Ahli politik diseru elak ceramah bangkitkan kemarahan, kebencian
PIHAK yang berkempen dan menyampaikan ceramah politik diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membangkitkan kebencian dan kemarahan individu lain.
Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata kenyataan dalam ceramah mereka juga perlulah berdasarkan fakta dan data.
“Rakyat semakin peka untuk menilai manakah parti yang matang dan jujur, dan manakah parti yang suka berbohong dan fitnah.
“Jadi pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ini wajar menjadi pengajaran kepada semua.
“Soal salah atau tidak itu akan diputuskan oleh mahkamah, namun semua pihak dari semua parti perlu lebih peka dan berhati-hati dalam musim kehangatan pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya juga perlu berhati-hati agar tidak menjalankan kempen yang berbentuk mencipta kebencian dan permusuhan serta menimbulkan perkara sensitif sehingga boleh mencetuskan perbalahan.
“Persaingan politik sepatutnya berlaku secara sihat dengan masing-masing menawarkan barisan kepimpinan terbaik dan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.
“Memang isu 3R (agama, raja dan kaum) sebahagiannya sensitif… penjelasan yang dibuat itu perlulah berfakta, tepat dan tiada unsur hasutan dan fitnah,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa COLGIS Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Noor Farihah Mohd Noor berkata hak kebebasan bersuara sememangnya dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun ada batasnya.
“Ucapan yang dibenarkan perlu berbentuk membina dan dilaksanakan untuk tujuan dan matlamat yang betul, demi keadilan dan kebenaran serta kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata ahli politik dan orang awam perlu lebih peka dan mempunyai tanggungjawab menyampaikan idea dan pandangan yang bijak dan bernas, serta tidak berbaur provokasi sehingga boleh menimbulkan ketegangan mana-mana pihak.
“Bagi orang awam pula mereka perlu pandai menapis ucapan yang diberi supaya boleh membuat pilihan yang lebih baik dan tepat, bukan atas dasar emosi.
“Mereka juga perlu bijak dan kritikal dalam menilai ucapan yang disampaikan oleh ahli politik agar tidak terikut-ikut dengan sentimen yang tidak sihat,” katanya.
Selasa lepas, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan