Rabu, 12 April 2023

MEMAHAMI SIAPA KITA



MAMAHAMI

 SIAPA KITA


Bagaimana caranya nak memperjelaskan kepada  umum siapa kita ini.  Bagaimana caranya hendak menerangkan kewujudan kita. Siapa kita ini sebenarnya?

Ini bukan pandangan falsafah. Ini tentang agenda siapa kita. Mengenal dan memahami siapa kita  memiliki sejarah yang amat panjang.

Dari awal wahid kita memiliki identiti atau pengenalan diri.  Identiti diri ini kita terima dari datuk  nenek moyang kita ribuan tahun dahulu.

 Ini sebelum wujudnya kad pengenalan. Sebelum wujudnya konsep kampung, konsep negeri dan negara.  Sebelum wujud konsep  bangsa dan bahasa. Sebelum ada agama – kita telah ada kita.

Sebelum wujud kontrak sosial.

Manusia adalah insan sosial. Manusia hidup berkelompok dan berkumpulan. Apa yang memaksa  kita hidup berkelompok dan berkumpulan ialah keperluan ekonomi.  

Membuat, mencari dan pembuatan ekonomi inilah yang menjana wujudiah  umat manusia. Pembuatan ekonomi mengarah manusia ke kiri atau ke kanan.

Untuk hidup kita perlu makan.   Mencari makanan inilah yang memaksa  kita berkumpulan. Adalah masuk akal  kalau kita  memburu lebih dari seorang untuk berjaya  mengepung dan melembing kijang. 

Adalah masuk akal jika kita berkumpulan menyelamat anak bini kita dari di serang oleh gajah.

Keperluan hidup memaksa kita untuk hidup berkumpulan. 

Apa yang saya tulis ini adalah pertalian sejarah ribuan tahun dahulu. Kini telah banyak berubah bentuk. Tetapi isinya masih sama. Kumpulan dan rasa kekitaan masih ada.

Saya perlu menimbulkan perkara identiti dan siapa kita ini bukan dengan hendak mengapai-apikan perasaan kekitaan. Tidak. Ini bukan tujuan tulisan ini.

Tulisan ini berniat untuk menjadi cermin agar kita sesama kita melihat diri kita sendiri. Kita memahami siapa kita.

Tulisan ini bukan kajian ilmiah. Ianya lahir dari pemerhatian yang tekun. Ini pandangan empirikal dari Hishamuddin Rais.

Keadaan politik dan suasana budaya hari ini memanggil saya untuk melakar pandangan empirikal saya untuk dikongsi  ramai.

Seyogia diingati bahawa pandangan empirikal saya ini berpandukan juga dengan teori The Other atau Yang Lain.

Mengikut pandangan falsafah  Perancis Simone de Beauvoir ( 1908- 1986 ) : Yang lain ini adalah asas  cara manusia berfikir. Bila kita mula berfikir tentang sesuatu dengan spontan kita akan memikirkan lawanya – Yang Lain.

Yang lain ini adalah  individu yang dilihat  oleh kumpulan kita sebagai bukan dari kumpulan kita. Yang lain ini memiliki perangai dan budaya yang lain dari kumpulan kita.

Orang Melayu melihat  orang luar menjadi Yang Lain. Pendatang menjadi yang lain.  Bangla bukan  kita. Myanmar bukan kita.  China bukan kita . Mereka tak sama dengan Melayu.  Kita dan mereka  berbeza dalam pelbagai hal kebiasaan kita.

Yang lain ini juga membolehkan  kita mengenal siapa kita.  Maknanya :  aku nampak kau. Aku tidak menguasai jasad kamu. Aku tidak mendengar apa dalam fikiran kamu. Justeru kau dan aku berbeza.

Kita sekarang dalam zaman pasca moden. Kita telah masuk , melalui  dan  melintasi zaman moden. Dalam zaman pasca moden politik identiti menjadi penting.

Politik identiti yang kita hadapi hari ini  wujud di Tanah Melayu ini hasil dari penjajahan Inggeris. Pada satu ketika dulu  identiti kita  ditakrif  sebagai  Orang Kedah, Orang Jawa, Orang Ulu,  Orang Kelantan – tempat dan wilayah kita tinggal menjadi pentakrif.
 
Konsep Melayu  yang kita fahami hari ini  wujud bila Inggeris menjajah kita. Untuk tujuan  penjajahan Inggeris telah mengelompokkan kita semua ini sebagai Melayu. Terus dilembagakan dalam Perlembagaan Tanah Melayu.

Konsep kampung ,  mukim,  daerah dan negeri ini adalah konsep awal sebelum  identiti  Melayu. Inggeris memodenkan dan mewujudkan identiti Melayu dengan mengenalkan  apa yang dipanggil  sempadan. 

Sempadan ini di ukur oleh Inggeris untuk tujuan menjajah, untuk menjarah harta kekayaan dan memudahkan pungutan cukai. Dari konsep sempadan ini muncul pula konsep negeri dan negara.

Negeri dan negara ini memperkuatkan lagi teori yang lain – the other.  Contohnya : Sungai Golok jadi sempadan. Di seberang sana Orang Siam bukan orang kita.

Penjajah mewujudkan sempadan-sempadan  negeri dan negara. Semua ini adalah konstruk politik dan konstruk sosio ekonomi

Untuk mengaut untung penjajah Inggeris membawa  pendatang China dari Tanah Besar China. Inggeris membawa Tamil dari Tamil Nadu. 

Dua bangsa pendatang dari luar sempadan ini  menjadi yang lain dari kaca mata Melayu. China dan India bukan Melayu justeru mereka bukan orang kita. Mereka orang  lain.

Seperti ribuan tahun dahulu kita berkumpul sesama kita untuk memburu rusa atau babi.  Hari ini perkara yang sama  sedang  berlaku. Bukan untuk memburu babi tapi niat dan tujuan masa sama : berkumpulan  untuk mencari makan.

Kita gemblingkan tenaga kita bersama untuk tujuan ekonomi.

Dalam konteks moden  hari ini kita sesama   berkumpul, bersatu dengan niat untuk mengepung ekonomi.  Untuk mengepong ekonomi  hari ini kita perlu kuasa. Kuasa  dan punca kuasa hanya lahir dengan politik.  Politik berkumpulan dalam dunia moden haya tersusun dalam sebuah parti.

Maka  orang India ada MIC – Malaysian Indian Congress. Orang  China ada Malaysian Chinese Association. Orang Melayu ada United Malays National Organisation. 

Inilah kelompok asal   yang tersusun awal dari usaha untuk mengambil alih kuasa satelah penjajah Inggeris mahu mengundur.

Pada awal sebelum Inggeris mengundur  dapat dilihat  seperti ada kesatuan dan kerjasama yang kukuh antara kumpulan- kumpulan ini. 

Kesatuan dan kerjasama  muncul kerana pada ketika itu  yang dimusuhi  kerana mereka orang lain ialah orang  Inggeris.

Bila Inggeris telah pergi maka tiga bangsa ini – India Melayu dan China mula berhadapan dengan satu sama lain.  Maka  yang lain disini bukan lagi Inggeris tapi untuk Melayu ialah China dan India. Untuk India  yang lain ialah Melayu  dan China. Untuk China yang lain ialah India dan Melayu.

Semua kumpulan ini seperti ribuan tahun dahulu kembali kepada sikap dan perangai  kumpulan asas untuk memburu kehidupan. Kumpulan ini merujuk kembali kepada asal usul nenek moyang. Ini dilakukan   untuk memperkuat kumpulan dalam usaha untuk mengepung makanan.

Pucak perebutan  untuk mengepung makanan ini ialah tragedi  13 Mei.  Sesudah 13 Mei jelas dilihat  proses mengumpul orang kita  menjadi  semakin kuat.

Politik moden – politik elektoral memperkuatkan lagi identiti kekitaan ini.  Dalam usaha untuk mencari sokongan adalah lebih senang untuk kembali kepada asas kaum, asas etnik , asas agama dan asas bangsa.

Revolusi Perancis  melaungkan : liberte, egalite dan fraternite – kebebasan, kesamaan dan persaudaraan. 

Ketika Revolusi Perancis berlaku di France tidak ada  Arab Algeria, tidak ada Arab Moroko, tidak ada China atau  tidak ada Negro berkulit hitam.  Justeru melaung dan berslogan kepada bangsa kaum etnik sendiri lebih mudah.

Jika Tanah Melayu tanpa China dan India saya yakin Orang Melayu juga akan melaungkan slogan yang sama seperti laungan Revolusi Perancis yang bermula pada tahun 1789.

Tahun 2023 di France atau di Malaysia laungan kebebasan, kesamaan dan persaudaraan ini hanya menjadi retorik meraih undi.

Kembali  pada persoalan awal : siapa kita ?

Ini rumusan awal dari pandangan empirikal  saya. Pada tahun 2023  ini Melayu ada dalam tiga kelompok dominan.

Melayu Pertama : Melayu Malaysia. Cirinya liberal, dwi bahasa, sekular. Kelompok ini menerima yang lain dengan hati terbuka. Kelompok ini giat bersuara hal hak asasi manusia.

Melayu  Ke dua : Melayu Melayu. Kumpulan ini  konservatif. Penguasaan bahasa dunia selain dari Bahasa Melayu agak kurang. Malah penguasaan bahasa ibunda juga kurang. Sikap tak suka pada yang lain tebal. Mereka selesa berpayung dengan kumpulan yang tebal Melayunya.

Melayu Ke tiga : Melayu Nak Jadi  Arab. Kumpulan ini baru muncul pasca Revolusi Iran 1979.  Kumpulan ini  memiliki pandangan dunia yang amat  konservatif. Mereka melihat  ajaran agama mereka yang betul. Agama dan ritual yang lain sebagai sesat atau salah.

Ciri menonjol Melayu Arab ini ialah mereka mahu menjadikan Malaysia ini berbudaya Arab justeru mereka menolak kepelbagaian budaya Melayu yang telah wujud sebelum Arab sampai dengan agamanya.

China juga dalam tiga kelompok dominan.

Pertama : China Malaysia. Kumpulan ini selesa dengan Bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa Ibunda. Kiblat kelompok ini ialah Malaysia. Mereka mengamalkan dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Selesa dengan kepelbagaian budaya termasuk yang bukan berasal dari Malaysia.

Kedua : China China. Kelompok ini kuat dan tebal kecinaan.  Ramai dari kelompok ini yang gagal menggunakan lebih dari satu bahasa.  Kecinaan amat tebal - contohnya : kelompok ini akan menolak songkok untuk ke Parlimen keran bukan budaya China. Tapi akan memakai coat  dan tali leher yang selesa mereka terima walau pun ini pakaian Eropah.
Sikap tiak menerima Melayu sebagai pentakrif budaya dan politik Malaysia ini terserlah dalam kumpulan ini.

Ketiga : China China China : Kelompok ini pada satu ketika dulu bergelumang dalam kumpulan kiri seperti Parti Komunis Malaya. Mereka melihat  Tanah Besar  China sebagai rujukan mereka.

Justeru dalam lagu dan cerpen garapan kumpulan ini  ada  kuda berlari di ladang gandum. Ada salju di atas gunung. Kelompok ini tidak berjejak di bumi nyata.

Masyarakat India juga ada tiga kumpulan.

 Pertama : India Malaysia. Kelompok ini sama. Seperti Melayu Malaysia dan China  Malaysia.

Kedua :  India cuba jadi Melayu. Ini satu fenomena baru. Mereka ini kadang kala lebih Melayu dari Melayu. 

Kelompok ini meninggalkan budaya dan agama mereka agar di terima sebagai Melayu.

Ketiga : Kumpulan yang satu ketika dulu menghantar duit ke India. Membeli harta di India. Malah ada yang memesan isteri dari India.

Pentakrifan  yang saya buat  ini muncul dari pemerhatian yang semakin jelas dibaca dan dilihat   satu dekad ke belakangan  ini.

Pada hemat saya  jika ekonomi  terus merundum  laungan  dan jeritan  suara kepada kumpulan akan didengar  lebih kuat. Suara kekitaan makin kuat. Yang lain berpotensi diangap musuh.

Suasana akan bertambah buruk antara Melayu dengan China apabila geopolitik Lautan Sunda bergolak.  Sikap agresif  China Merah  akan membawa malapetaka kepada Tanah Melayu. 

Alam Melayu akan jadi kacau bilau.

Semua kelompok dan kumpulan  akan kembali kepada naluri primordial . Semua akan kembali kepada zaman berkelompok seperti zaman  mengepung dan memburu babi atau rusa. 

Yang lain – the other –  tanpa ampun akan dijadikan musuh. Amin (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/437583



1 ulasan:

  1. Is it true Malaysia trashed US Dollar..!?

    Malaysia’s Prime Minister Anwar Ibrahim met with Chinese President Xi in Beijing on March 31, where the two leaders discussed plans to weaken US dollar hegemony and even create an “Asian Monetary Fund”.

    This is a frontal challenge to the US-dominated International Monetary Fund (IMF), which emerged from the 1944 Bretton Woods Conference that established the dollar as the global reserve currency.

    Anwar proposed the Asian Monetary Fund at the Boao Forum in China’s Hainan province.

    “There is no reason for Malaysia to continue depending on the dollar”, Anwar said, in comments reported by Bloomberg.

    BalasPadam