Khamis, 25 Mei 2023

KALIMAH ALLAH DAN YANG LAIN


KALIMAH ALLAH 

DAN

 YANG LAIN


Saya perhatikan isu kalimah Allah ini kembali hangat. Di akhir musim  Raya tahun 2023 ini nama Allah menjadi induk berita dan labun nasional. 

Pelbagai surah kita baca. Pelbagai pandangan kita dengar. Segala macam celoteh kita lihat tentang nama Allah di YouTube. Semuanya  cuba memberi pencerahan tentang  nama Allah.

Hakikatnya perdebatan tentang  nama Allah ini sedang  membakar sentimen.  Sekali pandang isu kalimah Allah ini dilihat sebagai  isu agama.  Tidak dapat dinafikan bahawa isu agama, kaum dan bangsa ini amat senang untuk  menaikan sentimen.

Perasaan ini boleh disifatkan seperti jerami padi   kering mudah terbakar dengan isu agama dan kaum. Justeru isu nama Allah ini sedang membakar sentimen Bani Melayu di Malaysia.

Seyogia  saya beri tahu bahawa  yang wajib diberi pencerahan  disini adalah Bani Melayu di Malaysia. Kata induk dalam tulisan ini ialah  Bani Melayu. Justeru bila membaca tulisan ini  Bani Melayu wajib menjadi rujukan. 

Bani Melayu yang saya maksudkan ini hanya Bani Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Bani Melayu di Sabah dan Sarawak  tidak terculik oleh polemik nama Allah ini.

Saya memusatkan  pandangan  saya hanya kepada kepada Bani  Melayu di Semenanjung. Ini  kerana   tunjang teori  tulisan saya ini merujuk kepada  Bani Melayu Semenanjung. Tunjang tulisan saya ini  berasakan  teori Yang Lain atau The Other. 

Mengikut pandangan ahli falsafah dan pejuang wanita Perancis Simone de Beauvoir (1908-1986)  : ‘ Yang Lain itu adakah asas cara pemikiran umat manusia’.

Bila saja kita berfikir tentang sesuatu kita akan memikirkan tentang  Yang Lain. Memikirkan Yang Lain itu perkara biasa yang lumrah. Memikirkan yang lain boleh membawa  padah dan menjadi sebab musabab.

Yang Lain itu tidak kita sebut. Yang Lain tidak kita rujuk. Contohnya : Ahmad memegang bunga pada tangan kirinya. Ayat ini kita fahami bahawa Ahmad juga memiliki tangan kanan yang tidak memegang bunga. Tangan kanan Ahmad tidak kita sebut  inilah  Yang Lain.

Yang Lain ini juga memasak identiti diri kita  sendiri. Kita mengenali diri kita  kerana kita bukan Yang Lain. Dengan mengenal Yang Lain kita dapat mengenal diri kita. Kita mengenal diri kita dengan membezakan diri kita dengan Yang Lain.

Apa sangkut paut Yang Lain dengan Allah dan Bani Melayu Semenanjung ?

Tulisan ini hanya merujuk kepada Bani Melayu Semenanjung kerana  hanya Bani Melayu Semenanjung yang merasa di ganggu gugat, merasa akidah mereka tercabar dan merasakan ada ancaman apabila nama Allah  digunakan oleh yang bukan Islam.

Melayu Semenanjung dari pelbagai jalur – dari pemimpin parti politik, dari NGO  dan dari sosok bersendirian telah bersuara. Kesemua menyanggah tindakan Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri yang telah membatal kes rayuan kalimah Allah di Mahkamah Tinggi.

Tulisan saya ini tidak memaparkan fakta kes. Untuk saya ada yang lebih penting untuk difahami. Perkara yang mahu saya munculkan pada hemat saya amat penting dalam memahami isu kalimah  Allah dari memahami keterperincian kes.

Untuk saya persoalan yang amat penting ini  ialah kenapa Bani Melayu  Semenanjung merasa  tercabar apabila ada orang  bukan beragama Islam  memakai nama Allah.

Bani Melayu Semenanjung klim akidah mereka  menjadi goyang dan longgar apabila ada orang bukan Islam menyebut nama Allah.

Ada Bani Melayu  Semenanjung merasa satu penghinaan pada agama mereka jika Allah di sebut oleh sosok yang bukan Islam

Banyak persoalan timbul. Apakah Bani Melayu Semenanjung begitu rapuh keyakinan   agama mereka ? Apabila ada orang bukan Islam menyebut nama Allah mereka  hilang akal. Akidah luncur. Mereka tertiba teringin nak jadi  Hindu, Buddha atau Kristian ?

Bagaimana sebutan kalimah Allah boleh menjadi satu penghinaan bila yang menyebut kalimah ini  sosok bukan Islam. Apakah ianya menjadi   hina kerana bunyi idgham  dan ngauman sebutan  Allah itu tidak tepat.

Apakah begitu ampuh sekali senjata – kalimah Allah – yang di lafaz oleh bukan Islam sehingga mengancam akidah Bani Melayu Semenanjung.

Pada hemat saya akidah dan keyakinan agama Bani Melayu Semenanjung kukuh. Saya juga yakin  bahawa pegangan agama Bani Melayu Semenanjung tidak akan luntur kerana kalimah Allah diguna pakai oleh bukan Islam. Amin.

Jadi apa yang berlaku sekarang ?  Apa yang terheboh dan terbising dengan kalimah Allah.

Jawabnya : Yang Lain – The Other.

Yang Lain menjadi sebab musabab Bani Melayu Semenanjung naik syeikh bila kalimah Allah diguna pakai oleh yang bukan Islam.

Di Malaysia  Yang Lain ialah China dan India.  Dua kumpulan pendatang ini di anggap Yang Lain. Dalam psikik Bani Melayu dua kumpulan pendatang ini adalah  Yang Lain. 

Bani Melayu Semenanjung tidak suka  Yang Lain – baca China dan India – melafazkan nama Allah.  Jika China dan India boleh menggunakan nama Allah maka tidak ada lagi  perbezaan antara China , Melayu dan India.

Seperti kata Menteri Dalam Negeri kalimah Allah  ini bukan hal teologi. Saya juga menganggap  isu kalimah Allah ini bukan puncanya dari sudut  teologi.  

Isu kalimah Allah ini ialah kebencian terhadap Yang Lain – baca China dan India. Hujah teologi hanyalah gula yang disira untuk menyedapkan hujah agar ianya dilihat   suci , molek dan Islamik.

Saya  berhujah sedemikian kerana Bani Melayu di Medan, di Bali, di Jakarta tidak tercabar akidah mereka apabila suku sakat sanak saudara mereka yang beragama Kristian melafaz nama Allah. Walhal mereka adalah penganut Islam yang terbesar dalam dunia.

Tidak pernah kita terbaca isu kalimah Allah ini menjadi perbalahan diantara  Melayu Islam Jakarta dengan Melayu Kristian Mendiling di Medan.

Saya menganggap kekuatan akidah Bani Melayu  Semenanjung  adalah sama  kukuhnya dengan akidah yang keyakinan  Bani Melayu  Islam di Jawa, di Medan atau di Danau Toba.

Bani Melayu di Kalimantan ( Sabah dan Sarawak ) langsung tidak terculik dalam hal ini. Kendati pun  yang menimbulkan isu kalimah Allah ini berpunca dari Bani Melayu  Kristian Malanau.

Rumusannya saya tidak melihat  isu kalimah Allah  Bani Melayu  Semenanjung ini dengan sira teologi.  Pandangan saya berdasarkan hakikat yang sedia wujud di hadapan mata kepala kita sendiri. Pendapat saya ini berasaskan ilmu pengetahuan.

Ilmu pengetahuan adalah hasil  pembelajaran umat manusia yang  muncul dari pengalaman. Justeru pengalaman diri saya sendiri mendidik saya untuk menggarap tulisan ini.

Saya ada pengalaman  tinggal di  Iraq dan di Lebanon. Negara-negara ini menggunakan bahasa Arab – bahasa Al-Quran. Saya di Lebanon ketika permulaan Perang Saudara  Lebanon  (1975-1990). 

Perang saudara ini berpunca  dari  ekonomi dan politik. Arab Islam Lebanon merasa terpinggir. Mereka bangun melawan kerajaan yang mereka lihat di kuasai oleh Arab Kristian Lebanon.  Tapi dalam tulisan ini bukan hal ini yang hendak saya huraikan.

Perkara yang hendak saya huraikan ialah kalimah Allah. Dua kelompok yang sedang berperang ialah Arab Islam  melawan Arab Kristian.

Di dinding dan tembok bangunan  saya melihat banyak  graffiti cakaran   menggunakan nama Allah.   Pada awalnya saya menyangka  ini hanyalah graffiti  Allah Akbar  datang dari puak Arab  Islam.

Saya bertanyakan perkara yang berlaku di hadapan mata dengan anak-anak muda Palestin yang sedang  bergerila. 

Saya salah. Dari pencerahan yang saya terima terbukti  saya memiliki pandangan  katak di bawah tempurung. Pandangan anak muda Bani Melayu tahun 1975.

Hakikatnya  graffiti nama Allah itu datangnya dari Arab Islam dan dari Arab Kristian. Graffiti nama Allah itu bukan nama tuhan Islam  atau tuhan Kristian – Allah nama tuhan Arab.

Saya  juga menerima hakikat bahawa penerangan anak muda Palestin ini pasti betul kerana Al-Quran itu di tulis  dalam bahasa Arab – bahasa Ibunda mereka. Ini sama  seperti saya memahami Sejarah Melayu yang ditulis dalam Bahasa Melayu bahasa ibunda saya. Amin.

Semua ini meyakinkan saya bahawa  isu kalimah Allah yang berlaku sekarang ini puncanya ialah Yang Lain.  Teori dan hujah Yang Lain  ini pula dipasak oleh politik dan kuasa.

Hujah politik dan kuasa ini terbukti dengan kutipan  kenyataan Hadi Awang pemimpin Parti Islam Pas.

Ini petikan berita Hadi Awang pada 30/12/2013 yang di lapor oleh MalaysiaKini :
Semasa berceramah di Sungai Limau, Presiden PAS Abdul Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata  orang Islam tidak boleh menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah sesama mereka - tetapi kalimah itu digunakan di depan orang Islam, itu dianggap salah.

Kemudian MalaysiaKini melaporkan  perkara yang sama sekali lagi pada 12/3/2021:

‘ Sesiapapun tidak harus dilarang daripada menggunakan perkataan Allah, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sama ada seseorang itu Muslim, penganut agama lain - termasuk yang melantik banyak Tuhan, tidak beragama, atau ateis yang tidak percaya akan adanya Tuhan - tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah dalam bentuk ucapan atau tulisan.’

Ini kata-kata Hadi Awang ketika dia berceramah pada tahun 2013  sebelum berkuasa  dan berceramah pada tahun 2021  sesudah  berkuasa.

 Ketika berkuasa  Hadi menjawat tugas sebagai Duta Besar ke Timur Tengah. Ucapan  tentang  kalimah Allah amat lunak didengar. Malah  ateis pun boleh menggunakan kalimah Allah.

Ini namanya berpolitik untuk mendapat kuasa.

Ada lagi sebab musabab yang menimbulkan kontroversi kalimah Allah. Isu ini tidak dapat dipisahkan dengan kerajaan  pimpinan Anwar Ibrahim.
Mereka yang menimbulkan isu kalimah Allah ini tidak menyokong kerajaan campuran Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional. Malah mereka  mahu menumbangkan kerajaan ini.

Kalimah Allah ini dijadikan  peluru suci lagi Islamik untuk mengolah persetujuan agar  semua Bani Melayu Semenanjung  akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat dan menyokong Parti  Bersatu atau  Parti Pas.  

Dalam  kempen politik menolak PKR ini sekali lagi Yang Lain telah digunakan. Kempen politik ini tidak menamakan Yang Lain  itu sebagai China atau India. Ini untuk dilihat tidak rasis.  Justeru  berlapik dengan nama DAP.

Yang Lain itu ialah China. Yang Lain itu ialah DAP. Parti DAP ini dituduh menyimpan niat jahat untuk mengkristiankan Bani Melayu Semenanjung.

Malah dipropagandakan bagaimana PKR ini telah menjadi kuda tunggang DAP. Justeru sebagai bukti  menarik balik rayuan kalimah Allah dari Mahkamah Tinggi adalah atas permintaan DAP.

Untuk mengolah persetujuan Bani Melayu Semenanjung di propaganda kan projek jahat DAP mengkristiankan Bani Melayu Semenanjung bermula dengan menggunakan kalimah  Allah.

Justeru amat jelas dapat dilihat  di belakang semua ini adalah politik  perebutan kuasa untuk menangguk punca ekonomi. Nama Allah ini  dimasukkan untuk mengsuci dan mengislamkan perebutan kuasa dan ekonomi  dengan  Yang Lain. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL 
THE MAALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/444246



Tiada ulasan:

Catat Ulasan