Pakar ekonomi sekolahkan Rafizi di sebalik kontroversi 'jangan beli ayam'
Seorang pakar ekonomi hari ini “membantu” untuk menyediakan satu draf kenyataan media kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selepas cadangannya supaya pengguna tidak membeli ayam bagi menurunkan harga mendapat reaksi bertali arus daripada warga media sosial.
Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kenyataan Rafizi tidak begitu menyeluruh memandangkan masih terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan.
Beliau merangkumkan hipotesis Rafizi bahawa dengan keanjalan permintaan yang lebih tinggi, kenaikan harga akan menjadi punca kepada pengurangan permintaan dan tindakan ini akan menyebabkan penurunan harga berlaku atau setidaknya meredakan kenaikan harga makanan.
Bagaimanapun katanya, terdapat dua persoalan utama yang perlu dijelaskan oleh Rafizi melalui kenyataannya iaitu “permintaan apa” dan “permintaan siapa?
Ini kerana, katanya, beliau yakin Rafizi hanya cenderung melihat kepada perkongsian data yang bersifat analitik tanpa meneliti data terkini dari Jabatan Perangkaan terkini mengenai Indeks harga pengguna yang jelas menunjukkan sebanyak 671 (80%) daripada 841 barangan yang dipantau sudahpun mencatat kenaikan harga.
“Jumlah ini terdiri dari tiga komponen utama iaitu makanan di rumah (16.9%), makanan di luar rumah (11.5%) dan minuman (1.1%).
“Kadar inflasi untuk makanan di rumah mencecah 7.3% dan kadar inflasi makan di luar rumah meningkat lebih tinggi pada kadar 9.6%, berbanding kadar inflasi keseluruhan yang merangkumi semua kategori perbelanjaan iaitu 4%,” tulisnya di Facebook.
Noor Azlan yang juga bekas pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi menjelaskan dengan andaian Rafizi semuanya kekal sama, penurunan dalam permintaan yang berpunca dari kenaikan harga akan menyebabkan harga yang lebih rendah.
Dan, jumlah permintaan yang dapat dipenuhi juga akan menjadi lebih rendah.
“Ini membawa kepada persoalan kedua, permintaan siapa? Siapakah yang akan menanggung beban mengurangkan permintaan ini? Siapakah yang perlu mengorbankan permintaan sedia ada?
“Si kaya atau si miskin? Saranan ini menjadi polemik. Ramai yang hilang punca, keluar dari ehwal ekonomi negara, terus berpolitik pula.”
Pada 23 Disember, Rafizi dilaporkan berkata biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar harga yang ditawarkan pembekal.
“Kalau harga ayam tu dah mahal sangat kita sepatutnya kurangkan makan ayam,” katanya pada satu sidang media hingga mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Atas sebab itu, Noor Azlan tampil dengan draf kenyataan media sebanyak 11 perenggan dengan tajuk “Membendung Kenaikan Harga Melalui Kebijaksanaan Kepenggunaan” sebagai panduan buat Rafizi yang menjelaskan isu berkenaan.
Berikut adalah petikan draf kenyataan media yang ditulis oleh Noor Azlan di Facebook:
“Kerajaan menyedari bahawa kita kini berhadapan dengan tekanan keatas harga, khususnya harga makanan dan juga kos makan di luar rumah. Walaupun kadar inflasi keseluruhan negara berada ditahap 4%, kadar inflasi untuk kedua-dua kategori perbelanjaan ini meningkat dengan lebih tinggi iaitu 7.3% dan 9.6%.
“Selain dari menangani aspek pengeluaran dan penawaran, membenteras tindakan monopolistik serta kartel yang menekan pengguna dan meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara, pengguna juga mempunyai peranan untuk mempengaruhi dan memastikan harga dipasaran agar menjadi harga yang adil-untuk pengguna dan pengeluar.
“‘Kebijaksanaan Pengguna’ adalah kuasa pengguna yang dapat meredakan kenaikan harga, khususnya peningkatan harga yang tidak berpatutan.
"Pengguna berupaya mempengaruhi harga dipasaran dan mendispilinkan peniaga untuk menawarkan harga yang adil bersandarkan faktor penawaran dan permintaan yang asli.
“Kerajaan akan meningkatkan perkongsian data dan maklumat kepada rakyat berkaitan harga barangan dan perkhidmatan dengan lebih kerap dan terperinci bagi membolehkan pengguna membuat keputusan yang terbaik dalam keputusan kepenggunaan masing-masing."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan