Selasa, 3 Januari 2023

SELAMAT TINGGAL 2022 - SELAMAT SAMPAI MALAPETAKA CUACA



SELAMAT TINGGAL

 2022 

SELAMAT SAMPAI

 MALAPETAKA 

CUACA


Dunia kita sekarang ini sedang berhadapan dengan tiga  bahaya besar.

Bahaya pertama : Bahaya perang nuklear
Bahaya ke dua : Bahaya kekalutan peralihan teknologi. 
Bahaya ke tiga : Bahaya malapetaka cuaca.

Bahaya malapetaka cuaca  inilah yang ingin saya garap. Ini  usaha kecil saya untuk menyebar pencerahan agar kita sesama sedar dan boleh melakukan sesuatu. Amin.

Tahun 2022 telah berlalu. Warga dunia mengalu-alukan kesampaian tahun baru.  Ibu kota dan kota-kota besar pesta-pestaan untuk menyambut tahun  baru. 

Kuala Lumpur berkabung. Banjir baru reda. Tanah runtuh di Batang Kali baru berlaku. Mayat bergelimpangan.  Seramai 31 menjadi korban, 54 dapat diselamatkan, 7 masuk ke hospital.  Dua anjing terkorban bersama tuannya. Dan  seekor lagi dilaporkan masih hilang.

Selain dari tanah runtuh di Batang Kali kita   juga mengalami banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Di laporkan ada wilayah-wilayah yang tidak pernah di landa banjir tapi kali ini air datang melimpah.

Juga dilaporkan keganasan banjir kali ini belum  pernah dialami. Ketinggian air yang melimpah juga dilaporkan mencecah tahap baru.

Lamanya hari  air bertakung atau banjir termenung juga  bertambah.

Musim panas  di India dan Pakistan sampai pada  bulan Mei 2022. Cuaca  panas amat terik. Panas terik ini menjemput salji di pergunungan Himalaya menjadi cair. Air cairan  salji ini merempuh masuk ke sungai  Ganges  dan Indus.   

Musim hujan monsoon tahunan sampai ke Pakistan. Pada 14 Jun 2022 hujan lebat turun untuk beberapa hari. Sungai Indus di Pakistan  yang dipenuhi oleh air salji cair  dari Pergunungan Himalaya kini di tambah dengan air hujan dari sawah dan ladang.

Akibatnya banjir mengganas. Seramai   33 juta  dari 225 juta warga Pakistan menjadi mangsa    bencana banjir. Seramai 1,739 warga Pakistan mati. Hampir 3  juta keluarga kehilangan rumah. Lebih dari 2 juta ekor lembu, kerbau dan kambing mati. Kerugian lebih dari 14 bilion dolar. Angka dan data ini dipungut dari Wikipedia,

Tiga bulan sesudah banjir masih ada lagi kawasan yang ditenggelami air.

Pakistan memerlukan 30 bilion dolar untuk memperbaiki  kerosakan akibat banjir tahun 2022.

Ketika Pakistan banjir India dan Bangladesh juga mengalami bencana banjir yang sama. Sungai Ganges melimpah. Malah  di India hampir setiap minggu adalah sahaja banjir, ada tanah runtuh dan angin taufan yang melanda.

Ketika hujan sampai dan tanah runtuh  di Father’s Organic Farm di Batang Kali  Somalia dilanda musim kemarau.

Somalia terletak di Timur Afrika – di wilayah yang dikenali sebagai Tanduk Afrika telah mengalami kemarau selama empat musim. Tahun 2022 adalah musim  ke lima hujan tidak sampai.

Badan UNICEF  ( United Nation Children Fund )  – telah melaporkan akibat  kemarau berpanjangan 8.1 juta penduduk wilayah Tanduk Afrika  tidak ada bahan makan yang mencukupi.  Seramai 6.4 juta warga tanpa bekalan air. Seramai 3.5 juta kebuluran.  Seramai 1.3 juta ibu dan anak kecil kekurangan makanan. Suasana ini ditambah bala serangan penyakit  kolera.

Ketika warga Afrika Timur bulur menjadi orang pelarian mencari air dan makan lembah Yangtze Kiang  dari Shanghai ke Sichuan berhadapan dengan kemarau. Sungai  Yangtze kering.  Suhu panas naik ke 40 darjah Centigrade.

Kemarau musim panas di China ini melibatkan  900 juta penduduk di 27 buah provinsi.

Apa sebenarnya berlaku ?

Semua ini akibat  pemanasan dunia.

Apa itu pemanasan dunia atau global warming ?

Dari fakta sejarah peribadi saya sendiri telah mendengar istilah ini pada tahun 1976. Ketika itu saya  berkelana di Melbourne Australia.

Saya ternampak  cakaran di tembok bangunan  kedai : Beware of Ozone Layer – Waspada pada Ozone Layer.  Saya yang bukan dari jurusan sains tidak memahami apakah itu ozone layer. 

Hari ini saya  cuba memperbaiki kebebalan saya itu. Hari ini saya mencari dan membaca kitab. Saya berniat untuk menjadi seorang alim yang warak agar dapat saya menjadi pendakwah pemanasan dunia dan malapetaka cuaca.

Dari apa yang saya baca - bumi kita ini terbentuk 46 bilion tahun dahulu..  Cuaca dunia ini kompleks, bergerak berubah mengikut masa. Cuaca  inilah yang menjadi penentu tamadun umat manusia. Cuaca menentukan tegak dan runtuhnya tamadun manusia.

Cuaca dunia ini bergantung kepada tenaga yang datang  dari pancaran sinar matahari. Tenaga matahari ini juga bergantung pada  gerak laku matahari yang berlegar.

Pemanasan dan suhu sinar matahari ini bergantung kepada beberapa fakta : atmosfera, letak benua bumi , air lautan dan  pergerakan air laut. Semua ini bantu membantu menjadikan cuaca yang kita fahami sebagai cuaca. 

Secara terperinci  kita tak ambil pot kerana  semuanya  bergerak seperti perkara biasa.

Jutaan tahun yang lalu ada variasi pusingan yang mempengaruhi berapa  banyak tenaga cahaya mata hari yang sampai ke bumi.

Justeru warga Mesir kuno telah memahami peranan cahaya matahari. Sebelum wujudnya Allah warga Arab Mesir telah mewujudkan  Ra. Ini tuhan pertama. Mesir kuno menyembah Ra yang diwakili oleh matahari.  

Ra inilah   yang menjaga langit , bumi dan  semua yang wujud  dalam bumi dan alam semesta. 

Arab Mesir memahami  matahari yang menjaga cuaca. 

Arab Mesir kuno percaya Ra membentuk musim , mewujudkan tanaman, hidupan binatang termasuk umat manusia.

Pertama edaran bumi mengelilingi  matahari  berubah dalam masa 100,000 tahun. Ke dua  kedudukan  Kutub Utara dan Selatan juga ada variasi 60,000 tahun sekali.  Ada peningkatan setiap 15,000 tahun hemisfera akan merapati matahari.

Tiga fakta ini mempengaruhi  pusingan cuaca di zaman Quaternary dan di zaman Geoloji yang bermula dua juta setengah tahun dahulu.

Justeru dunia  mengalami zaman air batu selama 100,000 tahun. Kemudian zaman yang agak panas sampai  selama 10,000 ke 20,000 tahun.

Peralihan antara zaman air batu dan zaman panas ini berlaku 1 juta tahun. Peralihan ini mengubah rupa betuk permukaan bumi kita ini.

Kali akhir zaman air batu berlaku 20,000 tahun dahulu. Amerika Utara, Greenland dan benua Eropah semuanya  dibaluti oleh salji setebal 2 batu. 

Di laut Tengah ada penguin dan anjing laut. Air laut ketika itu hanya  400 kaki dalamnya.

Kemudian 11,000 tahun dahulu  dunia  makin panas, hutan muncul, binatang muncul. Manusia mula  duduk setempat. Manusia mula  mengubah kawasan tempat mereka hidup.

Umat manusia mula bercucuk tanam dan memelihara bintang ternakan.

Perbezaan  cuaca bumi di zaman air batu dengan cuaca hari ini hanya 5 darjah centigrade.

Cuaca bumi kita ini berubah ubah sepanjang zaman. Maka ada sepesi haiwan yang pupus.

Semenjak 100,000 tahun yang berlalu cuaca bumi kita ini agak stabil. Ada variasi ketika zaman-zaman ini yang memberi kesan pada manusia. Tapi kesanya tidak mengancam berbanding degan zaman seperi zaman air batu.
 
Bila cuaca stabil maka tamadun manusia lahir.

Tamadun manusia pertama  bercucuk tanam bermula di wilayah Turki dan Iraq. Ini tamadun Mesepotamian di lembah sungai Dajlah dan Tigris.

Dari wilayah inilah lahir tamadun Sumerian, Assyrian, Akkadian dan Babylonian. 

Bukti menunjukkan tamadun ini  ada teknologi , ada seni sastera,  ada hukum hakam, ada konsep agama dan perkembangan  reka bentuk bangunan. 

Tamadun ini wujud  4000 tahun dahulu. Ianya lebih awal dari agama Yahudi, agama Kristian dan  Islam. 

Kalau kita membaca buku Histroy of God  - Sejarah  Tuhan garapan Karen Amstrong  maka kita akan menemui  bagaimana konsep Tuhan Yang Maha Esa muncul di wilayah Iraq.

Saya menuliskan perkara ini sebagai perjalanan tamadun manusia yang baru berumur 10,000. Ini semenjak  datuk nenek moyang manusia  mula bangun dan berjalan. Dari beruk di atas pokok turun ke bumi  - bangun  tegak berdiri  menggunakan kaki untuk berjalan.

Memahami sejarah tamadun manusia ini penting dalam usaha kita untuk berhadapan dengan malapetaka cuaca yang sedang melanda kita.

Melihat ke belakang untuk memahami apa di hadapan kita.

Ini sejarah manusia dari kajian ilmiah dan  wujud bahan bukti. Semua ini bukan ‘fake news  - berita palsu ‘ dari Hikayat Seribu Satu Malam. 

Memahami perjalanan manusia beribu ribu tahun ini secara tuntas amat penting untuk kita memahami pemanasan dunia yang sedang berlaku hari ini.

Dunia kita telah mengalami pelbagai malapetaka. Letupan gunung berapi yang menghasilkan debu mengelilingi dunia. Juga mengakibatkan cuaca menjadi sejuk kerana debu menghalang sinar matahari.

Pantulan cahaya matahari dari kutub utara dan selatan  memainkan peranan mengawal suhu  bumi kita.

Salah satu mekanisme pantulan ini ialah apa yang kini dikenali sebagai Efek Rumah Hijau -  Greenhouse Effect.

Atmosfera yang kita lihat dilangit yang mengelilingi bumi kita  ini agak nipis.  Hanya beberapa batu tebalnya. Atmosfera ini terdiri dari oxygen dan nitrogen. Ada juga gas yang lain tapi amat sedikit untuk mengubah keadaan.

Gas inilah yang menjadi penapis sinaran cahaya matahari. Gas ini juga menjadi penapis wap yang naik dari bumi kita.

Gas di Rumah Hijau ini terdiri dari wap air, karbon dioksida, methane, nitrous oxide dan ozone.

Semua ini tersusun  dengan stabil.  Panas  cahaya dari matahari ditapis. Panas wap dari bumi naik ke udara juga di tapis. Bila kestabilan ini terganggu maka atmosfera dalam atmosfera yang mengelilingi bumi  terganggu.

Gangguan ini mewujudkan efek Rumah Hijau.

Apa yang menganggu? Siapa yang  menganggu ?

Perlukah saya menjawabnya.  Sila tunggu pencerahan seterusnya. Amin . (TT)

TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL BERITA
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/421029




 

2 ulasan:

  1. damn... beruk blogging the weather...

    BalasPadam
  2. revolusi industri. dickens ada coretkan. begitu teruknya kilang sampai ada yellow fog. beribu org mati pada malam yg malang itu. sekali lagi, kapitalisme. maaf ya, tidak lagi jeng jeng jeng. tulislah tentang rusia dengan eksport paladium. bahan ini bila dipasangkan pada muncung kilang, udara jadi lebih baik. tapi ekspot rusia disekat.

    BalasPadam