Hampir 70,000 isi rumah terjejas, banjir di selatan Thailand semakin buruk
SEKURANG-KURANGNYA enam orang maut dan hampir 70,000 isi rumah terjejas berikutan banjir di lima wilayah di selatan Thailand.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana (DDPM) Chaiwat Junthirapong berkata sejumlah 68,941 isi rumah di 32 daerah di lima wilayah selatan - Narathiwat, Pattani, Yala, Satun, dan Songkhla - terjejas akibat banjir itu.
Wilayah Narathiwat paling teruk terjejas melibatkan 39,604 isi rumah di 457 kampung dalam 13 daerah, manakala di Yala, 18,340 isi rumah di 298 kampung di tujuh daerah ditenggelami air.
Di Pattani, 8,360 isi rumah terjejas, manakala di Satun dan Songkhla masing-masing melibatkan 1,801 dan 836 isi rumah.
AFP melaporkan enam orang, termasuk seorang wanita berusia 89 tahun dan seorang kanak-kanak, lemas, dan pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian seorang lagi yang hilang akibat banjir di Narathiwat.
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, semasa lawatan ke Narathiwat yang dilanda banjir pada Selasa, berkata kerajaan akan segera memberi bantuan.
Beliau mahu semua agensi setempat menyampaikan bekalan kecemasan dan bantuan kewangan kepada mangsa banjir, selain mengarahkan usaha untuk menangani situasi banjir yang sedang berlaku. – Bernama, 28 Disember, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan