Jumaat, 22 Disember 2023

YAHUDI ANTI ZIONIS



 YAHUDI

 ANTI ZIONIS


Adalah silap untuk mentakrifkan semua Yahudi itu berfahaman Zionis. Tidak. Ini tidak benar. Pandangan ini salah dan boleh membawa  mudarat. Malah pandangan sebegini berupaya  mengusutkan lagi perjuangan Arab Palestin untuk membebaskan diri dari di jajah oleh Israel. 

Perjuangan Palestin bukan perjuangan agama Islam menentang agama Judaisme. Perjuangan rakyat Palestin ialah gerakan membebaskan diri dari penjajahan Israel.  Negara Palestin diduduki dan dijajah oleh Bani Yahudi.

Israel nama  negeri dan wilayah baru wujud semenjak tahun 1948. Bani Yahudi berasal dari  suku kaum Semit. Arab Palestin juga dari suku kaum yang sama.  Judaisme ialah agama. Kitab suci Judaisme  ialah Torah. 

Torah sama seperti Kitab Injil untuk penganut Kristian. Sama seperti Kitab Quran untuk penganut agama Islam.

Zionisme adalah ideologi kebangsaan Israel. Kaum Zionis percaya Judaisme adalah kewarganegaraan dan juga agama.  Asas Zionisme ialah Bani  Yahudi berhak mendapat negeri mereka sendiri di tanah air nenek moyang mereka di Israel. Sama seperti orang Perancis berhak mendapat Perancis atau orang Cina sepatutnya memiliki China. Itulah yang membawa orang Yahudi dari seluruh dunia untuk kembali ke Israel.

Zionisme moden, membina keberahian  Yahudi  untuk "kembali ke Zion," bermula pada abad ke-19. Ini ketika  semangat  nasionalisme mula meningkat di Eropah.  

Theodor Herzl seorang wartawan Yahudi dari Austria adalah orang pertama yang mengajukan nasionalisme Yahudi. Gerakan Zionis ini menjadi gerakan antarabangsa sekitar tahun 1896.

Juruselam atau Baitul Mukaddis  terletak di Tebing Barat  adalah wilayah suci untuk tiga agama – Judaisme, Kristian dan Islam. 

Palestin adalah tanah jajahan  Inggeris sesudah Empire Ottoman runtuh. Pada tahun 1917 gerakan Zionis telah berjaya melobi kerajaan Inggeris untuk menerima Deklarasi Balfour.

Deklarasi Balfour ialah kenyataan umum yang dikeluarkan oleh Kerajaan British pada tahun 1917 semasa Perang Dunia Pertama. Deklarasi ini  mengumumkan sokongannya terhadap penubuhan "rumah negara untuk orang Yahudi" di Palestin.

Ketika ini Palestin wilayah jajahan , kerajaan  Uthmaniyyah. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah Arab Palestin. Pada ketika itu ada Yahudi menetap di Palestin. Arab Palestin  hidup bersama minoriti Bani Yahudi. Tidak ada masalah.

Pembunuhan berjuta Yahudi oleh Nazi Hitler dalam Perang Dunia Ke Dua  telah digunakan dengan bijak dan tersusun oleh gerakan Zionis. Kaum Zionis berhujah  tentang betapa perlunya Bani Yahudi  memiliki negeri sendiri.

Pada 14 Mei 1948, David Ben-Gurion, ketua Agensi Yahudi, mengisytiharkan penubuhan Negara Israel. Presiden Amerika Harry S. Truman mengiktiraf negara baharu itu pada hari yang sama.

Maka pada 15 Mei 1948 Nakba atau Malapetaka menimpa Palestin.  Dari tarikh ini penentang bermula. Penentangan utama dari warga Palestin dan negara Arab.

Projek Zionis Israel ini juga di tentang dan ditolak  oleh beberapa sosok dan kumpulan Bani Yahudi.  

 Pemikir dan intelektual Yahudi dari Albert Einstein hingga ke Noam Chomsky adalah contoh sosok yang i menolak ke wujudan Israel. 

Pada tahun 1952 Perdana Menteri pertama Israel Ben Gurion telah melamar Albert Einstein untuk menjadi Presiden pertama Israel. Ini telah di tolak

Sejarah telah merakamkan bagaimana Israel telah diwujudkan melalui keganasan.  Sila baca  surat Albert Einstein ini :
 
Yang Berhormat,

Apabila malapetaka yang nyata dan terakhir akan menimpa kita di Palestin, yang pertama bertanggungjawab ke atasnya ialah British dan yang ke dua bertanggungjawab kepada kita ialah  organisasi Pengganas  yang wujud  daripada barisan kita sendiri. Saya tidak sanggup melihat sesiapa yang dikaitkan dengan orang yang sesat dan penjenayah itu.

Yang ikhlas,
Albert Einstein.

Hari ini intelektual tersohor  Noam Chomsky adalah sosok yang paling terkenal dan paling jelas menentang dan mengkritik Israel.  Chomsky berasal dari keluarga imigran Yahudi dari Rusia. Pernah menjawat kerusi   Profesor Linguistik di MIT - The Massachusetts Institute of Technology

“Pakar linguistik terkenal didunia ini adalah sosok yang sering menjadi pengkritik dasar luar Amerika.  Noam Chomsky bercakap di hadapan kira-kira 500 orang di Boston Univercity. Chomsky, mengecam apa yang beliau panggil "dasar apartheid yang semakin meningkat" di Israel.

Mengikut pandangan Chomsky  dasar apartheid yang diamalkan  oleh Israel ini lebih hodoh dari yang diamalkan oleh rejim kulit putih Afrika Selatan. 

Chomsky juga menggambarkan Amerika sebagai   Don Kepala Mafia.” ( Di pungut dari laman portal BU Today 3 Mac 2010).

Hari ini Amerika Syarikat telah menjadi salah satu  negara penyokong dan pemberi dana untuk pembangunan Israel sebagai sebuah negara bangsa di dunia pasca-70-an. Berbilion dolar di beri pada Israel untuk membeli senjata. Untuk mengukuhkan keupayaan negara Israel.

Mengikut pandangan Chomsky Perang Gaza yang sedang berjalan sekarang ini akan berupaya membuka  perang serantau dengan aktor negara lain seperti Hezbolah di Lebanon dan juga Yaman dan Iran.

Perang berterusan. Gaza terus di bom.

Mengikut statistik tahun 2022 terdapat anggaran 1.6 juta Yahudi yang  menjadi penghuni kota  New York. Ini jumlah terbesar sesudah Tel Aviv dan Juruselam. 

Pada 28 Oktober 2023 yang lalu beribu-ribu Bani Yahudi dari New York telah turun berdemo membantah serangan  Israel ke atas Gaza. Mereka mahu gencatan senjata di jalankan.

Slogan Bani Yahudi ini  ialah Not In Our Name – Jangan Gunakan Nama Kami. Bani Yahudi di New York, di Amerika,  di London  atau di Melbourne semuanya menggunakan slogan ini.  Mereka tidak  mahu nama Yahudi digunakan untuk mengebom Gaza.- 

Jelas Bani Yahudi ini  memisahkan diri mereka dari projek Zionis dan menentang dasar   apartheid amalan Israel. 

Di New York  Bani Yahudi  penunjuk perasaan ini  telah menawan  Central Station New York. Perjalanan kereta api di New York terganggu. Akhirnya NYPD – Polis New York telah menangkap 200 orang penunjuk perasaan.

Rata rata yang ditangkap oleh NYPD itu adalah anak muda Yahudi. Ini memberi gambaran bahawa projek Zionis  ini tidak lagi mencengkam generasi muda. Holocaust dan Nazi  tidak lagi berjaya  digunakan untuk mengugut mereka. 

Generasi muda Yahudi kini telah berjaya membebaskan diri mereka dari politik Zionis. Terima kasih kepada Internet dan media sosial.

Seorang lagi intelektual Yahudi yang tersohor sebagai penolak Zionisme dan mengkritik Israel ialah Norman Gary  Finkelstein . Sosok ini ialah pakar saintis politik dan seorang aktivis di Amerika. Bidang penyelidikan utamanya ialah politik Holocaust dan konflik Israel-Palestin.

Finkelstein dilahirkan  dari ibu bapa yang kedua-duanya terselamat dari maut Holocaust Nazi. Justeru ilmu dan bidang Holocaust ini yang dikaji oleh Finkelstein.

Finkelstein menjadi terkenal pada tahun 2000 selepas menulis bukunya The Holocaust Industry. Dalam buku ini dia mendakwa bagaimana  ingatan Holocaust telah dijadikan  sebagai "senjata ideologi" untuk memberikan Israel "kekebalan terhadap kritikan".

 Bayangkan pada tahun 2008 sosok Yahudi ini tidak dibenarkan masuk ke Israel. Rejim Zionis Israel amat marah pada Finkelstein yang telah menggelar Israel sebagai "negara ketuanan Yahudi", dan membuktikan Israel melakukan jenayah apartheid terhadap rakyat Palestin.

Dalam salah satu bukunya, dia membandingkan nasib rakyat Palestin yang hidup di bawah penjajahan  Israel dengan kezaliman  Nazi.

Selain dari intelektual Yahudi yang menentang Zionis  kita juga sering terbaca satu kumpulan Agamawan Judaisme yang menentang kewujudan Israel. Mereka sering dilihat bersetia kawan  dalam demo pro Palestin di New York atau di London.

Agamawan Yahudi ini dikenali sebagai Neturei Karta  atau Penjaga Kota. Mereka ialah kumpulan agama Yahudi Haredi yang diasaskan di Jerusalem pada tahun 1938.

 Penganut mazhab ini  adalah penentang aktif Zionisme dan menganjurkan "pembubaran secara aman" Negara Israel. 

Di bawah kepercayaan kumpulan ini Bani  Yahudi dilarang keras daripada menegakkan semula kedaulatan di Tanah Israel sehingga kedatangan Nabi Isa sekali lagi.

 Neturei Karta – Penjaga Kota  percaya bahawa kewujudan negara Yahudi adalah pemberontakan terhadap Tuhan. Justeru mereka bersama gerakan pro Palestin dan menyokong terdirinya negara Palestin. Dan negara Israel dimansuhkan.

Ketika tulisan ini digarap Perang Gaza telah  masuk ke hari 76. Laporan dari pihak berwajib telah melaporkan jumlah warga Gaza yang gugur telah mencecah 20,000. Majoriti yang gugur adalah wanita dan kanak-kanak. Kenapa wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa dan bukan gerila?

Jawabnya senang sahaja. Dalam perang gerila dalam bandar sosok yang paling sedar dan paling berhati-hati dari ledakan peluru dan bom adalah gerila.

Justeru   dalam peperangan gerila yang paling selamat ialah gerila. Yang menjadi mangsa ialah soldadu yang mencari gerila dan orang awam yang tidak tahu taktik dan strategi perang gerila.

Persoalan hakiki ketika ini adalah seperti pandangan Chomsky – apakah Perang Gaza menjemput terbukanya perang serantau. Ketika tulisan ini digarap Laut Merah dan Telok Parsi kini dipenuhi oleh kapal perang.

Malaysia sendiri telah melarang kapal Israel dari berlabuh di Pelabuhan Klang. Kita lihat dan tunggu apa perkembangan dan reaksi dunia. Kita tunggu hingga minggu depan. Amin. (TT)


TULISAN INI
DI SIARKAN JUGA DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/477557


Tiada ulasan:

Catat Ulasan