Sabtu, 5 November 2022

MERANCANG KE UNIVERSITI

 

MERANCANG

 KE UNIVERSITI


Aku bukan pelajar yang cekap dalam ilmu kira-kira. Aku selalu merasa hairan jika Cik Gu  Ilmu Hisab berkata ‘ let  the number be X ‘.  Aku pening kepala. Aku tak faham kenapa angka itu jadi X.


Setahu aku X ini adalah ganti nama untuk gadis yang  terlibat dam kes rogol di mahkamah. Nama Miss X ini kerap aku baca dalam Utusan Melayu. 

Gadis sunti ini  diberi nama  Miss X dan tidak diketahui Cina atau Melayu. Bab kes rogol ini  aku faham. Miss X digunakan  untuk melindungi  nama gadis ini dari di ketahui umum.

Let’s the number  be X dalam kelas Ilmu Hisab aku tidak faham.

Justeru  sesudah lulus dari tingkatan tiga melalui peperiksaan L.C.E ( Lower Certificate of Education )  aku masuk  ke tingkatan empat aliran Sastera. 

Ketika menyambung dalam Tingkatan Enam  di MCKK aku tetap dalam aliran Sastera. Aku cuba  lari dari belajar ilmu kira-kira. 

Tetapi bila  aku mengambil mata pelajar Ekonomi aku terserempak  lagi dengan kira-kira.  Aku berjumpa dengan X sekali lagi. Hasilnya di MCKK aku masih  bebal dalam mata pelajaran ekonomi.

MCKK   ketika aku disana adalah  wilayah creme de la creme untuk pelajar Melayu. Pelajar yang menjadi Budak Koleq dipilih dan terpilih. 

Dalam Tingkatan Enam sebelum peperiksaan  HSC ( Higher School Certificate )  berjalan kami sudah ada sasaran.  Sebelum  masuk ke universiti kami telah memasang niat. Semua pelajar Tingkatan Enam di MCKK bercita untuk menyambung belajar  ke luar negara.

Ketika itu ada Commonwealth Scholarship untuk menyambung belajar ke United Kingdom, Australia, New Zealand dan Canada. Menyambung pelajaran  dalam. Semua   ilmu – Sains , Sastera dan Undang-undang.
 
Mereka. yang mendapat Biasiswa Commonwealth ini adalah  pelajar MCCK yang terbaik dan terpilih. Creme de la creme di atas cream de la creme produk MCKK.

Tahun 1970 aku dalam  Tingkatan Enam Atas aku telah mula  membaca Mahasiswa Negara. Ini akhbar dwi mingguan dari Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

 Mohd Arif dari kelas aku ada hubungan dengan Mahasiswa Negara. Maka dua minggu  sekali beberapa naskah Mahasiswa Negara akan dijual oleh Mohd Arif.

Membaca Mahasiswa Negara menaikkan semangat untuk  ke universiti.

Dari  akhbar ini aku mula mengikuti perkembangan kampus UM. Aku tahu wujudnya Kelab Sosialis. Ada PBMUM – Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan PMIUM – Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.


Di MCKK aku juga  akhbar dan majalah  kami sendiri. Majalah MCKK – school magzine - diterbitkan setahun sekali. Majalah ini merakam apa yang berlaku pada tahun itu. 

Kami ada akhbar Kris Kangsar – akhbar dalaman -  yang keluar berkala.

 Dari pelajar aliran sastera ada Majalah Semaian. Ini majalah sastera MCKK yang terbit setahun sekali. Ada cerpen, ada sajak, gurindam, pantun seloka  dan ada tulisan berkenaan sastera yang bersangkutan dengan mata pelajaran Sastera.

Pada tahun 1970 aku telah diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Pengarang Majalah Semaian MCKK.

Antara sidang pengarang yang membantu aku ialah Rashid Harun,  Kamat Norbit dan Kamaruddin Jaafar sebagai penasihat.
 
Aku ingat lagi usaha dijalankan untuk mencari dana. Kami menjual iklan dan meminta derma. Sebagai ketua pengarang aku beberapa kali  ke Taiping untuk urusan pencetakan.

Semua beres. Sebelum akhir tahun – sebelum masuk pereka HSC Majalah Semaian terbit.

Aku merasa bangga. Aku merasa aku telah menjadi Budak Koleq. Aku teringat lagi bagaimana satu  ketika dulu aku ingin  meninggalkan MCKK dan berpindah ke KGV di Seremban. Kini semua tinggal  ingatan.

Six Form Union MCKK juga amat aktif. Malah ada jaringan  kesatuan Six Form Union untuk seluruh Perak.  King Edward dari Taiping,  Anderson, Anglo Chinese School, St. Micheal dan STAR dari Ipoh dan  SDAR dari Tanjung Malim. 

Tahun 1970  MCKK menjadi tuan rumah untuk pertemuan pelajar Six Form Union. Sebagai tuan rumah kami susun program. Di sebelah pagi  perbincangan dan debat. Di sebelah petang   ada acara sukan.

 Para tamu datang dengan bas sekolah masing-masing.

Dewan Hargreaves  di datangi oleh pelajar perempuan Melayu, Cina dan India   dari Ipoh dan Taiping. Bayangkan ada pelajar perempuan di MCKK. Ini satu  perkara yang ‘rare’  - perempuan di lihat dalam  padang bola MCKK dan  duduk dalam  Dewan Hargreaves

Masuk penggal ke dua Six Form Union menjalankan  program Union NIght. Kami mendapat tahu bahawa seorang pemimpin pelajar dari Universiti Malaya akan datang ke Dewan Hargreaves. Sosok ini bernama Anwar Ibrahim yang juga ‘old boy ‘ Budak Koleq.

Malam Khamis – malam union - itu aku ingat lagi Anwar Ibrahim pemimpin  PBMUM – Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya telah naik  pentas dan berucap. Aku ingat lagi ucapan pemimpin pelajar ini ialah tentang negara-negara Islam  yang  miskin yang wajib dibangunkan.

Sebenarnya aku telah ada membaca berita Anuar Ibrahim ini dari  Utusan Melayu. Pada tahun 1969 sesudah Mei13 PBMUM dan PMIUM mengambil garis politik mendesak Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman letak jawatan – berundur.

Garis politik Anwar Ibrahim ini selari dengan garis politik Dr Mahathir yang juga menentang kepimpinan Tunku.

Beberapa bulan selepas tragedi  Mei13  Tunku menulis buku berjudul Sebelum dan Sesudah Mei13.  Dari apa yang aku baca buku ini telah di bakar di Sudut Pidato UM. Sosok yang memimpin pembakaran buku ini antaranya ialah Anwar Ibrahim.

Dari Mahasiswa Negara juga aku ada terbaca bagaimana Anwar Ibrahim telah berkempen untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai  bahasa utama dalam Universiti Malaya. 

Anwar dan kumpulannya telah menconteng cat pada semua  papan tanda dalam Universiti Malaya. Ini kempen PBMUM yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Aktiviti pelajar Universiti Malaya telah aku ikuti sebelum aku sendiri masuk universiti.

Sebelum mengambil peperiksaan HSC  lagi  borang  untuk melamar Biasiswa Commonwealth telah aku isi.  Malah semua pelajar Tingkatan Enam Atas aliran Sastera dan Sains telah melamar. 

Aku melamar untuk belajar Ilmu Undang-Undang di United Kingdom. Sebenarnya banyak ilmu ‘liberal arts ‘ yang  lain tapi aku sendiri tidak tahu. Yang aku tahu hanya Law Degree.

Kami dipanggil ke Ipoh untuk  ditemu bual oleh Jawatankuasa Biasiswa Commonwealth. Kami membawa surat  ‘sulit’ laporan dari guru yang menyatakan sama ada kami ini berpotensi untuk lulus atau tidak.

Bulan November 1970  bulan puasa sampai. Dalam bulan November ini juga  peperiksaan HSC yang di kendalikan dari United Kingdom berjalan. 

Pelajar lain dari kelas bawah  semua pulang bercuti panjang. Kami dalam Tingkatan Enam  Atas berhadapan dengan HSC.

Guru Besar Tuan Syed Bakar Barakhbah  telah memberi arahan jika sesiapa pelajar yang tidak mahu berpuasa kerana ada ujian  HSC pada hari itu dibenarkan tidak berpuasa.

Aku telah dilantik untuk menguruskan roti dan sardin untuk mereka yang tidak berpuasa. Berbuka puasa dan makan malam kami masih diurus dalam  Dewan Makan. Hanya pelajar sedikit.

Ketika peperiksaan belum bermula lagi aku telah mendengar ada beberapa pelajar telah mendapat Biasiswa Commonwealth. Semua ini berasakan ‘laporan sulit- forecast result ’ dari guru kami.

Nama aku tidak naik untuk mendapat Biasiswa Commonwealth.  Dalam kelas aku hanya tiga pelajar mendapat  biasiswa. Kamaruddin Jaafar, Ahmad Ibrahim ke United Kingdom dan Shamsudin Husin ke New Zealand.  Bila keputusan resmi sampai mereka akan terbang ke luar negara.
Kami yang lain wajib menunggu keputusan untuk melamar universiti tempatan. Aku telah memasang niat untuk ke Universiti Malaya.

 Tahun 1970 hanya ada tiga   buah -  Universiti Pulau Pinang, Universiti Kebangsaan dan Universiti Malaya. Paling  berprestij ialah Universiti Malaya. 

Selesai HSC – kami semua mengucap selamat tinggal pada MCKK.  Aku  merasa sedih. Tempat jatuh lagi di kenang inikan pula tempat kena rotan.

Malam akhir kami di Dorm  Kapal Haji kami bergambar untuk kenangan dan berjanji lagi aku berjumpa kecuali yang akan pergi ke luar negara.

Malam akhir di MCKK - kami ambil kereta api malam ke  Kuala Lumpur. Hatta, Ghani, Rashid. Baharuddin, Kamat pulang ke Johor. Jalil turun di Kuala Kubu Baru.   Anuar a.k.a  Wabbit pulang ke Kuantan. Brahim a.k.a Yok pulang ke Terengganu. Sulaiman a.k.a Uncle Porno  berhenti di Kula Lumpur.

Pelajar dari Kelantan seperti Mahmud Awang Kecil dan Kamaruddin Jaafar lebih hebat mereka naik kereta api ke Utara melintas Padang Besar  masuk ke Siam ambil kereta api Siam turun di Golok.

Pagi itu kereta api sampai di stesen Kuala Lumpur. Kami tidak merayau di Kuala Lumpur. Kami  meneruskan perjalanan ke Selatan.

Aku ingat lagi – aku turun dan  menangis di stesen kereta api Seremban. Aku sedih meninggalkan Hatta, Ghani, Rashid  yang meneruskan perjalanan ke Johor.

Kamal Adham a.k.a  Ogo  datang memeluk bahu aku. Dia cuba meredakan tangisan aku.

‘Its okay Herman..... we will meet again...’ Ogo membantu aku mengangkat  beg. Ogo dari aliran Sains berasal dari Kuala Pilah.

Kami menapak ke stesen bas seremban. Ogo mencari teksi ke Kuala Pilah. Aku mencari teksi pulang ke Jelebu.

Tempat jatuh lagi dikenang. Ini kan  pula Kuala Kangsar  tempat aku pertama kali  bertemu laksa dan popia. 

Perigi batu, lampu pelita dan Kampung Chenor  menunggu aku.  Hari Raya akan sampai  seminggu kemudian pada 30 November 1970. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/11/05/merancang-ke-universiti


2 ulasan:

  1. PM tepi pun MCKK tu ke sebab tuLis tuLisan ini.... nak penaiK PM Tepi...geng2 MCKK...kakakaH

    BalasPadam