Kerajaan perlu siap sedia untuk ikat perut, kata pakar ekonomi
RAKYAT Malaysia akan terus bergelut untuk menjalani kehidupan walaupun negara mencatatkan pencapaian ekonomi yang kukuh tahun lalu, kata pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid.
Beliau berkata kadar pekerjaan, guna tenaga tidak penuh dan pendapatan per kapita masih lagi rendah walaupun ekonomi kelihatan positif.
“Walapun pertumbuhan ekonomi meningkat tahun lalu, ia tidak bermakna kehidupan orang ramai sekarang baik.
“Jika kita lihat kepada kadar pengangguran semasa, ia masih tinggi berbanding masa pra Covid-19.
“Selain itu, kadar guna tenaga tidak penuh masih tinggi dan pendapatan per kapita juga masih rendah berbanding era pra Covid.
“Jadi walaupun ekonomi meningkat secara positif, kita masih belum pulih,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Muhammed yang juga penasihat ekonomi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut meramalkan ekonomi akan bertambah perlahan tahun ini.
“Tidak akan berlaku kemelesetan, atau sesuatu yang buruk secara ekstrem, tetapi pertumbuhan akan perlahan.
“Kenapa? Salah satu sebabnya ialah kerana tidak ada lagi pengeluaran KWSP. Tahun ini tidak ada apa yang dapat digunakan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dengan konflik Russia-Ukraine masih tidak selesa, Muhammed berkata ia akan turut menyumbang kepada kesan ekonomi.
“Ia menjejaskan harga komoditi seperti minyak mentah contohnya. Harga minyak mentah naik begitu juga harga gas. Jadi, kesan harga turut berlaku.
“Jadi, ekonomi akan perlahan tahun ini. Bukan di Malaysia saja, tetapi di seluruh dunia terutama negara membangun,” katanya.
Ekonomi Malaysia, jika diukur dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK), tumbuh 14.2% tahun ke tahun pada suku ketiga 2022 disokong aktiviti ekonomi kembali normal, tetapi pada suku keempat, ia meningkat 7%.
Ini menjadikan pertumbuhan KDNK penuh bagi 2022 ialah 8.7%.
Tiada pengeluaran khas KWSP
Beliau berkata pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menyumbang kepada pertumbuhan negara.
“Ekonomi kita berkembang tahun lalu kerana kita buat sesuatu yang negara lain tidak buat. Kita benarkan pengeluaran KWSP.
“Kenapa negara lain tidak buat begitu? Kerana ia tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sejumlah RM145 bilion caruman dikeluarkan dari KWSP oleh 8.1 juta pencarum ketika pandemik Covid-19.
Angka itu termasuk RM20.8 bilion dikeluarkan oleh 5.3 juta pencarum di bawah program i-Lestari, RM58.7 bilion oleh 6.6 pencarum menerusi i-Sinar, RM21.4 bilion oleh 5.2 juta pencarum di bawah i-Citra dan RM44.6 bilion oleh 6.6 pencarum ketika program pengeluaran khas KWSP tahun lalu.
“Ini bagi membantu pertumbuhan ekonomi. Baik untuk masa lepas, susah kepada masa hadapan kerana permintaan untuk keluarkan KWSP itu betul, tetapi cara memberi bantuan itu silap. Kerajaan cakap ‘pakai duit korang sendiri la, jangan cari aku’. Banyak pembaziran ketika itu. Ini memberi kenaikan ekonomi yang tinggi,” katanya.
Menurut data KWSP, 51.5% daripada 6.67 juta pencarum di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan di bawah paras RM10,000 pada tahun lalu.
Jumlah itu meningkat 9.7% atau 591,000 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
KWSP berkata pencarum yang mengeluarkan simpanan ketika pandemik kebanyakannya Bumiputera iaitu seramai 5.1 juta atau 76%.
Meringankan beban rakyat
Dengan pertumbuhan ekonomi kelihatan malap, Muhammed berkata rakyat akan semakin berjimat cermat dan kuasa membeli bakal berkurangan.
Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam membantu rakyat.
“Kerajaan harus memberi bantuan yang sebaiknya. Kita ada duit, masalah bukan isu wang, negara mempunyai duit tetapi bantuan diberikan kepada orang yang tak perlukan wang. Jadi rakyat sebenarnya tak pernah ikat perut, kerajaan boleh bagi longgar.
“Saya bagi contoh. Tahun lepas, kita berbelanja subsidi minyak, elektrik, dengan bantuan tunai lebih kurang RM80 billion. Minyak subsidi lebih kurang RM50 billion. Daripada RM50 billion yang kita bagi subsidi ini lebih kurang setengah pergi kepada golongan kaya.
Muhammed berkata rakyat sudah pun merana dan menyebabkan mereka mendesak kerajaan dan menterinya untuk mengekang perbelanjaan dan membayar bil sendiri, untuk merasa sendiri penderitaan rakyat.
“Orang kaya dapat banyak, bukan orang susah yang dapat. Sebab itu orang miskin kena ikat perut. Duit kita bagi ke orang yang tak perlu, sepatutnya bagi kepada orang susah. Kalau kita buat benda betul, pada masa sama, kerajaan pun kena ikat perut la.
“Benda mudah, simbolik tu penting la. Pembaziran dikurang tapi simbolik penting. Simbolik ini senang. Menteri, suruh dia bayar minyak kereta sendiri, tol sendiri. Baru dia tahu kesusahan rakyat,” katanya.
Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan semula Bajet 2023 hari ini. – 24 Februari, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan