NGO gesa wujudkan kerajaan Melayu Islam tanpa DAP
BANGI – Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor dan Negeri Sembilan menggesa pemimpin-pemimpin parti politik Melayu Islam berlapang dada supaya agenda penyatuan ummah dapat diwujudkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, rakyat telah memberikan isyarat menerusi keputusan pada pilihan raya di enam negeri yang lalu dengan menunjukkan mereka mahu agenda penyatuan Melayu dan Islam ditegakkan di negara ini.
Katanya, bagi tujuan itu gabungan NGO Islam Selangor dan Negeri Sembilan mencadangkan agar ditubuhkan kerajaan Melayu Islam tanpa DAP.
Ia susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menunjukkan lebih banyak kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyebelahi pemimpin Melayu Islam tidak kira parti UMNO, Pas, Bersatu, Amanah mahupun PKR.
“Sebab itu pemimpin-pemimpin ini sama ada UMNO dan Perikatan Nasional (PN) perlu berlapang dada untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Jadi, kalau ini berlaku saya rasa persoalan yang lebih besar daripada itu boleh kita atasi…soal kepentingan Melayu Islam ini mesti dipertahankan tanpa mengira parti.
“Sebab itu kita nak cadangkan mereka kena tentukan siapa menteri besar dan barisan Exco yang boleh mempertahankan hak-hak ini. Itu yang kita nak cadangkan sebenarnya kerajaan tanpa DAP,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Zai, agenda penyatuan ummah boleh dilaksanakan tanpa DAP kerana parti-parti politik yang mempunyai pimpinan Melayu pastinya tidak akan mengenepikan Islam dan mahu agama itu dipertahan.
Beliau mendakwa, banyak perkara telah dilakukan oleh DAP terutama dalam menindas umat Melayu Islam di sebagai mana yang berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Zai menegaskan, agenda penyatuan ummah ini boleh dilaksanakan di peringkat Persekutuan kerana ramai pemimpin Melayu di peringkat Parlimen terdiri dalam kalangan wakil rakyat berbangsa Melayu dan Islam.
Katanya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk dengan DAP kerana kekuatan pemimpin Melayu yang ada sudah cukup untuk menyingkirkan parti itu.
“Sebenarnya kalau pemimpin itu ada ‘political will’ sayangkan bangsa dan agama dia, kalau perdana menteri itu Melayu, kalau Anwar itu Islam apa yang dia sayang sangat pada DAP. Ahli di Parlimen cukup Melayu Islam.
“Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor) boleh panggil pemimpin Melayu Islam ini bincang siapa boleh jadi menteri Besar, Exco dan sebagainya. Kenapa sayang sangat dengan DAP, kalau dia pemimpin yang berjiwa besar,” ujarnya.
Tambah satu lagi Melayu TT ..ha..kah...kah...
BalasPadam