Rabu, 20 Disember 2023

TINDAKAN BERANI - LANGKAH TEPAT



Kapal Israel tak dibenar berlabuh di Malaysia, kata Anwar

SYARIKAT perkapalan ZIM yang berpangkalan di Israel tidak akan dibenarkan berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mana-mana kapal yang mengibarkan bendera Israel juga tidak dibenarkan berlabuh dan kapal yang menuju ke Israel tidak dibenarkan memuatkan kargo di Malaysia, katanya.

“Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap ZIM berkuatkuasa serta-merta.

“Sekatan ini tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” katanya lagi.

Tambahnya, kebenaran ke atas ZIM untuk berlabuh di Malaysia mula dibuat Kabinet pada 2002, dan pada 2005 Kabinet membenarkan kapal tersebut mendarat di Malaysia.

“Namun kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” katanya.

Larangan itu muncul ketika perhatian tertumpu ke Laut Merah yang dibimbangi menjadi pentas perang baharu ekoran tindakan balas Yaman ke atas Israel sebagai setiakawan ke atas Palestin.

Kumpulan Houthi di Yaman kini memusatkan serangan ke atas kapal dagang Israel dan juga kapal yang menuju ke pelabuhan di wilayah diduduki tersebut.

Serangan tertumpu di Selat Bab el-Mandeb, di barat daya Yaman yang menyebabkan syarikat perkapalan dunia mengelak laluan utama ke Terusan Suez itu.

Sekurang-kurangnya 12 syarikat kapal dagang dunia mengelak transit di Laut Merah termasuk Mediterranean Shipping Company, CMA CGM dan AP Moller-Maersk.

Gergasi petrokimia United Kingdom juga mengumumkan kapal tangkinya tidak akan melalui perairan itu kerana bimbang diserang.

Kapal dagang menuju ke Israel dan Eropah itu sebaliknya terpaksa berlayar lebih jauh mengelilingi benua Afrika.

Ia dijangka akan menyebabkan kos tenaga melambung dan menaikkan kos industri serta harga barangan keperluan pengguna.

Amerika Syarikat semalam mengumumkan operasi disertai pelbagai negara untuk menghantar kapal perang bagi mengawal laluan dagangan itu.

Operasi itu antara lain disertai Bahrain, Kanada, Perancis, Itali, Seychelles dan United Kingdom, menurut Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin. – 20 Disember, 2023.


INI TINDAKAN

BERANI

AMIN

INI LANGKAH

TEPAT

AMIN

KITA SEMUA

WAJIB SOKONG

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan