JPA semak dakwaan setiausaha akhbar tidak dibayar gaji, kata ketua pengarah
JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyemak dakwaan setiausaha akhbar kepada beberapa menteri tidak dibayar gaji, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dr Zulkapli Mohamad.
Dr Zulkapli berkata JPA akan mengumpul butiran daripada mereka yang terjejas supaya tindakan segera boleh diambil.
“Kita akan semak dan mendapatkan maklumat lengkap supaya tindakan segera diambil,” katanya kepada Berita Harian hari ini.
Akhbar berbahasa Melayu yang memetik sumber lain berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat tahun ini.
“Beberapa setiausaha akhbar terkejut dengan laporan berita mengenai perkara itu kerana ia tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan sama ada di luar atau dalam mesyuarat.
“Dalam mesyuarat terbaru, tiada langsung isu penerimaan gaji oleh SUA diketengahkan,” kata sumber itu dipetik dalam laporan berkenaan.
Semalam portal berita Free Malaysia Today melaporkan setiausaha akhbar kepada beberapa menteri tidak dibayar gaji selama berbulan-bulan walaupun sudah bekerja sejak kerajaan perpaduan memegang jawatan November lalu.
Laporan itu menambah mereka belum dibayar kerana surat pelantikan tidak ditandatangani.
Sebahagian daripada mereka memberitahu FMT mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai kelewatan pembayaran itu.
Tiga setiausaha akhbar yang enggan dinamakan memberitahu FMT, mereka tidak dapat meneruskan tugas tanpa gaji dan mungkin akan berhenti.
Salah seorang daripada mereka yang enggan disiarkan namanya berkata dia tidak menerima satu sen pun pada tahun ini manakala seorang lagi dia teringin ke bidang korporat yang menawarkan gaji lebih tinggi tetapi tidak mahu “meninggalkan menteri separuh jalan”.
“Saya hanya mendapat elaun apabila melakukan perjalanan ke luar. Jika tidak, saya hidup dengan wang simpanan yang saya rasa hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun. Saya sangat seronok bekerja di kementerian, tetapi saya tidak fikir boleh bertahan sehingga Disember jika tiada gaji,” kata seorang pembantu dipetik sebagai berkata.
Kelewatan itu dipercayai disebabkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menandatangani surat pelantikan mereka.
“Saya tidak tahu kenapa berlaku kelewatan. Saya pun tidak tahu berapa banyak yang akan saya terima,” kata sumber itu sambil menambah menteri pun tidak tahu berapa banyak gaji mereka.
Seorang lagi setiausaha akhbar berkata, mereka sudah menulis surat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui setiausaha sulit kanan menteri, tetapi belum mendapat maklum balas.
Difahamkan, masalah tidak dibayar gaji turut menjejaskan pegawai lain di beberapa kementerian. – 3 Julai, 2023.
bila tukar tiub mengulas berita dari berita harian..maka tukar tiub lupa cara membaca berita di malaysia..bila org gomen kata semua kaunter dibuka namun hakikatnya hanya satu kaunter saja dibuka, maka ni la kisah org gomen.mrk tidak kisah apa kerana punya kuasa.
BalasPadam