Khamis, 16 November 2023

HAMAS BERJAYA - ZIONIS KALAH



HAMAS BERJAYA

 ZIONIS KALAH


Ketika tulisan ini digarap Perang Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 kini  telah memasuki hari  40.  Di awal bentrokan soldadu Zionis Israel  selama  lebih dari tiga minggu  telah mengepong Gaza sebelum berani masuk  menyerang.  Ketika Gaza di kepong serangan bom  bertalu-talu datang dari udara.

Kini soldadu Zionis telah masuk menyerang ke jantung Kota Gaza.  Pasukan darat telah masuk dengan  bantuan kereta kebal , kereta perisai  dan peralatan senjata yang terkini dan  tercanggih.

Sasaran  awal ialah  Utara Gaza.  

Wilayah kota Gaza bahagian utara ini menjadi  sasaran  kerana   dari laporan  intel di bawah  salah satu dari ratusan  bangunan dalam kota ini ada terowong yang menjadi ibu pejabat Briged Al Qassam.

Mengikut laporan intip Zionis Israel terdapat 1,300 terowong. Jumlah  panjangnya lebih dari 300 batu. Bayangkan Semenanjung Gaza yang  hanya 25 batu panjang dan antara  3.7  ke 7.5  batu luas. Ini bermakna seluruh Gaza berselirat di lingkari oleh terowong yang dalamnya lebih dari 200 kaki. 

Terowong ini telah mula di gali semenjak tahun 2007 bilamana Zionis Israel memulakan sekatan dan kepungan   ke atas   Gaza.

Seyogia diberitahu bahawa Hamas ialah sebuah parti politik.  Pada tahun 2006 Parti Hamas menang pilihanraya dalam perebutan 132 kerusi Dewan Parlimen Palestin.  Hamas mendapat 76 kerusi manakala Fatah mendapat 43.  Hamas dengan sokongan rakyat  menjadi pentadbir  Semenanjung Gaza. 

Zionis Israel  pada mulanya bermain mata dengan Hamas. Ini bertujuan untuk pecah perintah. Hamas di gaduhkan dengan Al- Fatah. Tetapi  kini Zionis Israel sedang bermatian  berusaha untuk menghancurkan Hamas. 

Sebagai sebuah parti politik yang mentadbir Gaza,  Hamas mendirikan pasukan  gerila yang di kenal di seluruh dunia  sebagai Al-Qassam Briged.  Nama ini   mengambil nama Izz ad-Din Abd al-Qadar ibn Mustafa ibn Yusuf ibn Muhammad al-Qassam  ( 1882 -1935 ). 

Sosok ini berasal dari Syria. Seorang Imam  dan pemimpin gerakan nasionalis Arab yang bangun melawan kuasa kolonial Inggeris dan Perancis  di wilayah di Syria , Lebanon dan Palestin pada era 20’an dan 30’an.

Izz ad-Din pejuang nasionalis ini mati di tembak pada 20 November 1935.

Diplomat Inggeris Alister Crooke  yang juga pegawai tinggi dalam MI6 – lembaga risik Inggeris – telah di temu bual dalam podcast  Judging Freedom. Podcast ini  muncul dalam YouTube 9 November  2023.

Diplomat Alister Crooke  ini menyatakan  bahawa terowong di Gaza ini  lengkap dengan talian elektrik dan laluan udara.  Terowong ini juga lengkap dengan alat komunikasi. Terowong ini ada  dewan mesyuarat. Malah lengkap dengan klinik dan hospital.

Terowong ini didirikan hasil dari mengumpul  pengalaman.  Belajar berperang melalui perang. 

Hamas melihat  Zionis Israel hanya akan menggunakan bom  dari udara bila menyerang.  Zionis Israel sedaya upaya akan mengelak  soldadunya  dari berhadapan dengan gerila Hamas.

Justeru terowong dibuat untuk gerila menyelamatkan  diri dari kena ledakan bom dari udara. Terowong sebagai satu strategi militer bukan perkara baru. Kerajaan Rom Kuno dan kerajaan Parsi telah menggunakan terowong sebagai taktik serang menyerang.

Terowong ini juga digunakan sebagai laluan untuk mematahkan sekatan dan kepungan Zionis Israel.  Barang makanan, barang keperluan apa sahaja dan juga senjata diseludup masuk melalui terowong.

Terowong ini memainkan peranan militer dan peranan ekonomi.

Paling menarik juga  ialah terowong gerila Vietkong ketika Perang Vietnam ( 1955-1975 ). Terowong gerila pembebasan Vietnam ini terletak  40 kilometer jauhnya dari kota Saigon – nama lama Kota Ho Chi Minh. Terowong  ini  menjadi benteng pertahanan yang amat kukuh dalam usaha gerila Vietkong untuk menawan Saigon ibu kota Vietnam Selatan.

Malah  Parti Komunis Malaya (PKM ) juga ada menggunakan taktik terowong di sempadan Tanah Melayu dengan Siam  ketika berjuang   melawan Inggeris. 

Kini terowong di Vietnam dan terowong milik PKM telah menjadi  bahan sejarah dan tarikan pelancong.

Mari kita segarkan ingatan. Tujuan Zionis Israel menyerang Gaza ini adalah untuk membalas serangan Hamas yang berlaku pada subuh hari Sabtu  7 Oktober lalu. 
Zionis Israel juga berniat untuk menghapuskan Hamas. Zionis Israel juga mahu menghalau warga Gaza keluar dari  bumi tanah air mereka. Ini sama seperti yang telah mereka lakukan pada tahun 1948.

Nakba – malapetaka – dimana Arab Palestin telah di bunuh, air perigi minuman telah di racun dan ramai  ditawan di seksa. Semua ini adalah taktik untuk  menakutkan Arab Palestin agar  mereka meninggalkan  bumi Palestin dan mencari perlindungan di Jordan, Lebanon, Mesir atau Syria.

Kali ini Netanyahu mahu melakukan Nakba2.  Zionis Israel mahu  menghalau ke semua Arab Palestin keluar dari tanah air mereka . Kali ini dengan bom dari udara dan peluru dari kereta kebal.

Ketika tulisan ini digarap : Tentera Israel telah sampai ke pintu masuk hospital terbesar di Gaza dimana  ratusan pesakit, termasuk berpuluh-puluh bayi, masih terperangkap di dalam. Beribu-ribu orang telah melarikan diri dari hospital al-Shifa di Kota Gaza. Tetapi masih ramai pesakit di dalam hospital ini.

Sekurang-kurangnya 11,240 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 4,630 kanak-kanak dan 3,130 wanita di Gaza telah mati dibunuh oleh tentera Israel sejak 7 Oktober. Ini kenyataan dari kementerian kesihatan Palestin pada Isnin 13 November. ( Di petik  dari laporan harian  The Guardian London 14 November 2023.)

Apakah Zionis Israel telah menang?

Betul Gaza hancur lebur. Ramai Arab Palestin gugur. Rumah kediaman runtuh. Binatang ternakan mati.  Tapi hakikatnya Israel  telah kalah.

Ada beberapa tanda yang menunjukkan  Zionis Israel kalah.  Masuk ke hari 40 gerila Hamas masih  tetap menyerang. Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant telah mengumumkan bahawa pertahanan Hamas telah hancur musnah. Ramai pejuang Hamas tewas.

Hamas menjawab kenyataan Menteri Perang dengan tembakan roket ke Tel Aviv. Amin.

 Dari laporan berita  media sosial  di laporkan  puluhan malah ratusan  kereta kebal dan kereta perisai Israel telah di letupkan.

Soldadu Zionis masuk ke dalam kota Gaza untuk  mencari gerila Hamas. Dari hukum perang - soldadu yang mencari lebih dalam keadaan bahaya dari gerila yang dicari. Dalam runtuhan bangunan seorang gerila boleh membedil sebuah kereta kebal Markava 4M dengan RPG ( Rocket-propelled-granade )  yang hanya tersangkut dibahunya.

Markava 4M berharga 3.5 juta dolar sebuah. Manakala  senapang RPG-7s berharga 500 dolar dan pelurunya berharga 100 dolar sebutir.

Dengan sebutir peluru 100 dolar boleh memusnahkan kereta kebal yang bernilai 3.5 juta dolar.

Ini hukum perang gerila bandar. Belanjawan murah dan amat berbaloi. Yang mencari-cari akan menjadi mangsa  serang hendap oleh  gerila.

Gerila Hamas akan muncul dari terowong dan menembak curi dan kembali menghilangkan diri masuk ke dalam terowong. Babak seperti  ini pernah di paparkan dalam Tik Tok dimana soldadu Israel menganggap mereka sedang melawan hantu yang hilang lesap selepas menembak curi.

Betul lagi benar soldadu Israel memiliki senjata tercanggih dan terkini. Betul dan benar Israel telah mengumpulkan seramai 300,000 bala tentera. 

Manakala Hamas hanya ada antara  30,000 ke 40,000 pasukan bersenjata.  Ada bersama Hamas 8000 gerila Islamik Jihad. Mereka bekerjasama  dalam Perikatan  Pasukan Palestin Paksi Penentangan

Nisbahnya seorang gerila Al-Qassam  berhadapan dengan 100 orang soldadu Israel.

Data dari International Institute of Strategic Studies yang keluar pada  15 Februari 2023 menunjukkan  soldadu tetap  tentera Israel hanya berjumlah 169,500 manakala soldadu simpanan berjumlah 495,000.

Israel mengamalkan sistem wajib tentera. Setiap warga – lelaki dan wanita -  yang mencapai umur 17 wajib masuk jadi soldadu  selama 24 ke 34 bulan. 

Justeru jumlah 300,000 soldadu yang mengepong Gaza majoritinya adalah soldadu simpanan.  Sebelum  Sabtu 7 Oktober 2023 mereka mungkin bekerja di pejabat, mungkin cik gu sekolah, mungkin membuat perniagaan sendiri, mungkin kerani pejabat, mungkin sedang menyambung belajar – hakikatnya mereka diwajibkan melawan Hamas.

Ini bukan sahaja bermakna mereka tidak berminat untuk jadi soldadu sepenuh masa malah mereka  mungkin bukan penyokong Perdana Menteri Netanyahu.  Paling menonjol mereka tidak ada pengalaman berperang.  

Justeru kita mula terbaca berita dalam media sosial bagaimana mereka menjadi ulam kepada gerila Hamas yang lincah  dan telah berpuluh kali bertempur.

‘ Israel wajib berhati-hati.. Hamas telah memasang perangkap yang telah bertahun tahun disediakan....’  Ini petikan kata-kata General  Vincent Desportes  seorang  profesor  strategi di Sciences  Po Universiti dan juga  Pengarah Sekolah Perang Perancis.

Temu bual dalam stesen TV France24 ini  muncul pada 1 November lalu.

General ini juga memberi gambaran tentang taktik gerila bandar. Bagaimana gerila Hamas boleh muncul dari belakang dan menembak  mati 9 soldadu Zionis.

Mengikut pakar perang ini  soldadu Israel tidak mungkin dengan cepat akan berjaya menumpaskan Hamas. 

‘ Perang ini akan berlanjutan...apa yang dirancang oleh Hamas ialah pertempuran  mandi darah seperti Pertempuran Dien Bien Pho .... bila mana akan memeranjat warga Israel....ramai soldadu Israel mati ... ini mengubah pandangan mereka.... cukup cukup... hentikan perang....’

General ini merujuk ke Pertempuran Dien Bien Pho yang berlaku di Vietnam dari 13 Mac 1953  hingga 17 April  1953  bilamana soldadu Perancis di pukul teruk oleh gerila Vietnam. Perancis akhirnya mengaku kalah dan pertempuran ini mengubah landskap politik Vietnam.

Satu lagi petanda awal  tentang kekalahan Zionis Israel ialah berubahnya pandangan warga dunia tentang penjajahan Palestin oleh Israel. 

Seluruh dunia dari kota kecil ke kota besar – dari  Melbourne ke Kuala Lumpur ke Karachi, ke Tehran , ke Istambul, ke Paris, ke Brussels, ke Amsterdam, ke London , ke Toronto, ke New New York, ke  Santiago  -   orang ramai  telah turun ke jalan raya .
Warga dunia anak segala bangsa sednag bersetia kawan dengan perjuangan Palestin.  Semua menuntut  pengeboman ke atas Gaza di hentikan. Bantuan di hantar.

Dunia kini melihat bagaimana Zionis Israel sedang menjalankan genocide. Pembunuhan beramai-ramai ini bertujuan untuk memastikan seluruh bumi Palestin akan di Yahudikan.

Negara-negara Arab dan 57  kepala negara dan pemimpin negara-negara Islam dalam Pertubuhan Negara Islam telah bersidang di Riyadh  Arab Saudi pada 11 November 2023. Mereka seia sekata menuntut perang  di tamatkan. Bantuan dihantar segera.

Pada 11 November dihari yang sama 800,000 anak semua bangsa  - bangsa semua agama telah berhimpun di kota London. Ini satu perhimpunan paling bersejarah dan paling besar yang pernah berlaku di London.

Pandangan warga dunia kini berubah. Ini tanda sah  Zionis Israel telah kalah. Ini kejayaan Hamas mengubah pandangan dunia terhadap perjuangan Palestin.

Perang Ramadan pada 6 Oktober 1973 membuka ke Perjanjian Camp David. Intifada Pertama bermula pada 9 Disember 1987 hingga 13 September 1993 . Intifada Ke Dua bermula pada  28 September 2000 hingga ke 8 Februari 2005.  Dua Intifada ini membuka Perjanjian Olso.

Kini Perang Hamas  yang bermula pada 7 Oktober 2023 dan masih berjalan.  Perang ini pasti akan mengubah landskap politik Palestin dan  politik Timur Tengah.

Jangan sesekali kita lupa Perang Gaza ini juga sedang mengubah politik dunia. Apakah Perang Gaza ini  akan merebak ? Untuk jawapan tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DITERBITKAN JUGA
DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT. COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/471944



Tiada ulasan:

Catat Ulasan