Jumaat, 5 Januari 2024

ISRAEL MAHU AMERIKA SERANG IRAN



ISRAEL MAHU

 AMERIKA  

SERANG IRAN


Perang Gaza a.k.a Nakba 2 yang bermula pada 7 Oktober 2023 masih diteruskan. Usaha warga dunia menuntut diadakan gencatan senjata  gagal. Suara majoriti negara dalam dunia yang bersidang di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tidak di pedulikan oleh Amerika dan Israel.

Kuasa veto Amerika menjadi tembok pendinding  untuk Zionis Israel melakukan genocide. Pengeboman Gaza di teruskan.

Ini kerana Zionis Israel ada agenda yang  lebih besar. Pertama  Mengyahudikan seluruh  Palestin. Kedua : memusnahkan Iran.

Dua projek ini ikat berikat. Untuk  memahami dua projek ini mari kita semua kembali membaca sejarah.

Pada 17 September 1978 Perjanjian Camp David telah di tanda tangani  oleh Presiden Mesir Anwar Sadat dengan Menachem Begin Perdana Menteri  Israel. Saksi dan orang tengah ialah Presiden Amerika Jimmy Carter.

Mesir adalah negara Arab terkuat dan  terbesar di bumi Arab. Perjanjian Camp David menjinak dan memandulkan Mesir.

Ini diikuti dengan Perjanjian Oslo pada 13 September 1993 yang di tanda tangani oleh Yasser Arafat dari Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Perdana Menteri Israel Yitzak Rabin. Orang  tengah ialah Bill Clinton Presiden Amerika.

Perjanjian Oslo adalah bukti pembelotan PLO. Perjanjian ini adalah usaha menjinakkan semua kumpulan gerila dan Fedayeen yang berpayung di bawah PLO. Al-Fatah yang mendominasi PLO melalui perjanjian Oslo bersedia  menjadi mata-mata  dan telinga Zionis Israel.

Perjanjian Oslo memastikan wujud  pertukaran maklumat diantara PLO dengan Mossad dan CIA. 

Semenjak  kaum Zionis dan kaum Kristian Zionis di Eropah berjaya mewujudkan Israel  pada tahun 1948 – perlawanan tidak berhenti. Konspirasi demi konspirasi  di rancang  untuk memusnahkan  gerakan pembebasan Palestin. Semua gagal. 

Pembelotan demi pembelotan berlaku di kalangan gerakan Pembebasan Palestin. Yang belot terus belot. Muncul  yang  baru meneruskan garis  perjuangan. Pembelotan tidak berjaya memadam apa perjuangan.

Jika kita merujuk kembali kepada piagam PLO kita akan bertemu niat dan cita-cita PLO : untuk mendirikan sebuah negara Palestin yang sekular demokratik dimana Yahudi, Kristian dan Muslim boleh hidup bersama. 

Jika kita kembali melihat  garis perjuangan Al-Fatah kita akan berjumpa degan slogan – Thawra Hatta’l Nasr – Revolusi Hingga Menang. Bukan Revolusi Hingga Oslo.

Kita juga akan menemui bagaimana Piagam  Al-Fatah dan PLO tidak mengiktiraf kewujudan  Israel .  Israel tidak di anggap negara  hanya entiti.

Semua  ini masuk bakul sampah apabila Perjanjian Oslo di tanda tangani oleh Yasser Arafat yang mewakili  PLO. Dari Perjanjian Olso muncul apa yang kini dikenali sebagai  Pihak Berkuasa Palestin  yang klim mewakili rakyat Palestin.

Lembaga ini diberi dana dan di beri senjata oleh Amerika dan Kesatuan Eropah.

Tapi semangat juang Palestin tidak pernah pudar. Satelah pembelotan oleh Al-Fatah dan  PLO muncul organisasi baru yang lebih militan dan lebih tersusun.  Palestin masih lagi menjadi agenda utama di  bumi Arab dan negara Islam. Palestin  sesudah 7 Oktober 2023 membukan geo-politik baru.

Apa dia geo politik baru ini ?

Untuk memahami geo politik baru ini kita perlu melihat garis waktu.

Pada 1 April 1979 – negara feudal Iran menjadi Republik Islam Iran. Revolusi Iran sekali gus menghapuskan  Raja Iran dan kaum kerabat feudal.   

Kemunculan Iran sebagai Republik Islam membuka geo politik baru di Timur Tengah dan di pelbagai negara Islam. Pengaruh Iran  dan kejayaan revolusi Iran menumbangkan  Ahmad Reza Pahlevi memberi dampak dan pengaruh kepada gerakan Islam sedunia.

Iran di bawah Ayatollah Khomenei mengumumkan pada dunia bahawa Amerika ialah Setan Akhbar. Setan Akhbar ini musuh rakyat dunia.  Garis politik Iran yang anti Amerika dan anti Israel mengubah politik Arab, politik Timur Tengah dan politik dunia.

Lalu Amerika melanggan Saddam Hussein. Pada 22 September 1980 – hingga  20 Ogos 1988 Iran di serang oleh Iraq.  Ini projek awal untuk melemahkan Republik Islam yang baru muncul.

Projek ini gagal. Saddam sendiri menjadi mangsa Amerika. Yang lemah dan hancur ialah Iraq.

Sesudah Iraq hancur kaum Zionis masih melihat musuh agung mereka – Iran – tegak gagah berdiri. Lalu dijalankan kempen bahawa Iran memiliki niat untuk membuat senjata nuklear. 

Sekali lagi sama seperti kes Saddam – senjata nuklear diolah untuk  membuat persetujuan agar warga dunia bersetuju dan  menghalalkan serangan ke atas Iran.

Sekatan ekonomi dilakukan ke atas Iran. Ekonomi Iran diganggu gugat. Ubatan dan barang keperluan harian lesap dari pasaran.  Ini dengan harapan  warga Iran akan marah. Diharapkan akan berlaku pemberontakan dalaman  yang akan menjatuhkan kerajaan Republik Islam Iran. 

Memang sahih lagi betul ekonomi Iran menjadi serik. Tetapi  harga minyak dan gas naik berganda  telah membantu Iran. Iran selamat dari sekatan ekonomi.

Bila krisis politik muncul di Syria – Israel, Amerika dan kaum Zionis telah masuk  mengambil kesempatan. Perang saudara berlaku di Syria. Israel dan Amerika membantu musuh Syria.

Ketika ini muncul Iran sebagai kawan setia Syria. Projek Zionis untuk menghancurkan Syria gagal.

Ketika Israel menyerang Lebanon pada tahun 2006  Iran muncul sekali lagi  sebagai kawan setia. Iran membantu dengan memberi dana dan juga mempersenjatai Lebanon.

Apa sebenarnya  peranan Iran ?  

Untuk ini mari kita lihat kembali Perang Vietnam ( 1954 -1974 ). Ini perang adil rakyat Vietnam menentang penjajahan Perancis. Bila Perancis kalah masuk penjajah baru bernama Amerika.

National Liberation Front of Vietnam (NLF) Gerakan Pembebasan Nasional Vietnam dengan garis politik angkat  senjata telah melancarkan perang gerila terhadap Perancis dan kemudian terhadap Amerika.

NLF ini tidak akan  berjaya mengalahkan Perancis dan Amerika tanpa sokongan China dan Rusia. Rusia dengan blok Sosialis Eropah Timur bersama China adalah negara yang mendukung perjuangan adil rakyat Vietnam dan juga rakyat Laos dan Kemboja.

Tanpa sokongan China dan Rusia  perjuangan rakyat Indo China  melawan imperialis Amerika pasti akan gagal.

Hari ini peranan Rusia dan China dalam Perang Indo China telah diambil alih oleh Republik Islam Iran.  Dulu yang dimusuhi Perancis dan Amerika. Kini yang dimusuhi ialah Amerika dan Israel.

Iran kini menjadi pemain dan pengatur  geo politik utama di Timur Tengah. Garis politik anti imperialis Amerika yang dipegang oleh Iran akan mengubah bukan sahaja politik Timur Tengah  malah Iran kini dianggap satu kuasa baru dari Selatan.

Iran memberi dana dan senjata kepada Hezbolah di Lebanon,  Hamas  dan Islamik Jihad di Palestin dan Gerila Islam di Iraq. Iran juga membantu  kerajaan Houthi di Yaman. 

Jelas  Iran kini adalah Rusia dan China untuk  di Timur Tengah. 

Justeru kaum Zionis  berpendapat untuk Israel selamat  Iran wajib di musnahkan. Inilah perancangan akhir kaum Zionis. Selagi Republik Islam  Iran wujud  Israel tidak akan selamat. 

Iran bukan hanya menentang Zionis Israel. Iran menentang musuh dunia Setan Akhbar Amerika. Sikap anti Zionis dan anti imperialis Iran  cukup jelas tanpa berselindung. Garis politik anti imperialis yang dipegang oleh Iran  sedang mempengaruhi dunia.

Iran mahu memusnahkan entiti haram yang di panggil Israel. Iran mahu rakyat dunia sedar bahawa musuh utama mereka ialah imperialis Amerika.

Dasar anti imperialis Iran bukan retorik. Iran bukan sahaja memberi dana dan senjata malah  Pasukan Pengawal Revolusi Iran di hantar untuk berperang sama di Yaman, di Syria dan di Lebanon.

Tanpa sokongan Pasukan Pengawal Revolusi Iran Presiden Bashar al-Assad telah lama bungkus. Iran dan Rusia  memainkan peranan yang penting untuk menyelamatkan Bashar.

Justeru untuk Israel selamat Iran wajib di musnahkan.  Projek memusnahkan Iran sendang berjalan.

Zionis Israel sedang merancang untuk menjerut Amerika. Israel mahu Iran di bom. Iran mahu Amerika mengebom Iran. Israel mahu Amerika menyerang Iran.

Apa yang berlaku  di Beirut pada 2 Januari 2023 adalah sebahagian dari projek menjerut Amerika. Saleh al-Rouri  pemimpin  Kedua Hamas telah dibom mati ketika dia dalam pejabat di Beirut.  Turut sama gugur beberapa kader penting dalam gerakan Hamas.

Ini satu provokasi.

Dari Beirut projek ini berpindah ke bandar Kerman  di Iran. Pada 3 Januari 2024  dua bom meledak lepas satu satu di makam   General Qassem Solemani. Lebih dari seratus orang gugur. Orang ramai sedang berkumpul memperingati ulang tahun ke empat kematian wira dari Pasukan Pengawal Revolusi Iran. 

General Qassem telah dibunuh dengan serang drone atas arahan Presiden Trump. Sosok ini adalah pemikir dan perancang politik dan militer Iran yang penting.

Ledakan dua bom ini satu provokasi.

Provokasi apa?

Apa yang berlaku di Beirut dan di Kerman adalah rancangan Zionis Israel  memancing agar Iran akan tergopoh gapah menyerang balas. Israel  mahu Iran bertindak. 

Bila Iran bertindak maka ini akan menjadi sebab musabab untuk Amerika menyerang Iran.

Apa  yang berlaku di Beirut telah di akui oleh Israel. Apa yang berlaku di Kerman belum ada sesiapa yang mengakuinya.  Tetapi Tehran telah menuduh Amerika dan Israel bertanggung jawab atas ledakan dua bom itu.

Sebelum berlaku dua provokasi ini pada Hari Krismas 25 Disember 2023 Israel  telah membunuh seorang Jeneral. Sayyed Razi Mousavi di Damascus. Beliau dibunuh melalui serangan udara. Sosok ini ialah  penasihat Pengawal Revolusi tentera Iran di Syria.

Minggu pertama tahun 2024 kini sedang membara di Timur Tengah.  Dunia sedang menunggu apakah yang akan dilakukan oleh Hamas dan oleh Tehran.

Pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah berkata kumpulan mereka di Lebanon  sedang bersedia dan tidak takut berperang. Ini ucapan pertama sejak pembunuhan Saleh al-Arouri.

Manakala  Iran  telah berjanji untuk membalas dendam terhadap pelaku letupan maut yang dilaporkan telah membunuh lebih 100 orang pada upacara  ulang tahun keempat kematian komander Pasukan Quds Pengawal Revolusi Islam yang terkenal Mejar Jeneral Qassem Soleimani.

 Apakah provokasi dan jerat yang dipasang oleh Zionis Israel ini akan membingkas ? Dunia dan kita sama-sama menunggu apa tindakan Iran dan Hamas.. Amin. (TT)

TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/478946



Tiada ulasan:

Catat Ulasan