PILIHAN RAYA
FEUDAL DAN MODENITI
Saya yakin ketika Zahid Hamidi meninggalkan Universiti Malaya dan menjadi ahli parti United Malays National Organisation dia tidak ada niat untuk terlibat dalam rasuah. Melibatkan diri dalam rasuah bukan niat dan cita cita Zahid.
Ketika Najib mengambil alih kerusi Parlimen Pekan sesudah ayahanda Tun Razak meninggal dunia Najib juga tidak ada niat untuk terlibat dalam rasuah.
Malah pada hemat saya semua calon dari semua parti politik dan bakal YB yang kali pertama bertanding tidak memasang niat untuk terlibat dalam rasuah.
Semua memiliki idealisme untuk membantu rakyat. Untuk memperbaiki negara. Bersemangat berjuang untuk nusa dan bangsa.
Jika dari awal tidak ada niat rasuah kenapa pada ketika ini kita lihat hampir semua parti politik wujud sosok-sosok yang dikenali sebagai Kluster Mahkamah.
Najib dan Zahid masih dalam perbicaraan. Azeez Rahim kes tergantung. Bung Mokhtar kes masih belum selesai. Mereka ini contoh terbaik Kluster Mahkamah dari United Malays National Organisation.
Lim Guan Eng dari DAP terlibat sama . Awalnya kes beli rumah dan kini masih berhadapan dengan kes terowong.
Haji Hadi dari parti Islam terlibat dengan kes duit 90 juta ringgit. Kes ini bocor dan di lapur oleh portal berita Sarawak Report. Kes ini menjadi kes besar hingga dibawa ke mahkamah di London.
Manakala Amanah dengan kes bekas Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Amanah - Saudara Mat Sabu. Ini kes keterlibatan dalam mengambil dana politik.
Malah Syed Sadiq dari parti politik MUDA – parti politik baru dan muda – juga terlibat. Syed Sadiq sendiri masih muda baru setahun jagung dalam politik akan dihadapkan ke mahkamah kerana kes dana parti masuk akaun peribadi.
Hakikatnya semua parti politik ini ada wakil yang menjadi ahli Kluster Mahkamah.
Kenapa para YB yang mewakili parti politik terlibat dalam rasuah. Malah parti yang menyebar perintah Allah seperti Parti Islam PAS juga terlibat dalam kes rasuah.
Apakah mereka tidak ada pegangan agama ? Tidak tahu salah dan benar ? Apakan kompas moral mereka telah mandul.
Saya dari mazhab yang tidak percaya bahawa agama sahaja dapat membanteras aktiviti rasuah ini.
Hujah saya amat mudah. Ancaman dibakar oleh api neraka yang diajukan oleh Islam telah gagal menghalang rasuah. Malah janji untuk mendapat Bidadari bermata jeli terbukti telah gagal sama.
Janji molek-molek dan ancaman ganas dari ajaran agama jelas telah gagal menghalang rasuah.
Justeru pada hemat saya pasti ada perkara yang lain dari ancaman neraka atau janji syurga yang dapat menghalang rasuah.
Saya berani berkata demikian kerana di negara seperti Sweden, Denmark atau Finland – para politikus dari negara ini amat jarang kita baca dalam media dunia yang mereka terlibat dalam rasuah.
Politikus dari negara-negara Nordic ini ramai yang tidak beragama. Mereka tidak percaya dengan wujudnya Allah dan Tuhan. Mereka minum arak, makan babi, mengamalkan hubungan sex tanpa kahwin dan merayakan perkahwinan sesama jantina.
Seyogia diingati mereka rata-rata tidak terlibat dalam rasuah.
Justeru ini membuktikan agama telah gagal membanteras rasuah seperti di Malaysia atau Indonesia atau Pakistan atau Bangladesh. Ada diantara negara ini yang kelim negara Islam. Saban hari Ustaz dan Mullah tidak henti-henti mengancam dibakar umat dengan api neraka dan menjanjikan Bidadari di syurga.
Untuk saya yang melorongkan Zahid, Najib, Aziz , Hadi , Syed Sadiq atau Lim Guan Eng ke dalam kancah rasuah adalah struktur politik mengundi atau electoral politic.
Jangan silap faham saya bukan menghalalkan kerja rasuah dari para politikus ini. Saya bukan meminta maaf bagi pihak mereka. Rasuah tetap rasuah. Rasuah tetap salah.
Apa yang saya cuba lakukan ialah membuka satu jalur analisa untuk kita bersama memahami bagaimana budaya rasuah wujud berkembang dalam badan politik kita.
Untuk saya struktur politik mengundi yang wujud dan yang kita guna pakai hari ini memainkan peranan yang amat penting untuk menjana rasuah.
Semenjak tahun 1955 United Malays National Organistion telah menghempapkan kepada kita semua budaya politik mengundi yang disira dengan rasuah.
Politik pengundian ini bukan asal dari Tanah Melayu. Konsep Parlimen, Raja Berperlembagaan, Dewan Rakyat dan Dewan Negara ini di hempapkan kepada kita oleh kuasa kolonial Inggeris.
Kerana politik mengundi bukan tanaman asli maka ianya tumbuh tempang.
Politik mengundi – electoral politic – ini berkahwin pula dengan budaya feudal Melayu. Budaya feudal Melayu ini betul-betul menjadi baja yang menyuburkan rasuah politik dan politik wang.
Ketika United Malays National Organisation menerima sistem pengundian dari Inggeris para protagonis ketika itu tidak tahu hujung pangkal tentang peranan Parlimen dan tugas para YB.
Landasan yang wujud pada ketika itu adalah sistem feudal yang telah wujud beratus tahun dalam alam Melayu. Sistem feudal melantik perwakilan dan ketua telah mantap, teratur, terurus dan stabil.
Apabila politik mengundi a la Westminster London diguna pakai maka ianya berlandaskan sistem feudal Melayu.
Justeru Para YB dalam lembaga Parlimen yang moden kini berlagak sebagai pemimpin feudal yang baru. Berlagak sebagai panglima yang bergelar YB.
Manakala YB yang menjadi Menteri pula membaca dirinya setaraf seperti Tun Perak. Yang menjadi Menteri Wilayah menganggap dirinya sebagai Datuk Bandar Seri Maharaja.
Anugerah pingat dan derajat kebesaran seperti Datuk dan Datuk Seri meyakinkan lagi para YB ini bahawa mereka ada lah panglima bukan ahli Parlimen.
Justeru para YB kita gagal memahami apa tugas utama mereka.
Tugas YB dalam Parlimen ialah membuat undang-undang dan melakar dasar untuk negara. Perkara ini tidak diajar oleh kolonial Inggeris masak-masak.
Para YB telah di bawa melawat Parlimen di London, masuk ke bangunan Parlimen di Canberra atau di German. Kerana sudah masuk ke dalam bangunan beberapa buah Parlimen maka para YB dari Malaysia merasa mereka sah dan sahih sebagai ahli Parlimen seperti di Westminster.
Tugas hakiki para YB membaca semua akta, meneliti semua cadangan bil, mengkaji buruk baik akta atau hukum yang ingin diperkenalkan telah mereka abaikan. Melupus hukum yang telah tidak masuk akal untuk terus diguna pakai tidak terlintas dalam kepala mereka.
Kerana gagal memahami tugas YB sebagai pembuat undang-undang – law maker – maka para YB kita kembali merujuk ke budaya feudal yang sedia wujud.
Struktur budaya feudal ini mendorong mereka untuk hadir di kenduri kahwin. Ziarah waktu kematian. Datang ke kenduri lenggang perut.
Bila raya sampai ada mengadakan jamuan Hari Raya. Wajib dilihat berulang alik ke masjid. Kalau boleh telah juga ke Mekah. YB Melayu Islam tidak lupa ketayap untuk berzikir dan berzakar.
Bayangkan jamuan Hari Raya – bukan untuk sepuluh lima belas orang. Yang dijamu beribu-ribu. Ini samalah seperti Raja mengadakan kenduri kahwin puterinya:
Yang capek datang berengsot
Yang kurap mengipas badan
Lembu disembelih darah menganak sungai
Kepala kambing tinggi membukit
Kerak nasi membusut jantan
Semua datang makan kenduri.
Jika Hari Raya Haji para YB wajib menghadiah lembu korban. Bukan seekor bukan dua ekor. Berpuluh-puluh untuk setiap masjid dalam kawasan Parlimen.
Mana duit nak di cekau ?
Woit – sila bayangkan ketika anak YB berkahwin. Semua Tun dan Tan Seri menjadi tamu. Segala saudagar yang kecil dan yang besar di jemput sama.
Apakah kita lupa kenduri anak Najib dan anak Azmin berjalan dalam sebuah hotel mewah dalam kota Kuala Lumpur.
Dari mana nak cekau duit.
Di sinilah punca rasuah.
Para YB ini mentakrif hadir dalam kenduri kendara sebagai tanda YB yang berkhidmat untuk rakyat.
Untuk YB Melayu Islam bukan hanya diri sendiri wajib dilihat berulang alik ke Mekah. Malah wajib juga memberi tajaan Si Anu dan Si Anu ke umrah. Ini akan dilihat sebagai YB yang berkhidmat.
Tidak cukup dengan kenduri kendara atau tajaan umrah para YB juga akan mengadakan pertandingan futsal untuk bakal pengundi muda. Untuk meramaikan keramaian dipastikan ada cabutan bertuah dalam pertandingan futsal ini. Motosikal sebagai hadiah.
Mana duit nak di cekau beli motosikal?
Dari sini punca rasuah.
Cara duit rasuah masuk amat senang. Lagi mudah. Kes Akalbudi Zahid Hamidi memberi kita ilmu pengetahuan tentang bagaimana duit rasuah masuk.
Saya agak hampir semua menteri kabinet telah mendirikan Yayasan.
Zahid dengan Yayasan Akalbudi. Anwar Ibrahim dengan Yayasan Aman. Shahidan dengan Yayasan Pok dan Kassim. Najib dengan Yayasan Noah. Mail Bera ada Yayasan nama emaknya.
‘Towkay... sila masukan duit itu ke dalam Yayasan... hantarkan secara resmi ke dalam Yayasan.... masukkan cek itu ke dalam Yayasan....’ Ini ucapan lumrah dari para YB.
Duit rasuah masuk. Yang menjadi pendinding ialah Yayasan. Ini kerana Towkay dan Cukong yang ingin memberi derma semuanya membuat kebajikan menderma melalui Yayasan. Tidak ada rasuah disini. Duit dan dana diterima untuk kebajikan. Khalas.
Semua kosher. Semua halal. Semua legit. Semua mengikut lunas undang-undang Khalas.
Woit ! Apabila Mahathir naik jet peribadi ke Langkawi sapa bayar ? Apabila Anwar Ibrahim naik jet berceramah ke Alor Setar dia naik jet siapa? Apabila Nurul berkempen di Sarawak Nurul diterbangkan oleh jet peribadi siapa?
Apabila Mat Sabu membuat jamuan berbuka puasa pada tahun 2018 di Hotel Hilton Petqaling Jaya siapa yang bayar?
Apabila Mail Bera bawa beberapa ketua bahagian United Malays National Organisation bercanda-canda ke New York naik jet jenis apa dan jet milik siapa?
Mana YB nak cekau duit nak beli jet.
Dari sini rasuah masuk.
Para Towkay dan Cukong yang memberi dana untuk Yayasan ini adalah pelaburan Orang kaya yang meminjamkan jet peribadi itu juga sedang melabur.
Duit untuk jamuan Berbuka Puasa, jamuan Hari Raya, lembu untuk korban Hari Raya Haji, kenduri anak YB kahwin, hadiah motosikal untuk futsal semuanya datang dari Towkay dan Cukong.
Ada Towkay kecil yang hanya melabur hadiah futsal. Ada Orang Kaya Melayu yang menaja lembu korban. Ada Melayu kaya yang membeli tiket umrah.
Semua ini pelaburan.
Bila pelaburan ini akan masak untuk dituai?
Menuai pelaburan bermula apabila YB menang undi dalam struktur politik undi. YB kini masuk parlimen. Di Dewan Negeri jadi Exco amat dihargai. Terutama yang menjaga lesen. Jika jadi MB lagi molek. Kuas untuk sebuah negeri.
Kalau jadi Menteri lagi cun. Masa menuai telah sampai.
Apa yang akan dituai oleh Towkay, Cukong Taikun dan Orang Kaya?
Apa pula peranan Pak Cik dan Mak Cik FELDA yang dapat pergi umrah percuma. Apa peranan orang kampung dapat daging korban ketika Hari Raya Haji. Umrah ini dan daging ini haram ke halal? Jawabnya tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/410448
Bro...perenggan awal lu dah salah baca bro.....ramai anak muda yang terjun ke politik atas pemikiran untuk dapatkan kuasa dan wang.
BalasPadamDengan pemikiran tersebut bermakna rasuah adalah salah satu jalan yang pasti akan dilalui lah.
Cantik wahai TT, kupasan MENARIK, hakikat senang hakikat betul molek cakap direct, tarak pushing pusing kah kah kah memang YB kita ini akal pendek, nak buat yang popular, nak famous cepat, kena is minyak Hitam, kena tebang kelapa Sawit, kena mandi bendang, konon nak bersama rakyat, hakikat sebenar tidak, mereka jadi lembu dicucuk hidung atas nama parti bangsa agama, otak kurang oksigen kerana ditekan dinoda diancam kah kah kah nak undi bagi ini, bagi ITU budaya Melayu begitu, nak sokongan kena hulur, nak kerja pasang poster nak pasang benders kena upah, upah makan, upah minum, upah segala gala lah kah kah kah baik baik belaka budaya bukan rasuah cuma pelincir Gris, pelincir minyak supaya kerja jalan amin
BalasPadamnak ubah sistem ni wajib melalui parlimen.kalo diparlimen ada speaker seperti azhar harun maka cita2 perubahan adalah mimpi basah di siang hari..SPR hanya melaksanakan apa jua dasar/undang2 yg diluluskan diparlimen..ismail sabri cuba menyorokka kepala ketika bah melanda msia dgn mengatakan SPR punya kuasa itu dan ini..namun SPR hanya melakukan apa yg diputuskan perkara diparlimen, ismail zahid kj ada sosok2 diparlimen..apakah mrk cuba membutakan rakyat.cthnya perihal banjir dan bah, sudah dibawa oleh yb2 PH..namun anak haram anak harun ini menafi dan menolak usul..apakah lu fikir semudah menulis utk merombak segala??segala mak nenek media hanya wartawan makan upah..tiada la berani di pangil di interview wakil2 SPR dikaca tv..ketua2 editor sudah diberi ganjaran datodato sri tan sri..malah ada awek media yg dpt habuan rumah di london dan penyedap tim lessner..apakah media begitu berani membawa,membincang perihal ini?sehingga cicit nabi datang ke bumi melayu ni, tiada satu mukjizat hak tertegak melawan kebatilan ..cicit bermuka manis sekadar manis kerana make up..tiada sedikitpun kemanisan cict nabi dpt mngerakkan bulu roma apatah lagi cicit nabi dpt memberi aura kebenaran di bumi melayu asal hindu ini..
BalasPadam