Tiada lagi Menu Rahmah, pelajar bimbang makanan makin mahal
KUMPULAN pelajar bimbang akan semakin terbeban apabila kedai makan dan kafe dalam kampus mula meninggalkan Menu Rahmah dan menaikkan harga makanan.
Kebanyakan kedai makan sudah menaikkan harga makanan dan minuman pada bulan lalu ketika mereka mula cuti semester.
Seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang hanya mahu dikenali sebagai Ariff berkata, ada kedai yang hanya menawarkan Menu Rahmah selama dua minggu sejak diperkenalkan.
“Ada yang naik (harga) dan ada masih kekalkan. Macam di tempat kolej saya ada satu kedai makan yang masih sama, nasi ayam RM5.
“Saya selalu ambil nasi ayam untuk jimat. Kalau ambil nasi dan lauk itu memang harga jadi RM5 ke atas paling murah pun RM7 kalau kita ambil nasi dan ayam,” katanya.
Pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal itu kepada The Malaysian Insight, kebanyakan kedai makan dalam kampus universiti tidak meneruskan program tersebut.
“Menu Rahmah hanya bertahan dua minggu sahaja masa awal-awal diperkenalkan. Kemudian tengok banyak kedai tak ada buat Menu Rahmah ini.
“Kemudian bukan harga makanan sahaja naik. Ada juga kedai yang naikkan harga minuman sampai RM2.50 dan teh o ais dalam RM1.80.
“Tapi kami pelajar tak ada pilihan. Kalau nak pilih kedai yang murah, kena jalan jauh dari kolej. Jadi kebanyakan pelajar terpaksa juga beli walaupun harga mahal,” katanya.
Pelajar berasal dari Miri Sarawak itu resah jika harga itu akan meningkat apabila sesi pengajian bermula semula pada minggu depan.
Kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), kenaikan itu amat menjejaskan pelajar yang tinggal di luar kampus.
Presidennya, Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz berkata, mereka mendapati ada pelajar terkesan dengan masalah kos sara hidup sehingga sampai terpaksa ikat perut.
“Ini daripada tinjauan kami baru-baru ini di kampus-kampus. Ada yang sangat terkesan dengan kenaikan harga makanan sampai tidak makan tiga hari.
“Maksudnya makanan yang tak sihat hanya sekadar biskut atau apa sahaja yang boleh lapik perut. Tapi nak dapat makanan seimbang di luar kemampuan mereka,” kata Ariff, 20 tahun.
.
Ekoran itu, Gamis mengumpulkan lebih 1,000 tandatangan mahasiswa dari serata negeri terutamanya Pulau Pinang dan Selangor yang mengadu tertekan dengan kos sara hidup harian.
“Dengan keadaan mahasiswa yang sukar dan dilarang masak di kolej, memaksa mereka untuk hanya beli sahaja untuk makan.
“Mereka tak dapat beli barang mentah untuk masak sendiri dan berjimat. Jika di luar kampus pula ada bebanan harga sewaan rumah yang tinggi dan kos kenderaan,” katanya.
Petisyen itu bagi menggesa kerajaan memasukkan dalam belanjawan tentang penyelarasan diskaun barangan mahasiswa di kedai terpilih, katanya.
Kerajaan perlu berbuat demikian menerusi program e-belia rahmah selain menetapkan harga siling makanan di kampus universiti, katanya.
Peningkatan harga itu susulan kenaikan mendadak harga barangan asas seperti beras import dan ayam.
Para pengusaha industri sudahpun menjangka harga makanan meningkat pada suku ketiga 2023 disebabkan kebergantungan Malaysia pada bahan import dan kelemahan ringgit berbanding dolar
Mereka menjangkakan kenaikan harga barang pengguna meningkat sehingga 20% ekoran inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan.
Bagaimanapun, sesetengah penjual makanan tetap berusaha menyerap kenaikan itu, seperti diakui seorang pemilik kafe di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kuala Terengganu.
Pemilik kafe Tanjung Ria, Aminah Razak berkata tetap kekal menjual makanan dengan harga sedia ada iaitu RM3.50.
Beliau berkata biarpun ada sedikit kenaikan harga barang makanan asas yang terpaksa tanggung seperti harga beras tapi tidak sampai hati untuk menaikkan harga.
“Daripada dulu pun kita jual RM3.50 ini menu yang asaslah, ada nasi lepas tu protein macam ayam ikan atau daging kemudian sayur dan sambal sikit.
“Kita pun dah buat kira-kira kalau ikut kenaikan itu 0.10 untuk harga nasi jadi kami boleh serap lagi kos. Sebab kalau kita naikkan harga pun, memang tak sampai hatilah tengok pelajar- pelajar ini.”
Beliau berkata biarpun kedai makanannya sudah menawarkan dengan RM3.50 tapi ramai pelajar yang meminta menu makanan lebih murah daripada yang ditawarkan
“Biasanya kalau tanya nak lagi murah daripada RM3.50 biasanya saya akan suruh mereka ambil sahaja lauk tak perlu bayar. Saya tahu mereka ini memang dalam kesusahan,” katanya. – 8 Oktober, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan