TRADISI
BUDAK KOLEQ
Pavilion telah menyelamatkan aku. Setiap petang sebelum maghrib aku akan ke Pavilion membaca akhbar di bilik rehat. Selain dari tv dan radio di bilik rehat ini juga ada papan Carrom.
Aku membuat ritual aku sendiri di Pavilion. Amin.
Aku tidak tahu sangat sejarah Pavilion ini. Dari surah yang aku dengar satu ketika dahulu pernah ada Royal Pavilion. Di mana letakannya aku tidak tahu.
Pavilion yang wujud ketika aku masuk MCKK pada tahun 1969 jelas bangunan bentuk baru – very sixties reka bentuknya. Minimalis dan berfungsi bukan seperti Big School dan Prep School dengan seni bina kolonial dengan pengaruh Rom yang gah lagi agam.
Dari sejarah Tanah Melayu Perjanjian Pangkor telah ditanda tangani pada tahun 1874. Perjanjian ini membolehkan satu demi , satu secara licik lagi bersopan kuasa kolonial Inggeris menawan dan menjadikan bumi Tanah Melayu sebagai tanah jajahan.
Pecah perintah adalah taktik licik kolonial Inggeris. Taktik ini berjaya mewujudkan Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selat. Pendatang China dan India di bawa masuk ke Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Wilayah ini dipanggil Negeri Selat.
Untuk memerintah dengan stabil kuasa kolonial Inggeris merasakan perlu didirikan sebuah sekolah berasrama penuh.
Tujuan sekolah sedemikian didirikan untuk mendidik anak-anak dan kaum kerabat Raja , Sultan dan para bangsawan dan orang kenamaan di Tanah Melayu.
Sekolah yang menyediakan kelahiran elit Melayu.
Pelajar dari sekolah ini dilatih dan kemudian dihantar ke England untuk pelajaran lanjutan. Pelajar keluaran sekolah ini diperlukan untuk menjalankan sistem pentadbiran kolonial Inggeris di Tanah Melayu.
Untuk menjaga keselamatan dan kepentingan ekonomi dalam masa jangka panjang kuasa Kolonial Inggeris memerlukan anak tempatan sebagai aparacik, kaki tangan dan mata-mata dan budak suruhan.
Pada 24 Februari 1904 – Resident General Inggeris Tuan R. J. Wilkinson – telah menulis surat kepada Majlis Raja-Raja Melayu Bersekutu dengan cadangan mendirikan sebuah sekolah.
Maka Sultan Idris dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Yang Di Pertuan Besar Mohamad Shah Negeri Sembilan dan Sultan Sulaiman dari Selangor bersepakat bersetuju untuk mendirikan sebuah sekolah bernama Malay College.
Malay College ini dirancang sama seperti Eton College di Berkhire England yang didirikan oleh King Henry VI pada tahun 1440.
Sultan Idris telah mewakafkan tanah untuk bangunan sekolah ini di Bandar Di Raja Kuala Kangsar.
Maka wujudlah Malay College di bandar Di Raja Kuala Kangsar pada 2 Januari 1905.
Justeru hingga ke hari ini pelajar di MCKK dibahagikan kepada empat kumpulan atau Rumah mengikut nama-nama Sultan dan Raja yang membentuk Malay College.
Rumah Idris memakai lambang warna putih, Rumah Muhamad Shah warna kuning, Rumah Sulaiman berwarna merah dan Rumah Ahmad berwarna Hitam.
Inilah juga empat warna lencana yang tersemat dibaju MCKK Boys dengan logo Fiat Sapientia Virtus dalam bahasa Latin. Logo bahasa Latin ini membawa makna dalam bahasa Inggeris : Manliness Through Wisdom.
Aku Melayukan Fiat Sapientia Virtus sebagai Kebijaksanaan Melalui Kejantanan.
William Hargreaves dari Penang Free School telah dilantik untuk menjadi Guru Besar MCKK yang pertama. Kelas pertama di MCKK hanya menerima 50 orang murid.
Untuk mengingati nama Guru Besar pertama MCKK maka Dewan Besar MCKK dipanggil Hargreaves Hall.
Semua ini aku dengar dari cerita mulut yang disurahkan turun temurun dari generasi ke yang lain.
Sedikit demi sedikit aku mula memahami semangat dan roh Malay College walau pun aku ini bukan pelajar dari Prep School.
Aku mula menghayati semangat Malay College Boys.
Dalam masa yang sama aku mula mendengar perkataan Budak Koleq. Ini pastilah bunyi sebutan Orang Kuala terhadap kami. MCKK BOYS ini dilihat agak resmi bunyinya dan bukan mesra alam. Terminologi Orang Kuala lebih cun , bergetah dan mesra Melayu.
Maka aku pun mula menerima diri aku sebagai Budak Koleq.
Sebagai pendatang baru ada wilayah yang aku tidak pernah aku menjejak kaki di MCKK ini. Aku tidak pernah masuk ke Prep School. Aku tidak pernah masuk ke kawasan East Wing. Aku hanya sekali masuk bilik tidur Big School.
Big School bangunan agam ikon Malay College. Bangunan ini ada dua bahagian. Satu diatasnya bilik tidur dan dibawahnya Dewan Makan. Satu bahagian lagi sebagai Senior Common dan Junior Common Room.
Dalam Common Room inilah acara akhir ‘soiree’ jamuan makan malam untuk kami pendatang baru untuk Tingkatan Enam Bawah dan Tingkatan Empat tahun 1969.
Majlis yang diatur oleh Jawatan Kuasa Orientasi.
Nama Big School lahir ini kerana dari sinilah bermula bilik darjah untuk 50 orang murid terawal MCKK.
Pada tahun 1969 di Big School ini terdapat juga Sick Bay di belakang Common Room. Sick Bay ini dijaga oleh seorang Matron. Di bilik ini ada asas perubatan – First Aid. Ianya bukan klinik tapi ada tempat tidur jika pelajar didapati sakit sebelum sempat dihantar ke hospital Kuala Kangsar.
Dewan Makan MCKK dalam bangunan Big School. Dalam Dewan Makan ada pentas. Atas pentas ini ada meja panjang berbentuk u. Ini dipanggil High Table. Meja kayu jati ini adalah meja makan.
Di bawah pentas High Table ini tersusun meja makan yang panjang. Dari kelas paling junior ke kelas paling senior. Meja makan murid yang paling senior adalah yang paling hampir dengar High Table.
Tradisi makan tengah hari dan malam di MCKK di mulai dengan bacaan doa. Doa pendek dalam Bahasa Melayu ini dibacakan oleh Duty Prefect. Makan tengah hari pada hari Sabtu dan Ahad tidak ada doa ini kerana mungkin ramai makan di luar- di pekan Kuala Kangsar.
Aku mulanya tidak tahu apa itu High Table. Aku hanya mengikut arus. Setiap pelajar diwajibkan datang makan di High Table mengikut giliran.
Ini diatur oleh Jawatan Kuasa Makanan.
Pelajar yang namanya naik untuk makan di High Table wajib memakai pakaian lengkap baju Melayu songkok dan kain sampin dan bersepatu hitam. Makan malam di High Table ini bersama Duty Prefect dan Duty Master pada hari itu.
Murid yang paling senior akan duduk di sebelah Prefect dan di sebelah Duty Master.
Di High Table ini aku diajar – melalui pemerhatian - cara menggunakan sudu dan garpu. Cara makan yang tertib dan budi bahasa di waktu makan. Cara berbual ketika makan. Cara sopan mengambil sudu nasi ke pinggan.
Seorang pelayan – House Boy – akan bertugas membawa dan menghidang makan – dari sup hingga ke kuih manis pembasuh mulut. Menu di High Table agak berbeza sedikit dari menu di Dewan Makan.
High Table ini latihan awal untuk mendidik para lulusan MCKK agar tahu adat sopan waktu makan. Persediaan satu hari nanti apabila Budak Koleq menjadi pegawai MCS (Malayan Civil Service ).
Dalam Dewan Makan ini aku nampak melekap di dinding gambar-gambar empat Sultan pembina MCKK dan juga gambar-gambar Guru-Guru Besar : kesemuanya Mat Salleh.
Tahun 1969 kerusi panjang di meja makan dari kayu. Kerusi panjang juga dari kayu tebal dan dikakinya ada diukir logo MCKK. Ertinya meja dan kerusi panjang ini ditempah khas.
Di Sebelah Big School dan di hadapan East Wing terdiri sepohon pokok besar yang dikenali sebagai Big Tree. Pokok hutan tropika nama sainsnya Samanea Saman ini mungkin umurnya sama dengan umur MCKK sekarang.
Big Tree ini masih berdiri tegak. Pokok ini menjadi rujukan romantik untuk ramai Budak Koleq.
Di bucu East Wing ada Gelanggang Squash. Gelanggang ini agak tersorok. Dari surah yang aku dengar – dari legendanya – di gelanggang ini tempat ‘ bergaduh ‘ tempat ‘ budak kerek keras kepala’ akan di belasah.
Juga tempat dijadikan gelanggang bertumbuk sebagai jalan penyelesaian. Aku sendiri tidak pernah melihat ianya berlaku. Aku hanya penjadi Tok Perawi yang membawa hikayat.
Di belakang East Wing ini ada Gelanggang Five. Macam mana permainan ini walah hu alam bisawab. Tidak lah aku tahu dan aku tidak pernah melihat permainan ini dimainkan.
Apa yang pasti dalam dunia ini hanya ada dua Gelanggang Five. Satu di MCKK dan satu lagi di Eton. Justeru MCKK dikenali sebagai Eton of the East. Manakala kami Budak Koleq memanggil Eton College sebagai Malay College of the West.
Di kawasan hijau di belakang Big School adalah beberapa buah banglo papan rekaan kolonial sebagai rumah guru. Juga terselit sebuah kantin kecil yang dibuka sekali sekala untuk membeli air botol dan kuih Melayu.
Dapur tempat masak memasak terletak sama dalam bangunan Big School. Di bahagian belakang di antara dapur dan West Wing ialah bilik Prefect.
Di tepi bilik Prefect tersandar beberapa buah basikal. Basikal adalah hak istimewa Prefect MCKK. Mereka boleh berbasikal dalam kawasan sekolah.
Betul-betul di belakang Dorm Twenty West Wing ada kolam renang, Ini betul-betul di luar tingkap katil aku. Sayang pada tahun 1969 – kolam renang MCKK telah kering tidak boleh digunakan.
Di hadapan Big School terbentang luas padang utama. Disini permainan ragbi, kriket, bola dan sukan tahunan di adakan. Di sebelah padang utama ini ada sebuah lagi padang yang agak kecik untuk latihan kriket , bola atau ragbi.
Antara padang utama dengan padang kecik ada sebaris pokok tersusun lurus yang menjadi garis pemisah.
Sebuah lagi padang di sebelah bilik-bilik darjah tidak jauh dari Prep School. Ini padang permainan untuk pelajar yang berminat bersenam kerana ianya terletak di sebelah bangun gimnasium.
Kawasan kediaman pelajar ada pagar. Ada satu pintu masuk dan satu keluar. Di bahagian hadapan padang ada pohon buluh sebagai pagar pemisah antara kawasan kediaman dengan jalan raya yang dilalui oleh orang ramai
Jalan ini juga memecahkan MCKK menjadi dua bahagian. Bahagian bilik tidur dan Dewan Makan dengan bangunan bilik darjah, pejabat dan bilik Guru Besar. Bilik Perpustakaan di atas pejabat pentadbiran.
Pagi Sabtu ada Inspection dimana Duty Master bersama Duty Prefect melihat dan memeriksa setiap pelajar. Seperti soldadu mereka masuk dari dorm ke dorm .
Kami beratur di tepi katil. Di atas katil kami mempamerkan ubat gigi, berus gigi, i towel mandi dan kasut sukan yang bersih di bawah katil. Rambut wajib pendek. Kalau tidak terima arahan untuk dipotong.
Sesudah Inspection – jam 10 pagi kami bebas untuk masuk ke pekan Kuala Kangsar. Hari Ahad kami juga dibenarkan keluar ke pekan Kuala Kangsar. Wajib masuk ke kawasan sebelum jam 6 petang. Para Prefect yang berbasikal memerhatikan peraturan ini di patuhi.
Di MCKK - hukuman yang amat dibenci ialah DC – Detention Class. Kena DC bermakna di kurung untuk seminggu atau lebih dan tidak dapat keluar ke pekan. DC ini juga kadang kala diwajibkan melakukan beberapa kerja seperi meratakan laman gelanggang tennis.
Sabtu malam ada tayangan filem untuk semua pelajar di Hargreaves Hall. Ahad boleh menuntun wayang lagi di Kuala Kangsar. Ada panggung Cathay dan Capitol. Pilih ikut selera. Dua-dua panggung ini pasti akan memainkan filem Inggeris di hujung minggu.
Pagi Senin semua murid masuk ke Hargreaves Hall. Semua guru duduk di atas pentas. Guru Besar memberi ucapan tentang apa yang telah berlaku minggu lalu dan apa yang akan berlaku minggu ini. Kami semua bertali leher. Para Prefect bertali leher dan memakai jaket maroon.
Perhimpunan akan diakhiri pengumuman dormitory terbaik minggu lalu. Wakil dormitory akan naik ke pentas untuk mengambil hadiah. Lencana MCKK yang di buat dari kayu. Lencana ini akan digantung ke dinding dormitory yang dipilih.
Hakikatnya perjalanan hidup aku semakin stabil. Aku semakin selesa menjadi Budak Koleq.
Satu petang seperti biasa sebelum maghrib aku ke Pavilion. Bila aku ambil Utusan Malaysia aku dapati penuh dengan berita kempen politik disana sini.
Gambar Kapal Layar Parti Perikatan menjadi hiasan berita. Dari Utusan Melayu aku dapat tahu bahawa hari Sabtu 10 Mei 1969 – hari mengundi.
Bila mengundi dan berkempen aku teringat Pak Angah Aminuddin di Jelebu yang akan bertanding sekali lagi. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/08/10/tradisi-budak-koleq
Great article bro
BalasPadam