Sabtu, 17 Disember 2022

GATEK DAN PENDATANG HARAM


GATEK DAN

 PENDATANG  HARAM



Saya ini adalah sosok gatek. Dalam masa yang sama saya juga pendatang haram. Konsep dan ayat pendatang haram boleh di fahami dengan senang. Tapi ada bendanya  gatek?

Dalam tulisan  yang hendak saya huraikan ini gatek dan pendatang haram ini dari genre yang sama. Macam ayam hitam dengan ayam putih. Macam serunai dengan bangsi.

Disini saya beri pencerahan.

Perkataan gatek ini saya terima dengar dari Senator Zahid Mat Arif apabila pada tahun 2020  dia ternampak saya masih  lagi menggunakan telefon bimbit jenis Nokia.

Untuk Zahid Mat Arif saya ini gatek.

Gatek ialah dua patah perkataan – gagap dan teknologi -  yang kahwinkan menjadi gatek. Justeru saya adalah sosok yang sah gagap dalam hal teknologi terkini.

Bagaimana pula dengan pendatang haram ?

Konsep ini saya gunakan untuk diri saya sendiri. Saya sedar bahawa saya bukan warga asli dalam hal teknologi. Saya  imigran - pendatang – saya bukan penduduk asal dalam hal teknologi.

Saya tidak di lahir dan di besarkan dalam dunia yang berteknologi.

Saya datang ke dunia  teknologi ini secara haram bukan secara terlatih.  Hakikatnya saya imigran bukan warga asal  - bukan warga asli  teknologi. Saya bukan penduduk asal teknologi

Ketika saya membesar rumah saya tidak ada  elektrik. Mandi air perigi. Tercanggih di rumah - hanya radio yang menggunakan pada  awalnya  bateri basah kemudian beralih ke  bateri kering.

Malah sampai hari ini saya masih lagi belum dapat memahami bagaimana radio bergerak. Ramai kenalan menerangkan radio bergerak  melalui gelombang.  Sebenarnya saya tidak faham bagaimana dan apa  itu gelombang.

Bila TV sampai saya terpukau.  Bagaimana gambar boleh dipancar. Suara radio berjalan melalui gelombang. Gambar berjalan melalui apa.

Pernah ketika zaman kanak-kanak saya mendengar siaran Radio  Malaya. Juru hebah menjemput P. Ramlee untuk mendendangkan lagu. Dalam kelapa saya P. Ramlee ada duduk  bersama di sebelah  juru hebah. 

Bila di jemput P. Ramlee akan bangun menyanyi. Saya tidak tahu akan piring hitam.

Gatek  ini juga sama seperti OKU – orang kurang upaya. Tidak ada upaya untuk memahami teknologi. Dalam bahasa Inggeris yang politiknya betul saya ini : technologically challenge.

Saya tidak menentang teknologi. Saya mengikuti ombak teknologi. Hakikatnya saya  hanya merayakan ekor-ekor  teknologi.

Saya amat lambat menggunakan telefon bimbit. Saya ingat lagi awal 90’an telefon bimbit telah  wujud. Saya tidak memiliki hingga tahun 2004. Malah Zunar ketika  itu Ketua Pengarang Suara Keadilan agak risau dengan sikap gatek saya. 

Di era Reformasi agak susah untuk berhubung. Tapi ini bukan bermakna putus hubungan. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon genre lama.

Keluar dari kem tahanan Kamunting  tahun 2003 saya baru menggunakan telefon bimbit. Jujur saya katakan saya tidak merasa ketinggalan apa-apa. 

Pada hemat saya lambakan teknologi ini telah terlampau banyak. Penemuan  baru, penghasilan teknologi baru datang melambak-lambak.

Hakikatnya hidup kita sedang diubah oleh teknologi.  Dengan menggunakan pandangan Karl Marx maka tidak dapat tidak kita akan wajub mengakui bahawa pembuatan – produksi - itu akan mengubah segala-galanya.

Budaya, kepercayaan, ekonomi dan gaya hidup akan diubah oleh pembuatan. Internet Segala-gala   – Internet of Things -  sedang  merubah dunia. 

Dunia hari ini sedang memasuki Revolusi Industri Ke Empat.

Revolusi Industri Pertama berlaku 1765 dengan penemuan arang batu dan tenaga wap.  Revolusi Industri Ke Dua  1870 dengan wujudnya kuasa elektrik. Revolusi  Industri Ke Tiga  1969 – tenaga nuklear.

Revolusi Industri Ke Empat – Internet untuk semua benda sedang mengancam dunia.  Ancaman ?  Betulkah ini ?

Hari ini lambakan maklumat bertimbun-timbun. Setiap saat ada sahaja  berita yang masuk. Berita dari dalam negeri, berita dari dalam negara, berita  negara jiran, berita  jauh dari negara asing.

Macam macam jenis berita.  Ketuk komputer tanya selera – ketuk komputer cari berita.

Lalu persoalan timbul apakah kita perlu tahu bas jatuh ke dalam sungai  di Nairobi  Kenya dan 44 penumpang mati tenggelam. Apakah kita perlu tahu salji  turun lebat di New York.  Atau London di selubungi oleh  empat inci salji.

Berita sepintas lalu seperti ini mungkin boleh kita baca sepintas lalu. Bagaimana   berita yang datang melalui twiteer, instagram,  blog atau Tik Tok.

Berita dari genre ini duyun  berduyun menembus masuk tanpa diajak. Selagi kita ada telefon pintar berita masuk tanpa mengetuk pintu.

Satu ketika dulu – sekolah lama -old school – kita membeli akhbar, membeli majalah untuk membaca berita. Kali ini  berita datang berselirat di sekeliling pinggang. Tampa dijemput tanpa di pelawa. Amin.

Seorang gatek seperti saya merasa lemas. Justeru saya jarang memberikan no telefon pintar saya. Tapi diberi juga kepada satu  dua kenalan baik. Nombor ini bocor. Hasilnya  saya tanpa meminta telah ‘ dipaksa’ masuk  ke dalam kumpulan whatapps. 

 Maka hasilnya masuklah pelbagai jampi serapah ke dalam telefon saya.

Pernah ada berita sampai kepada saya  yang memberi cara dan amalan terbaik untuk mendapat  meniduri 72 Bidadari yang sentiasa anak dara. Sayangnya sex bebas ini hanya berlaku selepas saya mati.

Saya gelabah dengan berita seperti ini. Kawan saya beri tahu saya boleh menekan punat untuk keluar dari kumpulan ini. Sebagai gatek saya bebal dalam hal tekan menekan ini.

Foward : ini adalah satu penyakit telefon bimbit dan Internet yang mengganggu saya. Saya tidak faham kenapa ada sosok-sosok yang mengfowardkan berita, klip, poster atau lakaran untuk saya.

Dua perkara timbul disini : pertama sosok yang foward kan berita itu apakah dia sendiri telah  membaca berita tersebut ? Ada yang sampai 24 muka surat. Ke dua : kenapa sosok ini berpendapat saya perlu tahu berita ini ? 

Justeru saya yang gatek cukup bosan, menyampah, meluat dan benci terhadap berita-berita yang di fowardkan kepada saya.

Saya gatek tetapi saya berupaya membuka komputer dan mencari berita yang ingin saya baca. Saya ada beberapa laman portal yang saya ikuti dengan sepenuh iman.

Justeru saya menggunakan komputer  untuk membaca portal yang jadi pilihan, menulis, menulis di Blog Tukar Tiub, menghantar e-mail,  membuka FB dan Twitter dan menuntun apa yang menarik dalam YouTube.

Saya tidak pernah menekan butang like dan subscribe atau  follow. Malah jika ada portal yang memerlukan saya mendaftar walau pun percuma – saya akan tinggalkan portal ini.

Ini budaya gatek.
 
Malah dalam twitter saya tidak mengikuti sesiapa pun. Juga saya tidak akan memaksa sesiapa pun mengikuti twitter atau menjadi sahabat FB saya, Amin

PRU15 yang baru selesai membuktikan tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Internet. Seribu satu macam berita , tohmah, propaganda, maklumat atau fitnah yang tersebar. 

Mana yang betul dan mana yang palsu?

Manusia moden sedang berhadapan dengan kesan Revolusi Industri Ke Empat. Fikrah kita sedang belajar untuk menapis yang palsu untuk mencari yang sahih.

Berita   palsu dan berita  benar ini telah pernah berlaku ketika radio baru wujud secara meluas. Pada malam 30 Oktober 1938 Orson Welles telah mementas sebuah sandiwara radio. Ini kesah dunia di serang oleh makhluk dari bintang Marikh.

Sandiwara  The War of The World ini didengar oleh warga Amerika. Sandiwara ini amat  meyakinkan seolah-olah dunia sedang diserang oleh makhluk asing. 

Ramai pendengar Amerika yakin dunia telah diserang maka berlaku kacau bilau pada malam itu. Kemalangan kereta  terjadi. Pendengar mula mencari perlindungan.

Hakikatnya  Amerika menjadi huru hara. Wal hal  ini hanya sandiwara yang dibawakan oleh radio.

Apakah Internet akan mengulangi perkara yang sama ?

Bukan satu yang mustahil jika  stesen Tv di godam dan muncul juru hebah melaporkan bahawa Perang Dunia Ke Tiga telah bermula. Juru hebah melaporkan kota Moscow dan Beijing telah musnah oleh senjata nuklear.

Imej, ledakan, dan kacau bilau melalui Tv ini pasti meyakinkan sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Orson Weles pada tahun 1938 dahulu.

Ramai tidak sedar Revolusi Industri ke Empat ini  diwujudkan Nabi Baru. Malah Nabi Baru  sedang membawa Tuhan Baru.

Yang pintar, yang gatek, pendatang haram dan warga asli semua  akan berhadapan dengan Nabi dan Tuhan Baru ini.

Siapa Nabi ini ? Dan siapa pula Tuhan Baru ini. Sila tunggu minggu depan. (TT) 

TULISAN INI DITERBITKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/417721


 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan