Jumaat, 16 Jun 2023

CERITA DARI HASSAN KARIM


CERITA 

HASSAN KARIM

BUKU AKAN MUNCUL

AMIN

BAB 28
Autobiografi Seorang aktivis

BERKUNJUNG KE MELBOURNE UNTUK BERTEMU HISAMUDDIN RAIS


Oleh Hassan Abdul Karim

Pada suatu hari, aku dijemput oleh Abu Zer Ali dan Mohd Yunus Ali menghadiri satu perjumpaan rahsia kami di sebuah Cafe di Seksyen 16 Petaling Jaya, berdekatan sebuah bulatan Jalan Kemajuan dan tidak jauh dari Kolej Islam Malaya, tempat aku belajar dahulu.

Perkara ini berlaku ketika aku hidup bergelandangan di Kuala Lumpur selepas  dibuang dari Universiti Pertanian Malaysia.Lama sebelum aku bekerja di Bank Negara Malaysia.

Abu Zer Ali dan Mohd Yunus Ali walaupun kedua-duanya anak Ali tetapi mereka bukanlah adik-beradik. Abu  Zer berasal dari Melaka, manakala Yunus berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Kedua-dua nama pemimpin pelajar dari Universiti Malaya itu berada di dalam senarai dikehendaki polis untuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka didakwa terlibat di dalam kebangkitan tunjuk-tunjuk perasaan  pelajar-pelajar universiti pada bulan Disember 1974.

Abu Zer dan Yunus adalah pemimpin kanan Kelab Sosialis Universiti Malaya. Abu Zer adalah Presiden Kelab Sosialis tersebut.

Perbincangan kami di Cafe Seksyen 16 itu, tertumpu kepada suatu perkara. Aku diminta oleh Abu Zer dan Yunus supaya pergi ke Melbourne, Australia.Untuk apa? Tanyaku. Untuk bertemu Hishamuddin Rais, bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang berjaya lari ke luar negeri. Nama Hishamuddin Rais berada paling atas dalam senarai pemimpin-pemimpin pelajar yang dikehendaki Polis untuk ditahan di bawah ISA.

Dua orang pemimpin kanan PMUM yang berjaya ditahan oleh Polis dibawah ISA setakat itu ialah Kamarazaman Yacob dan Adi Satria. Kamarazaman adalah Presiden PMUM, manakala Adi Satria adalah Timbalan Setiausaha Agung PMUM. Kamarazaman berasal dari Temerloh, Pahang, manakala Adi Satria berasal dari Pulau Pinang.Mereka berdua ketika itu duduk dalam satu kawasan di Kem Kamunting bersama-sama dengan Anwar Ibrahim dan Prof. Dr. Syed Husin Ali.

Kamarazaman Yacob adalah pemimpin penting pelajar yang didakwa terlibat dalam peristiwa rampasan kuasa Universiti Malaya bertujuan menuntut pembebasan Hishamuddin Rais, Mohd Yunus Ali, Adi Satria dan ramai yang lain, termasuk Syed Hamid Ali, bekas Setiausaha Agung PMUM.Mereka ditangkap dan dipenjarakan semasa Peristiwa Tasek Utara di Johor Bahru.

Kami bertiga di Cafe Seksyen 16 Petaling Jaya itu berbincang dalam keadaan dua orang sahabat kami Kamarazaman Yacob dan Adi Satria sedang merengkok dalam Tahanan ISA di Kamunting, Taiping, Perak, manakala seorang lagi sahabat kami Hishamuddin Rais dikatakan berjaya mendapat perlindungan politik di Melbourne, Australia.

Aku ditugaskan untuk menemui Hishamuddin Rais untuk melihat sendiri keadaannya sama ada hidup atau mati. Begitulah kami bersahabat, mengambil berat nasib sesama kami.

Walaupun aku pernah bersama-sama sekampus dengan Hishamuddin Rais, Kamarazaman Yacob, Adi Satria, Abu Zer Ali dan Mohd Yunus Ali di Universiti Malaya ketika aku menjadi mahasiswa di Fakulti Pertanian Universiti Malaya, tetapi hubungan kami seakan terputus apabila aku membuat pilihan berpindah dari Fakulti Pertanian Universiti Malaya ke Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia pada awal tahun 1974.

Hubungan kami bersambung semula apabila berlaku Peristiwa Tasek Utara dimana aku turut ditangkap, dilokap dan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru bersama-sama Adi Satria.

Aku sebenarnya adalah seorang pemimpin kecil gerakan pelajar  yang tidak dianggap bahaya oleh pihak Polis. Namaku difahamkan tidak ada dalam senarai orang yang dikehendaki polis.Aku boleh keluar negeri tanpa menimbulkan sebarang syak di pihak Polis.Mungkin itu antara sebab mengapa Abu Zer dan Yunus Ali meminta aku ke Melbourne bertemu Hishamuddin Rais.

Ketika itu Abu Zer dan Yunus Ali bergerak di bawah tanah. Mereka berdua dalam bahaya. Mereka tidak bebas sepertiku. Malah Abu Zer dan Yunus hanya menunggu masa sahaja untuk berundur dari Kuala Lumpur bagi menghilangkan diri.Itulah pertemuanku yang terakhir dengan Abu Zer.

Kami duduk di sebuah meja bulat di Cafe Seksyen 16 Petaling Jaya itu. Aku melihat Abu Zer dan Yunus sentiasa dalam keadaan resah. Mata mereka meliar memandang sekitar. Mereka bimbang kehadiran mereka di Cafe itu dikesan oleh Cawangan Khas Polis. Bukan sahaja akan membahayakan diri mereka jika ditangkap, tetapi akan membahayakan diriku juga.Begitulah sikap kawan-kawanku itu.Pendek kata kami saling melindungi antara satu sama lain.

Aku sendirian yang tenang dan “cool” kata anak-anak muda sekarang.Aku tak kisah. Kalau nak kena tangkap, tangkaplah.Aku tidak akan lari keluar negeri seperti Hishamuddin Rais. Hidup mati, aku akan hadapi dalam negeri sendiri,azamku. Tetapi soalnya, siapalah yang hendak tangkap aku? Aku bukanlah orang yang menjadi ancaman pada pemerintah.

Aku bersetuju untuk menemui Hishamuddin di Melbourne. Abu Zer dan Yunus mengambil tanggungjawab mencari wang untuk membeli tiket penerbanganku ke negara kanggaro itu. Akhirnya usaha mereka berjaya. Mereka dapat membeli tiket kapalterbang harga murah ke Australia, menggunakan kemudahan tiket pelajar. Ketika itu, aku bukan lagi seorang pelajar. Tetapi Abu Zer dan Yunus sama cerdik seperti Hishamuddin Rais. Hubungan mereka bertiga dengan Persatuan Pelajar Australia yang akrab telah membantu untuk mendapatkan tiket murah bagiku ke Melbourne.

Ini adalah penerbanganku yang pertama ke luar negeri. Tetapi kami tidak mampu membeli tiket pergi balik.Aduh, sungguh menyeramkan. Aku dibekalkan dengan sekeping tiket satu hala sahaja ke Melbourne.Ini betul-betu menyerupai tajuk satu lagu popular kumpulan Pop Boney M ketika itu yang bertajuk “One way ticket”.

Sepatutnya pengalaman pertama naik kapal terbang ke luar negeri adalah sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi tidak bagiku. Dengan hanya ada tiket penerbangan pergi dan tidak ada tiket penerbangan balik, jarang dibuat orang. Perjalanan penerbangan selama lebih lapan jam ke Benua Australia itu amat menggelisahkan.Apa akan jadi apabila aku sampai di lapangan terbang Melbourne itu nanti?

Aku juga tidak ada wang kocek untuk perjalananku itu.Aku ke Australia boleh kata dengan sehelai sepinggang. Aku tidak tahupun akan keadaan cuaca di sana. Musim apakah? Aku tidak ambil pusing pun. Ketika itu, aku seperti  pasrah. Apa jadi, jadilah. Yang penting aku hendak bertemu sahabatku, Hishamuddin Rais. Aku ditugaskan untuk menjenguk Hisham, nama ringkasnya di kalangan kami, sama ada dia masih hidup atau mati.

Abu Zer dan Yunus berjanji kepadaku. Katanya tiket untuk aku pulang ke Malaysia nanti dari Melbourne ada pada Hisham.Hisham akan membeli tiket untuk aku pulang nanti. Aku percaya pada cakap Abu Zer dan Yunus. Dua orang sahabatku itu pasti tidak akan mengkhianatiku, aku berkata dalam hati.

Apabila mereka berdua berkata Hisham akan membeli tiket pulang untukku, aku juga percaya. Hisham juga tidak akan mengkhianatiku. Kepercayaan dan keyakinanku kepada mereka bertiga bukan datang begitu sahaja.Ia terbina dari pengalaman hidup kami berkawan setia bertahun-tahun lamanya.

Satu contohnya ialah apabila kami berdemonstrasi atau melakukan tunjuk perasaan pelajar secara besar-besaran di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur. Banyak demonstrasi seperti itu berlaku dari tahun1971 hinggalah tahun 1974.

Dalam demonstrasi sedemikian, Hisham terutamanya akan menasihatiku supaya tidak berada di barisan hadapan. Dia di hadapan, tetapi aku tidak. Dia tidak mahu aku ditangkap. Aku berasa selesa juga apabila berada dalam keadaan yang selamat. Tetapi dalam aksi demonstrasi yang kadang-kadang tidak terkawal dan pihak Federal Reserve Unit, FRU bertindak ganas, maka pernah berlaku Hisham mengalami kekejangan kaki atau “cramp”  tidak boleh bergerak. Aku terpaksa menolongnya dengan mengangkat dan mengheretnya berlindung di sebuah kedai Cina di Kuala Lumpur. Selepas FRU tidak lagi menjejaki kami, aku mendapatkan sebuah teksi membawa Hisham pulang ke Kampus Universiti Malaya.

Kini aku akan menyeberangi lautan ke benua asing semata-mata hanya untuk menemui kawan baik kami Hishamuddin Rais. Begitulah kami menyayangi Hisham. Kamarazaman Yacob lebih hebat. Dia sanggup mengetuai rampasan kuasa terhadap Pentadbiran Universiti Malaya sebagai ultimatum mendesak Kerajaan membebaskan Hishamuddin Rais yang ditahan di Johor Bahru semasa Peristiwa Tasek Utara.

Maka dengan  berbekalkan sekeping tiket penerbangan jalan sehala aku menaiki sebuah pesawat Garuda, milik Penerbangan Indonesia dari Lapangan Terbang Subang.

Pergi ke Australia, sebuah negara Commonwealth dan sahabat Malaysia amatlah mudah dalam urusan pasport serta imigresen. Aku membuat pasport antarabangsa hanya beberapa hari sahaja sebelum tarikh penerbanganku. Aku pergi ke Pejabat Imigresen di Wisma Persekutuan Johor Bahru yang terletak  tidak jauh dari Penjara Ayer Molek tempat Hishamuddin Rais, Yunus Ali dan Syed Hamid Ali pernah dipenjarakan semasa Peristiwa Tasek Utara, September 1974.

Sungguh seronok naik pesawat Garuda yang besar dengan pramugari dan pramugara berbahasa Indonesia penuh hormat dan santun. Hidangan makanan dalam kapalterbang Garuda itu sangat enak, terutama pada selera anakmuda gelandangan sepertiku ketika itu.

Mula-mula memang gembira dan teruja buat pertama kali bagi anak kampung sepertiku berpeluang naik kapal terbang.Tetapi penerbangan ke negara yang dalam sejarahnya pernah menjadi tempat buangan dan penjara bagi banduan-banduan Empire Inggeris itu, memakan masa lebih lapan jam. Maka mulalah aku berasa rimas dan jemu. Kapal terbang jet Garuda yang laju itu terasa seperti tidak bergerak diatas awan di angkasa terbuka dan lautan luas membiru di bawahnya.

Terlalu besar Australia itu. Kapal terbang kami tiada pilihan lain, melainkan terpaksa merentas dari Utara ke Selatan benua milik asal rakyat pribumi, orang asli negara kanggaro itu.Pesawat Garuda itu kemudian berhenti transit di Sydney. Kami tidak turun. Kemudian ia meneruskan penerbangan ke Melbourne yang terletak jauh di selatan.

Apabila melihat Lapangan Terbang Sydney, lalu aku berkata dalam hati : “Oh, aku sudah sampai ke Sydney, kota yang pernah aku pelajari dalam ilmu geografi, walaupun kakiku tak jejak ke bumi Sydney itu,”.

Apabila penerbangan kami disambung semula ke Melbourne, aku mulai berasa bimbang. Tidak lama lagi, kami akan sampai ke kota yang menempatkan Universiti Monash yang terkenal itu.

Soalan mula bermain di kepalaku apabila pesawat kami mulai memasuki negeri Victoria.  Apabila aku sampai di Lapangan Terbang Melbourne itu nanti adakah Hishamuddin Rais akan datang menjemput aku? Adakah anak kelahiran Jelebu itu akan  membawa tiket penerbangan pulang bagiku? 

Aku secara subconscious seperti terdengar lagu kumpulan muzik Boney M, “ One way ticket”.

Bertarikh 11 Jun 2021

Tiada ulasan:

Catat Ulasan