Mahkamah Persekutuan tolak permohonan peguam Najib tarik diri
MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd yang sepatutnya bermula hari ini.
Mahkamah pada Selasa menolak permohonan peguam Najib untuk menangguhkan rayuan itu sehingga tiga empat bulan atas alasan mereka baharu dilantik, dan menetapkan rayuan didengar hari ini.
Apabila mahkamah bersidang pagi ini, Hisyam sekali lagi merayu kepada panel lima hakim untuk membenarkan penangguhan. Katanya, jika mahkamah enggan, beliau tiada pilihan selain menarik diri daripada mewakili Najib.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim persekutuan berkata pihaknya sudah memberikan alasan menolak permohonan penangguhan.
Mahkamah mahu Hisyam meneruskan tugas mewakili Najib, katanya.
“Kami yakin penuh pada kemampuan anda dan anda patut teruskan,” kata Tengku Maimun.
Ketua hakim juga berkata peguam tidak sepatutnya meninggalkan anak guam mereka selepas menerima lantikan. Hisyam kemudian enggan meneruskan rayuan dan mahkamah berehat sekali lagi. – 18 Ogos, 2022.
Najib dah kena scam. Hahaha
BalasPadam