Perikatan sasar majoriti mudah tawan Negeri Sembilan
PERIKATAN Nasional (PN) mula menggerakkan jentera dalam usaha menguasai majoriti mudah di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jentera parti memberitahu The Malaysian Insight, mereka antara lain percaya sentimen ditunjukkan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memihak kepada mereka sekali lagi.
Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan Khairul Yazman Yahya berkata jangkaan itu berpandukan usaha realistik dengan menumpukan kerusi majoriti Melayu untuk dimenangi kali ini.
“Kerusi pengundi Melayu 60% ke atas ada 21 (daripada 36 kerusi). Daripada itu kita sasarkan menang 19 kerusi, itu agak realistik.
“Sebenarnya kalau ikut nafsu kita nak bertanding 36 kerusi tetapi kita kena realistik jadi sasarannya adalah 19 kerusi kemenangan untuk PRN akan datang,” katanya.
Usaha itu bermula di Seri Menanti pada Sabtu lepas melalui perhimpunan Semarak Gelombang Rakyat yang dihadiri Timbalan Pengerusi PN Abdul Hadi Awang, katanya.
“Dalam P, kita tiga parti ini (Bersatu, PAS dan Gerakan) sudah berbincang, bermula hari ini kita teruskan gelombang ini sampai ke akhir. Tujuannya untuk kita kumpul jentera,” katanya.
Menurutnya langkah itu diambil dengan menyedari kelemahan utama mereka dalam PRU15 – jentera setiap komponen bergerak sendirian dan bukan dalam satu pasukan.
“Jadi kita kena wujudkan satu gelombang, kita sebagai jentera bergerak sebagai satu gabungan,” katanya ketika ditemui di Seri Menanti, Kuala Pilah baru-baru ini.
Kemuncak usaha itu akan dapat dilihat pada 12 Mac depan di Seremban apabila PN menganjurkan perhimpunan besar-besaran di Seremban selepas menjelajah ke seluruh negeri itu.
“Kerjanya bermula dari sini kemudian ke Serting, Kuala Pilah dan Gemas akhirnya pada 12 Mac di Seremban dan kita akan kekalkan gelombangnya untuk PRN,” kata Khairul.
PN tidak menguasai sebarang kerusi negeri mahupun Parlimen di Negeri Sembilan.
Dalam PRU15 Barisan Nasional (BN) mendominasi lima daripada lapan kerusi Parlimen di negeri tersebut manakala baki tiga lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Dalam PRU14 pula, PH berjaya menguasai Negeri Sembilan apabila menang 20 kerusi manakala BN menang 16 kerusi.
PAS waktu itu bertanding di 29 kerusi.
Namun kali ini PN menyertai PRN dengan momentum daripada pengundi muda dan pengundi pertama kali yang menyokong gabungan itu dalam PRU15, kata Khairul.
Malah kempen gabungan itu juga katanya akan lebih menjurus untuk menambat hati kumpulan pengundi terbabit.
“Ikut trend sekarang pengundi muda beralih kepada kita. Di Negeri Sembilan antara 35% hingga 45% pengundi beralih kepada kita.
“Yang paling seronok saluran tiga ke atas banyak memihak kepada kita. Untuk itu kempen media sosial kena secara berfokus.
“(Kandungan) Tik Tok kita akan kemas kini dari masa ke masa ikut trend yang mereka suka. Kita akan mendekati anak muda dengan pelbagai program mesra mereka,” katanya.
Selain itu, saranan pemimpin akar umbi agar PN mengemukakan calon muda dalam PRN tersebut juga akan memberi kelebihan, tambahnya.
“Penerangan akan cadangan kepada badan perhubungan PN kalau boleh 40% hingga 50% calon yang bertanding pada PRN adalah anak muda. Untuk menang kita kena guna strategi sebegini.”
Malah PN juga mampu mendapatkan sokongan ahli BN dan PH dan kumpulan pengundi yang kecewa dengan pembentukan kerajaan perpaduan antara parti itu, kata Khairul.
“Ada kelebihan di situ cuma cara pendekatan dengan mereka sedikit berbeza, kena perjumpaan tertutup. Ada kalangan mereka penjawat awam dan orang penting dalam parti.
“Dengan perancangan betul dan doa insya-Allah sasaran 19 kerusi (dapat dicapai), boleh bentuk kerajaan,” tambahnya.
Kempen untuk meraih sokongan pemimpin lawan itu antara lain digerakkan dengan menonjolkan individu yang kecewa seperti bekas ketua Pemumda Umno Seremban Zool Amali Hussin.
Penyertaan Zool Amali dalam PAS antara gimik acara yang berlangsung pada Sabtu apabila beliau menerima sijil keahliannya di atas pentas.
Beliau menyertai PAS pada Disember lalu kerana kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan Umno bekerjasama dengan PH dan DAP bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Ketika ditemui The Malaysian Insight, Zool Amali yang lebih dikenali sebagai Jebat berkata sasarannya untuk membantu PN mentadbir Negeri Sembilan dalam PRN kali ini.
Timbalan pengerusi NGO Pekida Negeri Sembilan itu berkata beliau juga berperanan menarik ahli Umno menyertai PAS.
“Sasaran saya pastikan PN perintah Negeri Sembilan. Saya nak buktikan saya adalah mimpi ngeri mereka. Mereka akan berhadapan saya yang merupakan mimpi ngeri buat Pemuda Umno.
“Saya bawa produk PN walaupun tiada jawatan dalam PN sekadar ahli biasa PAS tetapi saya bertanggungjawab beri kesedaran kepada anak muda.
“PN dan PAS yang betul-betul perjuangkan bangsa dan agama,” katanya.
Zool Amali percaya pengundi yang kecewa selepas memilih BN dalam PRU15 akan menyokong PN pada kali ini.
“Pengundi atas pagar pertama kali mengundi anggap BN akan tubuh kerajaan dan tak bersama DAP (pada PRU15).
“Tetapi pada PRN akan datang pengundi rasa tertipu bila BN bersama DAP, begitu juga pengundi PH apabila PH bersama BN.
“Bila jadi macam ini pengundi kena sedar, mereka tak bantu selesai masalah rakyat tetapi itu hanya kepentingan tembolok pemimpin mereka sendiri,” katanya. – 24 Januari, 2023.
tt kalau kalau kerajaan wahanat menang PRK n9.. agak2 minyak kat n9 dapat 1.50 seliter tak ?... gua tanya sebab harga minyak nasional tak turun lagi sejak aljub jadi pmx ni... kah kah kah
BalasPadam