JELEBU PASCA
13 MEI
Aku sampai kembali ke kampung. Di Kampung Chenor semua seperti aku tinggalkan tiga bulan dahulu. Pak Angah Aminuddin Manaf telah menang dalam PRU 3 untuk kali ke dua. Pak Ngah menjadi wakil rakyat untuk kawasan Simpang Pertang.
Tahun 1969 rumah aku di Kampung Chenor masih menggunakan pelita minyak gas dan air perigi.
Perigi batu depan rumah kini telah ada dinding papan. Perigi batu ini khusus untuk air minum. Walau pun dalam kawasan rumah keluarga kami tapi masih boleh di kongsi jiran sekampung.
Ini amalan budaya Melayu tradisional yang tidak wujud konsep swasta. Konsep milik peribadi ini amat baru. Di kampung semua di kongsi. Semua tolong menolong. Ke bukit sama di daki ke lurah sama di turuni.
Budaya ini masih kuat dalam kampung Melayu tradisional. Aku tak tahu bagaimana dengan budaya baru di Kampung FELDA atau di Kampung Tanah Rancangan yang dianggap moden.
Untuk perigi mandi kami perlu berjalan ke kawasan kampung di belakang rumah. Ada sebuah perigi mandi yang lumayan. Airnya sentiasa melimpah ruah. Letaknya di tepi paya pohon sagu di sebelah kolam ikan milik Mak Long Noriah dan Pak Long Mansor.
Satu hari aku telah terjumpa satu tin cat putih lebihan dari cat tingkap rumah. Tanpa di pengaruhi oleh sesiapa aku telah melakar logo – peace - dua huruf B terbalik di dinding papan perigi aku. Ini simbol ban the bomb – simbol anti perang. Logo ini aku lihat banyak diguna pakai oleh Hippie. Di sebelah logo anti perang ini aku tulis : Anti-Tunku.
Dua minggu kemudian tanpa aku sedar cakaran di dinding perigi ini telah dilihat oleh YB Aminuddin Manaf ketika dia lalu dengan keretanya.
Berita cakaran didinding ini telah menjadi perbualan waktu makan keluarga kami. Aku di fahamkan YB Aminuddin Manaf telah menegor adiknya Rais Manaf yang telah gagal memberi tunjuk ajar kepada Hishamuddin Rais.
YB Aminuddin Manaf agak marah kerana dirinya adalah Ketua Bahagian United Malays Natioanl Organisation Jelebu. Mankala Presidennya parti ini ialah Tunku.
Dan aku melakar di dinding perigi : Anti-Tunku.
Abah aku tidak pula meminta aku memadamkan cakaran itu. Apakah dia bersetuju dengan apa yang aku lakukan tidak pula aku tahu.
Cakaran ini dari tidak ada orang tahu kini menjadi buah mulut dan satu tarikan untuk orang kampung. Aku merasa bangga.
Ketika bercuti ini aku cari kembali kawan -kawan lama. Aku sempat berjumpa kawan bekas warga asrama SMUJ - Mat Sham dari Petasih dan Omar Razak dari Peradung. Kami berjumpa di Kuala Klawang. Mereka berdua masih merancang untuk menyambung belajar. Bila berjumpa kami berlabun tentang Mei 13 dan apa yang telah berlaku di Kuala Lumpur.
Kami ini macam Orang Buta menggambarkan gajah.
Mengikut mereka di Jelebu tidak ada apa apa kejadian berlaku. China Melayu India macam biasa. Warga India di Kaman Keling Kuala Klawang masih bekerja untuk PWD ( Public Works Department ). China dalam pekan Kuala Klawang dan Titi telah memilih wakil rakyat Mister Lim Kim Kee dari MCA ( Malaysian Chinese Association)
Di Jelebu Melayu tidak bergaduh dengan China. Getah keping dan getah buku masih di jual kepada Tok Peraih China di Kuala Klawang. Pasar sayur dan ikan masih di jalankan oleh penjual China.
Barang runcit masih dibeli dari kedai China. Malah keluarga aku sendiri masih berlanggan dan membeli bahan makanan sistem tulis di buku 555 dari kedai China Seng di Kuala Klawang
Mat Sham dan Omar yang tidak keluar dari kampung hanya mendengar khabar angin. Apa yang mereka dengar tidak jauh bezanya dari apa yang aku tahu.
Tapi peristiwa 13 Mei ini membuka banyak cerita dan kesah lama. Kami usik kembali kesah Tiga Bintang. Muncul kembali cerita selendang merah dan parang terbang.
Seperti di MCKK anak-anak muda di Jelebu juga ada kesedaran untuk kembali belajar bersilat. Dari Mat Sham aku dengar cerita gelanggang silat mula di buka di Petasih dan di Geylang.
Kesah Kiyai Salleh dan Selendang Merah aku dengar lagi. Aku tidak tahu siapa Kiyai Salleh ini. Mungkin dari Muar mungkin dari Batu Pahat. Aku tidak tahu buah butir sejarahnya.
Apa yang aku dengar ialah keperwiraan Kiyai Salleh melawan Bintang Tiga. Kiyai ini dikatakan telah menggunakan ilmu kebatinan Melayu yang menjadikan dirinya kebal.
Kesah ini sama seperti yang telah aku dengar di Dorm Twenty. Kesah kekebalan Kiyai dan Tok Guru silat. Malah ada Tok Guru Silat yang berupaya mandi minyak panas yang menggelegak.
Tapi cerita dari Lee Keong agak berbeza. Dia bercerita bagaimana dalam pekan Kuala Klawang ramai anak muda Cina yang dulunya bekerja di Kuala Lumpur kini pulang kembali ke Kuala Klawang,
Mereka pulang secara tergesa-gesa.
Malah satu dua kaki busuk – samseng kampung - sempat melarikan diri dari Kuala Lumpur dan pulang mengenap di Jelebu.
Rondaan polis dan askar dengan peraturan Darurat menjadikan ramai samseng China di Kuala Lumpur jadi takut. Mengikut Lee Keong Kuala Lumpur menjadi wilayah bahaya untuk mereka.
Bila aku berlegar dekat pasar basah Kuala Klawang aku ternampak dua tiga orang yang kami kenali di Kuala Klawang sebagai kaki busuk sedang menjadi penjual sayur dan ikan.
Tahun 1969 Abah aku ketika ini bekerja di Seremban dan sekali sekala di Kuala Lumpur sebagai Pegawai Keselamatan. Abah aku juga membawa pulang kesah -kesah 13 Mei yang tidak sahih.
‘ Mayat terapung dalam Sungai Klang...’ Surah tidak sahih dan khabar angin dari Abah aku.
Abah aku juga berkisah tentang jumlah korban.
Cerita mulut khabar angin yang digaul dengan aji-no-moto menjadikan angka korban 13 Mei amat jauh bertingkah dari apa yang aku baca dari Utusan.
Abah aku juga bercerita tentang Sungai Buluh. Dari apa yang aku difahamkan Sungai Buluh di jadikan wilayah di mana mayat mangsa tragedi 13 Mei di kebumikan.
Kali pertama aku dengar mayat di tanam di Sungai Buluh aku terperanjat. Kenapa mayat dibawa ke Jelebu untuk di kebumikan.
Aku bertanya kerana di Jelebu juga ada kampung bernama Sungai Buluh. Terletak dalam daerah Durian Tipus bersempadan dengan Karak di Pahang. Aku tak sangka ada tempat lain yang namanya juga Sungai Buluh.
Bila diterangkan baru aku faham. Di Selangor juga ada Sungai Buluh. Dari apa yang aku dengar mayat di tanam di kawasan Hospital Penyakit Kusta Sungai Buluh. Kenapa ditanam di kawasan kusta hanya Guru Nanak yang tahu.
Emak aku Cik Gu Zaleha Sidek selalu ada mesyuarat. Kadang kala di sebelah petang lepas sekolah ada mesyuarat.
Dulu Emak aku sibuk dengan mesyuarat WI (Womem Institute). Ada belajar buat kuih cake Orang Outih atau membungkus kuih dan hadiah untuk pesakit di Hospital Petaling. Emak aku sentiasa aktif membuat kerja amal.
Kali ini agak berlainan.
‘ Meeting kek mano Mak.....’ Aku bertanya.
‘ Pejabat DO... OCPD pun ada sama... ‘ Emak aku menjawab.
Awalnya aku tidak faham apa tugas Cik Gu Zaleha bermesyuarat dengan Tuan DO dan Tuan OCPD.
Akhirnya baru aku di fahamkan emak aku ini telah dilantik sebagai salah seorang anggota jawatan kuasa MAGERAN untuk Daerah Jelebu.
MAGERAN Jelebu ini adalah jaringan dari MAGERAN di Kuala Lumpur yang di kepalai oleh Tun Razak.
Satu petang Mak Long Noriah aku datang ke rumah aku. Dia bercerita bagaimana dia merasa takut ketika berlaku 13 Mei. Dia teringatkan aku yang tidak berada di kampung.
‘ Mak Long risau.... Isam selamat ke tidak...’ Mak Long bercerita.
‘ Mak Long takut ekao naik kereto api... ekao selamat tak ....Mak Long donga cerito dalam kereto api pun ado kono bunuh...’ Mak Long bertanya sambil menyebar berita yang tidak sahih.
Ketika ini akhbar dan radio selalu memberi ingatan kepada semua orang agar jangan dengar khabar angin. Ini kerana pelbagai khabar angin tersebar tentang 13 Mei.
‘ Semua ok Mak Long.... dalam kereta api pun ada askar....’ Jawapan aku untuk menenteramkan hati Mak Long yang gusar.
Satu hari aku berjumpa dengan Mister Gamma Khan di kawasan sekolah. Aku datang untuk melihat zoo sekolah yang satu ketika dahulu aku juga aktif mengambil bahagian untuk mendirikannya.
Zoo sekolah ini bertujuan untuk mengenalkan arnab, ular, kucing hutan, biawak, tenggiling dan burung-burung kepada pelajar.
Zoo yang terletak di sebelah bilik makmal sains menjadi tarikan kepada pelajar yang berminat dalam ilmu biologi.
‘ Isham... how is MCKK ... ‘ Mister Gamma Khan bertanya.
‘ All good sir...’ Aku menjawab.
‘ You like the town... Kuala Kangsar... my town..’ Mister Gamma Khan menambah cerita.
‘ Let’s do a Durian Party......’ Mister Gamma Khan tertiba memberi usul.
Ketika ini musim durian sedang menjadi di Jelebu. Malah pasca 13 Mei musim durian menjadi-jadi di banyak negeri di Semenanjung.
Aku ada terbaca dalam akhbar tentang Muhibah Durian Parti yang diadakan di beberapa pekan di Semenanjung. Ini pesta makan durian.
Muhibah menjadi tema dengan tujuan mengumpulkan kembali persahabatan dan menyambung kembali sila tul rahim China Melayu dan India yang telah di rosakkan oleh 13 Mei. Justeru di kenali sebagai Muhibah Durian Parti.
Idea Muhibah Durian Parti ini merebak.
‘ Ok... let’s do it....’ Aku menyokong cadangan Mister Gamma Khan.
Esoknya kami berjumpa lagi. Aku ajak Lee Keong datang sama. Mister Gamma akan mengurus dana. Dia minta derma dari Guru SMUJ. Parti ini akan diadakan di kawasan sekolah SMUJ.
Aku ditugaskan menjemput kenalan Melayu. Lee Keong di tugas untuk menjemput warga China dari pekan Kuala Klawang.
Aku ingat lagi petang Sabtu itu ramai tamu datang ke kawasan sekolah SMUJ. Kami makan durian beramai-ramai di tanah lapang tempat perhimpunan resmi sekolah setiap pagi hari Senin.
Pak Itam Hashim aku datang dari Kampung Chenor. Berapa orang tua dari Kampung Sarin dan Kampung Tembun datang sama. Ramai warga China dari pekan Kuala Klawang datang bersama. Mereka kenal baik dengan Mister Gamam Khan. Juga turut sama pada petang itu adalah kawan-kawan budak sekolah SMUJ.
Mister Gamma Khan juga adalah ‘ stringer’ untuk akhbar Straits Times. Dia melaporkan berita Muhibah Durian Parti di Kuala Klawang. Dua hari kemudian keluar berita ini dalam akhbar Straits Times. Aku merasa puas hati dan bangga.
Cuti hampir habis. Ketika mengemas beg untuk pulang ke Kuala Kangsar aku terjumpa kartus ganja aku. Tanpa tembakau dan daun rokok. Aku gulung ganja dengan kertas buku.
Tanpa pengalaman, tanpa alat yang betul aku gagal menikmati ganja pada malam itu. Lebihan ganja itu aku berikan kepada Mat Zain jiran sebelah kampung aku.
Sebelum pulang ke Kuala Kangsar Mister Gamma Khan telah memberi aku seratus keping penanda buku dengan logo zoo SMUJ.
Mister Gamma Khan meminta aku menjual penanda buku ini di MCKK untuk mengumpul dana zoo sekolah lama aku.
Sabtu akhir cuti sekolah aku naik teksi ke Seremban. Dari Seremban aku naik bus Foh Hup ke Kuala Lumpur. Awal petang aku sampai ke stesen bas Pudu.
Aku menapak dan melintas Foch Avanue dan terus ke Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Di stesen kawan-kawan dari Johor Baru dan Gemas sudah sedia menunggu. Ghani, Hatta, Baharuddin, Rashid semua ada di stesen.
Kereta api dari Kuala Lumpur ke Butterworth bergerak jam 8.30 malam dan sampai ke Kuala Kangsar jam 1 pagi.
Malam ini aku merasa paling selamat dalam kereta api kerana beberapa gerabak di penuhi oleh askar Melayu. Mereka dalam perjalanan ke Utara. Mungkin ke sempadan Siam.
Apa yang menarik perhatian aku ialah para askar semunya memakai skarf terlilit di leher berwarna merah.
Lalu aku teringat akan selendang merah Kiyai Salleh. Apakah askar Melayu ini juga anak murid Kiyai Salleh. Pertanyaan yang aku tidak temui jawapan.
Bila wisel berbunyi kami masuk ke dalam koc. Bila kereta api bergerak aku budak Jelebu sekali lagi berubah untuk menjadi Budak Koleq. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/09/14/jelebu-pasca-13-mei
Pasai apa tak mentioned aman shah untuk part smuj?.. classmate kan?
BalasPadamDari peminat bang mat polois pencen (22bulan....)
Sedikit Pencerahan tentang Kubur 13 Mei Sungai Buloh
BalasPadamAku pernah bela kambing di Kg Melayu Sg Buloh. Bila harga pellet naik zaman Pak Lah jadi PM, aku terpaksa bagi ternakan aku makan daun2......daun sawit terutamanya. Habis seluruh kawasan sekitar Sg Buloh aku jelajahi untuk kutip daun sawit selori sarat setiap hari.
Suatu hari aku merayau ke kawasan belakang hospital Sungai Buloh...di situ banyak pohon sawit yang tumbuh meliar di dalam hutan...jika daunnya diambil tiada siapa yang melarang. Bukit Badong nama tempat itu.
Sedang aku terdongak melihat pohon2 pokok sawit yang boleh dipanjat, tetiba aku tersepak sesuatu...lalu aku terlihat batu-batu tak bertanda yang tersusun memanjang berbaris-baris. Aku langsung tak dapat meneka apa ka jadahnya batu-batu itu sehinggalah aku terserempak dengan sebuah perkuburan lama (kubur China sudah pasti) yang pada nisannya tertulis ......
Yap Ah Keong 13.5.1969
Lee Ah Chai 16.5.1969
Chan Kok Tai 14.5.1969
Lim Pek Ngoh 17.5.1969
It took me just a few seconds to realised that they were the victims of May racial clashes and those were Sungai Buloh secret burial sites. Tarikh kematian yang tertanda di nisan mereka adalah di antara 13hb hingga 17hb Mei 1969. Mangsa yang dikenali diletakkan nama manakala mayat yang tidak dikenali ditanam di dalam kubur yang dikorek memanjang dan diletakkan batu nisan tidak bertanda.
Ironically...ada satu kubur di tengah-tengah nama-nama orang-orang China tersebut yang menarik perhatian saya;
Ramli bin Ahmad 14.5.1969
Macam mana Mamat ni boleh sesat tertanam di situ hanya Guru kepada TT , Guru Nanak saja yang tahu. Kalau tak percaya cerita saya dan tak percaya kubur Ramli Ahmad terletak di tengah-tengah perkuburan China, sila ziarah sendiri Bukit Gadong, belakang Spital Sungai Buloh je. Tempat tu dah cerah sekarang. Dulunya memanglah hutan belantara dan kerajaan sengaja memilih kawasan terpencil itu bagi melupakan tragedi berdarah rusuhan kaum yang pernah melanda negara ini.
Jika saya ditanya bagaimana peristiwa 13 Mei boleh terjadi...saya akan berkata kerana Tun Razak dan Dato Harun sengaja membelakangkan arahan Tunku supaya permit tidak diberikan kepada pemuda DAP untuk mengadakan perarakan kemenngan mereka dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Tunku dah pesan, tapi Tun Razak dan Dato harun seolah-olah mahu supaya wujud ketegangan kaum agar mereka dapat menyingkirkan Tunku dari kepimpinan negara....kita boleh berdebat isu ini jika mahu.