Jumaat, 25 November 2022

ZAHID AKAN DI LAWAN ?


Pemilihan Umno tentu keabsahan kerajaan persekutuan, kata penganalisis


PEMILIHAN Umno tahun hadapan akan menentukan keabsahan sebenar kerajaan persekutuan disertai parti ini yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis dan pemimpin parti.

Mereka menjangka, ia akan ditentukan para pencabar Ahmad Zahid Hamidi yang akan merebut jawatan presiden parti dan memastikan Umno kembali diterima rakyat.

Tekanan ke atas Zahid sudahpun disuarakan pemimpin parti seperti exco Pemuda Bastien Onn yang mahu Zahid berundur kerana isu integritinya yang mengakibatkan rakyat menolak BN.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, penolakan ke atas Zahid amat jelas ditunjukkan dalam PRU15 apabila lawan berkempen bahawa undi untuk Barisan Nasional (BN) bermaksud menyokong presiden mereka.


“Sebagai pemimpin gagal beliau harus berundur, dia perlu tahu kegagalan BN. Prestasinya sangat teruk, isyarat rakyat sangat jelas.

“Kempen satu undi untuk BN adalah undi untuk Ahmad Zahid jadi perdana menteri (berjaya),” katanya.

Beliau berkata, Zahid dalam tempoh kempen tersebut sepatutnya memberi jaminan tidak akan menjadi calon perdana menteri, tetapi ia tidak berlaku.

“Sepatutnya dia bangun dan kata saya janji tak jadi perdana menteri, maka undilah BN untuk kestabilan dan kemakmuran, tapi dia tak buat.

“Sebagai pemimpin utama, dia patut tahu sentimen itu teruk di kalangan pengundi. Isu rasuah ini paling besar.. .dan kita hadapi masalah itu, kehendak rakyat amat jelas dalam soal ini.”

Zahid sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi.

Selain itu, strategi Zahid menggugurkan semua lawannya dalam parti daripada senarai calon juga mengakibatkan kekalahan BN, kata ketua Pemuda Umno Segamat itu.

Tambahnya, penolakan ke atas Zahid itu sama seperti ditunjukkan ke atas bekas presiden Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kes penyelewengan.

Kes penyelewengan SRC International dan 1MDB membabitkan Najib waktu itu antara punca prestasi BN kalah teruk dalam PRU14 dan gagal membentuk kerajaan.

Zahid yang dipilih sebagai presiden Umno selepas itu mengetuai BN ke medan PRU15 yang menyaksikan parti itu kalah lebih teruk.

Mengulas lanjut, Bastien berkata segala keputusan Zahid menyebabkan parti itu ditolak oleh pengundi.

“Bukan sahaja rakyat tolak, pemimpin parti berasa semua keputusan dia salah terutama meletakkan calon lain di kesemua tempat calon yang menentang beliau… Semua kalah.

“Kita bukan nak singkir dia pasal tak suka atas faktor individu, sebagaimana orang tolak Najib tempoh hari, samalah. Kita tidak boleh harap keputusan berbeza dengan pendekatan sama.”

Selain Bastien, gesaan agar Zahid berundur bersahutan dalam parti itu apabila BN hanya menang di 30 kerusi daripada 178 kerusi Parlimen ditandinginya.

Turut lantang, calon kerusi Parlimen Alor Gajah Shahril Hamdan yang meletak jawatan sebagai ketua penerangan Umno dan mendesak  Zahid bertanggungjawab atas kekalahan parti.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz juga membuat gesaan sama terhadap Zahid, dan berkata, keputusan PRU15 menunjukkan orang Melayu menolak Umno.

Penganalisis pula menjangka peluang menentang Zahid itu sudah pasti akan digunakan sebaik mungkin kumpulan yang tidak bersamanya dalam pemilihan parti itu.

Pensyarah dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi menjangka Zahid akan ditentang kumpulan ahli Parlimen yang memihak perdana menteri kesembilan Ismail Sabri Yaakob.

“Yang dilihat pencabar terdekat adalah Hishammuddin,” kata Awang Azman, merujuk ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

Beliau menjangka pertandingan itu akan berlangsung secara sihat melibatkan ramai pencabar dengan senarai calon tersendiri untuk jawatan lain.

“Saya kira begini, biar kerusi presiden ditandingi orang yang berminat, menang atau kalah buat pemilihan, (Zahid) kena berdepan secara gentleman,” katanya.

“Jadi itu terserah kepada ahli akar umbi sebenar, bukan sekelompok individu yang cenderung kepada mana-mana pihak,” kata Awang Azman kepada The Malaysian Insight.

Mazlan Ali, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat Zahid mempunyai masa panjang membuat persediaan bagi menghadapi pemilihan Umno.

Ini kerana perhimpunan agung Umno terakhir meminda perlembagaan parti agar pemilihan di semua peringkat pergerakan itu diadakan tidak lebih enam bulan selepas PRU15.

“Zahid akan berdepan situasi dia akan dicabar, sudah tentu dalam tempoh enam bulan ini dia akan buat persediaan.

“Pada saya kita tidak boleh kata beliau akan tersingkir daripada Umno kerana beliau juga ada sokongan akar umbi yang kuat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, pemilihan Umno itu juga memberi peluang untuk melihat sejauh mana kekuatan ahli akar umbi yang menyokong setiap kem dalam parti Melayu itu.

“Nampaknya banyak kritikan di media sosial terhadap Zahid, tetapi kita tidak tahu di bawah, sama ada akar umbi menunjukkan trend yang sama.

“Perlu diingat, Zahid juga ada penyokong, kita nampak banyak pemimpin Umno pertahankan dia. Kita tidak boleh pandang ringan, politik beliau juga bijak.

“Kalau tidak takkan mampu kekal presiden lama dalam keadaan terumbang-ambing masih kekal,” katanya lagi.

Tambahnya, desakan supaya Zahid meletakkan jawatan tidak menyeluruh daripada orang Umno, tetapi segelintir pihak yang menentangnya.

“Tetapi yang pastinya beliau akan dicabar (waktu pemilihan), walaupun tidak semudah itu untuk menjatuhkan Zahid, dalam enam bulan lagi banyak yang akan berlaku,” katanya.

Mazlan berpendapat, mana-mana pihak yang ingin menentang Zahid perlu mempunyai kekuatan sokongan akar umbi Umno.

“Sistem pemilihan Umno mengambil kira undi ahli akar umbi, amat sukar mana-mana pemimpin menguasai pemilihan parti kecuali ada sokongan akar umbi yang kuat.

“Sistem pemilihan Umno susah nak beli undi, mungkin alasan Zahid selepas ini (atas tindakannya) boleh diterima orang Umno, yang pasti beliau akan bersedia hadapi pemilihan nanti.

“Sebenarnya adakah (lawan Zahid) menguasai akar umbi, kalau setakat kritik terbuka tidak boleh buat apa,” katanya.

Walaupun BN kalah teruk, tiada mana-mana parti gabungan berjaya meraih majoriti mudah kerana Pakatan Harapan (PH) hanya menang 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN)PN dengan 73 kerusi Parlimen.

Ia menyebabkan BN masih menjadi kuasa penentu dan terlibat mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Penyertaan BN dalam rundingan itu menimbulkan bantahan para ketua bahagian Umno yang menolak sebarang usaha kerjasama dengan PH dan PN untuk kekal sebagai pembangkang.

Mereka juga menggesa Zahid melepaskan jawatannya.

Rundingan yang berlarutan empat hari selepas PRU15 dimuktamadkan melalui pembentukan kerajaan ditunjangi PH dengan pengerusinya Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh. – 25 November, 2022. 

ZAHID AKAN

DI LAWAN

AMIN

ZAHID DIKATAKAN

BAWA KALAH

AMIN

TAPI ZAHID JUGA

BAWA SELAMAT

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan