Ahad, 27 November 2022
TOLAK MI SPIK NO INGLIS
Jangan letak mereka yang ada kes mahkamah di Kabinet, kata Nik Nazmi
KABINET yang akan dibentuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menetapkan standard yang tinggi dengan tidak melibatkan wakil rakyat yang sedang berdepan kes di mahkamah, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata ia penting bagi mengelak timbulnya pertikaian integriti memandangkan kes mereka sedang dalam perbicaraan.
“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak selain rakyat sangat tekankan selepas Pilihan Raya Umum ke1- (PRU14_ pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.
Antara wakil rakyat yang sedang dibicarakan termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
September lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Zahid tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie dalam kes rasuah berkaitan Ultra Kirana Sdn Bhd, syarikat yang diberikan kontrak sistem visa pekerja asing ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.
Bagaimanapun, Zahid masih mempunyai kes korupsi lain melibatkan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan nilai jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Guan Eng pula sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima RM3.3 juta rasuah sebagai habuan membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) mendapatkan kontrak bernilai RM6,341,383,702.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28, Komtar, George Town, antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Syed Saddiq pula didakwa atas tuduhan pecah amanah, salah guna aset dan pengubahan wang haram.
Beliau dituduh bersubahat dengan bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahguna dana itu di Menara CIMB KL Sentra, Jalan Sentral 2, pada 6 Mac 2020.
Ketika kesalahan dilakukan, Syed Saddiq adalah ketua Pemuda Bersatu yang diamanahkan mengawal dana itu. – 27 November, 2022.
SATU LAGI PERANAN ISTANA
Wan Rosdy MB Pahang dalam kerajaan BN-Pakatan
PENGERUSI Barisan Nasional Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail akan dilantik semula sebagai Menteri Besar Pahang esok, kata Istana Pahang dalam satu kenyataan.
Beliau akan mengetuai kerajaan BN-Pakatan Harapan.
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan melantik Wan Rosdy sebagai menteri besar yang akan mengangkat sumpah pada jam 11 pagi esok.
Pilihan raya negeri Pahang - diadakan serentak dengan pilihan raya umum Sabtu lalu - menyaksikan tiada pemenang jelas dengan Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, manakala BN 16 dan PH 8.
Persefahaman antara BN dan PH adalah kesinambungan daripada perjanjian yang sama di Perak yang mana BN diberi jawatan menteri besar di negeri itu walaupun mempunyai bilangan kerusi yang lebih rendah berbanding PH.
Di Perak juga, PN muncul sebagai pemenang terbesar tetapi tidak cukup majoriti bagi membentuk kerajaan sendiri.
PH dan BN turut bekerjasama di peringkat persekutuan untuk membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan dan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Empat hari lalu, lapan wakil rakyat PH yang memenangi kerusi DUN pada PRU15 menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong pengerusi BN negeri Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang.
Ia disahkan oleh Sim Chon Siang, yang memenangi kerusi DUN Teruntum.
Beliau berkata, majlis menandatangani SD itu diadakan di pejabat peguam di Temerloh hari ini.
Sim berkata, wakil rakyat lain yang bersamanya menandatangani SD adalah Chan Chun Kuang (Semambu), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Woo Chee Wan (Mentakab) dan Thomas Su Keong Siong (Ketari).
Terdapat 42 kerusi di DUN Pahang, tetapi pengundian bagi kerusi Tioman akan diadakan pada 7 Disember ini, berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi pada hari pengundian Sabtu lalu, dipercayai akibat serangan jantung. – 27 November, 2022.
PANDANGAN REPUBLIKAN TERHADAP MONARKI
PANDANGAN
REPUBLIKAN
TERHADAP
MONARKI
Saya Hishamuddin Rais adalah seorang republikan. Ini bermakna saya menganut faham ketatanegaraan yang berbentuk republik. Perkataan republik ini bermakna orang ramai. Dari perkataan Inggeris public – orang biasa.
Lawan orang biasa ialah kaum bangsawan dari kelas feudal.
Untuk penganut fahaman Republikan sesebuah kerajaan itu adalah kerajaan orang ramai, didirikan oleh orang ramai untuk orang ramai. Kerajaan rakyat didirikan oleh rakyat untuk rakyat.
‘ The goverment of the people, by the people, for the people...’ Ini petikan kata-kata ucapan Presiden Abraham Lincoln (1809-1865) pada 19 November 1863 DI Gettysburg. Ucapan garis perjuangan politik Amerika ini dilafazkan ketika Perang Saudara (1861-1865) di Amerika.
Kata-kata ini menjadi asas politik Amerika dan juga asas politik banyak negara dalam dunia yang mengamalkan demokrasi dan pilihan raya termasuk Malaysia.
Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi berparlimen kita diikat pula dengan sistem Raja Berperlembagaan.
Pada tahap persejarahan tamadun Malaysia hari ini, sebagai seorang republikan saya tidak melihat ada percanggahan antara kuasa rakyat melalui undi dengan kuasa Raja melalui darah keturunan.
Pada hemat saya pada tahap in Raja dan Sultan – Raja-Raja Melayu sedang memainkan peranan yang penting lagi positif.
Mungkin ada yang akan terperanjat bila membaca apa yang saya tulis. Apakah ayat menyatakan sokongan terhadap monarki ini sebagai ayat murtad dari tulisan seorang republikan.
Tidak. Jawabnya tidak. Ini kerana saya memiliki hujah untuk mempertahankan kenyataan saya ini.
Dalam perkembangan politik Malaysia pasca PRU15 saya melihat Raja-Raja Melayu telah menjadi penyelamat.
Selamatkan dari siapa? Siapa musuh kita?
Mari sini hambo nak royak.
‘ Jangan serah negara kepada ekstremis kaum dan ekstremis agama...’ Ini induk ucapan Tengku Nazrin Sultan Perak pada 22/11/ 2022 ketika penubuhan kerajaan campuran Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Ucapan Sultan Perak ini bukan baru. Semenjak tahun 2019 lagi media telah melaporkan ucapan yang isi dan tema yang sama.
Untuk mudah dihayati kerajaan baru di Perak adalah kerajaan campuran BN dengan PH. Di dalam gabungan ini ada United Malays National Organisation dengan Democratic Action Party. Satu parti Melayu dan satu parti Cina.
Apa berlaku di Perak adalah sejarah. Kerjasama dua musuh politik yang selama ini bertelagah. Kini boleh sokong menyokong. Boleh bertolak ansur demi kepentingan ramai.
Tidak dapat tidak Sultan Perak telah memainkan peranan yang amat penting. Monarki telah berjaya mempertemukan dua musuh politik untuk bekerjasama dalam dewan. Amin
Siapa dia ekstremis agama dan siapa pula ekstremis kaum ?
Ekstremis agama wujud dalam Parti Islam PAS. Ekstremis kaum wujud dalam parti DAP. Ini hakikat tidak perlu dinafikan.
Saya selalu berseloroh mentakrifkan bahawa DAP ini ialah PAS Cina manakala PAS ini ialah DAP Melayu.
Dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.
Ekstremis kaum mahu membawa orang China Malaysia ke budaya China Merah. Tidak mahu mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu.
Manakala ekstremis agama mahu mewujudkan negara bangsa berteraskan budaya Arab. Tidak mahu mendirikan negara bangsa yang berteraskan Melayu.
Dua-dua sama bahaya. Justeru dua ekstremis ini dianggap musuh kerana mereka mengganggu gugat gaya hidup kita rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia mahu hidup sebagai rakyat Malaysia bukan cara Arab atau cara China.
PRU 15 selesai. Undi dikira. Hasilnya tidak ada gabungan parti politik yang memiliki majoriti yang boleh mendirikan kerajaan. Pakatan Harapan mendapat 82 kerusi, Barisan Nasional 30, Perikatan Nasional 73, GPS 23. GRS 6, Warisan 3, PBM 1 dan dua kerusi Bebas.
Parlimen tergantung. Maka perbincangan untuk mendirikan kerajaan campuran bermula.
Untuk menyedapkan cerita dari awal lagi Muhyidin dari Perikatan Nasional klim dia memiliki 115 undi. Justeru Perikatan Nasional akan mendirikan kerajaan.
Umum diberitahu BN kini bersama PH. Justeru ada majoriti 112. Angka majik untuk menubuh kerajaan.
Dari mana pula Muhyidin dapat angka 115?
Lebai Desas dan Haji Desus mula bersuara. Lebai Desas Desus mengatakan bahawa Hishammuddin Hussein dan 10 YB dari Barisan Nasional telah menanda tangani akuan bersumpah menyokong Muhyidin.
Ketika ini klip video Abang Jo keluar memberi gambaran yang GPS tidak berminat dengan Pakatan Harapan kerana perangai DAP.
Semua ini menjadi asas kiraan jumlah undi milik Perikatan Nasional. GPS dan GRS dibaca bersama Muhyidin.
Bila berita ini tersebar satu Malaysia jadi gempar.
Ketika ini soalan mula muncul apakah konsert Black Pink akan di batal. KPop Army menjadi risau.
Konsert ini akan diadakan pada 4 Mac tahun depan di Stadium Bukit Jalil. Tiket kumpulan dari Korea ini telah terjual habis dalam masa 30 minit. Tiket termahal 8,000 ringgit termurah 300 ringgit.
Apakah gaya hidup anak muda Malaysia akan diganggu gugat oleh ekstremis agama dalam Perikatan Nasional.
Ini soalan dari sesiapa sahaja yang menghayati dan menganuti gaya hidup budaya Malaysia.
Takut dengan Perikatan Nasional merebak luas apabila klip ceramah pendek Muhyidin tentang ‘ kristianisasi’ menular. Ini diikuti pula dengan klip Haji Hadi tentang betapa tidak bertamadunnya warga Dayak yang bercawat dan bertatu.
Klip Tik Tok kristianisasi membuka ingatan terhadap larangan Orang Melayu agar jangan mengucapkan Kong Hee Fatt Chai, Merrry Christmas, Happy Dewali kepada kepada yang bukan Melayu.
Lalu ingatan terhadap Gawai datang kembali. Gawai adalah Oktober Fest untuk Dayak di Sabah dan Sarawak. Perayaan minum air tapai sambil menari bercawat ini apakah akan dilarang seperti larangan Oktober Fest di Kuala Lumpur.
Saya sendiri teringat akan heboh-heboh tentang Bon Odori. Ini pesta Masyarakat Jepun di Malaysia yang dirayakan saban tahu di Shah Alam.
Heboh Odori yang dimulakan oleh ekstremis agama ini melebar hingga Sultan Selangor terpanggil.
‘ Sultan Selangor titah menteri hadir Festival Bon Odori, fahami beza agama dan budaya...’ petikan tajuk berita Astro Awani 9 Jun 2022.
Sultan Selangor telah menyelamatkan gaya hidup rakyat Malaysia. Pesta Bon Odori selamat.
Jelas secara positif monarki telah membawa pencerahan dari kegelapan yang disebar oleh ekstremis yang menggunakan agama sebagai alat tunggangan politik.
Gaya hidup kita ini lahir dari kawasan alam sekeliling. Budaya kita ini juga lahir dari pengaruh alam sekeliling. Orang Melayu ke sawah, ke hutan bercucuk tanam. Dari pembuatan ekonomi ini lahirkan budaya Melayu.
Kita Melayu kita bukan Arab. Bangsa Arab ada cara hidup dan budaya mereka sendiri. Kita Melayu Nusantara hidup dalam bumi tropika. Arab hidup dalam budaya padang pasir dan iklim bumi mereka.
China Malaysia bukan China dari Taiwan atau dari Peking. China Malaysia tidak tahu musim salji. China Malaysia tidak menanam buah apple atau buah lai. China Malaysia tanam buah durian dan manggis.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Masuk hari ke dua sesudah pengundian selesai. Kerajaan masih belum terdiri. Yang Dipertuan Agong memanggil Anwar dan Muhyidin menghadap.
Agong ingin tahu siapa sebenar yang memiliki jumlah YB yang cukup untuk mendirikan kerajaan.
Monarki memberi cadangan untuk ditubuhkan Kerajaan Perpaduan. Ini kerana belum jelas siapa diantara PH dan PN yang memiliki suara majoriti. Cadangan dari Agong ini adalah jalan tengah untuk menyelesaikan kemelut politik.
Saya menyokong cadangan Agong ini. Malah dari awal lagi apabila dirasakan tidak ada gabungan yang akan mendapat majoriti saya secara terbuka telah mengajukan Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Perpaduan ini menjemput semua parti politik bersama demi kesejahteraan rakyat. Ini untuk mengelakkan dari pangkah memangkah yang akan menyebabkan kepentingan ramai terganggu gugat.
Kerajaan Perpaduan akan mengurangkan politik untuk bersepadu menghadapi ekonomi dunia yang akan meleset.
Kerajaan Perpaduan amat diperlukan untuk kita bersiap sedia memasuki alam yang akan diubah oleh malapetaka cuaca.
Sayang sekali Muhyidin satelah keluar dari Istana dia mengadakan sidang akhbar. Muhyidin menolak cadangan Agong. Umum melihat apa yang dilakukan oleh Muhyidin ini kasar, sombong dan bodoh.
Muhyidin terus berpegang dengan 115 Akuan Bersumpah yang dimiliki. Jika PN memiliki 115 YB maknanya jumlah YB bersama Anwar tidak cukup untuk PH mendirikan kerajaan baru.
Di Sabah dan di Sarawak ketakutan terhadap ekstremis agama mula membawa perpecahan dalam GPS dan GRS.
Ketika ini Ketua Polis Negara umum PDRM akan mengadakan sekatan jalan di seluruh negara. Suasana agak tegang.
Muncul satu klip video sebuah van membawa iklan : Say No To PAS. Polis Kuching telah menahan van dan pemandunya.
Satu klip video menular memperlihatkan anak anak muda berkuda dengan bendera a la ISIS di Permatang Pauh. Polis Pulau Pinang menafikan bendera yang dikibar adalah bendera ISIS.
Tapi berkuda membawa bendera bukan kelaziman anak muda Melayu. Kalau merempit masuk akal. Amin
Agong dari memberi cadangan kini Agong bertitah.
Titah Agong : Jalan terbaik menyelesaikan kemelut politik ada ialah mendirikan kerajaan perpaduan.
Dalam masa yang sama Istana Negara mengumumkan Raja-Raja Melayu akan bersidang untuk membincangkan keadaan parlimen yang masih tergantung.
Bila Agong bertitah. Dan bila para politikus mendengar Kakanda dan Adinda akan berjumpa maka dengan serta merta perubahan berlaku.
Satelah mendengar titah Agong , saya yakin telefon Anwar Ibrahim tak putus-putus menerima sokongan untuk bersama dengan PH mendirikan kerajaan. Malah Hamzah Zainuddin pemimpin ke dua tertinggi dalam Perikatan Nasional telah membelakangkan Muhyidin kerana tidak mahu ditinggalkan. Begitu juga pandangan Takiyuddin taiko dari Parti PAS.
Kini dilaporkan media PN juga mahu bersama menyokong PH.
GRS dan GPS dengan serta merta akur dengan titah Agung. Semua meninggalkan PN. Akhirnya jumlah sokongan kepada PH membuak naik.
Apabila Raja-Raja Melayu bersidang ini hanyalah formaliti. Titah Agung telah lebih awal menyempurnakan angka yang selama ini dicari gali oleh Anwar Ibrahim.
Justeru saya seorang Republikan berterima kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana telah menyelamatkan Malaysia. Tanpa monarki besar kemungkinan kemelut politik ini belum selesai.
Anwar Ibrahim dinobat sebagai PM ke 10 . Kerajaan campuran PH dan BN didirikan. Amin
Gaya hidup kita semua rakyat Malaysia selamat dan dapat diteruskan tanpa gangguan ekstremis agama.
Maka seperti dalam Sulalatus Salatin maka saya juga mengakhiri tulisan ini dengan sebuah pantun untuk ingatan cucu cicit kita:
Jagung ditanam rumput bercambah
Bijan ditabur berwarna merah
Agong bertitah numbo bertambah
Kerajaan gaya hidup berdiri megah
AMIN - (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/414311
SATU KEJAYAAN
Lantik menteri berwibawa, hapus jawatan tidak perlu, kata penganalisis
SUDAH tiba masanya untuk Anwar Ibrahim menunaikan janji-janji pembaharuannya, terutamanya membentuk barisan Kabinet lebih kecil yang mahir dalam mengendalikan keperluan negara, kata pakar.
Mereka berkata perdana menteri baharu itu juga mesti menghapuskan semua jawatan yang tidak perlu yang berstatus menteri, seperti utusan khas dan penasihat khas.
Mereka juga memberi cadangan mengenai perkara yang perlu dilakukan segera oleh pentadbiran baharu, termasuk memastikan kebebasan akademik dan menawarkan perlindungan sewajarnya kepada mangsa penderaan seksual, terutama di institusi pengajian tinggi.
Jurucakap G25 Noor Farida Mohd Ariffin memberitahu The Malaysian Insight, Malaysia tidak memerlukan Kabinet besar seperti ketika di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
Bekas duta itu menegaskan Anwar tidak perlu bersusah payah untuk menenangkan rakan kongsinya dalam kerajaan dengan menawarkan jawatan sebagai balasan kepada sokongan.
“Apa yang kita tidak perlukan ialah Kabinet yang membosankan seperti di bawah pentadbiran Muhyiddin dan Ismail Sabri. Pada pandangan saya, kita sepatutnya mempunyai kementerian penting seperti kewangan, pendidikan, kesihatan, perdagangan, pertanian dan sebagainya.
“Selain itu, kita tidak memerlukan utusan khas untuk mewakili kerajaan. Ia bertindih dengan tugas menteri.
“Kementerian dalam negeri sudah tentu adalah kementerian terpenting dan harus dikekalkan. Begitu juga, kita memerlukan kementerian pertanian kerana kita masih sebahagian besar negara pertanian,” kata bekas penjawat awam tertinggi itu.
Noor Farida menambah satu kementerian yang Anwar boleh lakukan tanpanya ialah kementerian hal ehwal agama yang biasanya menyelia isu-isu Islam.
Ini kerana katanya sudah ada agensi dan jabatan Islam untuk menjaga hal ehwal agama.
“Tidak perlu ada kementerian hal ehwal agama. Jakim (Jabatan Kemajuan Islam) sudah ada di peringkat Persekutuan dan setiap negeri ada agensi Islam sendiri,” katanya.
Dr Sharifah Munirah Alatas dari Universiti Kebangsaan Malaysia juga bersetuju Anwar harus mempunyai kabinet kecil tetapi mengakui ia akan menjadi cabaran besar bagi perdana menteri yang baharu dilantik.
“Kabinet kecil adalah perlu untuk mengekalkan kecekapan perkhidmatan awam. Lebih ramai menteri yang anda ada, lebih banyak rakyat perlu menyumbang untuk membayar gaji kakitangan awam yang berkhidmat sebagai “bos” menteri mereka.
“Dalam erti kata lain, rakyat terpaksa menyumbang kepada gaji menteri. Adakah kita sanggup melakukan ini untuk menteri yang tidak cekap? Tidak!
“Memilih barisan menteri yang berwibawa dari seluruh gabungan politik dalam kerajaan perpaduan ini sungguh menakutkan, lebih-lebih lagi kerana rakyat sedar betapa sia-sianya Kabinet yang tidak berguna.
“Selain itu, ia akan menjadi satu cabaran besar untuk mengekalkan bilangan menteri yang rendah. Kami sebagai rakyat sudah muak dengan Kabinet yang besar dan gaji yang diperlukan untuk mengekalkan gaya hidup mereka,” kata Munirah.
Henti lantikan politik di universiti awam
Anak perempuan kepada ahli sosiologi terkenal Syed Hussein Alatas itu turut membangkitkan beberapa isu yang perlu diberi perhatian tambahan oleh Anwar.
“Kabinet baharu mesti menguatkuasakan dasar gangguan seksual dan sesiapa yang menjadi menteri mesti memastikan universiti mengambil serius laporan gangguan seksual. Mereka mesti memastikan universiti menguatkuasakan dasar gangguan seksual dan memberi kaunseling kepada mangsa yang terselamat,” katanya.
Menurut ahli akademik itu, universiti gagal menangani isu itu dan kementerian sebelum ini bersikap acuh tak acuh.
Munirah berkata kerajaan juga mesti menghentikan jawatan lantikan politik di universiti awam yang disifatkannya berleluasa.
“Memandangkan krisis ekonomi yang sedang kita hadapi sekarang, rakyat tidak menghargai lantikan politik semata-mata untuk meredakan ego. Bagaimana Anwar mengemudi ini masih perlu dilihat. Malah lantikan politk di universiti kita, semakin berleluasa. – 27 November, 2022.