Pembangkang perlu henti serang Anwar, kata J-KOM
PEMIMPIN pembangkang perlu menghentikan serangan ke atas Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan selain berusaha menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan sistem federalisme berjalan lancar.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri Agus Yusoff berkata mereka juga boleh berunding dengan kerajaan Pusat sekiranya mahukan peruntukan sama rata diberikan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.
“Anwar sudah berkali-kali menyatakan kesediaan beliau untuk berbuat demikian, tinggal lagi pemimpin pembangkang perlulah datang berunding mengenainya.
“Itulah yang dilakukan oleh Anwar sewaktu beliau menjadi ketua pembangkang, beliau datang berunding dengan Perdana Menteri waktu itu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan hasilnya termeterailah MoU (Memorandum Persefahaman) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept 2021,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata tindakan Perdana Menteri ketika itu adalah contoh pembangkang yang konstruktif dan mempunyai agenda yang baik sehingga ke arah transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Meskipun Kerajaan Perpaduan masih banyak kekurangan, beliau berkata Anwar yang juga Menteri Kewangan tetap mendengar dan berusaha keras untuk mempercepatkan reformasi yang dijanjikan.
“Bersabarlah. Anwar dan Kerajaan Perpaduan ini baharu sahaja lima bulan memerintah. Nilai kejayaan Anwar dan Kerajaan Perpaduan ini dengan mata hati.
“Lihat kepada media yang lebih bebas, gejala rasuah yang sudah dapat dibendung, pemborosan yang dapat dijimatkan, ekonomi yang lebih baik, pembelaan kepada rakyat miskin, negara yang lebih demokratik, rakyat yang semakin bebas bersuara, tetapi ingat jangan sampai memfitnah dan menyentuh 3R (raja, agama, kaum),” katanya.
Mohammad Agus berkata Anwar juga komited mahu mewujudkan tata kelola baik, membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, mendakwa tanpa memilih bulu, membela kemiskinan serta mengangkat kemanusiaan.
“Saya semakin optimis. Saya mengharapkan sangat reformasi dapat disegerakan dan Malaysia MADANI akan terlaksana baik,” katanya. – Bernama, 1 Mei, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan