Jumaat, 17 November 2023

BOIKOT ADALAH KERJA SUCI


McDonald's guna Akta Hasutan di sebalik kempen boikot yang semakin menyengat


Pendedahan McDonald's mengenai usahanya bekerjasama dengan kerajaan untuk mendakwa mereka yang menyeru boikot di bawah Akta Hasutan dilihat memburukkan lagi krisis perhubungan awam (PR) yang dihadapi francais makanan segera itu, dengan seorang peguam hak asasi melahirkan rasa terkejut dengan langkah syarikat itu untuk menggunakan undang-undang yang dikecam ramai pihak.

Pengumuman itu dibuat pada 3 November lalu menerusi media sosial oleh Ketua Pegawai Teknologi McDonald's Malaysia, Zaid Hasman, tetapi mula menjadi bahan bualan sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila ramai netizen menyatakan rasa terkilan dengan langkah syarikat itu mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

Dalam kirimannya yang telah pun dipadamkan, Zaid Hasman berkongsi gambar beliau dan beberapa pegawai kanan McDonald's Malaysia bersama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamad Salim.

SKMM, pengawal selia internet di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diketuai Fahmi Fadzil, baru-baru ini menjadi sasaran kecaman atas tindakannya menyekat beberapa laman web yang menerbitkan berita kurang disenangi kerajaan.

Sambil mengucapkan penghargaan kepada SKMM atas kerjasama "membendung fitnah" terhadap McDonald's, Zaid Hasman mengumumkan 60 individu telah dikenal pasti untuk "didakwa di atas Akta Hasutan".

Kiriman itu mengundang kecaman terhadap McDonald's, di sebalik rayuan pihak pengurusan tertingginya kepada orang ramai supaya tidak mengaitkannya dengan rakan francais di negara lain yang mengambil sikap pro-Israel, termasuk langkah McDonald's di Israel untuk menyumbang makanan kepada askar Israel yang terlibat dalam pengeboman Gaza.

McDonald's Malaysia beberapa kali menegaskan ia merupakan entiti bebas, sambil merujuk kepada sumbangan zakat tahunan, dalam usaha meredakan kemarahan umat Islam yang menyambut baik sebuah kempen boikot sedunia menyasarkan syarikat-syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, sekutu utama Israel yang membekalkannya dengan senjata dan bantuan lain dalam operasi ketenteraannya di Gaza.

Pengurusan tertinggi McDonald's turut mendampingi mufti negeri, pempengaruh dan beberapa pendakwah popular, di samping mengumumkan sumbangan kepada tabung kemanusiaan Gaza tajaan kerajaan.

Bagaimanapun ia dilihat masih gagal menyekat trend boikot, yang menyaksikan banyak cawangan McDonald's di sekitar Lembah Klang hampir lengang walaupun pada waktu puncak.

Sebuah cawangan McDonald's di Lembah Klang yang hampir lengang ketika gambar ini diambil pada waktu tengah hari minggu lalu.

Ia ditambah pula dengan beberapa klip video melawan hujah boikot yang dilihat memakan diri, dihujani komen yang menyerang naratif yang sering dibawa syarikat bahawa kesan buruk tindakan boikot itu akan dirasai pekerja Melayu Islam.

Langkah terbaru McDonald's untuk menggunakan Akta Hasutan bagaimanapun mengejutkan ramai pihak, termasuk seorang peguam hak asasi terkemuka.

"Adalah pelik dan tidak wajar apabila sebuah syarikat mengumumkan 60 orang sedang disiasat di bawah undang-undang yang zalim ini. Jika ada pun, siasatan jenayah dan pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa polis, dan adalah tugas peguam negara untuk mengumumkannya," Zaid Malek dari Lawyers for Liberty memberitahu stesen perniagaan BFM semalam.

Beliau mengandaikan McDonald's mungkin diberikan "nasihat salah", sambil mengingatkan Akta Hasutan bukan bertujuan melindungi entiti perniagaan.

"Adalah jelas McDonald's sebagai sebuah syarikat tidak termasuk dalam bidang kuasa Akta Hasutan kerana ia berkait dengan sebarang bentuk kenyataan 'menghasut' yang didakwa dibuat terhadap kerajaan atau mana-mana organ kerajaan.

“Bukanlah tugas kerajaan untuk melindungi imej sebarang syarikat,” katanya sambil menambah syarikat itu harus menggunakan dana sendiri untuk mengambil tindakan undang-undang dan bukannya wang pembayar cukai melalui penggunaan jentera kerajaan.

Zaid Malek berkata beliau tidak menolak kemungkinan syarikat itu cuba mendapatkan perlindungan daripada Akta Hasutan kerana selama ini kerajaan sendiri telah banyak menyalahgunakan akta itu untuk menutup sebarang kritikan terhadapnya.

MalaysiaNow telah menghubungi McDonald's Malaysia untuk mendapatkan penjelasan.

Boikot semakin rancak

Sementara itu, langkah terbaru McDonald's itu mengundang kecaman orang ramai di media sosial, termasuk mereka yang berkata akan menyertai boikot kerana marah dengan syarikat itu menggunakan pihak berkuasa.

"Mula nak boikot McD sebab dia bayar royalti ke US, indirectly support Israel. Lepas tu bila dapat tau McD milik Saudi, lagi berapi-api nak boikot. Hari ni McD nak guna Akta Hasutan untuk diamkan rakyat pulak. Makin dalam lubang McD gali ni," kata seorang pengulas politik popular yang menggunakan panggilan @chairmanGLC di laman X.

Komen tersebut mencerminkan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dari penyokong Palestin terhadap Arab Saudi, selepas mesyuarat pemimpin negara Islam di Riyadh dilaporkan gagal mencapai kata sepakat mengenakan sekatan ekonomi terhadap Israel disebabkan bantahan Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain.

Kiriman di X meminta SKMM mengambil tindakan ke atas kandungan yang membutirkan cukai pendapatan dibayar McDonald's di Amerika Syarikat, disertakan poster boikot dan pengumuman McDonald's Israel memberi sumbangan kepada askar Israel.

McDonald's Malaysia dimiliki Gerbang Alaf Restaurants, yang merupakan sebahagian Kumpulan Reza yang berpengkalan di Arab Saudi.

McDonald's adalah antara syarikat dinamakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), sebuah gerakan antarabangsa yang melancarkan pemulauan syarikat, jenama dan institusi akademik yang didakwa membiayai dan menyokong rejim Israel sama ada secara langsung dan tidak langsung.

BDS menganggap kempen memboikot McDonald’s dan beberapa rangkaian makanan segera Amerika yang lain sebagai sebahagian daripada "kempen akar umbi".

Menurutnya, jenama-jenama itu menjadi sasaran "kerana syarikat-syarikat ini, atau cawangan atau francais mereka di Israel, telah secara terbuka menyokong apartheid Israel dan/atau memberikan sumbangan besar kepada tentera Israel di tengah-tengah serangan Israel terhadap 2.3 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang dikepung dan ditakluki".

Diasaskan di Amerika Syarikat pada 2005, BDS diilhamkan oleh kejayaan sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan pada tahun 1980-an, yang akhirnya memaksa rejim kulit putih itu menamatkan dasar apartheid.

Sementara itu, pengguna media sosial di Malaysia terus menyokong gesaan untuk memboikot sebarang entiti perniagaan yang ada kaitan dengan kutipan hasil kerajaan Amerika Syarikat.

Suatu infografik yang luas tersebar merujuk kepada cukai pendapatan McDonald's berjumlah AS$1.9 bilion yang dibayar di AS, sambil memberikan sedikit penjelasan mengenai sistem percukaian di negara itu.

"AS mempunyai sistem percukaian di mana rakyat AS dan syarikat domestik tertakluk kepada cukai AS ke atas pendapatan mereka di seluruh dunia."

Kenyataan itu, disertai dengan tangkap layar pengumuman McDonald's Israel mengenai sumbangannya kepada askar Israel, diikuti dengan petikan berita mengenai bantuan AS kepada negara Zionis itu.

"Pada 3 Nov 2023, AS meluluskan bantuan ketenteraan AS$14.5 bilion untuk Israel, yang akan dibiayai oleh pemotongan daripada Internal Revenue Service, agenci utama kutipan cukai di AS," tambahnya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

TERBAIK

WARGA TELAH

SEDAR

AMIN

TERUSKAN

KERJA SUCI

AMIN

LEBARKAN KEMPEN

BOIKOT

AMIN

SATU BURGER

SATU PELURU

UNTUK ZIONIS

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan