Rabu, 25 Januari 2023

AIR BATU GLASIER MULA CAIR


AIR BATU GLASIER

  MULA CAIR


Zaman Air Batu telah terjadi di atas muka bumi ini kira-kira 2.4 bilion tahun dahulu. Selama 11.500 tahun bumi kita ini dibungkus oleh salji dan air batu.

Umat manusia yang  mula wujud di atas muka bumi ini kira-kira 300,000 tahun dahulu. Homo sapiens bercabang  dari Homo erectus muncul  dari wilayah Afrika Timur. Hari ini kawasan  permulaan manusia muncul ini  dikatakan wilayah berhampiran dengan negara Ethiopia. 

Di wilayah inilah asal usul nenek moyang kita semua. Nenek moyang  semua umat manusia. Umat manusia semua bangsa dan manusia semua agama. Amin.

Dari wilayah ini – dalam masa berjuta tahun – umat manusia bergerak dalam kumpulan merayau dan berpindah. Ada ke Utara ke Eropah, ke Amerika, ke Timur  ke benua Asia hingga  ke Australia.

Mereka bergerak untuk mencari dan memburu makanan. Proses berevolusi ini mengambil masa berjuta-juta tahun sebelum menjadi manusia yang kita kenali sebagai manusia hari ini.

Ketika  zaman air batu berjalan  umat manusia yang di Afrika tidak merasakan impak teruk dari kesejukan zaman air batu. Mereka mengadaptasi.

Waktu berjalan. Bumi berevolusi. Pokok mati pokok tumbuh. Binatang mati binatang lahir. Mati tumbuh hilang berganti. Mayat, bangkai dan serpihan  plankton inilah yang ditelan bumi untuk menjadi minyak dan arang  batu. Inilah asal usul bahan bakar tenaga fosil.

Masa terus berjalan. Iklim  juga berubah kerana berlaku pergerakan kedudukan muka bumi yang berhadapan dengan matahari. Bumi beralih sendeng. Kini planet bumi mula merapati matahari seperti kedudukan bumi kita hari ini. 

Pergerakan kedudukan bumi yang baru ini membolehkan panas cahaya  matahari  mencairkan air batu yang menutup bumi.  

Air batu yang cair   menjadi sungai dan laut. Ada  kawasan muka bumi tenggelam dan ada yang timbul.  Ada kawasan menjadi benua dan  ada  menjadi  pulau-pulau.

Proses berevolusi ini mengambil masa beratus juta tahun. Hingga menjadi dunia yang kita ketahui sebagai dunia hari ini.

Hari ini masih  ada air batu dan salji di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Salji dan glasier ini adalah  peninggalan Zaman Air Batu.  Glasier dan salji juga masih ada di pergunungan  seperti di Banjaran Himalaya atau di  gunung di Eropah.

Mengikut para  saintis  glasier ini adalah peninggalan zaman air batu yang berakhir 10.000 tahun dahulu.

Di Kutub Utara  kawasan ini dipanggil Arctic Circle. Kawasan ini terletak di Utara Scandinavia, Rusia , Canada, Greenland dan Alaska.

Warga di wilayah ini di panggil  Eskimo atau Inuit. Kalau Arab Badwi hidup  berbudaya dalam padang pasir. Kalau Orang Asal – Senoi dan Temiar - hidup dalam hutan belantara. Orang Eskimo hidup berbudaya  dalam benua air batu.

Kutub Selatan atau Antartic Circle terletak di bawah benua Australia dan benua Amerika Latin. Di wilayah ini tidak ada manusia hidup berbudaya disini.

Wilayah ini di klim oleh negara New Zealand, Australia, France, Norway, United Kingdom, Chile dan Argentina.

Kita juga – Malaysia – ada merakamkan kepentingan kita di Antartic Circle. Malaysia menanda tangani beberapa perjanjian antarabangsa terhadap wilayah ini.

Hari ini   kenaikan suhu bumi membawa efek rumah hijau. Efek rumah  hijau ini   telah membawa kesan yang amat jelas di wilayah  air batu ini.

Wilayah Kutub Utara dan Selatan ini amat  sejuk dan udara paling bersih,  indah dan nyaman. Kini semuanya semakin berubah.  Perubahan ini mula ditemui apabila  kajian di Kutub Utara  bermula semenjak tahun 1978.

Hasil kajian didapati air batu glasier yang keras beribu-ribu  tahun telah mula bergerak. Glasier yang cair semakin banyak.

Portal berita CNN ( Cable News Network)  dari Atlanta Amerika  telah melaporkan  kepanasan yang amat sangat telah  berlaku pada tahun 2021. Pada 15 ke 17 Julai 2021 air yang cair dari glasier berjumlah 6 bilion tan sehari. 

Selama tiga hari air cair dari glasier ini  boleh mengisi 7.2 juta kolam renang bersaiz Olimpik. Air sebanyak ni  boleh menaikan air laut sebanyak 3 kaki setahun.

Dalam masa yang sama  bahang panas ini juga telah mencairkan glasier di Banjaran Himalaya.

Laporan portal berita  PBS ( Public Brocasting Service )  yang berpangkalan di Arlington Virginia Amerika telah melaporkan pada 20 Jun 2022 glasier di Himalaya makin cair. Tidak pernah berlaku  glasier cair seperti ini dalam masa  10 tahun kebelakangan ini.

Air glasier yang cair dari Himalaya akan masuk ke dalam Sungai Ganges, Indus dan Brahmaputra. Lebih kurang 129 juta kaum tani  bergantung hidup  di lembah  aliran sungai-sungai ini.

Hasil dari pencairan glasier ini telah mengakibatkan banjir di India, Pakistan dan Bangladesh pada tahun 2010, 2012, 2015 dan 2017.

Banjir Sungai Indus paling terbesar berlaku di Pakistan  pada tahun lalu. Hampir  satu par tiga bumi Pakistan ditenggelami air. Amin

Pada 14 Jun ke Oktober 2022 Sungai  Indus yang bermula di Nangka Prabat  Utara Pakistan telah melimpah. Air sungai  yang  mengalir  masuk ke dalam Lautan Arab telah memecah tebing dan melimpahkan banjir.

Dalam ketika yang sama  hujan monsun sampai. Sungai sedang penuh dengan air glasier  cair dari Himalaya. 

Dua  punca air ini bertemu dan menghasilkan banjir terbesar dalam sejarah Pakistan.

Dua sumber air yang masuk ke dalam sungai Indus  telah mengakibatkan  1,739  tercabut nyawa, 14 bilion dolar  kerosakan dan 15 bilion dolar kerugian ekonomi.

Kita juga selalu membaca dan mendengar badan NGO menentang penebangan hutan dan  kayu kayan. Dikatakan hutan Amazon di Amerika Latin dan hutan tropika di Kalimantan sebagai ‘ gudang oxygen’.

Apa sebenarnya peranan hutan rimba ini. Apa maknanya gudang oxygen.

Daun-daun yang hijau dari semua pokok dalam dunia ini memerlukan makanan.  Fakta ini telah diketahui semenjak zaman Mesir Kuno. Justeru penduduk di zaman  Mesir Kuno menyembah matahari yang dipanggil Tuhan Ra. 

Warga Mesir kuno telah tahu tanpa sinar cahaya matahari tidak ada apa yang boleh hidup di muka bumi ini. Justeru mereka menyembah Ra.

Pokok untuk hidup perlu makan. Daun bertugas  mencari makanan untuk pokok berbunga dan berbuah. 
 
Dengan bantuan cahaya matahari daun-daun ini  menyedut gas karbon dioksida dari udara dan air dari bumi. Proses ini menghasilkan gula dan oxygen.

Daun hijau ini kemudian akan mengeluarkan oxygen di waktu siang dengan bantuan  cahaya mata hari.  Proses matahari menyinari daun-daun kayu mencari makan  ini   dinamakan photosynthesis.

Dalam proses photosynthesis ini daun dan pokok ada  menapis dan menyimpan karbon dioksida. Jika hutan terbakar atau hutan ditebang untuk merembat balaknya maka karbon dioksida tidak ada penapis. Juga hilang  tempat gas ini tersimpan.

Bila hutan terbakar gas karbon dioksida akan keluar dan masuk ke atmosfera . Gas ini akan  berkumpul bersama gas methane  dan nitrous  oxide  untuk memayung bumi. Gas-gas yang terkumpul  ini menambah bahang kerana  cahaya matahari terperangkap.

Akibatnya dunia  jadi panas.  Keadaan ikat berikat dan kait mengait ini  sama seperti  lagu Katak dan Ular:

Katak oh katak
Kenapa panggil hujan
Macam mana aku tak panggil
Ular nak makan aku

Ular oh ular
Kenapa nak makan katak
Macam mana aku tak makan
Memang makanan aku

Semua yang wujud  dalam alam kita ini kait berkait. Teranyam tersusun dan teratur  dengan baik seperti  secawan susuk milik Anak Beruang yang ditemui  oleh Goldilocks

Apa pula terjadi dengan air hujan dan air glasier yang masuk ke laut.

Tiga par empat permukaan  planet  bumi adalah air. Tanpa air – H20  -  tidak akan ada apa-apa  hidupan di atas muka bumi ini.

 Justeru roket  yang dihantar  ke bintang Marikh tugas utama adalah   cuba mengenal apakah akan ditemui air di bintang ini. Jika mana-mana planet atau bintang yang ada kombinasi  H2O  besar kemungkinan akan ada kehidupan. Ini hipotesis para saintis.

Dunia yang semakin panas ini bahangnya juga sedang   menaikkan suhu air laut. Dari kajian para saintis yang diterbitkan dalam Jurnal Science Advances pada 20 April 2022 air  laut bergerak 77% dari kebiasaan. Ini akibat pemanasan air laut.

Hubaya hubaya – air laut memainkan peranan yang amat penting dalam  perencanaan iklim dan cuaca dunia kita ini.

Peranan muka  bumi  dan kayu kayan dalam hutan rimba ialah  menyedut  sedikit kepanasan. Permukaan laut juga  menyedut  panahan cahaya matahari. 

Sedutan panahan cahaya matahari di permukaan laut ini  banyak berlaku di wilayah Khatulistiwa  . Jelas laut  berperanan sebagai panel untuk menyimpan dan mengumpul panas.

Bila permukaan laut bertambah panas air laut berkembang dan menjadi semakin banyak.

Suhu air laut bertambah panas. Laut semakin bergelora. Angin laut semakin keras.  

Wilayah lautan yang panas akan memanaskan atmosfera. Udara panas di permukaan laut  akan naik ke langit. Wilayah panas ini menjadi kosong dan terus menarik datang udara  dari wilayah yang tidak panas. Pergerakan angin ini menjadi ribut dan taufan.

Sepuluh tahun kebelakangan ini glasier  dan salji cair. Air laut  jadi panas dan bertambah.  Semua ini hasil dari efek rumah hijau.  Banjir dan ribut taufan semakin kerap.

Apakah langkah yang akan di ambil Homo sapiens. Apakah Homo sapiens akan mengadaptasi seperti  yang telah dilakukan jutaan tahun dahulu ketika bumi dibaluti salju. Tunggu pencerahan. Amin .(TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/424796











Tiada ulasan:

Catat Ulasan