KEPUTUSAN PERPERIKSAAN
Berita mula tersebar melalui cerita mulut : Keputusan HSC ( Higher School Certificate) akan keluar. Sudah hampir empat bulan menunggu. Berita ini entah dari mana puncanya. Dari apa yang aku dengar kalau hendak tahu cepat wajib datang sendiri bertanya di Pejabat Peperiksaan Jabatan Pelajaran.
Pejabat ini sebuah bangunan kolonial tidak jauh dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Terletak di arah jalan ke Brickfeild. Maklumat tentang peranan bangunan ini diketahui baik oleh pelajar yang sedang menunggu ‘ result exam ‘.
Dari apa yang aku di faham ramai yang menunggu keputusan HSC selalu datang bertanya-tanya. Terutama mereka yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur.
Aku tahu tentang peranan bangunan ini dari Fauzi Daud. Anak pegawai kerajaan yang tinggal di Petaling Jaya
Ghani datang dari Batu Pahat. Aku datang dari Jelebu. Kami menumpang di rumah kakak aku di Lapangan Terbang Sungai Besi.
Pagi esoknya Ghani dan aku bertandang ke rumah Fauzi Daud di Petaling Jaya. Rumah Fauzi tidak jauh dari pekan PJ. Kami merayau dalam pekan PJ sebelum mengambil bas Sri Jaya berwarna putih biru untuk ke Foch Avenue.
Tujuan kami untuk ke Bangunan Pejabat Peperiksaan.
Dalam bas dari Petaling Jaya aku budak kampung tercengang melihat rumah-rumah banglo batu yang indah menarik. Halaman berumput hijau dengan pokok-pokok bunga tersusun indah.
‘ Satu hari nanti... one day... aku nak juga sebuah...’ Fauzi Daud bersuara memasang niat untuk memiliki sebuah banglo satu masa nanti.
Dari Foch Avenue kami menapak ke Pejabat Peperiksaan. Kami sampai sebelum jam empat. Aku ternampak ada beberapa pelajar lelaki keluar dari bangunan.
‘ Kau masuk.... kami tunggu di luar...’ Aku meminta Fauzi bertanya keputusan HSC kami.
‘ Nak kata apa...’ Fauzi bertanya.
‘ Nama Gani ... nama kau .. nama aku ... dari MCKK... tanya result...’ Aku menjelaskan.
Ghani dan aku menunggu Fauzi di bawah pokok besar di tepi bangunan. Aku sendiri tidak berani masuk bertanya. Hati aku berdebar-berdebar. Lulus atau gagal. Ini sama seperti pengalaman aku ketika menunggu keputusan Senior Cambridge tahun 1968 dulu di Sekolah Menengah Undang Jelebu.
Tak sampai 10 minit Fauzi keluar dari bangunan. Dia kelihatan selamba seperti tidak ada apa-apa yang mencemaskan.
‘ Herman... kau ada dapat A ... Gani...satu prinsipal.. aku full cert tapi hanya cukup makan...’ Fauzi memberi penerangan.
Ghani telah bersedia mendengar keputusan. Malah dari awal lagi Ghani telah memasang niat untuk masuk Maktab Perguruan di Pulau Pinang.
‘ Herman.... kau ada A..C.. E..O...tapi GP gagal... tak full cert... tapi result kau lebih baik dari aku...’ Fauzi menjelaskan.
Rupa-rupanya aku gagal kertas GP – General Paper. Aku tidak tahu kenapa Bahasa Inggeris aku malap ketika aku menulis jawapan pada hari peperiksaan.
Kami menapak pulang menuju ke Perhentian bas Sri Jaya di tepi Sungai Klang. Kami melintas masuk di bawah jejambat Masjid Negara menuju ke perhentian bas.
Aku ingat lagi bulatan itu. Aku ingat lagi perbualan kami di bawah jejambat ini. Di tepi bulatan kami berhenti menapak sebentar.
Aku melihat Ghani. Fauzi dan aku gembira kerana berjaya. Dia gagal. Aku faham perasaan Ghani yang hanya mendapat satu prinsipal.
‘ Aku akan jadi guru di Penang..... Herman .. Fauzi... kau nak masuk U mana...’ Ghani bertanya.
‘ UM... first choice...’ Fauzi menjawab.
‘ Aku pun sama....kalau dapat masuk UM... bila masuk UM aku nak join masuk Kelab Sosialis....’ Aku menjawab.
‘ Apa Herman... kau nak masuk Kelab Sosialis....mana kau tahu ada kelab itu... ‘ Ghani agak terperanjat.
‘ Ada... aku ada baca dalam akhbar Mahasiswa Negara....kau lupa Arif yang jual...’ Penerangan ringkas dari aku.
Aku tidak akan melupakan petang itu. Aku tidak akan melupakan bulatan di bawah jejambat itu. Ghani hendak menjadi guru. Fauzi nak memiliki banglo. Aku nak menjadi anggota Kelab Sosialis UM.
Tiga Budak Koleq - tiga anak muda yang baru menerima keputusan HSC sedang menyimpan tiga harapan masa depan untuk menjalani kehidupan baru.
Dua hari kemudian keputusan HSC disiarkan dalam akhbar Utusan, Berita Harian dan Straits Times. Nama aku tidak keluar kerana aku tidak mendapat ‘ full certificate’ – aku gagal dalam General Paper.
Balik di kampung aku mengisi borang untuk melamar masuk ke universiti. UM pilihan pertama, Universiti Pulau Pinang pilihan ke dua dan UKM pilihan akhir .
Ketika mengisi borang aku tidak tahu mengapa aku perlu mendapat tanda tangan Tok Penghulu atau Tuan Pegawai Daerah walhal aku telah mendapat kelulusan dari Cambridge University.
Kemudian aku terbaca berita tentang UM dari Utusan Melayu. Untuk kemasukan pelajar baru sesi 1971/72 ke UM wajib lulus satu peperiksaan Bahasa Melayu. Ini kerana UM pada tahun 1971 telah mula menggunakan BM sebagai salah satu bahasa pilihan dalam kuliah dan dalam peperiksaan.
Aku merasa agak pelik kerana aku mendapat A dalam kertas Bahasa Melayu. A1 untuk Sastera. A1 untuk Percakapan.. A1 untuk Bahasa.
Dari Utusan ada disenaraikan pusat yang akan mengadakan peperiksaan. Aku akur dan tanpa banyak songel.
Aku mendaftar untuk mengambil satu lagi peperiksaan Bahasa Melayu untuk masuk ke UM. Peperiksaan akan diadakan di Methodist Boys School Jalan Pudu Kuala Lumpur.
Aku lulus.
Pada tahun 1971 setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak ada memberi biasiswa untuk pelajar yang menyambung belajar ke universiti. Nilai biasiswa berbeza-beza. Dari apa yang aku dengar biasiswa paling lumayan ialah biasiswa dari Sabah.
Sebagai anak kelahiran Negeri Sembilan aku melamar biasiswa Kerajaan Negeri Sembilan. Aku terikat dengan janji. Satelah selesai lulus ijazah aku wajib menyambung Diploma Pendidikan untuk menjadi tenaga guru di Negeri Sembilan.
Jujur aku katakan bahawa aku tidak ambil pot sangat apakah aku akan menjadi guru atau menjadi Tuan DO. Perkara kerja ini tidak pernah terlintas dalam kepala aku. Yang jelas aku hendak masuk Fakulti Sastera UM. Bila diterima masuk UM aku nak melamar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis.
Surat sampai dari UM ke alamat Hishamuddin Rais Batu 2 ½ Kampung Chenor Kuala Klawang Jelebu Negeri Sembilan. Rumah kampung tidak ada numbo. Surat di UM ini aku pungut di Kedai Kopi Mak Chek Yan.
Jawapan dari UM menggembirakan. Aku diterima untuk menjadi pelajar UM sesi 1971/72. Sebagai pelajar baru masuk tahun satu aku diberi pilihan untuk tinggal di asrama dalam kampus.
Kolej-kolej ini mengiklan kehebatan masing-masing.
Kolej Pertama kolej campuran lelaki dan perempuan. Kolej Ke Dua kolej hebat dalam bidang sukan. Kolej ini khusus untuk pelajar lelaki sahaja. Kolej ke Tiga dan Ke Empat khusus untuk pelajar perempuan sahaja.
Kolej Ke Lima kolej campuran. Aku mendaftar untuk masuk ke asrama Kolej Ke Lima. Kolej ini mengiklankan : Dua minggu sekali ada forum politik dan hal ehwal semasa.
Aku terus membuat pilihan. Pilihan pertama Kolej Kelima. Pilihan Ke Dua Kolej Kelima dan pilihan ketiga juga sama. Aku tidak mahu memasuki kolej lain selain dari Kolej Ke Lima. Forum politik dan hal ehwal semasa menjadi sasaran aku.
Borang biasiswa Negeri Sembilan telah aku isi. Aku perlu ada penjamin. Emak aku mencadangkan agar Cik Gu Zainal menjadi penjamin. Cik Gu Zainal ini adalah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Amar Penghulu di mana Cik Gu Zaleha Sidek juga sama mengajar.
Tahun 1971 aku di fahamkan hanya 4 orang termasuk aku yang diterima masuk ke universiti.
Masuk menyambung belajar ke universiti amat ‘ rare’. Hanya yang terpilih sahaja yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Emak , Abah , Mak Long , Pak Long, Wan Timah dan kaum keluarga semua gembira dengan berita aku akan masuk universiti.
Seminggu sebelum aku pindah rumah ke Kolej Ke Lima keluarga aku membuat kenduri kesyukuran dan doa selamat. Kaum keluarga sekampung termasuk warga surau datang makan kenduri dan berdoa untuk keselamatan aku di wilayah yang baru.
‘ Icham... ni air doa selamat malam tadi... kau mandi dengan air ini... mula di kepala....’ Mak Long aku memberi arahan.
Aku ingat lagi dengan hati terbuka aku ambil botol berisi air itu dan pergi ke perigi. Pagi itu aku mencurahkan air doa selamat bermula di kepala kemudian ke seluruh badan.
Sehari sebelum bergerak ke Kuala Lumpur Mak aku beri arahan.
‘ Gi jumpa Cik Gu Zainal.... dia nak jumpa kau....’
Aku pinjam Lamberetta Abah aku dan pergi ke Sekolah Amar Penghulu.
Aku bertemu Cik Gu Zainal dalam bilik Guru Besar.
‘ Belajar betul dengan baik... bukan semua orang dapat pergi universiti..... kau anak Jelebu.. bangga masuk universiti...’ Nasihat Cik Gu Zainal penjamin biasiswa aku.
‘ Terima Kasih Cik Gu... ‘ Aku menghulur tangan bersalaman tanda hormat.
Masuk Cik Gu Ibrahim.
‘ Ha Isham... nak masuk universiti... tahniah tahniah... sana kamu bebas nanti...’ Dia menepuk bahu aku sambil ketawa. Kami bersalaman dan aku beredar.
Esoknya kami sekeluarga berkereta ke Kuala Lumpur. Mereka menghantar aku ke Universiti Malaya. Amin.
EPILOK 1
Ghani Osman a.k.a Abdga menyambung pelajaran ke Maktab Perguruan Pulau Pinang. Satelah 20 tahun berkelana bila aku pulang Ghani telah menjadi Dr Ghani Osman Profesor Madya. Ghani mengajar Ilmu Hisab di UITM Shah Alam.
EPILOK 2
Hatta Shahrom tidak dapat masuk universiti. Dia menyambung belajar Taylor College. Kemudian menyambung pelajaran di Mesir. Menjadi doktor perubatan.
EPILOK 3
Ibrahim Yok a.k.a Ibrahim Salleh masuk ke Fakulti Sains Universiti Pulau Pinang.
EPILOK 4
Anwar Wabbit a.k.a Anwar Rahim diterima sebagai pelajar Fakulti Pertanian Universiti Malaya.
EPILOK 5
Hamid Samad masuk Fakulti Ekonomi Universiti Malaya.
EPILOK 6
Mahmud Awang Kecik sambung pelajaran ke Universiti Surabaya. Menjadi doktor pakar Jantina di Ampang Puteri.
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/12/12/keputusan-peperiksaan
Adam ADLI pun lulus peperiksaan. Kini dah jadi Timbalan Menteri. Dulu sama2 bangun melawan dengan air asid FRU. Engkau tak Bergembira?
BalasPadam