Jumaat, 14 Julai 2023

APAKAH KESEDARAN MELAYU RASIS ?


 KESEDARAN

 MELAYU RASIS ?


Pilihan Raya Negeri (PRN) telah diumumkan. Pengundi di enam  negeri : Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan memilih kerajaan baru pada Sabtu 12 Ogos 2023.

 Kempen sedang rancak berjalan. Ketika PRU 14 & 15 isi kempen ialah kesah Najib mencuri duit melalui 1MDB. Rosmah menjadi bola tanggung yang membawa kemenangan. Lawan kleptokrasi dan tangkap Najib menjadi slogan.

Hasilnya kita lihat United Malays National Organisation terduduk kalah. Hasilnya Najib dimasukkan ke penjara. Rosmah di hukum 10 tahun penjara. Dan belasan lagi  ‘pencuri dan  kleptokrat’ ditangkap, di bicara dan menunggu hukuman.
 
Kali ini kleptokrat yang diwakili oleh sosok Zahid masih dalam kerajaan. Agenda melawan kleptokrasi agak kendur malah kurang  didengar.

Kempen PRN kali ini yang dimunculkan adalah persoalan dan kesedaran Melayu.

Saya sendiri telah menulis  beberapa persoalan Melayu. Saya timbulkan kenapa nama Tanah Melayu ini ditukar menjadi Malaya dan kemudian Malaysia. Saya juga menimbulkan kenapa nama Pantai Dalam Kampung Kerinchi menjadi Bangsar South.

Perkara-perkara ini telah saya tulis awal sebelum kempen bermula. Saya bukan nak menumpang semangkuk dalam PRN kali ini. Tulisan saya muncul berbulan lebih awal lagi. Ini penerusan wadah perbincangan yang telah saya rakam dalam buku Persoalan Nasional.  Buku ini terbit sebelum  Virus Wuhan  sampai.

Saya menulis dalam kerangka untuk menimbulkan kesedaran tentang jati diri dan identiti diri. Tulisan saya bertujuan untuk melahirkan satu negara bangsa. 

Malah tesis  yang  saya ajukan adalah  betapa perlunya  ada satu Tunjang Bangsa yang menjadi  rujukan kepada negara kita ini. Saya penuh yakin bahawa  Tanah Melayu , Sabah dan Sarawak ini milik anak semua bangsa  dan bangsa semua agama.

Dalam masa yang sama perlu ada satu bangsa yang menjadi tunjung sebagai rujukan dalam usaha membina negara bangsa.

Dari dna  sejarah bangsa  atau nasion tunjang itu pastilah Bani Melayu.

Saya menggunakan  rujukan empirikal untuk memperkuat hujah. Saya melihat dan mengalami hidup di United Kingdom.  Memang benar  di UK ketika ini ada pelbagai dna bangsa yang menjadi warga negara.

Banci tahun 2021  didapati 18% warga United Kingdom bukan berkulit putih. Bukan penduduk asal. Mereka adalah pendatang dari pelbagai pelusuk – ada hitam, ada coklat, ada kuning dan ada sawo matang. 

Malah untuk pertama kalinya sosok yang berkulit bukan putih telah menjadi Perdana Menteri United Kingdom.

Majoriti pendatang ini anak bangsa dari negara bekas jajahan Inggeris.

Tetapi  tunjang budaya kepada United Kingdom masih lagi Anglo Saxon. Land dalam bahasa Melayu bermakna tanah.  England bermakna tanah bumi milik English. Scotland tanah bumi milik Scott. Ireland tanah bumi milik Irish. 

Pendatang lama dan baru wajib : dimana  bumi di pijak  di situ langit di junjung. Tidak ada heek tidak ada hook – semua pendatang tunduk kepada  bumiputera  pemilik asal bumi United Kingdom.

Di UK tidak ada larangan untuk pendatang India, pendatang China atau  pendatang Afrika untuk mengamalkan budaya dan adat resam masing-masing.

Homosexual, lesbian – LGBT – bukan satu jenayah di United Kingdom malah di rayakan. Jika imigran  Tok Arab atau Mullah atau Pak Lebai dari Pakistan  atau  sesiapa tak suka  LGBT  boleh berambus   dan nyah  dari United Kingdom.

Tempat makan jangan jadikan tempat terberak. Jangan lupa dimana bumi dipijak disana langit di junjung.

Ini tidak berlaku di Tanah Melayu.   Negara bangsa kita hari ini masih caca merba dan kacau bilau.  Ini hasil dari dasar siasah United Malays National  Organisation.  Parti yang klim mengajukan konsep ketuanan Melayu telah bersekongkol dengan British untuk memadamkan semangat nasionalisma Melayu.

Jangan lupa sejarah  Perlembagaan Rakyat 1947 dimana sesiapa sahaja yang lahir di bumi Tanah Melayu ini termasuk Singapura akan di takrif  Melayu.

Ini perlembagaan yang ditulis oleh anak watan i. e Bani Melayu. Ini kerja sama Putera dengan Majlis Bertindak Bersama Se Malaya ( AMCJA ) Ini bukan perlembagaan yang di gubal oleh Lord William Reid  pada tahun 1956. 

Projek Melayu dalam Perlembagaan Rakyat 1947  ini di jawab oleh British dan pembantunya United Malays National Organisation dengan Darurat 1948. Kaum nasionalis , kaum kiri , ditangkap, di penjara, di buang negeri dan di bunuh.

Projek mendirikan negara bangsa di gagalkan oleh kolonial Inggeris dengan kerjasama United Malays National Organisation.

Apabila British meninggalkan Tanah Melayu  parti Ketuanan Melayu yang dikepalai oleh kaum feudal  Melayu   telah bersekongkol dengan  towkay China dan kelas mandur India.  Mereka menubuhkan gabungan parti berasakan bangsa - apa yang dikenali sebagai Perikatan. 

Parti Perikatan  ini adalah boneka Inggeris. Mereka mendapat kuasa dari Inggeris. Mereka mengamalkan budaya  Buah Kelapa – hitam di luar putih di dalam.

Kenapa ini berlaku? Kenapa sejarah ini terjadi ?

Sejarah membuktikan bagaimana para nasionalis  Melayu telah di hambat dan dimusnahkan. Parti mereka di haramkan. Gerakan mereka di halang.  

Pasca perang dunia ke dua  gerakan melawan British memuncak. Ada setia kawan yang terjalin antara Bani Melayu dengan pendatang asing – China dan India - yang mahu menganggap Tanah Melayu sebagai negara mereka.

Kaum nasionalis Melayulah  yang melaungkan slogan Merdeka! Kaum nasionalis Melayu yang bersedia untuk menerima kaum imigran sebagai Melayu.

Nasionalis Melayu melaungkan Merdeka  Ini kerana Tanah Melayu adalah tanah tumpah darah mereka. Melayu bukan China yang ada Tanah Besar dan Taiwan. Melayu bukan India yang ada Tamil Nadu dan Ceylon. 

Bani Melayu hanya ada Tanah Melayu. Justeru mati atau merdeka.

Kaum nasionalis Melayu ini dianggap bahaya dan di takrif sebagai musuh utama oleh British. Nama seperti Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhamad, Boestamam, Shamsiah Fakeh   sedang mengancam kuasa kolonial Inggeris.  Justeru nasionalis Melayu wajib dihapus dan di musnah.
Kuasa kolonial Inggeris terdesak hasil gerakan para nasionalis maka pada 20 Jun 1948 Darurat di isytihar. Nasionalis di tangkap, di buru. Mana yang sempat lari masuk ke hutan mengangkat senjata.

Perjuangan bersenjata melawan British di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya dimulakan.

Kenapa saya menimbulkan fakta sejarah lama ini. Untuk saya  mengenali sejarah itu wajib. Dari dna sejarah kita  tahu asal usul kita. Meneliti sejarah maka kita tahu dna siasah kita hari ini adalah hasil dna persejarahan lampau.

Mengenal Kampung Kerinchi, Pantai Dalam adalah mengenal sejarah bangsa. Menamakan Pantai Dalam sebagai Bangsar South adalah jenayah.

Rohingya di nafikan nama dan tanah air mereka. Dan sejarah di padam akhirnya mereka dibunuh  beramai-ramai.  

Palestin – tanah air merek di rampas. Nama negara, nama jalan, nama kampung mereka  di mansuhkan. Mereka dilayan seperti menjadi pendatang di tanah air sendiri.

Apakah Bani Melayu akan menjadi Rohingya ? Apakah Tanah Melayu akan menjadi  Palestin ?

Soalan  saya ini mungkin dibaca agak  keterlaluan.  Soalan  saya ini dianggap  : over  the top. Mungkin pada tahap ini saya tidak betul. Mungkin saya silap besar.

Tapi saya ingin bertanya bagaimana  dengan kes menteri yang  menceroboh ke kawasan kastam di  KLIA dan melepaskan warga dari China Merah  yang di larang masuk?

Apakah saya rasis apabila saya bertanya hal ini?

Bagaimana pula jika saya bertanya ke mana hilangnya  1.2 juta warga China  Merah yang masuk sebagai pelancong kemudian hilang di Tanah Melayu.

Apakah ada kemungkinan warga China Merah ini akan mengubah demografi Tanah Melayu ?

Apakah perkara yang saya tanya ini di anggap rasis ?

Bila saya bertanya hal-hal ini saya teringat apa yang berlaku di Paris tiga minggu  dulu. Warga kota Paris dan beberapa kota lain keluar mengamuk. 

Mereka membakar bangunan, kereta, bas dan memecahkah pintu kedai. Mereka bertempur dengan polis. Keadaan darurat berlaku. Beberapa wilayah dalam  kota Paris  ditutup. Malah Presiden Macron terpaksa membatalkan lawatan resmi ke German.

Warga Paris  mengamuk kerana seorang anak muda 17 tahun  keturunan Arab mati di tembak polis yang berkulit putih. Kesalahan lalu lintas  memandu tanpa lesen.

Lalu di hebohkan bahawa yang mengamuk ini adalah generasi ke dua atau ketiga imigran yang berasal dari luar Perancis. Mereka keturunan Arab atau Afrika.  Mereka dikatakan tercicir dalam segi ekonomi. Mereka tidak mendapat bantuan kerana mereka memiliki nama yang ganjil dan tidak berkulit putih.

Warga Perancis yang berkulit putih di tuduh rasis terhadap imigran  yang berkulit tidak putih.

Apa kena mengena apa yang berlaku di Paris dengan siasah kita di Malaysia? Apa sangkut paut orang tidak berkulit putih di Perancis dengan kesedaran Melayu.

Di Perancis yang menuduh penduduk asal Perancis rasis ialah  pendatang yang tercorot ekonomi mereka.

Di Malaysia yang menuduh Melayu rasis juga adalah pendatang yang bukan berasal dari  Tanah Melayu.

Tapi ada bezanya. Di Perancis  pendatang yang melaungkan – rasis – rasis -rasis - ini adalah warga miskin. Manakala   di Tanah Melayu yang melaungkan  rasis- rasis-rasis ini adalah juga pendatang tapi mereka  yang memiliki punca kekayaan ekonomi negara ini.

Apakah pertanyaan dan kesedaran Melayu yang saya timbulkan ini  jatuh ke dalam rangka 3R ? Apakah semua ini soalan rasis dari Hishamuddin Rais. Sila tunggu pencerahan di  minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL 
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/07/14/kesedaran-melayu-adalah-3r
JUGA DALAM PORTAL
THEMALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/452260




Tiada ulasan:

Catat Ulasan