Selasa, 22 Ogos 2023

UMNO DI PERSIMPANGAN JALAN


UMNO 

DI PERSIMPANGAN

MENCARI  

JALAN PULANG



KAMARAZAMAN YACOB

Kassim Ahmad, seorang tokoh kiri yang berfahaman sosialis. Beliau memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia dari tahun 1966 sehingga tahun 1984, selama 18 tahun. Begitu pun, akhirnya beliau meninggalkan perjuangan jalur sosialismenya yang diluahkan ke dalam bukunya yang berjudul- MENCARI JALAN PULANG DARIPADA SOSIALISME KEPADA ISLAM.

Sejak sekian lama Kassim Ahmad berpegang kepada Sosialis Saintifiknya, tetapi semasa beliau di dalam tahanan selama hampir 6 tahun, telah mengubah pegangannya. Mungkin penjara itu merupakan persimpangan jalan kepadanya, untuk kembali berfikir dan menilai perjuangannya. Jawapan kepada beliau adalah mencari jalan pulang.

Melihat UMNO telah kehilangan arah pasca Pilihan Raya ke15 dan kekalahan teruk PRN di enam negeri, maka saya meminjam judul buku Kassim Ahmad untuk tajuk artikel ini, iaitu - UMNO Di Persimpangan : Mencari Jalan Pulang.

Kepimpinan, pendukung serta para ahli parti perlu kembali menyusur sungai sejarah perjuangan, kedudukan, kekuatan lampau, penguasaan UMNO dalam politik tanah air. Melihat kekuatan serta penguasaan semasa membentuk Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia. Mengkaji bagaimana UMNO memimpin PERIKATAN (1952, sah 1957) dan Barisan Nasional (BN) sejak terbentuk pada 1 Jan 1973. Dari PERIKATAN yang terdiri tiga buah parti kepada BN pada mulanya  9 parti hingga menjadi 13 buah parti.

Beberapa persoalan tentunya menerjah fikiran pemimpin yang menyayangi UMNO. Mengapa dahulunya UMNO berterusan menjadi pemimpin yang berwibawa kepada rakan komponennya di dalam PERIKATAN dan BN?Bagaimana UMNO mampu memimpin PERIKATAN dan BN memenangi siri pilihan raya sejak 1955. Mengapa UMNO tewas pada PRU 14 (2018) dan tewas teruk pada PRU 15 (2022) juga PRN 12 Ogos lepas. Apakah kekalahan UMNO kerana produknya sudah tidak mujarab atau atas sebab yang lain?

Banyak diperkatakan oleh penganalisis tentang keputusan PRN lepas. Begitupun, saya hanya ingin menyentuh secara ringkas. Satu gambaran kasar lagi mudah untuk diamati.

Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing dapat mengekalkan negeri milik mereka. PN kembali menguasai  Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan keputusan yang begitu cemerlang. PN memenangi sepenuhnya kerusi di Terengganu iaitu 32-0. Manakala Kedah, PN dapat mengekalkannya dengan 33-3. Manakala Kelantan PN memenangi dengan 45-2.

Keputusan di ‘Malay belt’ atau Jalur Melayu ini sangat memilukan pendukung UMNO. Parti tersebut hanya menang sebuah kerusi di Galas, Gua Musang, Kelantan. Sedangkan pada PRU14, UMNO menang 3 DUN di Kedah, 8 DUN di Kelantan  dan 10 DUN di Terengganu.

Pakatan Harapan/UMNO menang 29-11 DUN di Penang. Sebanyak 34-22 di Selangor. Dan 31- 5 DUN di Negeri Sembilan. PH banyak kehilangan kerusi di Pulau Pinang dan Selangor.

Di segi undi popular. PH mendapat 2,477,668 undi mewakili 36.1%. BN perolehi 921, 804 iaitu 13.4%. PN mendapat 3,382, 454 iaitu 49.3%. Lain-lain 74, 417 iaitu 1.2%.

Menjadikan total undi PH sebanyak 49.5%. Manakala PN 49.3%. Di segi penguasaan kerusi, PH-BN memenangi 99 kerusi.  PKR menang sebanyak 26, DAP 46, AMANAH 8 dan UMNO

19. Manakala PN memenangi sebanyak 146 kerusi, dengan PAS menang 106 dan BERSATU 40.

Berdasarkan keputusan PRN tersebut, UMNO menghadapi suatu malapetaka yang sangat dahsyat. Bertanding sebanyak 108 dan menang hanya 19 kerusi, iaitu peratus kemenangannya hanya 17.5%. Kekalahan di Terengganu dengan gagal mendapatkan sebarang kerusi, adalah kekalahan memalukan serta begitu aib.

UMNO hanya mampu menang satu kerusi dari tiga Negeri Melayu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sudah terang lagi  bersuluh bahawa UMNO ditolak oleh pengundi Melayu. Masih bolehkah kepimpinan UMNO mendabik dada,bahawa UMNO parti mewakili orang Melayu?

Bayangkan UMNO hanya menang I kerusi dari 113 kerusi di negeri Malay Belt. Menang hanya 0.8%. Masih mampukah kepimpinan tertinggi UMNO menghadapi pendukung serta ahli parti? Selama ini menyatakan kepada mereka bahawa berjuang bersama PH akan menguntungkan parti. Berjuang di dalam Muafakat Nasional akan merugikan UMNO.

Adakah keputusan PRN ini, mendedahkan pembohongan kepimpinan tertinggi  UMNO kepada ahlinya? Masih bersediakah para ahli UMNO untuk menyediakan hidung buat dicucuk dan ditarik oleh kepimpinan tertinggi parti? Masih bersediakah menjadi lembu dicucuk hidung?

Lebih 60 tahun UMNO memimpin Malaysia, apakah parti ini sudah hilang sepenuhnya peluang untuk kembali menjadi parti yang memimpin, bukan parti yang dipimpin. Adakah jalan yang diambil oleh kepimpinan sekarang masih punyai peluang untuk UMNO kembali menjadi pemimpin atau sebaliknya?

Persoalan inilah yang perlu dijawab oleh kepimpinan UMNO sebelum memilih atau menentukan hala tujunya. Berhentilah sementara waktu di persimpangan jalan, sebelum memutuskan jalan yang mahu dilalui. Berfikir secara rasional untuk kepentingan parti dan para ahli selain memikirkan kepentingan diri.

Kepimpinan perlu menyedarkan para ahli, bahawa produk ampuh yang mereka jaja selama ini, iaitu Melayu-Raja sudah terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN). Kehilangan produk itulah menyebabkan UMNO kalah teruk, hanya mampu menang 20 di Semenanjung dan 6 di Sabah semasa PRU15. Manakala di dalam PRN baru lepas, UNMO hanya mampu menang 19 kerusi DUN dari 108 kerusi yang ditandingi. Keputusan yang terburuk di dalam sejarah penglibatan UMNO di dalam sebarang pilihan raya. Terimalah hakikat bahawa kekalahan UMNO di negeri-negeri majoriti Melayu kepada PN itu sebagai bukti bahawa produk milik UMNO selama lebih 60 tahun itu telah berpindah tangan. Jadi, bagaimanakah untuk UMNO mendapatkan kembali produk tersebut?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan