. Najib kini nazak keserongan tidak bersuara. Peguam juga senyap.
Esoknya Hisyam Teh nak tarik diri dari jadi peguam Najib. Zahid sudah blah sekarang Hisyam pula nak cabut. Tuan hakim tidak benarkan. Jeng jeng jeng.
Nampak jelas Najib terperangkap.
Seyogia diketahui umum bahawa hak menerima atau menolak peguam itu adalah hak Yang Arif Tuan Hakim. Justeru kerana itu bila Hisyam Teh mahu berhenti dari menjadi peguam Najib Yang Arif Tengku Maimon menolak.
Perkara penangguhan ini agak kurang jelas. Diharapkan Kak Bedah dan Lebai Deraman faham. Dan tidak melihat lima Yang Arif tidak memberi peluang kepada Najib. Jangan anggap para hakim ini menzalimi Najib. Tidak
Seyogia juga diketahui umum bahawa peguam sebelum mengambil tugas wajib telah bersedia. Tidak boleh jadi peguam Najib dengan menyimpan harapan dan akan dapat 3 atau 4 bulan masa penangguhan.
Malah Hisyam Teh mengakui dia melakukan ‘ era of judgement ‘ tersilap kira dalam jangkaan menerima tugas untuk Najib dengan andaian akan dapat penangguhan.
Harapan meleset. Penangguhan tidak dibenarkan. Tarik diri tidak dibenarkan. Peguam Baginda Queen tidak di benarkan. Conflict of interest dari Kurtam Singh... opps... Hakim Nazlan tidak diterima. Maka apa yang tinggal. Yang tinggal Najib nazak tinggal keseorangan.
Di harapkan Kak Bedah dan Lebai Deraman akan faham apa yang telah berlaku.
Selasa 23 Ogos 2022 - jika Hisyam Teh peguam baru Najib masih enggan menulis dia boleh berhujah dengan berucap. Jika menulis tidak mahu dan bercakap tidak mahu maka lima orang Yang Arif akan membuat keputusan.
Sebelum keputusan di buat Kurtam Singh boleh pulang ke Pudu. Kak Bedah boleh ambil MRT pulang ke Kajang, Dan Haji Deraman boleh melawat cucu di Sungai Buluh.
Lepas keputusan di buat oleh lima Yang Arif kes Najib jadi irrelevant... oops.. silap masih relevant sebagai bahan sejarah dan rujukan. Amin (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL BERITA
THE MALAYSIANINSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/397500
Jika Hakim Hacks terkenal dengan “not relevant”nya, Hakim Maimoon akan diingati dengan “No! No! No! No! No!”
BalasPadam