Khamis, 12 Januari 2023

APA ITU RUMAH HIJAU



APA ITU

 RUMAH HIJAU


Satu masa yang agak lama dulu saya pernah terbaca berita Tunku Abdul Rahman berkata : Di Malaysia ini kalau semua warga jadi penganut agama Islam maka baru kita bersatu.

Satu masa yang tidak berapa  lama dulu saya ada melihat klip video YouTube di mana Ronald Reagan Presiden Amerika berkata : Umat manusia ini akan bersatu jika dunia kita diserang oleh makhluk  asing dari luar bumi.

Ketika ini Hishamuddin Rais berkata: Kita tak perlu menganut satu agama untuk bersatu. Kita juga tidak perlu menunggu makhluk asing datang menyerang baru kita bersatu.

Kita perlu bersatu sekarang bukan kerana agama.  Kita perlu bersatu sekarang kerana yang datang ini  lebih pantas dari halilintar membelah bumi. Kita perlu bersatu bukan kerana  serangan  makhluk asing dari bintang Jupiter atau bintang Marikh.

Kita  semua – umat bumi  – anak semua bangsa dan bangsa semua agama – kita wajib sedar bumi  kita sedang diserang oleh malapetaka cuaca.

Kita hanya ada satu bumi. Musnah bumi ini kita tak ada tempat lain untuk hidup bernafas.

Dunia kita sedang berhadapan dengan krisis iklim.  Dunia makin panas  hasil dari dampak rumah hijau.

Apa dia rumah hijau ?

Kita yang duduk di Malaysia  sebuah negara bumi tropika di mana  cahaya mata hari dari Tuhan Ra ada sepanjang tahun. Tuhan Ra memberi rahmat kepada kita dengan  tenaga sinarnya. 

Di Eropah – kalau kita ke Belanda   dan melintas kampung Orang Belanda maka kita akan ternampak banyak rumah hijau. Pak Tani Belanda  bercucuk tanam dalam rumah hijau.

Rumah hijau beratapkan plastik. Rumah ini ada yang berpintu dan berdinding dan banyak pula yang hanya ada atap  tanpa dinding - terbuka lapang.

Rumah hijau Pak Tani ini akan memerangkap cahaya anugerah Tuhan Ra  membantu tanaman  untuk tumbuh cepat dan segar.

Di masa kita di sekolah rendah ada cik gu mengajar kita jika ada air, ada udara dan ada panas maka biji jagung akan tumbuh. Untuk membuktikan perkara ini kita diberi sebutir biji jagung, satu balang  test tube dan kapas.

Kapas di masuk ke dalam balang  kemudian kita masukkan biji jagung. Kapas dibasahkan dengan titisan air. 

Empat hari kemudian jagung bercambah. Ilmu pengetahuan ini sebenarnya adalah asas konsep rumah hijau. Dari  awal lagi kita telah diberi tahu tentang rumah hijau.
Balang test tube itulah rumah hijau.

Ketika itu kita tidak tahu pun apa itu rumah hijau. Malah perkataan rumah hijau amat jarang didengar.

Bumi kita pun  dalam  rumah hijau yang wujud semula  jadi. Rumah hijau  bumi bukan macam rumah hijau di Belanda yang nampak dilihat. Rumah  hijau bumi halimunan.

Asal muasal bumi kita ini dengan ledakan  Big Bang – Kun Fa Yakun bermula 13.8 bilion tahun dahulu .  Dari ledakan  Big Bang ini  debu-debu dan habuk atom telah berkumpul dan berkisar dan membulat hingga terwujudnya planet bumi yang kita kenali sebagai bumi.

 Umur planet bumi ialah 4.543 bilion tahun.

Bumi kita ini cukup unik. Ada berbilion bintang dan planet dalam alam ini tapi setakat tahun 2023 ini  hanya bumi  kita ini yang diketahui ada wujudnya umat manusia.

Para saintis mentakrifkan bumi kita ini sebagai planet Goldilocks. Perkataan Goldilocks ini  sering kita dengar. Biar saya beri pencerahan.

Goldilocks adalah nama watak budak perempuan dalam kesah Tiga Ekor Beruang. Ada  Pak Beruang, Mak Beruang dan Anak Beruang.  Mereka mahu makan bubur yang baru dimasak oleh Mak Beruang. Bubur mereka masih panas.  Lalu tiga ekor beruang ini beruang keluar bersiar sementara menunggu bubur sejuk.

Mencuri masuk  anak gadis bernama  Goldilocks. Dia mencuba bubur mangkuk Pak Beruang – masih terlalu panas. Goldilocks  menyudu bubur Mak Beruang yang juga masih panas. 

Kemudian  Goldilocks menyudu  bubur dalam mangkuk kecil milik Anak Beruang. Bubur Anak Beruang ini tidak panas dan tidak sejuk. Cukup enak untuk di nikmati.

Maka dari ini lahir konsep planet bumi dan Goldilocks.  Sama seperti suhu bubur Anak Beruang yang dinikmati oleh Goldilocks. Nama Goldilocks diambil sebagai metafora planet bumi ini yang tidak panas dan tidak sejuk.

Planet bumi memiliki suhu yang tepat dan amat sesuai  untuk mewujudkan  kehidupan makhluk dan tumbuhan.

Bumi tidak panas seperti  suhu planet Mercury  167C atau  Venus 464C.  Suhu bumi  ialah 15 C atau 59 F – cukup Goldilocks. Amin.

Bumi  kita ini dipayungi oleh rumah hijau. Jika kita mendongak ke langit kita tidak nampak rumah hijau ini.  Rumah hijau bumi bukan  plastik seperti rumah hijau Pak Tani Belanda. Rumah hijau bumi adalah gas yang halimunan.

Bumi kita ini diliputi atau diselubungi  oleh gas karbon dioksida, methane, nitrous oxides dan wap air. Suhu wap  air ini berubah ubah mengikut  suhu pancaran sinar matahari.

Bumi kita beredar mengelilingi Tuhan Ra. Arah senget bumi, jarak jauh  dan dekat  bumi dari matahari akan  menimbulkan musim sejuk, musim bunga , musim daun gugur dan musim panas. 

Para saintis telah menemui fakta bahawa pemanasan karbon dioksida memberi kesan kepada kestabilan atmosfera bumi. Jika dilupuskan karbon dioksida kesan rumah hijau di bumi akan hilang. Tanpa karbon dioksida suhu bumi akan jadi  33C sejuk. 

Karbon dioksida ini diperlukan sama seperti gas yang lain.

Justeru adunan antara semua gas dan wap air ini telah menjadikan planet bumi bersifat  Goldilocks. Semuanya seimbang – semua teratur – semua memainkan peranan. 

Bumi kita ini berjalan indah permai walau pun  sesekali ledakan  gunung berapi tapi tidak mengancam cuaca keseluruhan.  Hakikatnya aman damai.

Semuanya mula berubah  dengan bermula Revolusi Industri Pertama. Pada  tahun 1776 apabila pereka dan jurutera dari Scotland  James Watt ( 1938 -1819)  membuat injin wap.

Kuasa wap dari air yang dibakar  arang batu. Kuasa wap  yang menggerakkan injin ini   mengubah  bukan hanya kehidupan manusia  malah mengubah bumi umat manusia.

Dunia diubah dengan pembakaran tenaga bahan api fosil.

Apa dia bahan bakar fosil.
Bahan fosil tersimpan berjuta-juta tahun dalam perut bumi.  Fosil ini adalah plankton dan tumbuhan  yang telah mati  terkambus dalam bumi berjuta tahun dahulu.

Plankton menjadi gas dan minyak. Tumbuhan menjadi arang batu.  Ini asal usul bahan bakar fosil.

Bila kita terbaca perkataan ‘fossil feuls’ maka kita fahami ini adalah arang batu, gas dan minyak petrol.

Dunia moden yang kita temui pada tahun 2023 ini adalah hasil pembakaran tenaga fosil. Kita membakar arang batu, kita membakar gas dan kita membakar minyak petrol untuk  menjalani hidup moden. 

Ramai tidak sedar bahawa hidup moden kita hari ini bersandarkan bahan bakar fosil. 

Membakar ertinya memanaskan.

Satu ketika dulu kita pakai dapur kayu. Kita bakar kayu untuk masak nasi, untuk jerang air atau untuk rebus telor.

Kemudian  kita padamkan api yang membakar kayu itu. Dapur kita kembali sejuk seperti sedia kala.

Awas! Proses kita  membakar kayu kita boleh nampak api dan asap. Tapi  ada lagi  ada perkara halimun telah berlaku. Ada proses yang tidak kita lihat. Ada perkara halus telah terjadi.

Ada gas yang keluar dari proses  pembakaran itu.  Gas yang keluar ialah karbon monoksida yang bergumpal sama dalam sama dalam  asap.

Tapi memasak nasi ini bukan  pembawa masalah. Ini hanya  contoh pembakaran.

Apa akan  terjadi apabila minyak petrol dibakar  dalam injin kereta.  Akan ada wap yang bercampur dengan gas  karbon monoksida, nitrogen oksida, asap dan debu. Ini yang membawa pencemaran udara.

Membakar minyak petrol dan arang batu  juga mewujudkan karbon dioksida. Karbon dioksida  inilah yang  membawa pemanas rumah hijau bumi.

Bukankah karbon dioksida ini diperlukan untuk keseimbangan rumah hijau planet bumi.

Betul.  Gas karbon jenis ini diperlukan. Tetapi ada had dan jumlahnya. Ada jumlah dan keseimbangan yang Goldilocks yang diperlukan. Bukan kurang dan bukan berlebihan.

Jangan risau masalah pemanasan rumah  hijau planet bumi ini bukan akibat dari  Mak Cik Kiah memasak  nasi pakai dapur gas di Jengka. Bukan kerana  Awang Pijoi membakar lemang pakai arang  di Jelebu.

Masalah pemanasan ini telah berlaku semenjak  1750 -  Revolusi Industri Pertama ratusan tahun dahulu. Arang batu, minyak, dan gas telah dibakar. Semua pembakaran ini mengeluarkan karbon dioksida.

Asas hidup moden  hari ini ialah pembakaran tenaga fosil.  Usik apa sahaja dalam dunia moden hari ini maka kita akan bertemu dengan pembakaran tenaga fosil.

Api leterik yang kita gunakan hasil dari arang batu dan minyak telah dibakar di loji jana kuasa.

Kereta, bas, lori dan motosikal  yang bergerak di jalan raya semuanya adalah  pembakaran tenaga fosil.

Pembakaran  fosil ini bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur, di Alor Star, atau di London atau di New York atau di New Delhi atau di Shanghai – tidak – pembakaran ini berlaku di seluruh dunia.

Satu dunia  ini – kita bersama sama – senang membakar fosil. Ini maknanya warga seluruh dunia – umat manusia seluruh dunia bertanggung jawab membawa  pemanasan rumah hijau  planet bumi.

Tidak cukup ini dengan ini kita umat manusia juga menebang hutan, pokok dan kayu kayan.  Manusia pemusnah hutan. 

Ada apa dengan  hutan dan kayu kayan. Apa sangkut paut hutan  balak dnegan pemanasan rumah hijau bumi. Tunggu pencerahan. Amin.  (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARAKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/422554







 

 


1 ulasan:

  1. Hijau telah musnah,
    Hitam selubung bumi,
    Alam dahulu indah,
    Kini tiada seri,

    BalasPadam