DARI JALAN KEBUN
KE KAMUNTING
Kami bukan secara resmi memanggil diri kami Reformis. Tidak. Tidak ada siapa yang melantik kami. Tidak ada organisasi di belakang kami.
Kami bergerak mengikut perasaan dan bacaan politik. Kami anggap dan kami yakin Anwar Ibrahim mangsa konspirasi Mahathir Muhamad.
Sebelum krisis Anwar bergaduh dengan Mahathir aku menulis kolum Analog di Berita Minggu. Bila Reformasi dan demo bermula kolum aku ditutup.
Satu petang Sivarasa Rasiah dan Premesh Chandran datang berjumpa aku di Bangsar. Mereka meminta aku memimpin Malaysiakini untuk beberapa bulan sahaja. Ketika ini Steven Gan masih bekerja degan akhbar The Nation Bangkok.
Aku menolak. Aku tidak mahu terikat dengan organisasi. Tapi aku bersedia menulis. Bila Malaysiakini menemui pembaca pada 20 November 1999 muncul Dor Mai kolum aku dalam portal berita ini.
Di era Reformasi adalah di permulaan zaman Internet. Laman Internet yang menjadi tulang belakang penyampai maklumat dan penyebar propaganda Gerakan Reformasi ialah laman Mahazalim dan Laman Reformasi.
Dua laman ini bergerak di bawah tanah.
Dalam masa awal Reformasi wujud tulisan talian Sang Kancil yang di urus oleh M.G.G Pillai. Wartawan veteran ini memiliki banyak pengalaman dalam politik Malaysia dan penulisan.
Apabila Malaysiakini muncul portal ini juga mengambil garis bersimpati dengan Reformasi. Justeru reformasi kini ada penyokong yang bergerak secara gelap dan ada bergerak secara terang.
Aku menulis banyak tulisan yang menyanggah Mahathir Muhamad dan menyokong Anwar Ibrahim dalam kolum Dot Mai. Ini kerana pada ketika itu aku yakin Anwar Ibrahim tidak meliwat Azizan yang berbadan sado. Juga aku tidak percaya Anwar meliwat Sukma Dermawan yang kiut dan jambu.
Ketika itu yang menyunting tulisan kolum Dot Mai aku ialah Wan Fathi. Sosok ini juga terlibat secara langsung dalam Reformasi.
Jelas Gerakan Reformasi 98 kini memilik media untuk menjalankan propaganda dan memberi pencerahan kepada orang ramai.
Perjumpaan di Pejabat LRC Tian Chua bukan perjumpaan terbuka. Hanya yang dijemput datang. Tian yang menjadi tuan rumah.
Malik Husin, Pak Abu, Lat Koya dan Aku diminta wajib hadir oleh Tian. Geng Reformis seperti Pak Din, Tan, Nora dan Nasir muncul sekali sekala. Tapi semua mereka ini adalah pemain utama dan penting dalam gerakan anti-Mahathir.
Tanpa Pak Din, Nasir dan Nora – Gerakan Reformasi yang diatur oleh Tian tempang.
Bincang punya bincang Tian berkata ‘ ... We must be back on the street...’
Justeru kami merancang Perhimpunan 100 Rakyat di Jalan Kebun. Tarikh di tetapkan pada 5 November 2000. Berhimpun jam 2.00 di tanah lapang milik S.D Johari – penyokong Anwar Ibrahim juga ahli parti PKN ( Parti Keadilan Nasional)
Tian Chua yang ketika itu telah menjadi Naib Presiden PKN memainkan peranan yang penting.
‘ Kita mesti jemput semua pemimpin parti datang ke Jalan Kebun...’ Pandangan Malik Husin.
‘ Tian.... lu kena jemput Wan Azizah, Kit Siang, Syed Husin.... lu orang parti....they must show their face .... Wan Azizah wajib hadir...Anwar suami dia... anak dia Nurul tu jangan jadi penakut... belajar turun ke jalan raya... Puteri Reformasi tapi tak pernah kena tangkap nak jadi Puteri Raja ker.....’ Aku mengeluarkan pandangan.
‘ Orang politik takut turun jalan raya.... takut kena tangkap.... tak dapat bertanding.....’ Malik Husin memberi penerangan yang jelas.
Petang itu Lat Koya ada sama. Kehadiran Lat ini penting kerana dia peguam. Jika ditangkap peguam telah sedia ada.
‘ Tema kita nyah Madey...ini slogan yang wajib kita jual...’ Aku memberi cadangan.
‘ Apa lagi....pengisian apa....’ Pak Abu yang kini menjadi Pengerusi Himpunan 100 Ribu Rakyat berkata.
‘ Macam biasa pemimpin berucap....Wan Azizah.. Kit Siang.. Ezam ....Reformis berucap.... jemput juga Ustaz Fadil dari PAS...’ Malik bersuara.
‘ Aku nak buat kain layar atas pentas gambar nyah Madey....’ Aku beri cadangan.
‘ Apa dia...’ Pak Abu bertanya.
‘ Zunar boleh lukis gambar tangan penumbuk... tolak Madey... gambar wajib besar biar semua melihat... ini bahan seni...’ Aku beri cadangan.
Petang itu semua tugasan diberi. Aku wajib menghubung Zunar untuk lukisan. Nyah Mahathir menjadi tema Himpunan 100 Ribu Rakyat.
Tiga hari kemudian aku terbaca dalam Utusan berita Mahathir. Dia berucap menggunakan perkataan nyah. Mahathir mahu nyah Ezam. Mahathir telah menibai Ezam dengan ucapan – Nyah Ezam.
Aku terperanjat. Aku merasa intel dan polis rahsia Mahathir telah tercium bau tema Himpunan 100 Rakyat. Mahathir telah menggunakan perkataan nyah terlebih dahulu sebelum Nyah Mahathir aku sampai..
Aku tidak risau dengan berita Nyah Ezam ini. Apa yang wajib aku lakukan terus aku lakukan.
Zunar telah menyediakan lukisan penumbuk – Nyah Mahathir. Aku meminta Hasmi Hashim – graduan seni lukisan dari UITM untuk membesar lukisan Zunar. Hasmi telah datang dengan dua pelajar UITM untuk membantu. Mereka membuat lukisan Penumbuk Nyah Mahathir dalam pejabat aku di Bangsar Utama. Semua beres.
Laman Mahazalim dan Laman Reformasi menjadi suara Reformasi. Dua laman ini mengiklankan setiap hari Himpunan 100 Ribu Rakyat. Pak Abu menggunakan Internet untuk meluaskan pengaruh.
Hari Sabtu 4 November 2000 semua siapa seaga. S.D Johari telah menyediakan pentas. Kain layar Nyah Mahathir seluas 25X 25 kaki telah dipasang.
Ahad 5 November 2000 ribuan rakyat telah mengambil Lebuh Raya Kesas menuju ke Jalan Kebun. Aku mengambil jalan ini dari arah ke Kuala Lumpur. Jalan Kebun terletak diantara Kuala Lumpur dan Klang.
Belum sampai jam dua Lebuh Raya Kesas telah macet. Dari apa yang aku diberi tahu pasukan FRU telah mula menembak gas pemedih mata di persimpangan jalan masuk ke Jalan Kebun.
Lebuh Raya Kesas jadi sendat. Ribuan kereta tidak dapat bergerak. Semua kereta ini dalam perjalanan ke Jalan Kebun.
Aku diberi tahu Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang, Dr Hatta dan ramai pemimpin politik telah meninggalkan kereta mereka dan berjalan menuju ke Jalan Kebun.
‘ Isham.... Kak Wan datang.... kaki dia berbalut....’ Malik memberi maklum.
‘ Alaaa mak... kesian... dia naik kerusi roda ke... datang tetap datang....’ Aku menjawab.
Aku sendiri telah menapak hampir tiga batu masih tidak sampai ke persimpangan jalan untuk masuk ke Jalan Kebun.
Aku paling senang hati bila melihat kereta tersadai. Pemandu dan penumpang keluar berjalan, lebuh raya macet dan sendat. Semua ini menunjukkan kejayaan propaganda kami menjemput orang ramai ke program Reformasi berjaya.
Hakikatnya Pak Abu dan Tian telah berjaya menyusun Perhimpunan 100 Ribu Rakyat.
Aku tidak tahu di mana Tian Chua dan Pak Abu. Mungkin mereka telah sampai ke pentas ceramah. Aku bersama Malik Husin masih di atas jalan.
Kami hampir ke persimpangan jalan nak masuk ke Jalan Kebun tertiba gas pemedih mata dilancar ke arah kami. Kami bertempiaran lari.
Gas pemedih mata terus di tembak. Di hadapan kami ialah ladang sawit. Gas ini masuk ke ladang sawit. Suasana menjadi lucu bila aku melihat ayam-ayam liar dalam kebun sawit bertempiaran terbang lari dari tembakan gas pemedih mata.
Tertiba di ruang udara sebuah helikopter terbang rendah. Aku mendongak ke atas. Apakah kami akan di bom dengan gas pemedih mata dari udara. Aku memerhatikan dengan rapi akan tindakan helikopter ini.
Aku tahu ini taktik untuk menakut-nakut para penunjuk perasaan. Ini taktik lama yang kami semua sudah faham. Amin
Berpuluh puluh tembakkan gas pemedih mata dilepaskan di persimpangan ke Jalan Kebun. Kami digagalkan untuk menuju tempat program. Gas pemedih mata berjaya menghalang kami.
Hari lewat petang. Akhirnya aku dan Malik mengundur pulang. Di tengah jalan aku ternampak Johari Abdul memandu van menyamar sebagai penjaja minuman.
‘ Malik.... betul... kau cakap ... politikus ni takut nak turun berdemo... mereka sayang kerusi dari menegak keadilan...’ Aku berkata pada Malik Husin sambil menapak untuk kembali ke kereta yang ditinggalkan tiga batu di belakang.
Senin 6 November 2000 RTM, TV3, Utusan , Berita Harian dan media milik United Malays National Organisation heboh mengutuk kami yang menjadikan lebuh raya sesak dan macet.
Tapi aku tak risau Gerakan Reformasi ada Mahazalim, ada Sang Kancil dan ada Malaysiakini untuk memberi laporan dari sudut kami yang berdemo.
‘ What is next Tian... 100 Ribu Rakyat berjaya... ‘ .Satu petang aku bertanya ada Tian ketika kami berjumpa kembali di pejabat LRC.
‘ We must go to the street again... Jalan Kebun berjaya... we must do it in KL...’ Tian memberi pandangan.
‘ Bulan 12 ada Krismas, tahun baru, bulan dua Chinese New Year .. semua dah selesai... ni bulan tiga .... masuk bulan April kita ada Black 14....’ Aku menghitung kalender.
Petang itu kami buat keputusan untuk berhimpun mengingati hari Anwar di jatuhkan hukum – 14 April.
‘ Nak buat dimana ....’ Nora bertanya.
‘ Dataran Merdeka....’ Aku mencelah.
‘ Kita buat di hadapan Pejabat Suhakam .. tak jauh dari Dataran ...’ Tian beri cadangan.
‘ Woit... cun cun... 10 April hari Sabtu....’ Aku berkata sambil ketawa.
Pada petang itu Pak Din , Nasir, Tan, Nora ada bersama. Nora datang dengan dua kawan perempuan yang juga Reformis. Bersama mereka ialah Pak Din, Malik, Pak Abu, Tian dan aku.
Petang itu kami dengan bersemangat akan mengadakan demo yang lebih besar. Himpunan 100 Ribu Rakyat yang membawa kejayaan telah menaikkan semangat kami.
Pak Abu dan Tian menjadi pemimpin. Aku ditugas untuk melakukan propaganda. Semua bergerak. Dalam masa lebih sebulan kami yakin kami akan berjaay membawa lebih dari 100 ribu rakyat ek hadapan Pejabat Suhakam di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Demo Black 14 diumumkan. Poster dan selebaran mula kami taburkan. Laman Mahazalim memainkan peranan yang penting. Aku telah menggunakan laman ini untuk mempropaganda demo Black 14 pada 14 April 2001.
Semua berjalan lancar.
‘ Semua okay ke ..’ aku tanya Tian dan Malik seminggu sebelum Sabtu 14 April.
‘ Ramai akan turun.... ‘ Tian menjawab.
‘ Lebih besar dari Jalan Kebun...’ Malik mencelah.
Aku merasa hairan kerana polis dan Mahathir senyap tidak membuat apa-apa larangan terhadap Black 14. PDRM tidak heboh melarang orang ramai jangan turun ke perhimpunan haram.
Kami semua menunggu Sabtu 14 Aprl 2001 sampai.
Pada petang Selasa 10 April 2001 hampir jam 5.00 pintu pejabat aku di ketuk dengan kasar. Bila aku buka dua orang pegawai polis yang beruniform dan seorang tidak beruniform meluruh masuk.
‘ Encik Hishamuddin Rais kamu ditahan...’ Polis beruniform berkata,
‘ Kes apa... ‘ aku bertanya.
Aku berselipar berbaju t dan berseluar pendek masuk ke dalam Proton Hijau tua untuk di bawa dari pejabat aku di Jalan Kemuja ke rumah pasung.
EPILOK 1
ISA digunakan untuk menangkap para Reformis dan penyokong Anwar Ibrahim. Gobala, Ezam, Lokman Adam, Raja Petra, Ghani, Pak Din, Pak Abu, Ustaz Badrul, Tian dan aku ditahan.
Malik Husin menghilangkan diri. Sepuluh orang Reformis ditangkap.
EPILOK 2
Dari rumah pasung Sentul aku dibawa ke Bilik Sulit untuk disiasat. Mata kami sentiasa ditutup ketika kami keluar masuk sel.
Aku ada dengar suara Pak Abu. Aku ada dengar suara Tian. Ada satu petang aku terserempak ketika penutup mata aku terbuka aku ternampak Raja Petra.
EPILOK 3
Satelah dua bulan dikurung bersendirian satu malam aku dibawa keluar ke jalan. Sebuah van penjara menunggu.
Aku masuk. Dalamnya Pak Abu, Ezam, Lokman Adam, Ustaz Badrul telah sedia ada. Kemudian Tian Chua sampai.
Kami akan di hantar ke Kem Kamunting untuk tahanan ISA.
EPILOK 4
Untuk aku Tian Chua adalah penjana Reformis. Ketika Anwar dalam penjara sosok yang bernama Tian Chua inilah yang menyusun Gerakan Reformasi. Tianlah yang berjuang menghidupkan politik jalanan untuk membebaskan Anwar.
Ketika Tian di tangkap di bawah ISA adalah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional.
Tian bertanggung jawab merapatkan banyak kumpulan NGO dalam usaha melebar pengaruh Parti Keadilan Nasional.
EPILOK 5
Tian adalah penaja pergabungan PKN dengan Parti Rakyat untuk mewujudkan Parti Keadilan Rakyat. Hari ini Tian di pinggir dari Parti Keadilan Rakyat.
EPILOK 6
Chua Tian Chang tidak menjadi calon Pakatan Harapan di Batu. Tian Chua telah menjadi wakil rakyat Batu selama dua penggal atas kerusi PKR. Kini Tian diketepikan.
Tian Chua menjadi calon bebas. Tian membawa lambang KERUSI RAKYAT.
EPILOK 7
Aku bersetia kawan dengan Tian Chua. Aku datang membantu kempen Tian Chua. Mustahil aku akan melupakan siapa sebenarnya Tian Chua.
Jika aku pengundi Batu aku akan memilih Chua Tian Chang. Khalas. (TT)
TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/11/16/dari-jalan-kebun-ke-kamunting
Bro..kalau lu nak bercerita tentang dulu, lojiknya sampai sekarang pakcik makcik yang hidup tak susah dulu tak patut lupakan umno. Dorang jugak patut suruh anak2 dorang sokong umno. Sebab dengan umnolah dorang hidup aman damai. Makan pakai Masih cukup walaupun gaji kecil. Dunia berubah bro....aku orang muda yang Respek sama lu sama tian Chua, tapi sekarang ialah 2022..aku akan sokong yang boleh bawa perubahan. Bukan yang terus dihimpit kenangan. Kenangan tak majukan negara bro..
BalasPadamSePekara yg aku reSpek TT ni..pandai jaga janggot
BalasPadamjangan lupa, lu juga merakam sejarah langkah sheraton..
BalasPadam