KOLEJ KELIMA
AKU SAMPAI
Aku masih ingat lagi petang Ahad 7 Februari 1971 Pak Cik Amjal memandu kereta hijaunya untuk membawa aku ke Kolej Kelima Universiti Malaya (UM).
Emak , Abah dan anak buah aku Norita dan Atan menemani aku. Tiga tahun dulu Pak Cik Amjal jugalah yang membawa aku ke MCKK. Kali ini dia membawa aku ke Kolej Kelima Universiti Malaya.
Ini kali pertama aku masuk ke dalam kampus Universiti Malaya. Mata aku terbuka luas – memerhati dan merakam. Melihat bangunan, pokok, dahan , rimbunan buluh dan wilayah yang akan menjadi laman permainan aku.
Kolej Kelima tersorok di sempadani oleh hutan belukar , ladang sawit dan kebun buah-buahan. Asrama terbaru di UM.
Terdapat Dewan Besar dua tingkat. Bahagian atas Dewan Makan dan Pentadbiran. Bahagian bawah berdinding kaca dengan kerusi empok sebagai bilik rehat dan bilik membaca akhbar.
Di tepi dewan ini aku nampak ada meja pendaftaran yang dikendalikan oleh beberapa pelajar. Aku mendaftar.
Aku lihat ramai pelajar lama telah sampai. Pelajar lama kelihatan relak dan bising dengan gelak ketawa. Manakala aku – freshie - pelajar baru masuk masih tercari-cari.
Depan Bangunan Utama ada dataran bersimen dan bertangga. Dataran ini dikelilingi oleh lima blok asrama empat tingkat. Blok A, B, C. D dan E. Blok A dan B khusus untuk pelajar perempuan.
Bilik aku nombor 306 di Blok C.
Satelah aku mendaftar dan mendapat kunci bilik kami naik ke Dewan Makan.
Makan malam sedang dalam persediaan.
‘ Ada masak cara Melayu.. ada masak Cina... semua halal....’ Emak aku bersuara.
‘ Acik malam ni gulai ayam....’ Norita anak buah aku yang ternampak tukang masak sedang memotong ayam di dapur.
Emak aku seperti biasa berbual panjang dengan Mak Cik tukang masak. Dari perbualan ini Emak aku dapat maklumat sistem masakan Kolej Kelima.
Pada tahun 1971 aku datang ke UM dengan beg kanvas berwarna hijau. Ini beg askar milik Abah aku. Tak banyak barang yang aku bawa. Sehelai towel mandi, kain sarung, tiga seluar panjang, empat helai baju kemeja, dua helai baju T sepasang kasut kulit dan selipar Jepun.
Aku tidak membawa buku bacaan. Yang aku bawa hanya sebatang pen dakwat kering dan dua keping buku latihan. Aku telah biasa dalam hal pindah randah dan duduk di asrama. Pengalaman mengajar aku untuk berpindah ringan.
Satelah meninggalkan barang dalam bilik C 306 aku mengikut keluarga kembali ke Warung Amjal di Jalan Pantai tidak jauh dari pintu masuk ke UM. Di sana kami berpisah.
‘ Belajar elok-elok..’ Abah aku yang tak banyak cakap memberi ingatan.
Aku menapak kembali masuk ke Kolej Kelima.
Di dewan makan semua ‘freshie’ diberitahu sesudah makan wajib berkumpul di dataran depan dewan makan.
Malam itu Minggu Orientasi Koleh Kelima bermula. Orientasi juga bukan satu yang baru untuk aku. Di MCKK freshie diwajibkan memakai tali leher selama dua minggu. Di Kolej Kelima kami juga wajib memakai tali leher selama dua minggu.
Aku senang sekali kerana aku kembali ke dunia Jelebu yang bukan dunia MCKK dimana semuanya jantan Melayu.
Paling menarik ada freshie siswi sama beratur pada malam itu. Mata aku mula memberi perhatian. Ini perkara baru untuk mata aku yang selama ini hanya melihat jantan, jantan dan lelaki.
Malam itu kami diajar lagu anthem Kolej Kelima:
We are fifth collegian
Mighty fifth collegian
Where ever we go
People want to know
Who we are
So we tell them
We are fifth collegian
Lagu Kolej Kelima ini mengingatkan aku kembali kepada anthem MCKK:
Bung wak wak
Bung keh kek
Who are we
Malay Collge
Can’t you see
Malam pertama di UM aku telah mendengar perkataan ‘ fuck ‘ dan ‘ cibai’ keluar dari mulut para senior yang sedang mengorientasi kami.
Pada malam ini juga aku berkenalan dengan Adi Satria, Hamzah Ros, Gan, Yong Yuet Yuan, Nordin, Mubarak Husin , Papa Mus dan John Zainal Carrey.
Pada malam itu juga pertama kalinya aku ternampak Khaton, Suraya, Fareeda, Zaleha, Raja Norani, Siti Hawa, Habibah, Regina Maniam, Yok Ju.
Selesai pengenalan aku pulang ke bilik C 306. Teman sebilik aku ialah Seng freshie Sains dari Ipoh.
‘ Hai romate....’Aku bersuara dan menghulur tangan.
‘Isham from Jelebu.... Seremban...’ Aku menambah.
‘ Seng... from Ipoh... Anderson School... ‘ Kami bersalaman.
Awalnya aku merasa agak kekok sebilik dengan anak muda Cina dari Ipoh ini. Kekok ini bukan kerana aku tak pernah tidur sebilik dengan anak Cina. Lee Keong kawan aku dari Jelebu adalah anak Cina.
Malam itu aku merasa janggal kerana pertamanya tidur di bilik baru. Kedua aku belum kenal dengan Seng. Kami baru sampai belum sempat bersuai kenal.
Dari apa yang aku difahamkan dasar rakan sebilik wajib bangsa asing ini adalah dasar yang dikuatkuasakan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
Kami generasi kedua pasca Mei13 diwajibkan sebilik dengan yang berlainan bangsa. Ini untuk memastikan silaturahim terjalin kembali sesudah berlakunya tragedi 13Mei.
Senin esoknya aku ke Dataran Sastera. Aku mendaftar sebagai pelajar Fakulti Sastera. Aku mengambil mata pelajaran Sejarah, Bahasa Cina, Pengajian Melayu, Sosiologi Antropologi dan Sastera Inggeris.
Disini aku bertemu kembali dengan kawan-kawan Budak Koleq. Hamid Samad budak Kota Tinggi menjadi residen Kolej Ke Dua. Baharuddin dari Tangkak menjadi residen Kolej Keempat. Yang lain menginap di luar menyewa rumah secara berkumpulan.
Mereka yang duduk di luar di kenali sebagai Non Hostelite Organisation (NHO) Mereka bebas dari Minggu Orientasi.
Minggu Orientasi berjalan rancak. Setiap malam ada saja aktiviti yang dijalankan. Kalau tidak menyanyi, kita berjoget. Jika tidak berjoget kita bersukan.
Ragging berjalan dengan penuh lawak ketawa. Yang ketawa para senior . Yang menjadi bahan ketawa para freshie.
Sekali imbas ragging ini dilihat buang masa dan agak bodoh tetapi dari dua minggu orientasi inilah lahirnya setia kawan dan solidariti kesetiaan terhadap Kolej Kelima.
Identifikasi diri muncul terutama bila kami bersukan. Pasukan Kolej lain kami anggap musuh.
Musuh ketat Kolej Kelima ialah Kolej Kedua. Dalam bidang sukan kami sering bertempur semenjak dari minggu orientasi. Bola, badminton, ragbi, takraw - kami akan bersaing hangat.
Minggu pertama berakhir. Masuk minggu ke dua JKK Orientasi membuat pengumuman untuk melawat Kilang Harimau di Shah Alam. Aku dengan serta merta mendaftar. Dari hikayat Kolej Kelima lawatan ke Sarang Harimau ini menjadi satu yang amat menarik.
Bas pendek milik PMUM datang pada petang Sabtu itu. Separuh dari rombongan ini adalah para senior dan ahli JKK Minggu Orientasi.
Petang itu yang menjadi Tok Penghulu melawat Sarang Harimau ialah Kuldip Singh. Kuldip telah beberapa kali datang melawat kilang ini.
‘ Beer is good for digestive..... but not too much... a glass of beer sama dengan 6 buku roti...’ Kuldip menerangkan ketika dalam perjalanan dari kampus ke Subang.
Aku terperanjat bila sampai kami disambut oleh S. Roomai Noor Pegawai Perhubungan Awam.
Sosok ini aku kenal. Pelakon filem Merayu dari Cathay Keris Filem Production. Aku kenal wajahnya kerana aku selalu menuntun gambar Melayu di Ruby Thaeter Kuala Klawang.
Aku tidak menyangka dapat bertemu dan bersalaman dengan S. Roomai Noor dalam kilang Harimau.
Di dinding bilik tamu ada lukisan mural sejarah beer. Baru aku sedar bahawa beer ini adalah penemuan warga Arab Mesir ribuan tahun dahulu. Dari zaman Firaun lagi beer telah diminum.
Justeru al-cohol dan beer dari perkataan Arab.
Kami dibawa melawat kilang. Kami diberi penerangan tentang bijirin yang diperlukan untuk membuat beer.
Kami juga diberi tahu bahawa air untuk pembuatan Harimau ini berpunca dari Sungai Klang.
Babak akhir samapi.Kami di rayakan dengan minuman Harimau yang baru selesai ditapaikan. Berjag-jag air Harimau sampai dibawa oleh penyambut tamu.
Baru aku faham kenapa Kuldip Singh telah beberapa kali datang melawat Sarang Harimau. Ada minuman beer percuma.
Sambil minum Harimau aku teringat kembali babak aku kena rotan di MCKK keran minum beer.
Kini aku seorang mahasiswa tidak ada larang yang tidak akan aku langgar. Di UM tidak ada prefect yang akan menangkap aku. Tidak ada Guru Besar yang akan merotan aku.
Seperti kata Cik Gi Ibrahim yang sama mengajar dengan Ck gu Zaleha ‘... Isham ... di universiti ini tempat bebas...’ (TT)
TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL MALAYSIA NOW
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/12/22/kolej-kelima-aku-sampai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan