180 bayi dilahirkan sehari di Gaza
BULAN Sabit Merah Palestin berkata dianggarkan kira-kira 180 kelahiran dicatatkan dalam tempoh sehari di Gaza dan nasib ibu-ibu ini amat menyedihkan dan nyawa mereka diancam “bahaya” akibat serangan berterusan tentera Israel.
“Ramai daripada mereka tidak dapat ke hospital kerana berada di kawasan terkepung, tentera Israel turut menghalang ambulans untuk sampai ke lokasi mereka,” menurut kenyataan pertubuhan itu, lapor Agensi Anadolu Agency.
Kesengsaraan mereka dapat dilihat menerusi perkongsian rakaman yang dimuat naik pertubuhan itu di platform X.
Turut dimuat naik rakaman perbualan telefon antara pasukan kesihatan dan keluarga seorang wanita hamil yang tidak dapat ke hospital untuk bersalin.
Wakil United Nation Population Fund (UNFPA) untuk Palestin, Dominic Allen, berkata dalam sidang media maya pada Sabtu dari Baitulmaqdis, 18,000 kelahiran berlaku di Gaza dalam tempoh 100 hari.
Beliau berkata UNFPA tidak dapat menyediakan bekalan yang mencukupi dan keadaan di hospital amat teruk serta menyedihkan.
Allen berkata 5,500 wanita dijangka bersalin dalam beberapa bulan akan datang dan dengan kekurangan air, makanan serta akses yang terhad kepada rawatan, nyawa ibu-ibu ini dalam “bahaya”.
Beliau berkata tindakan yang sewajarnya amat diperlukan ketika ini untuk mencegah tragedi sedemikian.
Menurut UNFPA pada 17 Dis seramai 45,000 wanita hamil dan 68,000 wanita yang menyusukan berisiko mendapat anemia, pendarahan dan kehilangan nyawa.
Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza Ashraf al-Qudra baru-baru ini berkata disebabkan tidak dapat memenuhi keperluan 50,000 wanita hamil di pusat-pusat perlindungan di Semenanjung Gaza, pesakit menghadapi masalah pemakanan dan kesihatan yang teruk..
Al-Qudra menggesa agensi-agensi PBB yang berkaitan untuk campur tangan bagi menyelamatkan kanak-kanak dan wanita hamil. – Bernama, 14 Januari, 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan