Sabtu, 12 Ogos 2023

PRN : TANDA DAN MAKNA



PRN :

 TANDA DAN MAKNA


Pengundian di enam  negeri – Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor memiliki tanda dan makna yang tersendiri.

Kempen dan keputusan PRN ini akan menjadi rujukan kepada pengkaji sejarah yang akan datang.  Ini untuk pertama kalinya  berlaku pengundian di negeri ketika kerajaan pusat baru sahaja di lantik.

Ianya agak berbeza dari pilihan raya kecil kerana YB meninggal dunia. PRN 2023 ada 
570 calon bertanding merebut 245 kerusi DUN pada pilihan raya enam negeri ini.

Ini adalah pertandingan antara kerajaan campuran Pakatan Harapan + Barisan Nasional dengan Perikatan Nasional yang menjadi pembangkang.

Dari awal lagi PN telah berjaya mengajukan dan menebarkan jala naratif bahawa pemilihan YB di enam negeri  kali ini adalah referendum kepada kerajaan Persekutuan. Dengan jelas  PRN cerita ini juga  di jual untuk  di tafsir   sebagai pemungutan pandangan terhadap Anwar Ibrahim.

Naratif ini  dan keputusan PRN ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan campuran PH+BN.

 Tapi naratif ini  masih menjadi viagra yang menaikan nafsu pengundi dan penyokong Perikatan Nasional  yang mahu  menggulingkan  kerajaan  yang  sedia ada.

 Haji Hadi pemimpin Parti Islam terus menjual naratif bahawa keputusan PRN ini – jika Pakatan kecundang – maka kerajaan pusat akan di tukar. Dari mana  dan bagaimana Hadi mendapat asal usul pendapat ini masih jadi tanda tanya.

Apa yang jelas dengan  PRN ini ialah tentang kedudukan  Zahid dan peranan United Malays National Organisation.

Dari berita yang tersebar umum diberitahu beberapa orang  kuat parti Ketuanan Melayu ini telah keluar parti kerana tidak yakin dengan kepimpinan dan garis politik Zahid. Mereka menambah jumlah – Shahidan, Annuar Musa  dan Noh Omar yang telah keluar parti ketika  PRU 16 dahulu.

Kepimpinan Zahid terus menjadi induk kempen dan agenda ketidakpuasan ahli United Malays National Organisation. Rata-rata ahli parti ini merasa mereka telah ditipu oleh Zahid.

Ahli dan penyokong United Malays National Organisation  mereka telah  diperbodohkan dan dibangangkan oleh Zahid dengan slogan – No Anwar No DAP.

Agenda anti-Zahid ini akan membawa padah besar kepada kerajaan Pakatan. Walau pun ini adalah krisis dalaman tetapi kesannya amat besar kepada keputusan PRN  ini.

Persoalan yang selalu di timbulkan : Apakah ahli United Malays National Organisation akan memilih calon Pakatan atau memberi undi kepada Perikatan. Apakah penipuan Si Zahid ini akan menghilang dan mengurangkan  undi Pakatan.

Malah ada ahli  penyokong  dan ahli PRR dan DAP yang melihat Zahid ini sebagai kavadi. Memikul kavadi adalah amalan penganut Hindu untuk ke Batu Caves membayar nazar. Memikul kavadi bernama Zahid adalah membayar niat untuk sampai ke Putrajaya.

Malah memikul Zahid ini telah dijadikan lawak kepada niat baik Anwar Ibrahim yang sedang berkempen bertegang leher  menentang rasuah. Kempen anti-rasuah Anwar ini menjadi bahan lawak kerana Zahid – timbalan kepada Anwar -  sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Dihebohkan. Jika United Malays National Organisation  gagal mendapat kejayaan  dan ramai calon hilang duit pertaruhan maka ini tanda malaikat  maut telah menghampiri parti ketuanan Melayu ini.

Tetapi hakikatnya adalah payah lagi susah untuk mengumpil Zahid keluar dari kerusi Presiden. Zahid dengan bijak lagi licik telah memecat dan menggantung muka-muka yang berpotensi  untuk mengumpil kerusi Presiden. 

Zahid Hamidi dibaca kukuh dalam Majlis Kerja Tertinggi. Ahli-ahli yang tidak  suka kepada Zahid  boleh menonggeng sambil terkentut - kedudukan Zahid tidak akan goyang. Amin.

Satu lagi perkara yang tersirat dala PRN ini ialah jumlah pengundi yang akan keluar mengundi. PRN bukan pilihan raya umum untuk menubuhkan kerajaan. Justeru dirasakan ada  kecuaian – sikap tidak ambil pot -  dalam hal keluar mengundi. 

Perkara keluar mengundi di takuti oleh Pakatan dan juga Perikatan. Dua gabungan ini mahu jumlah pengundi yang melebihi 70%.

Hadi Awang telah mengeluarkan fatwa untuk memastikan penyokong Parti Islam dan Bersatu – maknanya Bani  Melayu agar keluar beramai-ramai. Dosa dan pahala menjadi landasan fatwa Hadi.

Jika Hadi gusar jika Melayu tidak keluar mengundi projek Perikatan akan koyak.

Dalam masa yang sama Pakatan pula merasak takut jika pengundi China tidak  seratus peratus keluar mengundi. Pengundi China ‘tidak full force –‘  untuk datang mengundi.

Pengundi China menyokong kuat kerajaan Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim. Pengundi China  merasa mereka selamat dan berpendapat PRN ini tidak akan mengubah kerajaan pusat. Justeru  mereka merasa selesa maka tidak ambil berat untuk mengundi. Tidak pulang dari luar negara seperti sikap mereka dalam PRU16.

Dalam masa yang sama ada juga pengundi dan penyokong DAP yang merasa kecewa. Dalam PRU16 mereka telah memilih  Pakatan tetapi dapat kembali  kepala kleptokrat  yang bernama Zahid.  

Babak Zahid ini  mengecewakan sebahagian pengundi China. Justeru ucapan Tony Pua sosok penasihat Anthony Loke pemimpin besar DAP. Tony Pua secara jujur masih melihat United Malaya National Organisation sebagai parti korup. Untuk pengundi genre ini undi  atau  tak undi pun hasilnya adalah sama. Amin.

Hakikatnya jika Melayu tak ikut fatwa Hadi maka Perikatan Nasional akan gagal mendapat kemenangan besar. Amin

Hakikatnya jika China tidak ramai keluar mengundi maka banyak kerusi  Pakatan akan rahai dan jatuh ke tangan  Perikatan. Amin.

Pertempuran PRN kali ini adalah pertempuran di media sosial. FaceBook. Twitter, Instagram dan Tik Tok menjadi aliran membawa pelbagai bentuk propaganda.  Kreativiti dalam media sosial  menjulang tinggi.

Pelbagai genre telah  digunakan melalui pelantar ini. Ada lagu, ada syarahan, ada slogan, ada filem pendek, ada maki hamun – dan ada semua bentuk  hasutan dan tohmahan muncul di pelbagai pelantar.

Ada propaganda bijak – ada menarik – ada parodi , ada yang kasar  tapi hakikatnya Internet sedang memainkan peranan yang amat penting dalam berkempen.

RTM, TV3 , Utusan  dan media yang sewaktu dengannya  boleh tutup kedai. Hanya yang tak ada pilihan sahaja yang menuntun RTM atau TV3. Dala bahasa anak muda mereka yang masih menuntun RTM ini adalah generasi  Mat Poyo. Amin..

Pengaruh media sosial ini diakui oleh Ketua Menteri Penang Chow Kon Yeow. Ceramah DAP di Tanjung tidak ramai  yang hadir. Maka menurut pemimpin DAP ini banyak kempen DAP dijalankan melalui talian.

Wajib di akui bahawa perang siber PRN 2023 kali ini  dimenangi oleh Perikatan Nasional.  Pejuang siber Perikatan tidak semuanya diupah. Mereka berperang untuk menumpaskan musuh mereka. Justeru tanpa duit upah mereka terus  berkarya menyerang.

Jangan sesekali di lupakan bahawa PRN kali ini juga telah memunculkan wira baru. Ini wira Melayu Islam. Satu ketika dulu Parti. Islam ada ayam sabung bernama Mat Sabu. Kali ini Perikatan Nasional ada Sanusi  Mat Nor.

Heboh. Heboh.. PRN kali ini di dominasi oleh Sanusi. Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah bergelawak dengan Anwar Ibrahim. Bertikam lidah dengan Saifuddin Nasution Menteri Dalam Negeri. Sanusi dituduh mencuri, Sanusi di tangkap polis, Sanusi hina Sultan, Sanusi tuduh  Anwar tidak bermoral.  Hasilnya Sanusi dinobat sebagai Wira Melayu.

Anak-anak muda – Mat Rempit dan Mat Grab melihat Sanusi ini cool. Sikap anak muda ialah menentang yang wujud. Melawan yang berkuasa – dari konteks sikap kemudaan ini Sanusi dilihat  cool. Anwar dan Saifuddin dilihat  poyo. 

Anak muda melihat Sanusi dengan bahasa yang agak kasar sebagai sosok punk counter culture. Kalau Johnny Rotten  dan Sid Vicious menibai Baginda   Queen – Sanusi pula menibai Saifuddin Nasution – Menteri KDN.

Malah paling cool dari mulut Sanusi ialah bila dia menyebut nama Saifuddin sebagai Pudin.  Kata-kata dan lawak jenaka Sanusi  menyengat dan menular mengepung  anak muda untuk masuk ke  perangkap Perikatan Nasional.

Paling bijak lagi ikonik ialah bagaimana Sanusi dengan cekap mengangkat  ketika keluar dari mahkamah kerana tuduhan menghina Sultan Selangor.

Angkat tangan Sanusi ini sama seperti Anwar mengangkat tangan ketika keluar dari mahkamah atas tuduhan meliwat Azizan pada tahun 1998.

Tidak dapat tidak Sanusi ini bijak berfikir walau pun mulut agak  kasar dengan  menggunakan bahasa rakyat  Kedah biasa.

Satelah mustaid apakah yang kita rumuskan.

Pada hemat saya jika  Perikatan berjaya memenangi satu lagi negeri – Selangor atau Negeri Sembilan – ini akan membuktikan bahawa Melayu tidak menyokong Pakatan.

Jika ini berlaku maka saya timbulkan persoalan : apakah pengundi benci pada Anwar, pada Zahid  atau pada DAP.  Justeru mereka memilih Hadi dan Muhyidin.

Jika Selangor dan Negeri Sembilan jatuh ke tangan Perikatan bermakna dalam   PRU16  satu pertempuran yang maha hebat akan berlaku. Agenda Melayu Islam akan menjadi kemudi negara kita.

Saya tidak berupaya untuk membuat apa apa ramalan terperinci akan keputusan PRN kali ini.  

Pada hemat saya para penyokong Pakatan akan merasa selesa jika status quo kembali muncul.  Kedah, Terengganu dan Kelantan di bawah Perikatan. Yang tiga lagi di bawah Pakatan 

Mungkin dalam status quo ini ada banyak kerusi  Pakatan tercabut tapi masih berjaya menubuhkan kerajaan. Jangan runtuh bocor boleh di terima.

Selamat mengundi. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL  THE MALAYSIANINSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/456707
DAN  DALAM PORTAL
MALAYSIANOW
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/08/12/prn-6-negeri-tanda-dan-makna




Tiada ulasan:

Catat Ulasan