Khamis, 22 Disember 2022

MAYAT BELUM DITEMUI



Hanya seorang murid SJKC Mun Choong belum ditemui

HANYA seorang murid Tahun 5 dari SJKC Mun Choong yang masih belum ditemui dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, U Chin Ong.

Beliau berkata 26 daripada 27 orang yang dikaitkan dengan sekolah berkenaan disahkan meningal dunia di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.

“Jika tidak silap jumlah keseluruhannya adalah 26 orang termasuk enam guru dan pekerja kantin yang bekerja di sekolah ini. Mangsa lain adalah kenalan kepada mereka semua.

“Setakat ini semua sudah ditemui kecuali seorang murid lelaki darjah lima. Sebenarnya kami merancang untuk membuat majlis memperingati mangsa tanah runtuh ini, namun disebabkan ada beberapa keluarga yang belum selesai proses pengebumian serta masih ada yang belum ditemui, jadi kita akan tunggu dulu.

“Sebab mereka ini (pengusaha kantin) juga adalah sebahagian dengan sekolah ini, jadi tak boleh sisihkan mereka. (Bila semua sudah selesai) kita akan buat majlis di sekolah ini sebagai kenangan guru-guru dan pengusaha kantin,” katanya memetik laporan The New Straits Times hari ini  selepas menerima sumbangan RM50,000 daripada syarikat pembinaan Gadang Holdings Berhad di sekolah itu, hari ini.

Chin Ong berkata pihak sekolah tidak tahu berapa banyak yang telah didermakan oleh orang ramai atau perniagaan dan berkata Gadang Holdings turut memberi sejumlah besar sumbangan.

“Pihak sekolah juga ada membuka tabung sumbangan dan setakat ini respon yang diberikan sangat baik, selain sumbangan dari rakyat Malaysia kami juga menerima sumbangan dari Singapura,” katanya.

Chin Ong berkata pihak sekolah tidak membenarkan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengutip dana untuk ahli keluarga mangsa tetapi menyedari terdapat NGO yang mengumpul wang menggunakan nama sekolah.

Setakat 10.30 pagi hari ini empat lagi mayat ditemui oleh anggota penyelamat di tapak tanah runtuh Batang Kali, kata polis, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban dalam bencana itu kepada 30 orang.

Pencarian, kini memasuki hari ketujuh, ditangguhkan kira-kira jam 10 malam semalam.

Seramai 94 orang dilaporkan berada di tapak perkhemahan berkenaan yang terletak berhampiran Genting Highlands, sebelum berlaku tanah runtuh sekitar jam 3 pagi pada 16 Disember.

61 orang telah diselamatkan. – 22 Disember, 2022.



TERIMA KASIH

YANG BERTUGAS

KHALAS



Tiada ulasan:

Catat Ulasan