Selasa, 28 November 2023

GENCATAN SENJATA DISAMBUNG



11 tebusan Gaza dibebaskan susulan lanjutan gencatan senjata

ISRAEL pada Isnin berkata 11 lagi tebusan di Jalur Gaza dibebaskan, beberapa jam selepas mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama dua hari antara Israel dan Hamas, yang memberi laluan kepada pembebasan lebih ramai tebusan. 

Dengan hanya beberapa jam sebelum jeda kemanusiaan tamat awal Selasa, Hamas berkata persetujuan telah dicapai untuk melanjutkannya selama 48 jam di bawah terma sedia ada.

Tiada pengesahan segera daripada pihak Israel mengenai lanjutan itu, yang bagaimanapun dipuji oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres sebagai “sekilas harapan dan kemanusiaan di tengah-tengah kegelapan perang”.

Lewat Isnin, tentera Israel mengumumkan bahawa 11 tebusan “kini berada di wilayah Israel”.

“Pasukan kami akan mengiringi mereka sehingga mereka disatukan semula dengan keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah tentera “menghormati dan menjaga tebusan yang dibebaskan apabila mereka pulang ke rumah”.

Qatar berkata, 11 warga Israel itu akan dibebaskan sebagai pertukaran kepada 33 tahanan Palestin, yang kebanyakannya dikatakan di bawah umur.

Warga Israel yang dibebaskan adalah dua warganegara Perancis, Jerman dan Argentina, tambah Qatar.

Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock mengalu-alukan pembebasan 11 tebusan Gaza, termasuk “dua remaja Jerman” selepas 52 hari.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken akan melakukan lawatan perang ketiganya ke Timur Tengah minggu ini, kata seorang pegawai AS pada Isnin, sebaik sahaja pengantara mengumumkan lanjutan gencatan senjata di Gaza.

Seorang pegawai kanan AS, bercakap semasa Blinken tiba di Brussels untuk mesyuarat NATO, berkata diplomat tertinggi AS itu akan bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Tel Aviv dan dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas di Ramallah.

“Dalam pertemuannya di Timur Tengah, Blinken akan menekankan keperluan untuk mengekalkan peningkatan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza, menjamin pembebasan semua tebusan dan meningkatkan perlindungan kepada orang awam di Gaza.

“Setiausaha itu akan berbincang dengan rakan kongsi di rantau ini mengenai prinsip-prinsip yang dia bentangkan untuk masa depan Gaza dan keperluan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” kata pegawai itu.

Qatar - dengan sokongan Amerika Syarikat dan Mesir - terlibat dalam rundingan untuk mewujudkan dan memanjangkan gencatan senjata di Gaza.

Jurucakap kementerian luar Qatar, Majed Al Ansari mengumumkan “perjanjian telah dicapai untuk melanjutkan gencatan senjata kemanusiaan selama dua hari tambahan di Semenanjung Gaza.”

Hamas, yang mengawal Gaza berkata ia sedang merangka senarai tebusan baharu untuk dibebaskan. – AFP, 28 November, 2023.

GENCATAN SENJATA

TAMBAH 2 HARI

AMIN

NETANYAHU CAKAP

BESAR NAK TERUS

PERANG KINI 

NGAKU KALAH

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan