Rabu, 19 Julai 2023

PEGUAM MASIH TAK FAHAM


Mengapa layanan berbeza antara Sanusi dan Guan Eng, soal peguam


Seorang peguam tampil menyenaraikan tiga isu yang signifikan berkaitan proses siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ceramah politiknya di Selayang, Selangor minggu lalu sehingga peringkat pendakwaan di mahkamah, pagi semalam.

Pertama, peguam Rafique Rashid, mempersoalkan dan membandingkan tempoh masa yang diambil oleh pihak polis dalam kes Sanusi, mengatakan mengapa masa yang lama pula diambil untuk menyiasat ahli politik dalam anggota kerajaan campuran.

Beliau merujuk kepada kes siasatan Pengerusi DAP Lim Guan Eng berhubung ucapannya yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) dalam satu majlis di Jelutong, Pulau Pinang 7 Julai lalu.

Beliau berkata, proses siasatan yang laju dan tidak lembab wajar dipuji dan sepatutnya dijalankan oleh pihak polis terutamanya kes Sanusi hanya perlu dinilai melalui kata-kata dalam ucapannya sama ada wujud elemen hasutan sebelum dibawa ke peringkat pertuduhan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, sekiranya itulah proses siasatan yang dikenakan terhadap Sanusi ianya juga sepatutnya menjadi proses yang sama dikenakan terhadap mana-mana siasatan melibatkan ahli-ahli politik dalam anggota kerajaan campuran pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Yang mengkritik dan menggunakan 3R juga harus dikenakan tindakan yang sama juga. Kalaulah telah pun dipanggil dalam masa empat hari selepas itu pun dituduh.

“Maka, Lim pun samalah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semalam, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan kerana membuat kenyataan berbaur hasutan mengenai pelantikan rakan sejawatnya di Selangor, Amirudin Shari ketika berucap dalam ceramah politik.

Beliau didakwa hanya selepas empat hari hadir memberi keterangan dan rakaman percakapan kepada pihak polis.

Sanusi turut didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan berhubung penubuhan kerajaan campuran.

Bercakap lebih lanjut, Rafique berkata perbezaan itu seolah-olah memberi bayangan terdapat layanan yang tidak sama dalam kedua-dua siasatan terhadap ahli-ahli politik tersebut.

Perkembangan ini lebih jelas apabila seseorang yang berada dalam blok pembangkang menerima “kelajuan” yang lebih cepat berbanding pemimpin yang berada dalam blok kerajaan.

Selepas pendakwaan terhadap Sanusi, Rafique turut membangkitkan persoalan mengenai keazaman PH yang selama ini dilihat aktif memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan sering kali menggelar akta itu sebagai satu akta yang sudah lapuk.

Namun kini, selepas berjaya membentuk kerajaan baru di Putrajaya, PH dilihat masih bergantung dengan pendakwaan terhadap musuh politik mereka menggunakan akta tersebut.

Katanya, terdapat beberapa seksyen dalam undang-undang yang membenarkan pertuduhan meskipun melibatkan sensitiviti kesultanan dan diraja tanpa perlu menggunakan Akta Hasutan.

Contohnya, Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mengenai kesalahan atau jenayah fitnah dan jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 500 yang membawa hukuman penjara sehingga dia tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Jadi, tak perlulah nak gunakan undang-undang lapuk macam Akta Hasutan 1948 yang mereka sendiri kata akan hapuskan dan mansuhkan.”

Mengulas lanjut, Rafique juga menyedari perkembangan terbaru dalam kalangan penyokong kerajaan campuran di mana mereka juga dilihat seolah-olah meraikan penggunaan Akta Hasutan setiap kali melibatkan siasatan terhadap pemimpin pembangkang.

“Undang-undang itu tidak harus disorak oleh sesiapa kerana akhirnya benda ini menjadi ‘politically motivated’.

“Sebab jelas penyokong-penyokong mereka sendiri yang sebelum ini yang bertempik sorak bahawa sepatutnya kerajaan yang reformasi ini mansuhkan undang-undang tapi gunakan undang-undang yang sama untuk lawan mereka.”

Pada perkembangan sama, beliau juga mengulas tindakan pihak polis yang menahan Sanusi di Kuala Lumpur pada jam 3 pagi sedangkan pihak berkuasa boleh mengeluarkan perintah hadir mahkamah.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau menerangkan pertuduhan terhadap Sanusi itu difailkan melalui sistem atas talian, e-filing sekitar jam 5 petang pada Isnin.

Dengan itu, pihak pendakwa raya juga akan maklum bahawa pendakwaan akan dibuat pada pagi Selasa.

“Kalau begitulah pemfailan pertuduhan tersebut, maka sudah tentu pegawai penyiasat sudah memaklumkan kepada peguam yang mewakili Sanusi bahawa pertuduhan akan diadakan pada jam 9 pagi hari berikutnya.

“Dan fakta beliau ditahan pada jam 3 pagi di Kuala Lumpur, kenapa perlu ditahan? Sepatutnya beliau terus hadir ke mahkamah pukul 9.”

Katanya, penahanan itu seolah-olah menghantar satu mesej kepada rakyat daripada segi kebebasan pergerakan seseorang.

Menurut Rafique, jika seorang menteri besar seperti Sanusi yang memiliki pegawai pengiring dan pengawal peribadi boleh diperlakukan sedemikian, bagaimana pula nasib dan layanan pihak polis kepada rakyat biasa?

“Itulah yang saya ajak rakyat Malaysia untuk berfikir secara kritikal, bukannya atas asas parti politik masing-masing.

“Tetapi dari segi seorang rakyat, adakah ia akan terima layanan yang sama macam Sanusi atau menjangkakan layanan yang sama macam Lim, tidak dituduh sehingga sekarang.”

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mempertahankan penahanan Sanusi oleh pasukannya mendakwa pemimpin itu gagal dihubungi untuk memaklumkan kehadirannya di mahkamah.

Pada Isnin, Sanusi memberitahu media beliau sudah pun mengesahkan kehadirannya ke mahkamah untuk didakwa.

WOIT

PEGUAM NI

KURANG FAHAM

AMIN

SENANG CAKAP

MACAM NI :

SANUSI MUSUH

GUANG ENG KAWAN

AMIN

TIBAI MUSUH

PILIHARA KAWAN

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan