Penganjur himpunan Selamatkan Malaysia dipanggil polis
POLIS memanggil beberapa individu yang dikaitkan dengan perhimpunan #SelamatkanMalaysia semalam di Kuala Lumpur untuk direkodkan kenyataan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan yang baru dipilih Dr Afif Bahardin mengesahkan perkara itu menerusi X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
“Saya dijemput @PDRMsia untuk memberi keterangan berkenaan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
“Inshallah, saya akan hadir ke IPD Dang Wangi esok, Isnin pada jam 12:00 tgh bagi merakam keterangan ,” kata bekas ahli PKR itu.
Sementara itu, bekas ahli Umno Tun Faisal Ismail Abdul Aziz berkata kira-kira 20 individu dipanggil oleh polis untuk direkodkan kenyataan mereka esok.
Beliau berkata kesemua 20 individu itu diberitahu untuk hadir ke balai polis Dang Wangi seawal jam 10 pagi.
Himpunan yang diadakan semalam adalah untuk membantah keputusan peguam negara menarik balik kesemua 47 pertuduhan jenayah ke atas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
The Malaysian Insight menghubungi Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya untuk mendapatkan komen lanjut.
Polis semalam berkata mereka merancang untuk mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata perhimpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.
“Perhimpunan hari ini tidak termasuk di bawah PAA.
“Disebabkan itu, kami akan lihat apa tindakan susulan yang patut diambil selepas ini,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Balai Polis Dang Wangi.
Allaudeen berkata walaupun penganjur perhimpunan menyerahkan notis kepada polis mengenai perhimpunan itu, ia tidak mematuhi garis panduan yang digariskan dalam PAA.
Minggu lalu, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membenarkan Zahid dilepaskan tanpa pembebasan (DNAA) atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Pihak pendakwaan berkata ia mahu menghentikan prosiding supaya siasatan lebih mendalam dapat dilakukan.
Pada hari Sabtu gesaan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim berundur dan laungan “Reformati” (reformasi sudah mati) bergema di perhimpunan anjuran Perikatan Nasional di ibu negara.
Perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo itu berlangsung kira-kira sejam sebelum orang ramai bersurai.
Turut kelihatan menyertai perhimpunan semalam ialah ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin dan bekas timbalan ketua Umno Putrajaya Tun Faisal.
Kumpulan yang berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru itu berarak ke Balai Polis Dang Wangi sebelum menuju ke pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Semasa perarakan laungan “Tolak Zahid!”, “Dakwa Zahid!” dan “Reformati!” berbunyi.
Polis di lokasi terus mengawasi penunjuk perasaan. – 17 September, 2023.
ini tepat..ini tanda2 isham rais sedang jadi guru besar dlm mengatur demo besar. pencacainya adalah amir hadi muda yg kalah deposit prn..dua2 ex london termasuk mat jargon..walhal isham rais tiada demo utk DNAA shahidan kassim, jana wibawa..projek masyuk ni utk pemecah berita setelah beberapa tahun berkhalwat selepas merakah langkah sheraton..kini sakai kembali utk menipu dan mengolah persetujuan agar anwar dijatuhkan melalui jalanraya..ambiga,maria china dan LFL akan jadi kuda tungangan sakai..anwar jatuh, mahatir gembira..
BalasPadam