Jumaat, 20 Januari 2023

JUMPA TONGKAT DAN LATIFF



JUMPA TONGKAT

 DAN LATIFF


Aku ingat lagi petang Khamis  itu. Aku di jemput untuk menghadiri perjumpaan Kelab Sosialis. Ini pertemuan kali pertama. Kami bertemu di sebuah bilik kecil di Fakulti Sains. 

Aku menapak dari Kolej Ke Lima. Tidak ada sapa  kawan aku yang tahu bahawa aku dengan bangga telah melamar dan mendaftar untuk menjadi anggota Kelab.

Bila aku masuk ke bilik kecil  ini aku ternampak muka Syed Husin Ali, sosok Usman Awang dan  sosok Latiff Mohidin.  Sosok-sosok ini  semuanya aku temui untuk  kali pertama.

Selain dari empat Melayu termasuk aku ada lagi   beberapa  siswa China termasuk Lee Chee Keong yang menjemput aku.  Dalam bilik kecil ini hanya Chee Keong yang pernah bercakap dengan aku.

Aku kenal  wajah Syed Husin kerana dia pensyarah ilmu Sosiologi  di Fakulti Sastera. Aku ada ternampak dia  berjalan di Dataran Sastera.   Aku kenal muka Usman Awang dan Latiff Mohidin kerana aku membaca Dewan Sastera.

Juga aku pernah lihat  gambar  Usman Awang dalam akhbar Utusan Malaysia.  Usman  seorang sasterawan dari Dewan Bahasa Pustaka.  

Aku tahu sajak Ke Makam Bonda tulisan Usman Awang. Malah pernah pada tahun 1960 di Sekolah Umum Batu Sarambai Ulu Klawang Jelebu aku mendengar kali pertama Ke Makam Bonda dibacakan. 

Sajak ini mahu di dramakan untuk perayaan menyambut Hari Raya. Sambutan Hari Raya ini dibatalkan kerana Yang DiPertuan Agong yang juga Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan mangkat pada 1 April 1960 seminggu sesudah Raya.

Latiff  dari apa yang aku baca adalah seorang pelukis dan dia juga menulis sajak.  Pada tahun 1971 apa lukisan Latiff aku tidak tahu dan tidak pernah melihat. Sajak Latiff  pun  belum pernah aku baca.

Pertemuan petang itu  bertujuan untuk suai  kenal ahli  Kelab baru dengan anggota lama. Kami tidak ramai tak sampai lima belas  orang. 

Pada petang itu aku berkenalan  dan bersalaman dengan  Heng, Yeoh, Chin  dan Ho.  

Satelah bersalaman  kami bersembang santai.  Ada jamuan ringan  teh susu, kopi, kuih karipap dan kuih koci.

Chin menjadi tarikan. Semua berkumpul di keliling Chin. Dua   bercerita  tentang  forum Karam Singh dan Tajuddin Kahar yang telah berlangsung. Petang  itu aku dengar bagaimana Chin bercerita  secara serius sambil  berseloroh bila  dia  ditemui oleh SB.

Special Branch atau SB  ini adalah  mata-mata gelap tanpa  pakaian seragam yang bertugas  mengintip. 

‘ SB wants to know... who organise the forum....’ Chin menerangkan.

Semua senyap mendengar. 

‘ Of course... told him.... I’ve no idea.... ‘ Chin berkata sambil ketawa keran berjaya memperlekeh SB.

Aku tidak hadir dalam forum ini walau pun menyimpan niat hendak mendengar pengalaman Karam Singh dan Tajuddin Kahar dalam penjara tahanan politik.
Cawan teh di tangan dan mulut mengunyah  karipap aku merapati Usman Awang yang ketika itu bersembang  dengan Syed Husin dan Latiff.

‘ Dari mana. ... ‘ Syed Husin memandang aku dan bertanya. 

‘ Fifth College....’ Aku menjawab.

‘ Ibrahim Husin di Fifth College kan...’ Usman menyampuk.

‘ Betul...’ Aku menjawab.

‘ Ungku Aziz... ambil dia jadi pelukis resmi UM...’ Usman menerangkan.

Aku hanya mengangguk.


‘ Latiff kita ini....  baru balik dari German... kalau tidak dia  pun boleh melukis....’ Usman menyambung cerita.

Aku tidak tahu pun tentang apa Latiff buat  di German dan bila dia pulang dari  German. Yang aku  tahu Latiff ini budak Lenggeng. Dia melukis poster iklan filem untuk panggung wayang di Seremban. Ini cerita yang aku dengar. Entah betul entah tidak.  

‘ Anak Alam  macam mana.....’ Tongkat bertanya pada Latiff.

Aku pernah terbaca berita tentang Anak Alam ini. 1971 zaman pop yeah yeah dan hipi. Pesta muzik Woodstock baru selesai pada bulan  Ogos 1969. Filem Woodstock masih jadi tontonan.

Aku ingat lagi tahun 1968 Tok Gurun John Lennon yang bernama Maharisihi Yogi telah datang ke Palau Pinang. Ada kereta Rolls-Royce datang menyambut.  Pulau Pinang ketika itu menjadi  sarang hipi batu loncatan hipi  dari Kathmandu dan India singgah sebelum bercanda ke Siam.

Pada hemat aku Anak Alam ini adalah hasil pengaruh hipi,  pesta muzik Woodstock dan rock n roll.  Rambut Latiff  yang panjang  , bermisai berjanggut sejemput dengan kemeja coklat lusuh dan seluar jenama meyakinkan aku Si Latiff ini tipikal hipi

Muka Latiff pula ada iras Scott McKenzie (1939-2012) penyanyi lagu San Francisco yang hot pada tahun 1968.

Tertiba aku  terbau wangi. Aku cari puncanya. Aku ternampak Usman sedang menghembuskan asap rokok. 

Baru aku sedar bahawa Usman ini seorang perokok. Bukan rokok biasa. Aku perhatikan kotaknya. Merah dan bertulis Gudang Garam. Usman Awang pada petang itu bertanggung jawab mempertemukan aku dengan Gudang Garam.

‘ Tongkat.... we have to go....’ China dan Ho meminta diri.

‘ You call him Tongkat....’ Aku bertanya pada Chin.

‘ Inilah Tongkat Waran.... geng Singapura dia tak pernah panggil dia Usman.... semua panggil Tongkat.... ‘ Latiff menerangkan .

Aku tahu  Tongkat Waran ini nama pena Usman Awang. Aku tak sangka ada ornag memanggil dia  Tongkat.

Petang itu aku merasa gembira kerana secara resmi aku telah diterima menjadi anggota Kelab. Petang Khamis itu juga aku berbangga kerana dapat berkenalan dan berbual untuk pertama kalinya dalam hidup aku dengan Usman Awang, Latiff dan Syed Husin.

Aku terfikir juga kenapa Usman Awang dan Latiff datang ke jamuan teh Kelab Sosialis.  Pertanyaan ini tidak aku tanyakan kepada  sesiapa pun.  

Aku membuat rumusan peribadi bahawa Tongkat Waran dan Latiff Mohidin adalah penganut fahaman sosialis.

 Syed Husin ahli Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Tongkat dan Latiff bukan orang  parti. Jika tidak menganut fahaman sosialis kenapa mereka hadir dan dijemput datang ke jamuan Kelab Sosialis UM 1971. Justeru , pada  hemat aku mereka ini pasti penyokong PSRM.

‘ Nak baca buku apa .. saya nak baca buku sosialis..’ Aku murid  tahun pertama bertanya kepada Syed Husin tentang buku yang perlu aku baca untuk memahami ideologi sosialisma.

‘ Datanglah  ... ke pejabat... ada buku boleh pinjam dan baca.....’  Syed Husin mempelawa aku.

Petang Khamis itu aku merasa puas hati. Bukan saja dapat makan kuih koci dan karipap malah dapat berkenalan dengan Tongkat dan Latiff.

Lewat petang Sabtu kuliah telah selesai. Waktu bersukan. Aku terserempak dengan Papa Mus  siswa Ekonomi di Dewan Makan. Papa Mus siswa dari Ipoh ini juga  pernah bercerita dengan aku tentang Ahmad  Boestamam. Maka aku rasa dia bersimpati dengan  garis kiri.

‘ Mari kita ronda  tepi tasik...’ Papa Mus mengajak aku merayap ke tepi Tasik di hadapan Kolej Ke Dua. 

Kami menapak menuju ke arah Tasik. Tidak ada apa yang menarik di tepi Tasik. Kemudian kami mengelencong ke  Dewan Tunku Cnaselor.

‘ Mari ke Dataran Sastera... aku  nak cari opis Syed Husin...’ Aku  memberi cadangan kepada Papa Mus. Dia tidak membantah.

Kami melintas fakulti Sains  sampai ke depan Library. Kemudian melintas  di hadapan Sudut Pidato.

Sudut Pidato tangga batu tiga tingkat terletak di hadapan Library di antara   lima batang pokok  rendang.

‘ Ini saja Speaker Corner....aku ingat apa.. ‘  Pap Mus bertanya dan menjawab sendiri.

Ramai pelajar baru masuk UM akan terperanjat apabila melihat tangga batu ini. Ianya tandas  kebebasan bersuara bukan hanya di Universiti Malaya malah ianya telah terakam dalam sejarah perjuangan pelajar.

Pelajar baru terperanjat  bila melihat  kerana beritanya yang gah dalam laporan akhbar.  Walhal  ianya hanya  tangga batu tiga tingkat.

Dataran Sastera kosong. Kami menapak ke bangunan pejabat tenaga pengajar.  Bilik bilik kecil yang ada  nama pensyarah tertulis. Aku mencari nama Syed Husin Ali.

Di tengah tingkat tiga aku jumpa pejabat t Syed Husin Ali. Namnya tertelus di dinding pintu.

‘ Ok... dah tahu...’ Aku bersuara.

Senin lepas kuliah jam 10  pagi aku memanjat tangga ke pejabat Syed Husin Ali,. Aku mengetuk pintu. Syed membuka pintu,.

‘ Saudara... sapa nama...’ Syed bertanya.

‘ Isham dari Fifth College.. datang nak pinjam buku...’ Aku menjawab.

‘ Ya...’ Syed Husin membongkok ke belakang mencari buku di rak buku  di belakang kerusi. Dia membelek-belek beberapa buah buku. Dia memilih yang sesuai untuk  aku baca.

‘ Yang ini dulu.. baca yang ini...’ Syed menghulurkan buku The Essential Left. 

‘ Terima kasih....’ Aku sambut dan membelek buku itu.

Buku  The Essential Left  yang mengandungi tulisan Marx, Engels dan Lenin. Buku ini tidak tebal hanya  255 muka surat.

Turun dari bilik Syed Husin  aku terus  menapak pulang ke Kolej Ke Lima. 

Semua beres. Aku telah mendaftar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis. Tapi aku masih bukan anggota penuh. Aku menjadi anggota cadangan.  

Ini sistem Kelab Sosialis. Aku wajib membuktikan bahawa aku faham asas sosialisma.  Aku perlu  aktif sebagai anggota Kelab sebelum diterima penuh sebagai   anggota Kelab Sosialis.

Kelab Sosialis mengamalkan sistem kader. Ada ahli cadangan dan ada ahli penuh. Tahun 1971 aku hanya ahli cadangan Kelab Sosialis.

Buku The Essential Left  membuka satu dunia baru untuk aku. Seleai membaca kini aku menunggu aksi. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/01/20/bertemu-tongkat-dan-latiff



3 ulasan:

  1. Satu soalan yang tertanya-tanya... jika si Isham ni, penganut fahaman kiri, kenapa dia petpotpetpot pasal halau China Merah? Bukankah menghalau saudara sesama anutan? Ini sudah kira kafir-mengkafir sesama penganut agama kiri...

    BalasPadam
  2. hebat..

    ===========================
    kalsu dspat tt (teh tarik) kat alor setar lagi hebat

    BalasPadam
  3. Oittt bhaii..sian kat ko ...yg nama-nama yg disebut tu mesti majoritinya kerja besaq2 dlm mana-mana organisasi baik awam atau swasta walau dapat general deggre atau third class jee ...cuma ko jelah yg hidup tak ketahwan hala hingga sekarang..tu yg agaknya ko jadi penganut islam budaya ..kan bhaiii..kah kah kah

    BalasPadam