KE ARAH
POLITIK
Dalam tahun 1969 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur ada bar di sebelah kiri pintu masuk. Bar ini adalah watak peninggalan kolonial Inggeris. Di sebelah bar ada kedai serbaneka. Ada rokok, gula-gula, kudapan dan jajan.
Kios ini ada juga menjual akhbar dan majalah dari dalam dan luar negara. Novel Melayu dan Inggeris bergantungan untuk menjadi teman dalam kereta api
Mestika, Majalah Filem, Dian adalah diantara majalah Melayu yang tergantung di kios ini. Majalah Inggeris seperti Reader Digest, Times, Newsweek dan Life ada tergantung untuk di beli.
Ada juga majalah Inggeris khusus untuk lelaki sahaja – Playboy dan Penthouse. Gambar perempuan Orang Putih separuh bogel menjadi hiasan muka kulit majalah. Dua majalah ini dibungkus dengan plastik nipis untuk menghalang dari di buka tanpa membeli.
Petang itu ketika menunggu kereta api Kuala Lumpur ke Butterworth bergerak aku merapati kios ini. Ketika aku membelek-belek aku ternampak majalah Companion dan akhbar tabloid Banteng.
Aku beli dua majalah ini. Aku ingin membacanya dalam kereta api. Aku tidak tahu terperinci tentang latar belakang majalah dan akhbar yang aku beli.
Aku membeli Banteng kerana tertulis : akhbar resmi Parti Rakyat Malaya (PRM). Dari Utusan aku tahu PRM ini parti yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Manakala Companion dalam bahasa Inggeris ada tulisan Dr M. K Raja Kumar dan Dr. Tan Chee Koon.
Aku membeli majalah Companion kerana aku pernah mendengar nama Dr Tan Chee Koon. Sosok ini Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia. Siapa M .K Raja Kumar aku tidak tahu.
Aku juga pernah membaca di Utusan tentang seorang pemimpin PRM bernama Kassim Ahmad yang juga menulis sajak. Mengikut laporan Utusan ada sajak Kassim mengatakan tuhan sudah mati.
Untuk aku kematian tuhan ini amat menarik. Justeru ini menjadikan akhbar PRM menarik hati aku untuk membaca.
Dua bahan bacaan ini jelas bacaan politik. Aku bawa pulang ke Dorm Twenty.
Kuliah dan kelas di MCKK bermula kembali. Budak Koleq kini masuk penggal ke tiga. Aktiviti Selasa (Tuesday Activities ) semakin rancak. Ini aktiviti wajib untuk semua pelajar MCKK. Sama wajib seperti datang ke kuliah, datang ke prep atau berjemaah Sembahyang Jumaat.
Aku telah memilih Kelab Debat dan Hal Ehwal Semasa – Debating Club and Current Affairs. Aku rasa inilah kelab yang paling hampir dengan naluri jiwa aku. Kelab ini membuka dan mencabar fikrah aku tidak seperti Pasukan Kadet atau Pengakap.
Fikrah muda aku mula mencari jalan keluar dan merayau-rayau dengan keberahian hendak tahu.
Lambakan bacaan semakin banyak. Far Eastern Economic Review (FEER ) majalah mingguan dari Hong Kong ini menjadi bacaan wajib aku setiap minggu. FEER ini aku baca untuk mengetahui hal ehwal semasa wilayah Asia. Manakala Times dan Newsweek untuk laporan dunia luar.
Tahun 1969 – Perang Vietnam sedang berjalan. Protagonis utama perang ini ialah Presiden Nixon dan Henry Kessinger dari Amerika. Manakala yang melawan Amerika ialah Ho Chih Minh dari Vietnam Utara. Sosok yang disokong oleh Amerika ialah Presiden Nguyen Van Thieu dari Vietnam Selatan.
Juga ada Mao Zedong dari China dan Leonid Breshnev dari Rusia.
Semua nama-nama ini mendominasi berita di akhbar dan majalah. Nama-nama mereka menjadi sebutan juru hebah warta berita di radio. Aku tidak dapat melarikan diri dari terserempak, terbaca dan terlihat gambar sosok-sosok ini.
Aku hanya membaca apa yang berlaku secara apa yang tersurat. Pemahaman pembacaan aku tidak mendalam. Aku tidak ada penganalisisan apa yang tersirat. Aku tidak memiliki apa apa pegangan tentang apa yang sedang berlaku di luar negara.
Ini agak berbeza dari pemahaman aku dengan apa yang berlaku dalam negara. Terutama selepas tragedi 13 Mei.
Untuk aku 13 Mei ini telah membuka fikrah aku untuk memahami masyarakat di sekeliling aku. Tanpa aku sedari aku adalah generasi yang menyaksikan 13 Mei.
Buktinya aku melihat sendiri bangunan yang terbakar di Kuala Lumpur kerana Melayu dan China bergaduh.
Sesudah 13 Mei dari Utusan aku terbaca tentang dua orang wakil rakyat PRM telah di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. YB Zulkilfi dan YB Siva Kumar dua ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kini di tahan dalam penjara.
Mereka dikatakan menentang Tunku. Lebih dari itu aku tidak tahu.
Aku juga terbaca tentang sosok yang bernama Hamid Tuah. Sosok yang memimpin orang kampung membuka tanah di Banting Selangor. Hamid Tuah ditangkap polis.
Bila aku baca tentang Hamid Tuah kepala aku bertanya apa salahnya orang kampung yang tidak bertanah membuka tanah untuk bercucuk tanam. Aku hairan kenapa Hamid Tuah di tangkap. Ini soalan naif dari aku.
Semua babak-babak ini – semua yang aku baca mempengaruhi aku untuk terus mengasah daya fikir.
Di satu petang Selasa Syed Kadir pelajar tingkatan lima telah memeranjatkan aku. Petang itu dalam Kelab Debat Syed Kadir telah mengusul satu tajuk untuk di bincangkan.
Tajuk dari Syed Kadir : Could God create a rock so heavy He could not lift it. Melayunya : Bolehkah Tuhan yang maha kuasa membuat batu yang berat hingga Tuhan tidak berupaya mengangkatnya.
Syed Kadir melontar ayat ini kepada ahli Kelab. Aku yang baru menjadi Budak Koleq membuka mata Aku mula sedar mengapa MCKK menjadi contoh gedung ilmu. Persoalan mencabar fikrah seperti yang di lontarkan oleh Syed Kadir ini tidak pernah aku dengar dimana-mana.
Kekuasaan Tuhan petang itu dipersoalkan. Untuk aku apa yang penting pada petang itu menggambarkan keterbukaan minda Budak Koleq.
Perbincangan Kelab debat MCKK bukan tentang hal haram atau dosa pahala tetapi tentang konsep dan falsafah. Ini yang menarik aku. Ayat Syed Kadir itu tidak pernah meninggalkan kepala aku.
Petang Selasa itu aku menjadi pendengar. Mendengar para senior dan junior berhujah. Aku tidak memiliki keupayaan untuk mengeluarkan pandangan. Pembacaan aku masih terhad.
Lebih baik senyap dari mengeluarkan kata-kata hanya kerana ingin bersuara. Pada ketika aku tidak memahami bahawa senyap itu juga satu jawapan.
Seperti telah dirancang buku novel untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Higher School Certificate (HSC) tahun 1969/70 ialah Atheis.
Buku ini garapan Achdiat Karta Mihardja penulis dari Indonesia. Buku yang terbit pertama kali pada tahu 1949 ini telah berulang kali aku baca sebagai persediaan untuk peperiksaan HSC.
Aku kenal baik dengan Kartini dan Rosli watak utama dalam novel ini. Persoalan tuhan juga muncul dalam novel ini. Tuhan dalam novel Atheis bukan di olah secara teori atau ideologi tetapi diolah sebagai plot besar
Ini agak berbeza dari apa yang ditimbulkan oleh Syed Kadir pada petang Selasa itu.
Budak Koleq dari tingkatan lima ini menimbulkan masalah ketuhanan yang lebih teoretikal.
Apa yang penting kepada aku pada petang itu ialah persoalan ada Tuhan atau tak ada Tuhan ini boleh di bincang melalui penulisan novel atau boleh didebatkan.
Hari berjalan, minggu berganti dan bulan berubah. Perang Vietnam makin merebak. Kini bom telah dijatuhkan oleh Amerika ke Laos dan Kamboja. Dua negara ini dibom oleh Amerika dalam usaha untuk mengalahkan gerila Vietcong dari Vietnam Utara.
Perang Vietnam kini merebak menjadi Parang Indo China.
Kamaruddin Jaafar rakan sedarjah mencadangkan Kelab Debat mengadakan persidangan Negara Berkecuali – Non- Aligned Movement – secara olok-olok.
Untuk aku ini satu cadangan yang amat menarik.
Lalu kami pecahkan diri kami kepada kumpulan Vietnam Selatan dan Vietnam Utara. Kali ini debat kami pada hari Selasa bukan di bilik biasa kami. Kami telah diberi kebenaran untuk menggunakan bilik Ilmu Alam untuk membuat persidangan ini.
Secara tidak dirancang aku telah menjadi juru cakap NLF ( National Liberation Front) yang berjuang untuk membebaskan Vietnam Selatan.
Kami bermain teater politik seolah-olah kami semua di New York berdebat di Dewan Besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketika waktu makan malam Prefect Bertugas telah mengumumkan persidangan Non-Aligned Movement. Aku merasa bangga kerana mewakili NLF - gerakan pembebasan Vietnam.
Konsep dan perkataan kolonialisma telah aku kenali dan faham. Tanah Melayu adalah koloni Inggeris. Pemerintah Inggeris adalah pemerintahan kolonial.
Perang Vietnam memperkenalkan aku dengan perkataan imperialisma. Dari perdebatan ini aku mula bertemu dengan konsep imperialisma.
Pemahaman ini adalah pemahaman yang longgar. Pemahaman yang belum di pasak dengan hujah dan teori yang tuntas.
Dari Times dan Newsweek aku melihat gambar-gambar anak-anak muda lelaki dan perempuan berambut panjang dan para mahasiswa mengacung tangan menentang Perang Vietnam. Aku juga melihat sepanduk yang mereka bawa bertulis : Down With American Imperialism.
Semua ini membuka mata dan hati aku.
Tahun 1969 selepas 13 Mei aku Hishamuddin Rais semakin mencari arah untuk membuat satu pandangan dunia yang baru. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DLAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/09/22/mencari-arah-politik
TT ..majalah MESRA, JeJAKA tak de ke ..majalah ni nyeritakan prihal romen dan ngentot orang Malaysia masa tu ..gaya bahasa nye direk ..contoh nye "Ramlah ngusap telor Karim" . Tak cam novel skrg " ..tetiba bulan masuk dalam awan .." tak stim langsong ..kahkahkah. Malang nye majalah sex Melayu ini telah diharamkan pada pertengahan 70an ..sejak tu kes rogol makin bertambah ..
BalasPadam