Selasa, 25 Oktober 2022

JAM KIAMAT SEDANG BERGERAK


JAM KIAMAT SEDANG BERGERAK


Tahun 1962 aku dalam Special Malay Class 2 di Sekolah Rendah Undang Jelebu.  Ertinya dalam Darjah 5 di sekolah rendah   bila Krisis  Misile   Cuba berlaku. 

Satu habuk pun aku tidak tahu apa yang  sedang berlaku ketika itu. Aku tidak tahu apa itu misile.  Aku tidak tahu apa itu Cuba. Aku tidak mendengar satu apa pun.

Aku pernah mendengar nama Presiden John  F Kennedy  (1917-1963)  dari Amerika. Nama ini  selalu aku dengar dari warta  berita jam 1.30 Radio Malaya. Begitu juga nama Nikita  Khrushchev (1894-1971)  pemimpin Parti Komunis  dari Soviet Rusia.

 Aku melihat dan mengenal wajah Kennedy dan Khrushchev dari  akhbar Utusan Melayu.

Aku juga  tahu Presiden Kennedy di tembak mati pada  23 November 1963. Ini aku ingat lagi pada pagi itu aku sedang duduk makan roti di waktu rehat jam 10 . Aku duduk  di tuck shop  apabila kawan aku Ghafar Bingkus memberi tahu : Presiden Amerika mati ditembak.   Dia mendengar dari radio pagi.  

Cik Gu Bahasa Inggeris  Mister Manjit Singh membetulkan ayat kami  : dari killed by gun man menjadi  assassinated by gun man.

Pagi itu murid-murid dalam kelas SMC 2 berkenalan dengan perkataan assissinated.

Pada tahun 1985 aku menjadi warga Belgium. Aku tinggal di Wavre dan belajar Bahasa Perancis  di Universiti Katolik Leuven.  Kali ini kesedaran aku telah berubah. 

Aku kini telah mengikuti perkembangan politik dunia. Serba sedikit aku memahami persaingan hebat antara dua negara besar -  Amerika dan Soviet Union. Aku juga mula memahami apa itu Cold War atau Perang  Dingin.

Aku ingat lagi  hari   itu. Dari  kampus aku telah naik kereta api 20 kilometer pergi ke ibu kota Brussels.  Aku turut  bersama ribuan warga Belgium turun menunjuk perasaan menentang  Pershing Cruise Missile.

Senjata peluru berpandu Pershing ini  mahu  di bawa masuk dari Amerika untuk di pasang di Belgium. Ini sebahagian dari sistem pertahanan Amerika melawan Soviet  Rusia.

Aku mula memahami tentang NATO – North Amerika Treaty Organisation – perjanjian persenjataan Amerika dengan negara Eropah termasuk Belgium – negara yang memberi aku suaka politik.

Aku juga mula memahami bahawa  Soviet Rusia juga ada perjanjian senjata yang dipanggil Warsaw Pact.

Amerika dan negara Eropah Barat ada NATO. Rusia dan negara Eropah Timur ada Warsaw Pact.  Dua-dua organisasi ini adalah lembaga perjanjian pertahanan persenjataan. Jika  mana-mana negara anggota diserang maka yang lain wajib datang membantu.

Perlumbaan persenjataan dua blok negara super-power  ini sedang berjalan. Keadaan ini dipanggil Perang Dingin. 

Apabila tembok Berlin runtuh pada November  1989 aku sedang belajar di Polytechnic Central London.  Aku mengikuti berita perubahan politik dunia ini dengan hati terbuka.

Aku juga turut sama bergembira apabila Presiden  Ronald Regan (1911- 2004 ) dan Mikhail Gorbachev (1931-2022)   bertemu dan berjabat tangan. Aku ketika itu bermastautin di  Eropah merasa lebih selamat tanpa ancaman senjata nuklear.

Sesudah Tembok Berlin runtuh warga Eropah tidak lagi merasa bahang dan bahaya dari Perang  Dingin. Kami merasa  perlumbaan persenjataan dan dua blok ini sudah tamat.

Seyogia diberi tahu perlumbaan senjata ini bukan tentang  pistol  degan kereta kebal. Bukan kapal terbang dengan peluru senapang.

Perlumbaan sejata  moden ialah perlumbaan bom nuklear. Bom ini  telah berjuta kali lebih bahaya dari Bom Atom yang meledak di Nagasaki dan Hiroshima pada Ogos 1945. 

Aku berpegang pada pandangan  : Perang adalah kebijaksanaan pencapaian pemikiran manusia  yang paling tinggi untuk melakukan kejahatan yang paling besar.
Hari ini dari tulisan sejarah yang aku baca  baru aku faham apa itu Cuban Missile Crisis.  Dari  16 Oktober 1962 hingga 20 November 1962   dunia paling hampir dengan ledakan bom nuklear.

Ketika aku dalam Darjah 5 aku tidak sedar perang dunia hampir berlaku dengan  menggunakan bom nuklear.

Pada tahun 1947 para saintis dan  pakar nuklear telah membuat apa yang dipanggil : Doomday Clock  - Jam Kiamat.

Jam Kiamat ini bertujuan untuk mengira berapa lama atau berapa jauh lagi dunia dari berlakunya ledakan senjata nuklear.

Detik kiamat yang dipersetujui ialah jam 12 tengah malam. Bila  jam ini sampai ke saat jam 12 tengah malam ini bermakna senjata nuklear telah meledak.

Ketika Krisis Misile Cuba berlaku Jam Kiamat ini hanya ada  7 minit lagi sebelum sampai ke  tengah malam. Ertinya tujuh minit sebelum dunia kiamat dari ledakan bom nuklear. 

Ertinya dunia ada masa  7 minit sebelum Amerika atau Rusia meletupkan senjata nuklear mereka.

Jarak 7 minit sebelum ledakan  bom nuklear  berlaku pada tahun 1962. Ini terjadi apabila Rusia memasang senjata nuklear di Cuba.

Dari 16 Oktober ke 20 November  1962 dunia menjadi  tegang. Bila-bila masa sahaja punat bom nuklear boleh di tekan oleh Presiden Kennedy atau oleh Nikita Khrushchev .

Presiden Kennedy dan Khrushchev menjadi rasional. Mereka sedar tindakan mereka sedang  membawa dunia ke arah kiamat. Justeru mereka berunding. 

Ledakan bom nuklear tidak berlaku. Jam Kiamat terhenti tidak bergerak.

Semua ini sedang  berubah. Bulan Januari 2022 - 
Science and Security Board yang menjaga Jam Kiamat telah mengubah perjalanan jam ini.

Kali  ini kita hanya ada 100 saat sebelum tengah malam.  100 saat bermakna 1 minit lebih  sebelum bom nuklear meledak.

Bila aku terbaca fakta ini aku menjadi risau. Aku menjadi gerun. Kalau tahun 1962 dulu jaraknya 7 minit. Tahun 2022 jaraknya 100 saat.

Perubahan dari 7 minit ke 100 saat ini  berlaku apabila Putin mula melancarkan  Special Operation- Operasi istimewa terhadap Ukraine.

Perang Ukraine  mengarah  dunia ke dalam bahaya perang nuklear. Ini bermakna bom nuklear akan meledak bila-bila masa sahaja.

Senjata nuklear ini bukan di miliki oleh semua negara. Amerika, Rusia, Perancis,  United Kingdom, India, China, Pakistan, Israel dan Korea Utara sahaja yang memiliki senjata ini.

Rusia pemilik bom nuklear terbanyak – 5977 buah. Amerika pemilik 5428 bom nuklear. Bom ini boleh dihantar untuk menyerang   dengan pelbagai cara. Dengan roket, melalui kapal selam atau dengan kapal terbang seperti yang meledak di Jepun dulu.

Rusia dan Amerika dua negara ini masih lagi menjalankan ujian baru untuk  menambah baik perjalanan senjata pemusnah  ini.

Dari segi teori setiap negara ini klim dan mengakui hanya akan menggunakan bom ini sebagai  senjata pertahanan. Jangan  serang jika tidak mahu diserang. Jika diserang akan diserang balas.

Setiap negara berjanji ‘ tidak menjadi orang pertama’  yang  akan menggunakan bom nuklear. Menjadi ‘ orang ke dua ‘  memicit punat bom ini  jika  diserang dengan bom nuklear.

Kenapa kali ini  Jam  Kiamat hanya tinggal 100 saat.

Perang Ukraine telah mengubah  semuanya.  Amerika sedang menggunakan Ukraine sebagai proksi dalam usaha untuk memusnahkan  Rusia.

Betul dan tepat Amerika tidak berperang dengan  Rusia. Tetapi Ukraine sedang di bantu dengan senjata, di beri dana, di beri maklumat risikan, diberi maklumat satelit oleh  Amerika dan sekutunya dalam NATO.

Tanpa Amerika dan NATO  yang menjadi batu api , Ukraine telah lama bersetuju untuk berunding damai.

Malah berita telah bocor bagaimana  sebelum perang pecah pada 2014 – Amerika dan NATO telah melatih soldadu Ukraine. Amerika telah memasang niat untuk melemahkan Rusia. Ini strategi Amerika  berjangka panjang.

Pada tahun 1962  Khrushchev telah memasang senjata nuklear di Cuba yang jauhnya 777 batu dari Amerika. Presiden Kennedy  bertindak balas. Bersedia untuk menyerang Rusia dengan senjata nuklear.

Justeru 7 minit sebelum  tengah malam di Jam Kiamat.

Hari ini Amerika mahu Ukraine menjadi anggota NATO. Ukraine betul-betul depan Rusia. Bila menjadi anggota NATO bermakna senjata nuklear NATO boleh dipasang di Ukraine.

Ini mengancam keselamatan Rusia. Sama seperti Amerika bertindak di Cuba Rusia juga bertindak di Ukraine.

Justeru untuk Rusia keadaan ini adalah keadaan hidup mati.  Keadaan wujudlah d Rusia. Justeru  Presiden Vladimir Putin memberi amaran.

Justeru 100 saat sebelum tengah malam di Jam Kiamat.

Aku perhatikan para politikus dalam dunia ini semuanya angkuh dan ego. Mereka berlabun untuk kesejahteraan ummah tapi ini hanya cakap. Perbuatan dan tindak tanduk politikus dunia hari ini semuanya membawa mudarat.

Di  Eropah, di Amerika dan  malah di Malaysia pun sama. Politikus menjadi pembawa porak peranda.

Amaran Putin memberi ingatan pada Amerika dan NATO – jika wujudlah Rusia diancam maka Putin akan  ‘ menggunakan apa sahaja’.
Menggunakan apa sahaja ini ditafsiri sebagai penggunaan senjata nuklear. Tidak cukup dengan ini Putin mengarahkan pasukan nuklear sentiasa siap seaga.  Tidak cukup dengan langkah ini beberapa bom nuklear mula bergerak berubah tempat.

Dunia dalam bahaya.

Berita terkini  yang aku  baca ialah bagaimana Rusia telah menuduh Ukraine akan menjalan ‘operasi salah bendera’. Dalam operasi ini ‘ bom kotor’ akan meledak, Ukraine akan menuduh ini kerja Rusia.

Bom kotor ini adalah versi  bom nuklear kecil. Berita ini menakutkan aku.

Presiden Zelensky  menuduh bahawa kerja jahat meledakkan  bom kotor  ini hanya boleh di buat oleh Presiden Putin.

Ini lagi menakutkan aku. Detik 100 saat Jam Kiamat akan bergerak.

Dari apa yang aku baca pada saat ini masih belum ada kelihatan cahaya damai. Belum ada langkah  yang membawa dua negara ini ke arah damai.

Ini menakutkan aku. Jam Kiamat masih bergerak.  Apakah  100 saat akan menjadi 90 saat. Bilakah  akan muncul Nikita Khrushchev  dari Rusia. Apakah akan muncul John F Kennedy dari Amerika.  Dunia sedang menunggu. Aku sedang  berharap.  Amin. (TT)

+
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/407853



1 ulasan:

  1. Gambar permainan video itu bukanlah tepat bagi menggambarkan Suasana tegang ini. Boleh letakkan judul filem sum of all fears. Hampir tiga suku betul pemula kacau ini adalah puak kanan ekstrim.

    BalasPadam