Pemimpin UMNO tak boleh ada agenda peribadi – Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR – Mana-mana pemimpin UMNO tidak sepatutnya mempunyai agenda peribadi dan keutamaan mereka adalah melaksanakan apa juga perkara yang telah diputuskan oleh parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Shamsul Anuar Nasarah berkata, mereka mesti menjadi pemimpin yang setia dan berprinsip dalam perjuangan.
Malah, beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri menganggap apa sahaja keputusan UMNO sebagai pendiriannya sendiri selaku pemimpin parti.
“Kerana itu saya pernah meletak jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada Ogos 2021. Perletakan jawatan dibuat kerana arahan parti.
“Arahan itu diputuskan dalam Mesyuarat MKT UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 25 April 2021, UMNO menetapkan bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, Ahli-ahli Parlimen dari parti itu akan menarik sokongan dan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari UMNO akan meletak jawatan.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan ketetapan tersebut pada 25 Julai 2021.
Pada 16 Ogos 2021, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri setelah kerajaan pimpinannnya hilang majoriti apabila 15 Ahli Parlimen UMNO termasuk Shamsul Anuar menarik sokongan terhadapnya.
UMNO kembali mengetuai kerajaan melalui Naib Presidennya, Ismail Sabri yang menjadi Perdana Menteri selepas itu namun Shamsul Anuar tidak dilantik semula sebagai menteri Kabinet. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan